Labels

Wednesday, August 31, 2005

MERDEKA



Harga minyak dunia naik lagi. Ia tentu menguntungkan negara sebab kita ada Petronas.
Mengapa Petronas jual minyak sendiri dan beli minyak untuk dijual kepada rakyat Malaysia?.
Minyak dalam negara kita bermutu tinggi, tidak sesuai digunakan di sini, sebab itu kita perlu jual dan beli minyak lain
MERDEKA!

Dalam usaha kerajaan mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat, mengapa penanaman tembakau masih digalakkan?
Tembakau keluaran kita bermutu tinggi, ia bukan untuk kegunaan domestik, tetapi diekspot keluar. Jadi ia tidak ada kena mengena dengan kempen TakNak

MERDEKA!!

Tuesday, August 30, 2005

MENCARI YANG TERBAIK

Untuk menjadi pegawai xxx, kita memerlukan orang yang


..... boleh bercakap dengan baik,

...... boleh menulis dengan bagus


.... dan akhirnya barulah yang boleh berfikir.


ha ha ha ha.

Monday, August 29, 2005

CATATAN PERJALANAN IV - DARI TOKDOR KE TOKDOR

JAM 1pm bertolak dari Kota Bharu dan hanya tiba di Kuala Lumpur jam 11:30pm. Sebenarnya ada beberapa laluan yang boleh diambil dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Namun selepas berpusing-pusing mencari arah, akhirnya kami memutuskan untuk ke KL melalui Terengganu. Laluan kami ialah KB-Pasir Putih-Jertih-Kuala Berang-Jabur-LPT-KL. Perjalanan agak lancar kerana jalan ini tidak banyak kenderaan, namun ia tetap mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi kerana kami berhenti di banyak lokasi.

Dari KB kami singgah jamak solat Zohor & Asar di masjid kampung Tok Dor di Besut. Masjid ini bersebelahan dengan restoran dan warung. Apa yang lebih menarik ialah ini adalah kali pertama tiba di Kg Tok Dor di Besut. Sebenarnya di Terengganu terdapat sebuah lagi Kg. Tok Dor, iaitu di Hulu Terengganu. Masa zaman kecil saya, pernah mendengar cerita yang seorang makcik yang ingin menaiki teksi ke kg Tokdor (Hulu Terengganu) telah dibawa oleh pemandu teksi ke Kg Tok Dor (Besut). Sebabnya Kg. Tok Dor Besut ini adalah lebih popular dari Kg. Tok Dor Hulu Terengganu.

Ada lagi beberapa tempat yang sama nama, misalnya Kota Bharu di Kelantan dan Kota Baru di Perak.

Saturday, August 27, 2005

CATATAN PERJALANAN III

PCB


Pantai Cinta Berahi yg memutih ini sudah tidak lagi kelihatan di Pantai Cahaya Bulan kerana telah dilindungi oleh batu-batu penghalang ombak penghakis pantai

HARI pertama bertugas di JPP Kelantan berakhir sekitar 1:30pm (pada kebiasaannya kerja begini habis paling lewat 12pm sahaja, dan jika di Putrajaya 10:30am dah selesai). Pulang ke hotel dan anak-anak dah kemaruk nak mandi, samada di kolam atau di laut. Isteri nak sangat ke PCB. Sebabnya .... nak mengimbau kisah cinta Seri Adriani. Wah ... mendalam sungguh peminat Seri ni ekkk (hint: utk dapat novel kedua free...).

Ini adalah kali pertama saya sampai ke PCB (Pantai Cahaya Bulan). Walau bagaimanapun masa sekolah rendah dulu pernah juga sekali rasanya sampai ke PCB (Pantai Cinta Berahi). Rasa-rasanya PCB "tiada apa-apa" jika nak dibandingkan dengan Pantai Batu Buruk (PBB) yang akan menjadi singgahan wajib setiap kali kami balik Terengganu. Ini adalah terutamanya kerana PCB telah dipagari oleh batu-batu untuk mencegah ombak dari memakan pantai. Alahai mengapa nama dia 'batu buruk' ekk.... elok kena tukar nama tu...

Di PCB kami makan kat salah sebuah gerai yang menghidangkan makanan laut. Gerai berlantaikan pasir ini menyediakan pelbagai jenis masakan laut (termasuk juga dengan iringan ratusan ekor lalat) dan diserikan lagi dengan servis yang teramatlah lambatnya. Hinggakan anak2 dah naik boring menunggu, air dah habis, akhirnya dua orang dari mereka dah pergi pantai, main air dan bila naik semula masih juga belum disiapkan masakannya. Order 3 nasi goreng (entah apa-apa). 1 siap dan 2 lagi tu setengah jam selepas yang pertama habis makan (macam ni pun boleh idup ekk?).


Guano boleh jadi sesat?
Pergi ke White House tak?
Adib | 08.25.05 - 8:04 am | #

Sesat sebab sign-board kata go-head, tapi sebenarnya belok kanan.


mba, pi pcb make ude goreng tepung deh! alahai rindu plak kat kota bharu
zareda | Homepage | 08.25.05 - 11:58 am | #


Ya ya makan ike, ude, sotong goreng tepung......


lama tak pegi KB.. last sekali masa angah baby!! ada 20 tahun dulu kot..
zino | Homepage | 08.25.05 - 1:20 pm | #


wow dah 20 tahun.... MBA gi PCB masa sekolah rendah, skg dah lepas sekolah dewasa.

Thursday, August 25, 2005

NORMALA SHAMSUDDIN - PEREMPUAN MELAYU TERAKHIR ?



Seorang jejaka ditanya:
Mengapa engkau berkahwin dengan perempuan tua?

Jejaka tersebut menjawab:
Sekeping not RM50 yang lusuh dan sekeping not RM50 yang baru keluar dari kilang berbeza kah nilainya? Adakah engkau lebih gemar memiliki not RM1 yang baru berbanding dengan not RM50 yang lusuh?.

TAMAT.

SEPANJANG PERJALANAN II

IKUT KIRI


SEPANJANG perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, banyak yang menarik. Namun yang paling menarik ialah mengenai usaha kerajaan negeri untuk meletakkan notis kawasan memotong. Kawasan memotong 5km di hadapan. Kawasan memotong 300m di hadapan. Dengan adanya notis sedemikian, pemandu yang tidak sabar-sabar untuk memotong kenderaan di hadapan, dapatlah membuat perancangan bila dan di mana dia boleh memotong dengan selamat.

Rasa-rasanya notis sedemikian tidak ada di lain-lain negeri. Ya lah.... negeri-negeri lain semuanya sudah dilengkapi dengan lebuh raya yang memotong kenderaan di hadapan bukan lagi menjadi suatu isu.

Apabila tiba di kawasan 'boleh' memotong, suatu papan tanda lain pula dipamerkan Ikut Kiri Jika Tidak Memotong. Namun barangkali semua pemandu yang melalui jalan ini samada buta huruf atau memang tidak ada dalam kamus pemanduan mereka, sebab tidak diajar oleh sekolah memandu. Papan tanda tersebut dibaca dan diamalkan sebagai ikut kiri jika ingin memotong. Itulah hakikatya. Cubalah...

SEPANJANG PERJALANAN I

KITA MEMANG MASYARAKAT PENCURI?

TAJUK di atas tu nampaknya kasar sangat, harap ada pembaca yang boleh melembutkannya dengan ayat atau tajuk yang lebih menarik.

Semasa menghadiri bekwoh atau big work @ kerja besar atau kenduri kat kampung baru-baru ini, mba sengaja pergi hingga ke dapur. Saja sembang-sembang dengan tukang masak dan pekerja-pekerja dapur. Apa yang mereka bincangkan?. Bukan isu jerubu, bukan isu harga minyak, tapi ialah isu air. Rata-rata orang kampung kalau tinggal sekeluarga dalam 5-6 orang, purata bil air cuma RM10 sebulan. Jika tinggal seorang, atau tidak pakai langsung air, bil minima RM4 tetap akan dikenakan. Itulah yang telah ditetapkan oleh SATU (Syarikat Air Terengganu), yang mana GM dia, iaitu kawan Abedib dan kawan saya juga telah dapat Dato' baru-baru ini.

Tetapi jika dok basuh dua tiga buah kereta, dan tiap-tiap hari pulak basuhnya, sudah tentu bilnya akan meningkat. Jadi macamana nak mencuri air supaya boleh basuh kereta tanpa batas tapi tetap bayar RM10 sebulan. Itulah yang dibualkan. Itulah yang saya katakan sebagai masyarakat kita ni adalah pencuri. Dengan kreativiti yang ada, meter air diubahsuai atau dirosakkan supaya meter berjalan perlahan dan bil yang sepatutnya tidak ditunjukkan. Bukankah itu kerja pencuri?. Apa nak jadi dengan masyarakat kita?.

Saya tahu di negara lain I(UK misalnya), basuh kereta dengan menggunakan hose tidak dibenarkan dan merupakan suatu kesalahan. Jika setakat simbah-simbah kereta menggunakan air dari baldi tu OK lah. Jika nak basuk kereta, pergilah ke tempat basuh kereta.

Saya juga tahu bahawa masyarakat negara matahari terbit (mungkin bukan semua) beranggapan dalam minda mereka bahawasanya masyarakat dari Taiwan ke selatan (termasuklah negara kita) adalah dikategorikan sebagai "pencuri". Sekurang-kurangnya pencuri masa.

wallahualam.

Wednesday, August 24, 2005

KE MANA MENGHILANG?

