Labels

Sunday, April 10, 2016

JABATAN KERJA RAJIN (JKR)


SEDARI kecil lagi, JKR sentiasa di dalam minda saya. Apa tidaknya, lboleh dikatakan setiap hari saya melihat lori JKR. Saya bertanya ayah "JKR itu apa?". Ayah menjawab "Jabatan Kerja Raya.  Saya bertanya lagi "jabatan itu apa?. Mana ada jabatan, jika jambatan adalah, mungkin salah eja?". Tambahan pula, lori-lori JKR ini sedang buat jambatan di kampung saya. Maka saya yakin ayah salah dan JKR itu ertinya Jambatan Kerja Raya bagi saya.

Tanpa disangka, JKR adalah merupakan tempat kerja saya yang pertama secara rasminya. Saya katakan yang rasmi kerana sebelum itu saya ditempatkan di Jabatan Telekom Malaysia, secara sangkut.

Di JKR, bos besar saya, ia itu Jurutera Penguasa ialah Ir. Cheng Ming. Beliau sangat rajin bekerja. Beliau juga seorang yang tegas, jujur dan berhemah pada pandangan saya. Beliau tinggal di Petaling Jaya. Sekiranya ada kerja luar di Kelang atau Shah Alam, beliau akan datang ke pejabat, di Jalan Mahameru (sekarang Jalan Sultan Salahuddin) terlebih dahulu sebelum ke Shah Alam atau Kelang. Logik perbuatan beliau ialah, dia buat tuntutan perbatuan dari pejabat, bukan dari rumah. Walaupun rumahnya lebih dekat, beliau tetap datang ke pejabat terlebih dahulu. Lama-lama kelamaan peraturan ini dimansuhkan. Tuntutan boleh dibuat mengikut lokasi yang terdekat.