Labels

Monday, June 30, 2008

MENGAPA KURANG KOMEN DI BLOG SAYA?

SETELAH kita (penat-penat) menulis dan tidak ada seorangpun yang komen. Apa pendapat anda?. Adakah anda rasakan tulisan anda tidak dibaca?. Dibaca tetapi tidak layak dikomen?. Terlalu perfect sehingga tidak boleh dikomen?(eh..eh... boleh dipuji apa!) atau mengapa?.

Survey mengatakan bahawa:-
1. Cuma 1 bagi setiap 100 pembaca yang ingin berinteraksi dengan penulis dengan meninggalkan komen.

2. 90% daripada pengguna dalam talian adalah pemerhati (baca tetapi tidak menyumbang apa-apa). Cuma 9% yang sumbang (komen) sedikit-sedikit sekali sekala. Hanya 1% sahaja yang aktif menyumbang.

Oleh itu jika ada ada 100 pembaca, terdapat 1 komen memang sudah memadai.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kaedah dan pendekatan supaya penulis boileh mendapat komen yang lebih:-

1. Jemput komen
Suasana politik tanah air kita yang tercinta ini sudah bercelaru. Macam-macam ada. Apa nak jadi?.

Apa pendapat anda?. Sila tinggalkan komen anda.

2. Tanya Soalan

Emak mertua saya suka makan ikan terubuk gulai tempoyak. Di manakah restoran terbaik yang menyediakan masakan ini?. Terima kasih atas cadangan anda.

3. Tiada Penutup

ABI telah dituduh meliwat seorang pesara warga emas berusia 65 tahun. Pesara tersebut telah membuat laporan polis. Polis telah membuat serbuan ke sebuah rumah setinggan tiga tingkat tempat berlakunya perkara terkutuk tersebut

bersambung.


4. Membalas komen yng ditinggalkan
Jangan biarkan komen pembaca tidak dibalas.

5. Polisi Komen dan Pengomen

Dulu sesiapa sahaja boleh komen tentang apa sahaja. Kemudian saya sekat anonymous daripada menulis komen. Aduss... jumlah komen dan pengomen jatuh mendadak. Namun polisi ini ada baiknya.

6. Merendah Diri
Biasanya komen banyak diterima apabila kita banyakj bercerita perihal kelemahan kita. Kekecewaan kita. Kesalahan kita. Pembaca bersimpati dan cuba membantu dengan memberi komen.

7. Memikat
Jika ada kesilapan ejaan dalam entri kita. Jika ada komen mengenainya. Jangan 'belasah' balik. Ucap terima kasih. Beri penghargaan. Begitu juga dengan fakta yang dibetulkan dan yang seumpama dengannya.

8. Kontraversi

Saya pernah mendapat 508 pengunjung dalam sehari. Itulah yang paling tinggi. Selain daripada itu, adalah sekitar 100 orang sahaja. Sesekali jika ada isu panas, ia mencapai 300 orang. 508 pengunjung tersebut adalah kerana entri saya yang dikatakan 'memperlekehkan' blogger lain dan persatuan mereka. Hmmmmm.... [you know who].

Baguskan kontroiversi!.

9. Hadiah

Beri hadiah atau penghargaan kepada komen atau pengomen terbaik

10. Permudahkan

Permudahkan urusan komen. Jangan berliku-liku dengan passwordlah, aitulah, inilah.
Senangkan pengomen.




[Agak-agaknyalah ...... ada ke yang akan komen nanti?]

Sunday, June 29, 2008

TETAMU & TUAN RUMAH - TERIMA KASIH


tetamu lebih suka makan di luar ...





SEBENARNYA tidak mudah untuk kita mengotakan janji. Umpamanya ada jemputan menghadiri kenduri. Pada asalnya kita sanggup pergi. Kita berazam untuk pergi. Bukan setakat insyaallah sahaja.

Namun apabila tiba harinya, pelbagai rintangan yang datang. KAdangkala anak sakit, pasangan tidak sihat, diri sendiri demam. Kereta meragam. Ada tetamu datang. Macam-macam.

