Labels

Wednesday, September 16, 2015

LOKE KIM HUNG

SAMBIL berkemas-kemas, saya temui sebuah buku besar. Sebuah kamus sebenarnya. Inilah buku paling tebal yang ada dalam simpanan saya. Hampir 2,000 muka surat.

Kamus terbitan 1998 ini dihadiahkan (secara rahsia) pada hari terakhir kami sekeluarga berada di Leeds, UK. 



[Petikan mengenai Uncle Sim, ia itu Loke Kim Hung].

Dulu-dulu, dalam masa senggang semasa di kampus dan anak-anak ke sekolah, aku duduklah melepak buat-buat sibuk di kedai Alhalal atau jalan-jalan menyusur pekan kecil Harehill.

Suatu hari aku bertemu dengan seseorang yang saling tak tumpah seperti sasterawan negara, A.Samad Said dari segi putih dan panjangnya rambut serta janggutnya.

Dalam hati terdetik, adakah ini Pak Samad atau kembarnya? Dari Malaysia? Apa Khabar? ucapnya. Oh, pandai cakap Melayu rupa-rupanya dia!

“Ya dari Malaysia, khabar baik balas ku. Uncle dari Malaysia juga?”

 Sejak hari itu hampir setiap hari aku berjumpa dan bersembang dengannya. Uncle Sim nama yang diberikan. Dia pernah tinggal di Malaya suatu masa dulu dan kini telah berhijrah ke UK beberapa bulan sebelum Malaya mencapai kemerdekaan.

Ada yang mengatakan Uncle Sim ini tidak betul orangnya. Ada yang mengatakan dia adalah bekas anggota PKM yang melarikan diri ke UK dan macam-macam lagi mengenainya.

Kehidupan Uncle Sim sekeluarga terlalu privacy. Dia tidak akan memberitahu di mana rumahnya dan cukup pantang jika fotonya dirakam.

Namun dari cakap-cakapnya menampakkan yang dia adalah seorang yang berpengetahuan dan banyak membaca. Seperti biasa aku menjadi pendengar setia kepada setiap hujah dan pidato berfalsafahnya dalam pelbagai topik dunia.

Khayalanku terhenti sejenak apabila teringatkan sekeping surat dari Leeds yang belum habis kubaca. Pengirimnya ialah Suraya, yang katanya ialah anak kepada Uncle Sim. 

Beliau menulis surat memberitahu sesuatu mengenai ayahnya dan beliau memperolehi alamatku daripada buku nota bapanya. Hanya itu yang beliau ada dan bukan telefon, faks ataupun alamat e-mel ku.

Suraya. Cantik nama itu.
Suraya Sim barangkali.”



PANDUAN MENULIS BUKU BAGI PENJAWAT AWAM

SAYA meminati bidang penulisan semenjak kecil. Ia itu setelah pandai menulis dan membaca. Satu dua karya saya adalah diterbitkan dalam majalah sekolah. Selebihnya saya hanya menulis dalam blog, sebelum kehadiran facebook.

Buku pertama hasil tulisan saya, yang menggunakan nama saya sendiri diterbitkan pada tahun 2008. Ia itu buku " Kerjaya Dalam Bidang ICT ". Buku ini diterbitkan secara kebetulan sahaja. Semasa saya hadir ke kursus penulisan anjuran PTS, para editor ada menceritakan mengenai tajuk-tajuk buku yang mereka inginkan. Saya memberanikan diri membuat tawaran untuk menulis buku " Kerjaya Dalam Bidang ICT ". Walau bagaimanapun buku tersebut telah ditempah oleh orang lain. Berpandukan buku " Kerjaya Dalam Bidang Perakaunan ", saya terus menulis buku itu. Dalam masa hampir ebulan, ia telah saya siapkan. Kebanyakan bahan dalam buku ini memang telah ada dalam kepala saya. Maklumlah saya berkejaya dalam bidang ICT sudah melebihi 25 tahun pada masa tersebut. Saya hubungi editor dan menawarkan manuskrip saya sekiranya penulis sebelumnya tidak berminat. Alhamdulillah, memang rezeki saya, editor menerima manuskrip saya kerana penulis terdahulu sudah 'give-up'.

Setelah buku pertama ini diterbitkan, editor menempah dua judul buku lagi. Pertama "50 Jawatan Terpilih Dalam Kerajaan " dan kedua, " 50 Jawatan Terbaik Dalam ICT ". Dua buah buku ini saya tulis serentak. dalam masa kurang dari sebulan, kedua-duanya telah saya siapkan.



Walau bagaimana pun keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan. Buku-buku kerjaya dikatakan lembab dalam pasaran. Penerbit beralih arah kepada buku " buat duit" pula. Saya hadir ke taklimat penulisan buku " buat duit ". Saya pilih tema " Buat Duit Dengan Kamera " dan menghantar proposal kepada editor. Kemudiannya editor mencadangkan " Buat Duit Dengan Foto ". Saya setuju dan mula menulis. Kurang dari sebulan, manuskrip ini disiapkan. Akhirnya, buku kedua saya " Buat Duit Dengan Foto " diterbitkan dalam tahun 2009.

23 Oktober 2012.

Tuesday, September 15, 2015

PARIS 1996



ZAMAN dulu-dulu, jika kita berpergian, kita akan mengirim poskad kepada rakan di Tanah Air. Sekarang kita "check-in" di Facebook.

Poskad ini saya terima pada bulan Februari tahun 1996. Pada masa itu Paris memang tidak ada dalam kamus saya. Tiba-tiba pada September 1996 saya mendapat tawaran belajar di UK. Bawa famili. Sedangkan saya memohon untuk belajar di UK(M). Itulah rezeki. Namun Paris tetap juga tidak saya jejaki walaupun sudah dekat kerana faktor kewangan. Kami suami-isteri bersama lima orang anak. Jumlah tujuh (7) orang memerlukan sebuah MPV jika saya ingin ke Paris cara paling murah.

Oh ya.... selang tidak berapa lama selepas saya menerima poskad ini, saya menerima satu emel dari alamat emel Encik Khalid atau alkisa. Penulis emel tersebut ialah isteri beliau yang memberitahu saya bahawa alkisa sudah meninggal dunia. Beliau baca emel-emel saya kepada alkisa dan memutuskan untuk membalasnya dengan memaklumkan perkara tersebut.

Semoga roh alkisa ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin.

TELUR REBUS


PAGI ini sarapan dengan roti dan dimasukkan sebiji telur. Ya, telur putih sahaja. 

Teringat pada hujung 1960an. Guru Besar, Cikgu Latif bertanya murid dalam perhimpunan pagi. "Siapa makan telur hari ini?".

Maka ada beberapa orang angkat tangan termasuk saya. "Maksud saya telur setengah masak". Maka sayapun letak tangan semula. Beberapa orang murid lagi juga turut letak tangan.

"Kita hendaklah makan telur separuh masak, baru ada zat. Bukan telur masak, buat busuk kentut saja...".

hahahahah.



Tuesday, September 08, 2015

UPSR SAYA 1970

HARI ini adalah hari pertama peperiksaan UPSR yang terakhir di Malaysia. Mengikut perancangannya mulai tahun hadapan tidak ada lagi UPSR. Ia sudah ditukar kepada nama lain. Namun siapa tahu, ia akan kembali semula.

Pada tahun 1970, saya mengambil peperiksaan. penilaian. Ia setaraf dengan UPSR sekarang. Sekarang satu Malaya sudah tahu bahawa anak atau cucu atau khariah taman perumahan kita akan ambil UPSR. Macam-macam aktiviti sebelum UPSR dilakukan. Umpamanya latih tubi. soalan ramalan, tuisyen dan solat hajat. Dulu mana ada ...

Bukan hanya ibu bapa, malahan saya sendiri pun tidak sedar yang saya perlu ambil ujian penilaian. Saya hadir ke sekolah seperti biasa. Cikgu semak kelengkapan dan saya tidak ada dan tidak bawa pensil 2B. Duit pula tidak ada. Cikgu itu (lupa nama) berikan saya 20 sen dan minta saya ke kantin untuk belikan pensil 2B. Makcik kantin hadiahkan saya dengan satu pemadam. Semoga Allah berkati kalian.

Akhirnya saya berjaya menduduki peperiksaan penilaian dan sejujurnya hingga hari ini saya tidak tahu akan keputusan peperiksaan tersebut. Sudah pastinya daya tidak mendapat satu pun A.