Sabtu (20 Ogos): Memandu dari KL ke Trg

Ahad (21 Ogos): Bawa famili bekwoh

Isnin (22 Ogos): Dari KT ke KB
-Banyak cerita sepanjang perjalanan
-Check-in di hotel New Pacific
-Round2 cari JPP
-Bertemu saudara dari Perak di pasar Siti Khadijah

Selasa (23 Ogos): Bertugas di JPP
-tensen jugak
-serik juga
-menarik jugak
-Balik demam
-Bawa famili ke PCB
-Demam hingga ke pagi

Rabu (24 Ogos): Bertugas di JPP
-memandu pulang ke KL melalui Trg (613KM, termasuk sesat 11KM)
-ni jam 12pm baru sampai KL dan esok 8am. sambung semula kerja JPP tu di Putrajaya.

Friday, August 19, 2005

ADUH.. MAK SAKIT!!!!

SEMALAM ke hospital lagi untuk pemeriksaan rutin kesihatan setiap enam bulan. Terkandas dalam kesesakan lalulintas dalam 2 jam. Temujanji dalam kad ialah 11am, namun sampai ke hospital 11:30am. Ala... lewat setengah jam saja. Tapi, dapat bertemu doktor hanya beberapa minit sebelum pukul 2pm. Tapi sebenarnya jika sampai jam 10:30am pun belum tentu lagi dapat bertemu dr. pukul 12pm. Ia disahkan sendiri oleh doktor dalam sesi 'marah-marah' melepaskan geram.

BERJAM menunggu di luar, memang dah pasang 'usolli' nak bagi lecture kat doktor dah pasal lewat. Masa dia periksa tekanan darah harap-harap tekanan tinggi (ada ke gitu?), jadi bolehlah memulangkan paku buah tajam sebab tensen menunggu. Tapi bila doktor dengan senyum simpulnya memperkenalkan diri, menceritakan masalah dia, masalah kelewatan temujanji (rasa-rasanya misi dah beritahu ada patient nak mengamuk kat luar ni kot), so cool jugaklah.

Akhirnya doktor jadi tukang dengar saja bila pesakit menceritakan keadaan dan status kesihatannya. Doktor setuju semua dengan pelan yang telah dirancang untuk tempoh enam bulan lagi (sorrylah doc. itu pelan saja, nak laksanakannya entahlah, pelan-pelanlah kata orang). Doc, please jangan tambah dose ubat tu, kalau boleh cuba kurangkan, I know my mistake and I'll follow the right diet after this. Kalau doc rasa was-was, I sedia uji darah lagi sekali dalam masa terdekat.

Alkisahnya mengenai kandungan uric acid dalam darah saya menjangkau bacaan 559 walhal tahap maksima yang kritikal sepatutnya tidak melebihi 400. Apa puncanya? Setelah disiasat demi siasat oleh edisi sesat (karya Mat Jan), rupa-rupanya pengaruh iklan TV Quakers Oat is good for your heart adalah puncanya. Konon cerita, Quaker Oat ini bagus untuk jantung, bagus untuk mengawal tekanan darah namun..... apa yang tidak diiklankan ialah awas jika anda ada gout! Malahan pakar pemakanan juga tidak menyenaraikan Quaker Oat ini sebagai makanan pantang dalam senarai mereka.

Hmmmm..... saman kan!.

Jadi dalam diet seterusnya, oat ini mesti dihindari pula. Uric Acid 559, macamana nak buat???. Ada kawan kata hang amalkan minum RX Water saja, insyaallah sembuh. Apa kata anda? Apa kata EP?.

Thursday, August 18, 2005

PATAH SAYAP BERTONGKAT PARUH BERJALAN JUA



sayapku patah
destinasi seberang
berjalan jua

TERIMA satu mesej begini:

"you kena bertugas di Kota Bharu dari 23 hingga 24 haribulan ini dan 25 haribulan ada mesyuarat penting di Putrajaya yang mesti you hadiri. Sila uruskan".

Segera minta pembantu uruskan tiket penerbangan dan penginapan dan dapat jawapan ini:

"maaf tuan, semua penerbangan ke Kota Bharu telah penuh pada 22 hb, namun pada 21 hb. masih ada lagi. Walau bagaimanapun untuk penerbangan balik, memang tidak ada lagi pada 24hb. Jadi tuan tidak boleh hadir mesyuarat pada 25 hb pula. Satu perkara lagi, tarikh ini ialah cuti sekolah, semua hotel sudah penuh, kecuali satu hotel saja, tidaklah jauh sangat, cuma bilik junior suite ke atas sahaja yang masih ada, sewa minima ialah RM450 semalam. Itu sudah melebihi dari kelayakan tuan."