LAntaran itu tuan rumah patut sangat mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamunya yang datang. Yang tidak datang memang telah ditakdirkan untuk tidak dapat datang.


kita tayangkan pendakian Fujiyama 2007 kepada mereka


Terima kaish kepada semua tetamu yg hadir.

Saturday, June 28, 2008

ESOK BAGAIKAN HARI RAYA



SELAMAT menjalani latihan terakhir ESOK, kepada semua delegasi mendaki Gunung Fuji.
Mereka akan bertolak ke Jepun 13 Julai ini.
Esok mereka akan membuat latihan akhir di sekitar rumah saya dan selepas itu minum pagi di teratak No.9.

Selamat datang
selamat berlatih
selamat menuju puncak.

AWAL BERMULA

28.6.2008: SEPUCUK mel ditujukan kepada Editor:-

Assalamualaikum Tuan;

Terima kasih kerana memberikan tip-tip yang sangat berfaedah semasa bengkel petang tadi.

Saya bercadang untuk menulis sebuah buku dengan tajuk "Buat Duit Dengan Handphone" atau yang seerti dengannya.

Kandungan buku ini bukannya menjadi agen top-up kad pra-bayar ataupun pengiklanan SMS.

Saya akan ajar dan tunjukkan bagaimana setiap pemilik handphone boleh menulis novel menggunakan handphone. Kemudian boleh memilih samada untuk menerbitkannya sendiri dan seterusnya memasarkannya sendiri. Pilihan lain ialah dengan menyerahkan novel-phone ini kepada penerbit.

Membaca novel atau e-buku menggunakan handphone bukanlah perkara yang terlalu asing di Malaysia. Namun menulis novel menggunbakan handphone mungkin memerlukan teknik atau rahsia yang perlu diketahui umum. Saya telah mencuba kaedah ini dan dalam masa sejam semasa menunggu keretapi, dalam keretapi dan di setsen keretapi, saya berjaya menulis 3 bab catatan peribadi.

Menulis novel menggunakan handphone sangat popular di Jepun. Novel-phone (novel yg ditulis menggunakan handphone), samada dalam edisi cetakan ataupun e-buku sangat laris di Jepun. Kisah-kisah benar ini boleh dikongsi dengan pembaca.

Sekian, serba sedikit mengenai proposal buku siri buat duit daripada saya.
Terima kasih.
---
MBA


Jawapan yang agak positif diterima 30.6.2008

Assalamualaikum Tuan,

Semoga sentiasa sehat dan dilindungi Allah sentiasa.

Terima Kasih diatas cadangan yang begitu bernas dan baik. Saya berpendapat pihak tuan boleh meneruskan penulisan ini dengan menyediakan proposal dgn menerangkan keberkesanan aktiviti ini.

Akan tetapi mungkin tajuknya boleh ditukar untuk mengelakkan kekiliruan. Mohon untuk kita sama-sama mencari idea, bagi menggantikan tajuk yang dicadangkan.

Sekian, Wassalam

---
Aizat

Wednesday, June 25, 2008

06
Tren ke Seremban akan tiba dalam masa 25 minit.
Sedangkan kekerapan tren ialah setiap 20 minit. Ia terlewat 20+25 iaitu 45 minit

KLSentral

Tuesday, June 24, 2008

05
7.45am tiba di stesen KL Sentral. Sangkaku semua penumpang turun. Rupanya masih ramai yg meneruskan perjalanan ke Rawang. Mungkin juga ke Nilai untuk ke KLIA atau terminal tambang murah LCC.

Barabut (beratur dan berebut - istilah yg tercipta sendiri) di kaunter keluar. Sebagai pemegang tiket, aku cuma mengikut arus. Apabila terpandang kaunter, ternyata ia utk touch & go. kulihat penumpang lain semuanya memegang touch & go. Panik. Ingin tukar barisan?. Teruskan.

Nasib baik mesin tersebut ingin menerima tiketku. Ditelannya tiket tanpa sebarang ucapan. Pintu lambat dilepaskan. Panik juga.