Begitulah saya menghabiskan persekolahan rendah saya,




Monday, September 07, 2015

TOMODACHI


Tomodachi adalah perkataan Jepun ( 友達 ) yang bermaksud Kawan (Kawan-Kawan) atau friend (s). Saya memilih Tomodachi Sdn. Bhd. sebagai nama syarikat saya. Syarikat ini saya tubuhkan setelah saya hampir bersara. Saya berazam untuk menjadikannya sebagai landasan untuk anak-beranak saya bergerak dalam bisnes. Ia juga memberi peluang kepada sahabat-handai ( tomodachi ) untuk mendapat perkhidmatan dan tompang berteduh.

Saya telah bekerja makan gaji dengan Kerajaan selama 30 tahun. Saya tidak ada darah bisnes. Tidak ada seorangpun ahli keluarga di sebelah ibu-bapa saya orang bisnes. Saya memang tidak ada bakat menjual. Tidak ada kebolehan mempengaruhi orang. Sangat malu untuk meminta hutang. Lembut hati terhadap orang lain. Kesemuanya adalah bukan sifat orang bisnes.

Lantaran itu mengapa saya buka syarikat Sdn. Bhd?. Mengapa tidak buka enterprise sahaja?. Jawapannya mudah, saya dinasihatkan oleh kawan-kawan supaya buka syarikat sdn bhd. Saya yang tidak tahu apa-apa pasal bisnes ini pun bukalah Tomodachi Sdn Bhd. Wah...... penyelenggaraan tahunannya mahal!!!!. Jika tidak ada hasil yang masuk, tidak perlulah syarikat Sdn Bhd. Memandangkan syarikat sudah ditubuhkan, saya teruskan jugalah.

Semasa bertugas dahulu, saya sangat tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar yang memberi pesanan kepada CEO nya. "Dalam bisnes jangan aniaya orang. Jangan ambil untung terlalu banyak, tetapi dalam bisnes jangan sampai rugi".

Seterusnya Tan Sri sangat berminat dengan beberapa bisnes yang berkait rapat dengan pekerjaan saya, ia itu dalam bidang kesihatan. Katanya "saya mahu berbakti kepada orang sakit, saya mahu tolong pesakit. Saya tahu doa orang sakit itu sangat makhbul. Dalam bisnes ini saya mahu pahala sebagai balasannya".

OK lah. Kembali kepada Tomodachi Sdn Bhd.

1. Seorang kawan dari Jepun sangat teruja dengan nama Tomodachi. Saya khabarkan kepada beliau, jika dia atau rakan-rakannya mahu beli Tomodachi, saya sedia menjualnya.

2. Tan Sri Syed Mokhtar kata "buat bisnes jangan sampai rugi". Dalam Tomodachi, "rugi tidak mengapa asalkan senang hati". Dalam beberapa transaksi bisnes, saya memang rugi. Ia itu harga jual lebih rendah dari harga beli. Perkara ini terjadi apabila harga jual telah ditetapkan dan dijanjikan setelah mengambil kira sedikit untung. Tiba-tiba bekalan datang dengan harga yang lebih tinggi. Saya tetap jual juga dengan harga yg telah dijanjikan. Rugi sedikit-sedikit tidak mengapalah. Asalkan hati pelanggan saya senang dan saya senang hati.




Sunday, September 06, 2015

BY CHANCE, OR BY DESIGN ?


BOS saya dulu selalu beritahu bahawa hidup kita adalah by design and not by chance. Maksudnya lebih kurang "kehidupan ini adalah dengan rekabentuk, bukan secara kebetulan". Ungkapan ini sangat betul, tetapi rekabentuk siapa?. Rasanya kita mempunyai keupayaan yang sangat terbatas untuk merekabentuk kehidupan sendiri. Misalnya kita dilahirkan begini dan begini, adakah kita mempunyai pilihan?.

Kita memang memerlukan yang terbaik untuk diri sendiri, namun tidak semestinya kita berjaya memperolehinya.





Ini adalah MBC - Ford Transit yang sedang dalam pembinaan.
Mengapa pilih Ford Transit dan bukannya Westar?
Kami ada jawapannya.

Mengapa pilih Ford (USA) dan bukannya Isuzu atau Toyota (Jepun) ?.
Kami juga ada jawapannya.

Semuanya by chance, not by design oleh kami, tetapi sudah tentu ia adalah by design oleh Allah.

Ingin tengok bagaimana "design" Ford Transit ini?:_



Nanti kita sama-sama tengok apa yang akan terjadi ...