Alahai ..... Kota Bharu ni bukannya kampung halaman aku, sedarapun tak ada nak tompang bermalam. Nak tinggal kat mana ni? Nak pergi pulak macamana? Nak naik keretapi? Nak naik bas ekspres? Nak memandu sendiri? toing ... toing .... toing!!!

OK ..... sila confirmkan hotel tu, tak apalah, saya akan buat tuntutan mengikut kelayakan sahaja. Sila juga isikan borang kebenaran bertugas di luar pejabat dan saya akan memandu kereta sendiri dengan tuntutan tambang kapal terbang. Apa nak buat...

Wow!..... banyaknya RM sendiri yang terpaksa aku korbankan dari poket sendiri dan hangus begitu sahaja untuk tugas rasmi.

Insyaallah saya akan berada di Kota Bharu, Kelantan dari 22 - 24 Ogos ini.

Wednesday, August 17, 2005

KONGSI-KONGSI ILMU

BIASANYA seseorang pengerusi mesyuarat akan bersembang-sembang kosong terlebih dahulu sebagai pembuka kata dalam sesebuah mesyuarat. Ada kalanya sembang kosong tersebut mengambil hampir tiga suku daripada masa mesyuarat. Dalam sesi bercerita tersebut, walaupun nampak macam kosong, namun yang tidak pernah terlibat, tidak pernah sampai ke situ, tidak pernah melaluinya, tidak pernah merasainya sudah tentu merupakan suatu bahan yang amat menarik dan itulah inti pati dalam mesyuarat tersebut. Selepas sesi tersebut, minum dan kemudian barulah mesyuarat yang sebenar. Heh heh itu dulu.

Kini bos mba adalah bekas seorang profesor di sebuah IPTA. Dalam mesyuarat yang lepas, dia memberi sedikit tazkirah mengenai menyelia dan penyelia. Di sini ingin dikongsi sekali semoga mendapat menafaat bersama.

Pengurus mesti mengurus dan penyelia mesti menyelia. Apakah bezanya?.

Terdapat empat metafora dalam menyelia, iaitu:-

1. Military Metaphore
- Menyelia secara askar. memberi arahan dan mengawal. Ikut sahaja apa yang diperintahkan dan jangan tanya. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri. Contohnya dalam pasukan bola sepak dan sebuah orkestra. Setiap pemain telah diberikan tugas masing-masing dan mesti mematuhinya.

2. Machine Metaphore
Sifat mesin ialah ia buat kerja yang sama, kerja rutin. Dalam hal ini lama kelamaan mesin akan tidak tepat dan memerlukan servis dan fine tuning ataupun perekayasaan (reengineer) dari semasa ke semasa.

3. Organism metaphore
Organism ini macam ameba yang boeh berubah bentuk mengikut keadaan dan suasana. Orang juga berubah mengikut suasana,jadi penyeliaan juga perlu jadi macam ameba.

4. Brain Metaphore
Otak terdiri daripada rangkaian neuron yang kompleks. Organisasi pembelajaran, yang sentiasa ingin menambah pengetahuan untuk kebaikan dan kesesuaian organisasi.

Jadi mengurus perlu menggunakan empat metafora ini di mana yang perlu.


faham murid-murid?.
sekian terima kasih.

Tuesday, August 16, 2005

KUCING

PADA zaman kanak-kanak dulu, MBA memang ada beberapa ekor kucing. Ah tinggal di kampung, apa lagi hobi yang ada selain dari bela kucing, bela ayam (baka baik), ikan (laga), lastik burung dan mandi sungai @ sawah.

Bela kucing kat kampung tak susah. Beri makanpun tak susah, tak payah nak beli-beli makanan kat kedai (alahai, tuan dia pun makan ala kadar, masakan makanan kucing berbeli). Kucing juga tak perlu masuk sekolah, sekadar nak ajar dia ber**. Jika yang jenis ber** merata-rata tu, ia dinamakan kucing 'kurang ajar' (walaupun tak pergi sekolah). Jika kucing tu sakit (deman, selsema hatta patah kakipun) ia tak perlu dibawa ke klinik, kucing tu tahulah pergi cari ubat sendiri. Dia cari apa-apa daun untuk makan dan ubati diri sendiri. Masakan nak bawa kucing ke klinik, tuan kucingpun takut nak jumpa doktor.

Pendek kata, bela kucing kat kampung ni senang dan boleh diharap (untuk mencari & membunuh tikus di rumah). Tak banyak songel. Oleh kerana suasana kampung, tuan punya kucing tahu dengan kucing mana kucingnya berkawan, dengan kucing mana kucingnya 'berkendak'. Jika kucing ni buat perangai, tuan punya kucinglah yang kena sindir. 'Ala... perangai kucing ni sebijik macam tuan dia jugak'. Barang kali orang kampung menjaga anakpun lebih kurang sajalah dengan menjaga kucing. Tak banyak perkara yang perlu dibuat, anak-anak tahulah nak jaga diri sendiri.


Alahai, kucing ni orang buang agaknya. Mengiau-ngiau depan rumah. Oleh kerana kesian, kami campaklah seketul dua tulang ikan sisa-sisa yang ada. Lepas tu dari sehari ke sehari, dia makin gemuk, makin sihat. Tapi dia ni tahu nasib diri, dia tak pernah masuk rumah, setakat duduk di tepi pintu saja nanti tuan rumah balik untuk minta makan. Lama-lama sayang @ kesian pulak kat dia. Apatah lagi dia ni tak melepas merata-rata. Jadi kami belikanlah pulak Friekies, lepas tu Whiskas (ala.... kalau kucing Parsi atau kucing Siam tak pandang makanan macam ni). Punyalah pelahap dia ni makan...

Dah dapat makanan dalam kotak, dah lupa daratan. Dah tak mau makan tulang ikan, dah tak mau sentuh tulang @ isi ayam. Amboi.... Lepas tu kan.... dah mula nak masuk rumah pulak!


Ini dah lebih dah ni.... siap naik atas meja lagi. Bila kita marah dia buat sardin saja.

Itulah kucing namanya. Nasib baiklah aku ni ada perikebinatangan.

Monday, August 15, 2005

TELEFON PRABAYAR MESTI DAFTAR

KERAJAAN mengarahkan syarikat pengendali telefon mudah alih supaya mendaftar semua pemegang kad pra-bayar mereka.

Ia dilihat sebagai suatu usaha yang bagus untuk mengelakkan dari pelbagai gejala negatif penggunaan telefon bimbit.

Pada masa ini sesiapa sahaja boleh membeli telefon dan kad prabayar dan membuat panggilan atau menghantar SMS tanpa dapat dikesan atau dipastikan puncanya. Keadaan ini tidak berlaku di beberapa lain yang mensyaratkan telefon pra-bayar juga perlu didaftarkan. Sesetengah negara lain, malahan menghadkan satu orang hanya boleh mempunyai satu nombor telefon mudah-alih sahaja. Dengan ini nombor ini tak b oleh dipindah-pindah atau dipinjam/dipajak kepada orang lain.

Moga-moga pendaftaran ini akan berjaya dan mencapai matlamatnya.

Sunday, August 14, 2005

BERITA MENARIK SEPANJANG MINGGU

Lupakan Formula Kontrak Sosial - Keng Yaik

Presiden Gerakan menggesa parti-parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan.

Diri Saya Tidak Penting - Tengku Mahaleel

Proton sepatutnya menerima seutir pingat (pujian), berbanding kritikan-kritikan, yang ada juga datang daripada seorang menteri.

Proton telah memiliki Lotus, MV Agusta, Caviga dan Husqvarna

Fatimah jawab isu aksi mesra Aleya & Ashraf Indrani

Gambar bekas pengacara Malaysia Idol, Sharifah Aleya mencium teman lelakinya Ashraf (pemain gitar kumpulan Indrani) telah tersebar luas.

Ibu Aleya, Fatimah Abu Bakar kata ia adalah perkara remeh-temeh. (niat sebagai kawan, apa salahnya?).

masyaallah

Saturday, August 13, 2005

HP MOBILE MESSENGER "pembunuh" TREO?



HP iPAQ hw6710 dan hw6715 Mobile Messengers ada WiFi dan WinMo 5


Treo 650

Friday, August 12, 2005

DARURAT JEREBU

GARIS PANDUAN TINDAKAN DALAM MENGHADAPI DARURAT JEREBU

Apabila keadaan darurat jerebu diisytiharkan, Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Negeri hendaklah mengambil tindakan-tindakan seperti berikut:

(a) mengeluarkan perintah penutupan semua pejabat sama ada
Kerajaan ataupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang,ladang, pembinaan dan kuari. Larangan penutupan ini adalah dikuatkuasakan kecuali bagi

(i)kedai-kedai yang menjual barang-barang makanan dan minuman, pasar, pasar raya;
(ii) klinik, farmasi dan kedai-kedai ubat; dan
(iii)perkhidmatan-perkhidmatan perlu

(b)menentukan pemberhentian kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah;
(c)menasihatkan pengurangan penggunaan kenderaan persendirian;
(d)menentukan semua sekolah ditutup;
(e)menentukan penyebaran maklumat indeks pencemaran kepada pihak media cetak dan elektronik dibuat seberapa kerap;
(f)meminta pihak media menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berada di dalam rumah serta tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh mereka;
(g)Kementerian Penerangan hendaklah memastikan maklumat-maklumat di atas disiarkan secara berterusan;
(h)menentukan penguatkuasaan pengharaman pembakaran secara terbuka terus dikuatkuasakan; dan
(i)menentukan arahan darurat jerebu ini tidak melibatkan perisytiharan perintah berkurung (kecuali keadaan-keadaan tertentu di bawah mana-mana peruntukan undang-undang mewajarkannya).

