Friday, October 17, 2003
LAGU ITU LAGU SENDU... mba (JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 5)
LAGU ITU LAGU SENDU...
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 6)
Esok adalah hari yang paling bermakna bagiku. Tepat jam 12 malam ini, genaplah usiaku setengah abad. Syukur kepada Tuhan kerana memanjangkan usiaku dengan penuh kesejahteraan dan sihat walalafiat. Sesungguhnya aku terlalu jarang diserang sakit, selain daripada migren yang sekali-sekala menyerang. Rindu juga aku untuk bertemu doktor Daud yang menjadi doktor famili kami semenjak sekian lama. Bukan untuk mengambil ubat, tapi peluang bagiku berbual dan bertukar fikiran dengannya menganai PDA kami.
Aku terpacak di depan notebook ini menanti detik 12 malam bagaikan anak kecil menunggu kepulangan ibunya. Kejab-kejab menoleh ke sana, kejab lagi ke sini. Mungkin dia akan menyapa dan mengucapkan “selamat ulang tahun kelahiran yang ke ..” buatku. Bagiku biarlah dia orang yang pertama mengucapkannya. Namun penantian aku pada tahun ini adalah sama sahaja dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Mungkin aku ini tidak ikhlas. Setiap kali aku memberikan hadiah pada ulangtahun kelahirannya, aku berharap dalam hati agar mendapat balasan sewajarnya pada hari kelahiranku pula. Namun hari yang bersejarah bagi hidupku ini tidak pernah diingati oleh keluarga sendiri. Oh… inilah balasannya sumbangan aku yang tidak ikhlas itu.
Sejam telah berlalu aku menyambut usia ke-50 dengan meriah sekali dengan segenap rakan-rakanku dari seluruh dunia. Ya, pada saat ini semua rakan-rakanku turut hadir secara maya untuk menyambut ulangtahun kelahiranku. Ingatan mengimbau ke Okinawa 10 tahun lalu, di mana sambutan secara besar-besaran diadakan untukku sempena ulangtahun kelahiranku yang pertama. Ya pertama! Kerana kata orang hidup lelaki bermula di usia empat puluh. Sebagai class leader, aku diraikan semahunya oleh semua ahli dan juga sensei. Namun aku bataskan supaya parti itu hanya dalam kelas sahaja dan tidak terbawa-bawa ke bilik hostel, shukudo atau club di sebelah malam nanti. Lebih baik berhati-hati sebelum terlanjur. Maklumlah di negara metahari terbit ini tiada pantang larangnya.
Di depan notebook ini, ucapan selamat ulangtahun kelahiran dan salam rindu bertalu-talu datangnya dari Lidia dari Chile, Adrian dari Argentina dan Jose dari Peru. Mereka sedang rehat makan tengahari di pejabat masing-masing rupa-rupanya. Si Yamamoto dari Tokyo, Julio dari Manila, Fang dari Beijing dan Opan dari Jakarta juga tidak ketinggalan. Seperti biasa aku jangka esok atau lusa sampailah kad ucapan dari Iqbal dari Pakistan dan Masele dari Tunisia yang masih tidak mempunyai hubungan Internet. Rakan-rakan dari Malaysia pula bertalu-talu mengucapkan selamat melalui SMS. Meriah juga begini dan masih ramai juga insan yang mengingati tarikh keramat ini, kecuali dari keluarga sendiri. Mungkin mereka sengaja ingin mendera aku begini. Alhamdulillah. Namun di tahun hadapan sekiranya masih ada umur, akan kuhadiahkan lagi sesuatu pada hari kelahirannya. Mungkin kali ini, apa yang kuharapkan hanyalah dia tidak lupa untuk menghadiahkan aku al-Fatihah setelah aku tiada lagi di dunia ini. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku selalu mengingati mati.
Besok pagi-pagi selepas subuh, akau akan terus memecut ke Melaka untuk proses temuduga pengambilan jawatan pegawai sistem maklumat. Kerja ini walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan, namun ia membawa banyak faedahnya untuk perkembangan kerjaya skim ini. Walau bagaimanapun kata putus pengambilan adalah tertakluk kepada pengerusi yang merupakan ahli SPA. Untung juga tidak ke pejabat pada hari keramat ini, jika tidak sudah tentu pelbagai usikan yang menikam kalbu datang bertalu-talu dari anak buah di pejabat.
Entah berapa kali lagi aku berpeluang mendengar dan mendendangkan lagu sendu ini…..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment