NYEMAH DAN 1515
Ketika isteri ke Carefour membeli beberapa bekalan untuk pulang ke kampungnya, aku menyediakan bekal yang secukupnya supaya hilang rasa mengantuk di perjalanan, Zzzzzzz. Sambil itu sempat memesan kepadanya supaya membeli novel 1515, karya Faizal Tehrani. Novel ini bukanlah baru, dah lama nak beli tetapi belum bertemu jodoh agaknya. Novel ini menarik minat untuk dibeli bukan kerana ia adalah pemenang anugerah Utusan, tetapi adalah semata-mata kerana namanya 1515. Novel ini dulunya ingin dinamakan sebagai 1511, namun ia telah dinamakan dengan 1515 apabila di pasaran. Kedua-dua 1511 dan 1515 adalah penuh bermakna bagiku. 1511 ialah nombor talian jaring sedangkan 1515 adalah nombor TMNet. Bagaikan dirancang dengan penuh teliti, 1515 mengambilalih 1511 dan ia telahpun menjadi kenyataan dalam ucapan menteri kewangan di parlimen tempoh hari.
Novel ini dihabiskan dalam sehari sahaja semasa berada di kampung. Mesti Sri Diah tak percaya ni… Apabila habis membaca maka barulah diketahui rupa-rupanya NYEMAH adalah suatu nama besar dalam sejarah Melaka. Nyemah Mulya yang kemudiannya diberi gelaran Tun Nyemah adalah srikandi terbilang, seiring dengan Tun Fatimah dan yang sewaktu dengannya. Pencerita kepada kisah ini ialah Profesor Nyemah yang seolah-olahnya bagaikan membaca sebuah buku sejarah. Dalam novel ini juga diceritakan yang Alfonso De Albuquerque telah mati sebanyak tiga kali. Ia itu disantau di atas kapalnya, dibunuh oleh Nyemah dalam masjid Melaka dan akhirnya di Lisbon, Portugis. Mati yang sebenar tentulah sekali sahaja, selebihnya adalah mati dalam khayalan penulis semata.
Tujuan utama novel ini ditulis ialah untuk mengubah sejarah Melaka, di mana Melaka telah diserang dan dikalahkan Portugis pada 1511 dengan rencana baru Melaka di bawah Tun Nyemah telah menakluk dan memerintah Portugis pada 1515. Itu adalah khayalan semata-mata dan percubaan untuk mengubah sejarah (berbeza dengan membetulkan fakta sejarah) adalah suatu usaha untuk memutarbelitkan fakta. Mewujudkan yang tidak wujud, melahirkan tokoh yang tidak pernah lahir, menghidupkan yang mati dan pelbagai hayalan lagi. Memandangkan ia hanyalah sebuah novel (remaja), maka ia tidak akan kemana, sekadar untuk hiburan dan hayalan semata. Jika benar kita ingin mengubah atau memadamkan fakta sejarah, buatlah seperti Jepun. Anak-anak Jepun tidak pernah mengetahui yang negara mereka telah menyerang, menakluk dan memerintah Malaya dengan kejam di zaman dahulu. Kesemuanya telah dipadamkan dari sejarah.
Oh ya… mengenai Nyemah Mulya atau Tun Nyemah, saya mempunyai seorang kawan dengan nama tersebut. Esok akan diceritakan kepadanya perihal keagungan nama beliau dalam novel ini dan sudah tentu beliau akan pinjam novel tersebut untuk dibaca ….
No comments:
Post a Comment