Bahagian Keselamatan Negara
Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
11 Ogos 2005

Thursday, August 11, 2005

DARI CENDERASARI KE PUTRAJAYA (DCKP)

KELUAR dari hotel (lima bintang) tadi, jam 1 tengahari terus menuju ke Putrajaya. Bayangkanlah 1 tengahari, sepanjang jalan lebuhraya KL-Seremban lampu jalan terang terpasang, lampu kenderaan rancak menyala dan papan tanda elektronik memberi amaran "Awas, jarak penglihatan terhad, nyalakan lampu kenderaan & berhati-hati memandu".

Sepanjang perjalanan, dok terfikir (berangan) aku ni memandu kat KL-Seremban atau di M1 (Leeds-London)?

Malam ini, dari Putrajaya ke Kuala Lumpur, melalui MRR2 (Jalan Lingkaran Tengah 2), suasana hampir serupa, cuma lebih gelap sedikit dan bangunan/rumah/kedai kiri kanan turut dipasang lampu. Sedikit saja bezanya 8pm dengan 1pm.

Rasa-rasanya pada masa jerubu ini, demam denggi akan merebak. Sebabnya nyamuk aedes yang menyerang di waktu subuh dan maghrib sudah kebingungan. Dia sangka sepanjang hari adalah subuh dan maghrib, jadi itulah masanya depa akan menyerang manusia dan mendenggikan kita. Awas...

* Cenderasari ialah nama jalan sekitar Masjid Negara.
HOTEL

Dengar khabarnya pihak kerajaan telah (akan) mensyaratkan hanya hotel yang berdaftar dengan kementerian kewangan sahaja yang boleh berurusniaga dengan kerajaan. Syarat ini sudah lama dikuatkuasakan dalam sektor lain sebenarnya. Hanya sektor perhotelan sahaja yang tertinggal.

Sepatutnya kan, ranking hotel dengan bilangan bintang perlu disesuaikan dengan suasana Malaysia. Contohnya ... hotel 5 bintang macamana kalau jamban tak ada air, tak ada paip. Hanya ada tisu saja untuk salap? Ini bukan budaya Malaysia

posting dari luar jamban hotel yang tak ada paip.







Treo650 sebenarnya...

Wednesday, August 10, 2005

MINYAK NAIK - AIR TURUN

penat sudah kita berkayak
ais tidak juga cair
kereta orang makan minyak
kereta aku telan air


seminggu kena isi minyak dua kali
sekali isi seratus rial
Fuh kayo taukeh minyak
dan bertambah miskin ler pengisinya

Dua tiga hari ni, dah lah telah minyak,
airpun dia pelahab juga.
oh kereta.....

Harga minyak naik, sat lagi air pulak kena catu
Jerubu pulak melanda
ayo yo mana mau pigi aa?

[merapu ni sebab diri sendiripun tak sempat nak makan]

Tuesday, August 09, 2005

AP

SELAIN dari Ayah Pin, AP juga bermaksud Associate Proffesor. Namun yang paling hangat ialah yang bermaksud lebih kurang Approved Permit. Dalam bahasa Inggeris, Approve bermakna membenarkan, mengizinkan, meluluskan sementara permit pula bermakna membenarkan, mengizinkan, memperkenankan, surat kebenaran. Maknanya dalam bahasa Melayu AP bermakna surat kebenaran yang membenarkan (?).

Apa-apapun, pemegang AP boleh bawa masuk kereta dari luar negara ke dalam negara. Tanpa AP, kereta (walaupun kereta sendiri) tidak boleh dibawa masuk ke negara sendiri. Jadinya AP bermaksud lebih kurang macam permit importlah. Walau bagaimanapun bukan hanya kereta yang memerlukan AP, ada juga barangan lain yang memerlukan AP. Namun orang ramai lebih gemar dengar cerita AP kereta.

Surat khabar hari ini ada melaporkan yang seorang peniaga mendakwa dia kerugian RM10 juta kerana ada "loophole" dal;am sistem pemberian AP. Loophole yang dimaksudkan ialah apabila dia tidak lagi diberikan AP setelah syarikat atau konsortium yang dia sertainya telah runtuh semenjak 15 tahun yang lalu. Sebelum ini beliau terima 10 AP sebulan.

Berita ini agak pelik bunyinya. Adakah memberhentikan pemberian AP kepada syarikat yang telah tidak wujud/berpecah/ tidak menepati syarat itu suatu loophole?. Apa pula yang dimaksudkan dengan kerugian? Adakah tidak dapat untung (atas angin) dinamakan kerugian?. Rugi RM10 juta bermakna modal sebanyak RM10 juta telah dikeluarkan dan modal tersebut lesap, itu baru rugi namanya. Adakah jika dapat AP, maka boleh buat duit RM10 juta dan jika AP tidak diberikan dinamakan rugi RM10 juta?. Inilah ayat power orang berniaga. Jika bab untung, memang pantang datuk nenek nak sebut, oh saya dah untung RM10 juta sebab kerajaan berikan saya AP (padahal syarikat dah lama bungkus).

Hmmmm.... macam ni kalu, sampai bilapun orang lurus tak boleh berniaga ;-)

nota
Ada orang tanya: Jika dapat AP, bawa kereta tak kena cukai ke?
- Oh cukai tetap dikenakan.
Jika masih kena cukai, apa gunanya AP?
- Jika tanpa AP, kereta tak boleh dibawa masuk. Tersadai sajalah kat port, atau kena rampas.
Berapa harga AP ini?
- percuma
Soalan terakhir: mba dapat AP ke?
- mana-mana rakyat Malaysia memang layak dapat AP jika memenuhi syarat. Setakat nak pakai sendiri dan bukan untuk niaga (jika nak niaga tu, syarat lainlah pula).

Sunday, August 07, 2005

INDUSTRI KECIL - ARUS PERDANA


Yasmin Ahmad, pengarah filem sepet yang memenangi pelbagai anugerah Pengeluar Filem Malaysia (PFM18) telahpun keluar dari industri arus perdana pembikin filem untuk bersama-sama dengan rakan-rakannya yang membuat filem independent.

Setelah sepet menang besar dalam PFM, pelbagai tomahan dan kritikan dilontarkan terhadap filem tersebut, hinggakan pengarahnya terasakan bagai hilang harga diri. Pengkritik mehukan filem Puteri Gunung Ledang (PGL) yang menang sebab filem ini dibuat menggunakan berjuta ringgit berbanding dengan filem sepet yang terlalu murah kos pembikinannya. Eh.. eh ini pertandingan filem terbaik, bukan filem dengan kos termahal ataupun filem yang paling banyak mendapat pungutan di panggung.


Jika kita nak buat perumpamaan, pembuat filem independent seperti Yasmin, Yu Hang, James Lee, Osman Ali, Amir dan lain-lain ini bagaikan bloggers berbanding dengan penerbit besar seperti DBP dan yang setaraf dengannya. Namun kelainannya pula ialah, pembuat filem independent dan pembuat filem arus perdana kedua-duanya mahu menayangkan filem mereka di pawagam, sedangkan penulis weblog atau bloggers tidak mengharapkan pembaca membayar untuk menikmati karya mereka berbanding dengan penulis arus perdana dan juga penerbit.

Apa-apapun kepulangan Yasmin itu adalah bagaikan "belut pulang ke lumpur" dan "sireh pulang ke gagang", "pipit sama pipit, enggang sama enggang".

Saturday, August 06, 2005

SELIPAR JEPUN

SEMALAM pergi sembahyang Jumaat di surau di Precint 16. Jika tak silap surau Al-Rahman kot namanya. Seperti biasa, ke mesjid atau surau hanyalah dengan selipar jepun. Selipar ni baru dua kali sampai ke surau tersebut. Sebelum ini solat Jumaat di masjid ******* dan memang peraturan ofis kat situ haramkan penggunaan selipar (tak kisahlah jepun atau korea). Sesiapa yang pakai kopiah dan terlupa (atau sengaja) nak tanggalkan semasa masuk ke perkarangan ofispun dipandang si***.

Jika boleh pergi masjid berkot dan bertie barulah canggih (jangan lupa kenakan nametag, supaya malaikat senang amik nama, he he he).

Al-kisah pasal selipar jepun ni, kat negara Jepun rasanya orang tak kenal jika kita cari selipar jepun atau nama yang sepadan dengan bahasanya. Selipar jepun di negara jepun ialah yang ini:

Sama jugalah dengan mee bandung tak boleh ditemui di Bandung, rojak singapura tak ada kat Singapura.

Ak-kisahnya, selipar jepun yang sengket macam tyu boleh hilang di surau @ masjid. Hilang sebab ia dicuri!!, bukan dipinjam guna dan tersalah letak. Memang ada makhluk yang berkenan kat selipar jepun tu dan dengan selambanya sauk bawak pergi. Jika makhluk itu ialah manusia, entah manusia jenis apa tak tahulah. Tiga empat kali tawaf surau nak cari selipar, memang sah tidak ada, memang sah kena curi dan bukan bertukar, sebabnya memang tak ada satupun yang boleh "dipinjam" sementara.

Jika andalah, apa nak buat?
A - Balik jalan kaki ayam
B - Ambil je le mana2 selipar yang ada
C - Selipar hilang, sapu ler kasut
D - Sembahyang hajat supaya kaki orang tu patah riuk
E - Doakan supaya makhluk itu aman sejahtera
F - Berniat untuk berjumpa makhluk tersebut di akhirat nanti.

hai... pening... pening memikirkan makhluk Islam kat Malaysia ni. Jika orang kafir kat Jepun tu, nescaya tudung botol tercicirpun akan dikembalikan.