Macam2 ragam manusia di KL Sentral.

Aku menuju 7-11 dan membeli sanwis serta air mineral untuk sarapan.

KL Sentral
04
Tiba di stesen Seputeh. Tren berhenti. Pintu dibuka. Tidak ada seorangpun yg menunggu di sini. Pintu ditutup. Tren bergerak.

Tiba-tiba ...
Aku lihat lelaki India tadi berjalan menuju jejantas. Aku menoleh ke tempat duduk tren. Masyaallah. Dia masih di situ. Duduk.

Aku? Masih di sini. Tren telah melewati stesen Mid Valley.
03
Bandat Tasik Selatan 7.25am. Penumpang yang turun dan yg naik di sini sama ramainya. Peluang untuk duduk memang ada. Tunjuk macho.

Mungkin ada yg bertanya 'mengapa malu utk baca buku di stesen?, Oh ... sebabnya aku bawa novel kanak2 'sahabat kole kacang'. Takut nanti apa pula kata orang.

Berdiri di sebelah aku tadi ialah seorang lelaki India. Setiap hari dia berjalan kaki melintasi rumahku ke stesen komuter. Dia bekerja di KL rupanya. Tidak pula aku tanya namanya, mahupun melemparkan senyuman padanya. Ah itulah aku. Pemalu.

Tren melintasi stesen Salak Selatan.
7.11am. Dalam tren ke KL Sentral
wah bahagianya. Tidak ramai yg berdiri dalam tren. Bahagia yg amat. Stesen berikutnya ialah Serdang. Semalam tidak muat. Hari ini barangkali serupa juga.

aku memang tidak mengharap utk duduk. Dapat menulis ini suatu keistimewaan. Amat istimewa.

Serdang. Tren penuh, namun masih ada lagi ruang untuk meletak kaki. Biasanya tiba di Salak Selatan ramai yg akan keluar masuk akibat pertukaran dengan ERL. Tunggu & lihat.
24 jun. 6.55am. Stesen keretapi kajang
orang belum ramai. Jadual tren 7.01am. Ah itupun jika ikut jadual. Rata-rata manusia termenung. Melayan perasaan. Seorang dua membelek akhbar pagi. Seorang gadis membaca novel cinta. Dua tiga teruna mendengar lagu dari walkman atau ipod atau handphone.

Aku juga ingin membaca, namun malu untuk keluarkan buku. Ramai lagi yg kukira ingin membaca, namun malu. Malu takut dikata mengada-ada. Malu sebab bukan budaya kita. Ah inilah waktunya perlu baca M-Book. M-Book atau e-book atau yg setaraf dengannya.

Aku menulis catatan ini sambil berdiri menunggu.

Monday, June 23, 2008

KTM OH KTM


HARI ini saya keluar dari rumah seperti biasa. NAmun tidak ke pejabat, tetapi singgah di Stesen Komuter KTM. Dari situ menaiki komuter ke KL Sentral. Dari KL Sentral menaiki Monorel ke Medan Tunku. Perjalanan balikpun begitu juga. Esok juga begitu. Lusa juga begitu. Insyaallah.

Mengapa?: Protest sebab harga minyak mahal ;-)

Manusia memanglah terlalu ramai yang ingin dan mencuba (tidak pasti berjaya ataupun tidak) untuk menaiki (berebut-rebut-rebut) komuter. Memang tidak muat. Macamana KTM boleh tidak untung?. Mengapa KTM masih tidak cekap?. Mengapa ya?.

Berikut adalah pemerhatian saya:

1. Di stesen, tidak adapun petugas KTM yang memberi panduan kepada penumpang. Penumpang main belasah sahajalah untuk berebut untuk meloloskan diri masing-masing.

2. Pemandu keretapi tidakpun keluar daripada tempat duduknya (macam keretapi di Jepun). Belum lagi habis penumpang masuk, pemandu akan bunyikan hon untuk menutup pintu dan membuat pengumuman. "Pintu akan ditutup sekarang. Sesiapa yang tidak dapat masuk sila naik tren lain". Bunyi pengumuman ini sombong sungguh (jahatnya saya). Seolah-olah padan muka engkau semua penumpang yang bodoh, lantak engkaulah. Aku peduli apa. Sebenarnya jika pemandu itu turun, memeriksa gerabak (lebih baik lagi jika ada petugas di setiap stesen), meminta dengan hormat supaya penumbang beratur, penuhkan ruang kosong dalam gerabak, sudah tentu semua penumpang boleh diterima masuk dan duit tambang itulah yang digunakan untuk bayar gaji drebar itu. Bukan begitu?

3. Diperhatikan kedudukan kerusi dalam tren KTM ini lintang pukang. Ada yang membujur, ada yang melintang. Susun atur begini memakan ruang yang banyak. Akibatnya tidak ramai yang boleh masuk. Tidak ramai yang boleh berdiri. Jika KTM lebih kreatif, pada masa puncak (pergi kerja, balik kerja) sebaiknya KTM boleh gunakan gerabak kosong. Ia itu tanpa kerusi. Cuma sediakan tempat pemegang sahaja. Lebih ramai penumpang boleh masuk (tidak beratpun, sebab kerusi sudah tidak ada). Semua berdiri. Lebih untung.

4. Malaysia ada empat (4) perkhidmatan keretapi, ia iatu ERL, monorel, LRT dan KTM-Komuter, selain daripada tren antara bandar. Tiga yang pertama biasanya tidak mempunyai masalah kelewatan ataupun tidak menepati jadual. Maknanya Malaysia Memang Boleh!. Mengapa perkhidmatan keretapi KTM tidak boleh mengikut jadual?. Mengapa lambat?. Mengapa tidak mahu berubah?. Jem?. Ha ha ha, jika KTM diberi peluang bawa bas ekspress agaknya, apalah yang akan berlaku?

KTM oh KTM ...

Saturday, June 21, 2008

LAGU MEROSAKKAN BAHASA DAN MINDA

SEMASA berkereta, saya terdengar juruhebah radio mempopularkan lagu "Kenapa Singgah Jika Tak Masuk" (KSJTM). Ungkapan tersebut telah menjadi satu 'trademark' yang tersendiri di kalangan peminat dan pendengar stesen radio tersebut.

Salah satu daripada lirik lagu ini ialah Tapi sejak dua menjak kini. Ungkapan ini telah menjadi sebutan hikmat, hafalan dan katakunci bagi pendengar di stesen radio termasuklah kanak-kanak. Apa yang jelas ialah ungkapan ini telah merosakkan minda kanak-kanak khususnya, kerana penggunaan bahasa yang rosak.

Penulis lirik ini nampaknya memang ingin membuat kreativiti dan memandai-mandai dengan perkara yang tidak betul, tidak wujud dan salah lagi merosakkan.

Sejak bermaksud bermula dari, mulai dari atau dari.

Semenjak adalah kata terbitak daripada sejak.
Menjak memang tidak wujud langsung dalam kamus Bahasa Melayu.

Dua Menjak adalah kata-rekaan daripada penulis lirik yang telah merosakkan minda makhluk yang mendengar lagu ini, khususnya kanak-kanak. Saya rasa 'dua menjak' ini adalah kata terbitan hasil kreativiti penulis lirik yang cuba ingin merosakkan bahasa yang diambil daripada 'semenjak'. Mungkin beliau ada belajar di mana-mana sekolah, bahawa 'se' adalah 'satu' dan 'semenjak' bermakna satu menjak. Oleh itu beliau rosakkanlah bahasa kita yang tercinta ini dengan ungkapan 'dua menjak'

Jika anda mempunyai anak di sekolah rendah, cubalah tanya mereka mengenai "dua menja". Pasti minda mereka yang telah dirosakkan akan percaya ia adalah bahasa Melayu.

Mengapa RTM, DBP mahupun penduduk Malaysia boleh berkompromi dengan pencemar, perosak dan pengkhianat bahasa?.