BOW-TIE


ENTRI ini saya tulis seba terbaca satu rencana dalam Berita Harian bertajuk "Kadir tak tahu mengapa suka bow-tie". Eh eh Kalau tak tahu mengapa suka, mengapa pakai?. Kalau tak tahu usul-asal mengapa guna?. Entahlah labu.


Bow-tie ini macam ada saka penggunaannya dalam negara kita ini. Mula-mula sekali saya ingat ia dipakai oleh Sharum Yop, bekas ketua pengarah Muzium negara. Lepas Shahrum bersara, ia diwarisi oleh Phamin Rajab pula, iaitu Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (lepas itu KSU KPDNHEP dan kini pengerusi AirAsia). Kini ia diwarisi oleh tidak lain tak bukan dari Kadir Sheikh Fadhil, Menteri Penerangan.

Kalau orang lain pakai tie dan dia pakai tie-bow, sudah tentulah ada kelainannya. Mungkinkah orang yang memakainya ingin mencari kelainan?. Kadir kata dia tak tahu mengapa, cuma suka saja.

Orang kampung saya kata pakai tie-bow tu haram, sebab bentuk dia macam palang Kristian, sedangkan kalau pakai tie biasa, dibolehkan sebab bentuk dia macam huruf Alif, yang melambangkan Allah. Macam-macamlah orang kampung ni, mungkin akibat kempen dan ceramah politik agaknya. Apa-apapun pendapat dan pegangan begini memang mempunyai value dalam dunia politik. Jika tak percaya, bawalah sipemakai bow-tie bertanding kat tempat saya, rasa-rasanya hilang wang pertaruhan saja....

Wednesday, August 03, 2005

SABDU DALAM SLANGGA

SEMASA di menengah rendah dalam tahun tujuh puluhan dulu, guru kami berasal dari negeri Hang Tuah. Beliau selalu sahaja 'terpegun' dengan bahasa atau slangga yang kami gunakan. Salah satu daripadanya ialah penggunaan sabdu. Misalnya jika mana-mana perkataan ada huruf "S" di tengah-tengahnya, maka perkataan tersebut akan disebut secara ringkas dan "s" disabdukan. Kami selalulah kena perli dengan ayat begini:-

gi ssejik bulang ssepu, makang ssekut pat ssegi Ini memberi makna "Pergi ke mesjid di bulan Nisfun (Syaaban), makan (dijamu dengan) biskut empat persegi".

Bila selalu sangat ayat tersebut dimainkan, kami mengadu kepada cikgu lain, orang tempatan. Cikgu tersebut hasut kami supaya dibalas dengan ayat ini:

ulau besau dalam seluau dok berlengkau atas pagau "ular besar dalam seluar duduk berlengkar atas pagar"

Itulah ayat yang kami berbalas-balas "jual dan beli" di zaman dahulu.

terkenang...

Tuesday, August 02, 2005

AL-FATIHAH


Raja Fahd:

dari Allah dia datang
kepada Allah dia pergi
kita juga bakal menyusuri
hitung-hitungkan hari

PERMUDAHKAN KEHIDUPAN

AKU benar-benar ingin mudahkan kehidupanku. Aku perlu ...

1. Aku perlu boleh berkata "TIDAK"
2. Simpan/guna hanya satu kad kredit
3. Kosongkan almari
4. Sentiasa bercakap benar
5. Simpan stok geroseri yang selalu diguna
6. Ambil time-off untuk perbaharui tenaga dan kreativiti
7. Buat pemeriksaan kesihatan & gigi berkala
8. Isi minyak bila ia separuh penuh
9. Beli "baju raya" sepanjang tahun (jangan tunggu musim raya atau bonus)
10.Pilihan pokok bunga (jika minat) yang tidak perlu penjagaan rapi
11.Simpan semula barangan di mana anda mendapatkannya
12.Guna hanya satu kalendar atau planner
13.Lihat dan belajar dari pakar
14.Tidur secukupnya
15.Kenalpasti masa paling produktif anda dalam sehari, gunakannya semaksima mungkin
16.Tetapkan rutin harian anda
17.Beli makanan luar jika sibuk (untuk memasak)
18.Turunkan kuasa, wakilkan tugas & tanggungjawab anda

Oops... banyak lagi dari booklet simply mylife

Monday, August 01, 2005

ROS



Ini bukan pokok bunga ros, tapi Ros yang berikan pokok ini untuk dipelihara di Putrajaya. Jika Ros tengok gambar ni, tentu dia tak percaya, pokok kering dia dulu dah berubah wajah...