Jarang sekali terdengar bunyi
Ketukan di pintu hatiku ini
Kalau ada pun bila ku buka
Tiada siapa yang berada di luar

Tapi sejak dua menjak kini
Ku merasakan bagai ada tetamu
Tanpa dijemput sudi menjenguk
Pada waktu sepi menemaniku

chorus
Tidak mungkin tiada di sini
Kerna tiada siapa pernah kisah
Akan aku tertanya ku siapa kamu
Kenapa singgah kalau tak masuk
Ke dalam hatiku

Jarang sekali ku rasa rindu
Menantikan waktu untuk bertemu
Bisakah bersua walau seminit
Agar lahir peluang berterima kasih

chorus

Jarang sekali ku sebegini
Mengharapkan hati untuk diselami
Jangan biar fikiranku buntu
Memikirkan mimpi dalam jagaku

Wednesday, June 18, 2008

ANGGUR



Di laman rumah saya ada sepohon epal
Abah saya tanam pokok epal ini semasa kami pindah rumah
Pokok epal ini datangnya dari negara Mexico
Abah kata negara Mexico berada di Amerika Selatan
Saya tidak tahu jauh mana

Di laman rumah saya ada sepohon anggur
Abah kata umur pokok anggur ini ialah sepuluh tahun
Tetapi umur saya ialah lapan tahun
Semasa saya pindah rumah ini, pokok anggur belum ada
Saya pindah dulu, lepas itu pokok anggur pindah
Saya tidak faham
Mungkin pokok anggur itu tinggal di rumah orang lain sebelum pindah ke rumah kami

Pokok epal dan pokok anggur belum berbuah
Jika sudah berbuah saya mahu jemput kawan-kawan saya datang ke rumah
Tetapi abah kata, emak dan abah kawan-kawan saya mesti beli buah anggur di pasaraya dan bawa makan sama-sama di bawah pokok anggur kami

saya tidak faham.


Friday, June 13, 2008

GAJI 2X SEBULAN + KERJA LUAR

KERAJAAN telah mengumumkan bahawa kakitangan awam akan dibayar gaji dua kali sebulan. Apakah faedahnya bayaran gaji yang sama banyaknya dibayar dalam dua ansuran?.

1. Jika dahulu kakitangan awam ikat perut di hujung bulan, kini kena ikat perut 2X sebulan
2. Jika dulu sales dibuat penghujung bulan, kini ada sales tengah bulan dan hujung bulan
3. Jika dulu orang makan gaji tidak pernah dapat pegang duit besar, kini mereka tidak akan pernah dapat tengok duit lagi
4. Kerja ceti akan bertambah susah, terpaksa kejar 2X sebulan. Bunga mesti naik 2X ganda juga
5. Bayar sewa rumah perlu 2X sebulan juga?
6. Bayaran ansuran kereta 2X sebulan juga
7. Bil kad kredit perlu dihantar 2X sebulan
8.

CUEPACS minta supaya kerajaan membenarkan kakitangan awam buat kerja luar seperti memandu teksi atau jadi jaga selepas waktu pejabat. INi ialah untuk menampung keniakan kos hidup akibat kenaikan harga minyak.

Kerajaan cakap, tidak perlu, tapi perlu ubah cara hidup. Bagaimanakah cara hidup pegawai kerajaan sekarang yang perlu diubah?

1. 8am minum, 1pm makan = puasa Isnin + Khamis
2. Meeting, meeting, meeting perlu lebihkan makan + minum
3. Yang berniaga multi-level dalam pejabat harus berniaga super-level
4. Yang main golf seminggu 2X, harus datang ke pejabat jalan kaki, sebab jarak berjalan semasa main golf lebih jauh daripada jarak dari rumah ke pejabat.
5. Yang buat meeting kat luar dan ambil peluang main golf tu, sediakanlah jawapan di akhirat nanti
6. apa lagi ekk?

Thursday, June 12, 2008

DUNGU BAHASA

DI AWAL 1980an, sebelum PC dikeluarkan, kita mengunakan "mikrokomputer". Saya yang bersekolah melayu bermati-matian memanggilnya "komputer mikro". Akhirnya saya akur bahawa istilah 'komputer mikro' adalah tidak tepat bagi menterjemah perkataan asal 'microcomputer' dan bukannya 'micro computer'.

Baru-baru ini saya melawat pameran ICT di PICC. Saya temui sesuatu yang amat ganjil sekali dalam struktur bahasa kita:

eSILA - Elektronik Sistem Latihan. (sepatutnya Sistem Latihan Elektronik)
eSPKB - Elektronik Sistem Pengurusan Kewangan Bersepadu (sepatutnya Sistem ..... elektronik)
eKerajaan - Elektronik Kerajaan (sepatutnya Kerajaan Elektronik)

Mengapa begitu dungu sekali orang-orang teknikal bermain dengan istilah?.

Sekiranya ebook ditulis sebagau ebuku, ia bukan bermaksud elektronik buku, tetapi buku elektronik!.

Wednesday, June 11, 2008

IKUT SIAPA?


100 Hari 100 Kereta haram, sebab ada unsur judi. - Mufti


100 Hari 100 Kereta, tidak haram sebab ia berkonsepkan kecekapan, bukan judi. - CEO

Anda nak ikut siapa? - Ikut Hati.

Soalan:
1. Mengapa tidak ada orang pertikaikan mengenai AirAsia jual tiket RM0.99 atau kadang-kadang RM0.00?. Kaedah ini kemudiannya diikuti oleh MAS pula.

2. Apakah kaitan di antara kereta dengen telefon?

3. Mengapa syarikat telefon tidak buat promosi guna telefon percuma seumur hidup, atau 10 tahun atau sehingga bil mencecah RM1juta?

Monday, June 09, 2008

KAYU UKUR ISLAM



Hari ini JAKIM akan buat penilaian "Halal-Haram" 100 Hari 100 Kereta.

1. Jika Celcom minta dibuat penilaian sebelum melakukannya, lagilah mudah
2. Jika Celcom hanya buat perkara yang ternyata halal lagilah tidak menyusahkan orang lain
3. Jika JAKIM lagi cepat bertindak , senanglah semua pihak.

Saturday, June 07, 2008

LEGAAA.......



Dah siap print & dihantar kepada editor, legaa......

1. Kerjaya Dalam Bidang ICT - Sedang Dijual
2. 50 Jawatan Terpilih Dalam Kerajaan - Editor
3. 50 Jawatan Terbaik Dalam ICT - Editor
4. Travelog Jepun - Sentuhan Akhir
5. Travelog UK - Sinopsis
6. Novel Kerjaya - Sinopsis
7. 50 Cara Mengembirakan Hati Bos - Sinopsis
8. Jibunsyi - Belum mula
9. Siri Mula Bisnes Kafe Siber - Akan Mula
10.ICT Bertaraf Dunia: Kumpulan essei - Editing (ebuku/POD)




ps: Harga buku akan naik kesan daripada kenaikan harga minyak sebab:-

1. Harga kertas naik sebab kos menghasilkan kertas naik
2. Kos percetakan buku naik sebab mesin cetak gunakan elektrik dan tarif elektrik naik sebab harga minyak naik
3. Kos pengedaran buku naik sebab nak hantar buku semua perlukan minyak
4.
5.
6.

Monday, June 02, 2008

CELCOM - 100 HARI 100 KERETA: HARAM?


CUMA SMS CARS kepada 22222 dan anda berpeluang memenangi sebuah kereta setiap hari selama 100 hari.

Setiap SMS akan dikenakan RM5 ini adalah wang pertaruhan
Jika menang dapat kereta
Jika kalah pertaruhan melayang
dan dalam sehari (24 jam) hanya sebuah kereta yang akan dimenangi.

Agak-agaknya berapa orang yang akan SMS dalam sehari?.
Jika 100,000 orang, Celcom dah dapat RM500,000
Berapa harga sebuah kereta Camri?

Siapa yang untung?
Siapa yang rugi?

Bukankah ini judi?