Labels

Wednesday, December 31, 2003

BERDAGANG ILMU

SAYA kurang bersetuju dengan pendapat yang mengatakan ilmu itu tidak boleh dijual beli atau kita tidak boleh menanda harga ilmu semata-mata kerana secebis ilmu itu datangnya dari Allah. Sebenarnya semua perkara datangnya dari Allah, justeru itu adakah semua perkara tidak boleh dijual beli?.

Logik akal ialah, misal kata seorang yang mahir dalam mambaca al-Quran, lantas beliau mengajar anak-anak mengaji. Jika beliau mengajar secara sampingan dan mempunyai kerja lain, bolehlah diajarnya secara percuma. Jika beliau mengajar mengaji ini secara sepenuh masa (kerana ramainya anak murid dan sebagainya), maka jika pegangan yang mengatakan ilmu dari Allah tidak boleh diperdagangkan, maka macamana hamba Allah ini hendak menyara kehidupan diri dan keluarganya?.

Saya juga tidak berjumpa dengan nas (tidak mencari sebenarnya) yang melarang perkara ini. Walau bagaimanapun semasa peperangan Badar, tawanan perang boleh menebus diri mereka dengan harta. Bagi yang tidak berharta, mereka dikehendaki mengajar anak-anak orang Islam dengan ilmu yang mereka ada. Bukankah itu telah menanda hargakan secebis ilmu?. Juga ada diriwayatkan mas kahwin (biasanya beruoa wang atau harta) boleh sahaja berbentuk mengajar ayat Quran (al-Fatihah misalnya). Semoga hujah dangkal saya ini tidak akan membingungkan diri saya sendiri.

---------------- permasalahan asal ------------------------------

so, do you menandahargakan secebis ilmu yang datangnya dari Allah?
bebaskan ilmu seperti yang telah dihadithkan, nescaya ilmu itu pulang
kepada yang membebaskannya, mengandakan ilmu yang telah sedia ada.

Tuesday, December 30, 2003

ZAKAT

PADA akhir tahun masehi 2003 ini, pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) sedang berusaha bersungguh-sungguh supaya semua umat Islam menunaikan zakat. Di antaranya berbunyi lebih kurang “tunaikanlah zakat sebelum 31 Disember ini supaya anda mendapat pelepasan dari cukai pendapatan”. Bukankah sepatutnya haul zakat itu dikira mengikut tahun Hijrah?.

Sememangnya ramai di antara kita yang agak lepa dari menunaikan zakat harta selain dari zakat fitrah sahaja. Namun iklan-iklan dari pihak pungutan zakat nampaknya hanyalah sekadar untuk mendapat pelepasan cukai pendapatan, bukannya berzakat itu wajib dan menjadi rukun dalam Islam. Jika begitulah keadaannya, mungkinkah pihak PPZ akan menerima “zakat” dari non-muslim?.

Seperkara lagi yang ditekankan sangat ialah zakat pendapatan. Ia itu sama seperti cukai pendapatan (kecuali kadarnya sahaja 2.5%). Banyak pihak berpendapat, pendapatan tidak perlu dikenakan zakat jika ianya tidak disimpan, tidak diniagakan dan tidak cukup haul. Apa yang perlu dizakatkan ialah wang simpanan, emas dan perak, perniagaan (termasuk saham), ternakan, tanaman... Malahan ada Majlis Agama Islam di Malaysia sendiripun yang mengatakan pendapatan (semata-mata) tidak diwajibkan zakat melainkan telah menepati nisab dan haulnya.

Walau bagaimanapun saya berpendapat, tidaklah salah untuk mengeluarkan 2.5% daripada pendapatan dalam berzakat, kerana ia adalah rukun dan bukan semata-mata untuk mendapat pelepasan cukai sahaja.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Wahai orang-orang yang berikan ! keluarkanlah zakat sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu."

Surah Al-Baqarah : 267

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap orang Muslim bersedekah (berzakat). "Mereka bertanya, "Hai Nabi Allah, bagaimana yang tidak mempunyai harta ?" Baginda menjawab, "Bekerjalah untuk mendapatkan sesuatu untuk dirinya, lalu bersedekahlah." Mereka bertanya, "Kalau tidak mempunyai pekerjaan? Baginda bersabda, "Tolonglah orang yang meminta pertolongan." Mereka bertanya lagi, "Bagaimana bila tidak berkuasa ? Baginda menjawab, Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah."

Monday, December 29, 2003

PRAMUGARI







Malaysia Airlines Iran Air

PADA musim haji sekarang, pramugari MAS telah memakai pakaian khas yang menutup aurat. Nampak lebih manis dan santun. Namun agaknya dalam perjalanan pulang dari Jeddah ke KLIA, pramugari ini akan berpakaian biasa semula. Apatah lagi selepas musim haji tamat nanti. Selain daripada pramugari yang mendedahkan aurat, MAS juga menghidangkan minuman keras yang memang diharamkan dalam Islam. Cuma terdapat beberapa penerbangan dari negara Islam sahaja yang tidak menghidangkan arak, seperti Saudi Air dan Iran Air dan rasanya perniagaan mereka tidaklah merosot sangat.

Suatu ketika dahulu mba bertemu dengan seorang Islam dari USA yang memang akan memilih untuk menaiki MAS untuk ke mana sahaja jika ada peluang. Setakat yang beliau tahu, hanya MAS sahaja yang menyediakan ruang solat dalam penerbangan kelas businessnya (terletak di antara kelas ekonomi dan busines). Untuk itu beliau akan tetap bersama MAS, di samping makanan halal yang disediakan adalah begitu meyakinkan.

Bukankah ruang perniagaan sentiasa terbuka luas?.

Sunday, December 28, 2003

ASSALAMUALAIKUM

SEMENJAK zaman kanak-kanak lagi, mba dididik dan diajar bahawa ungkapan assalamualaikum adalah merupakan suatu doa yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu. Jawapan kepada ungkapan ini ialah waalaikumussalam yang bermaksud dan salam sejahtera jua ke atas kamu. Memberi salam adalah sunat dan menjawab salam adalah wajib hukumnya. Malahan salah satu dari lima hak seorang Islam ke atas seorang Islam yang lain ialah menjawab salam.

Justeru itu, adakah salah sekiranya ada orang yang menjawab salam (waalaikumussalam) terlebih dahulu sebelum seseorang memberi salam? (atas alasan maksudnya ialah dan salam sejahtera ke atas kamu).

Secara umumnya kebanyakan umat Islam di Malaysia sememangnya beranggapan begitu, iaitu salam hanyalah ekslusif untuk sesama Islam sahaja. Sekiranya orang bukan Islam yang memberi ucapan salam, ia tidak perlu dijawab ataupun ada jawapan tertentu untuknya. Justeru itu, ramai berasa marah apabila ada orang lain yang menyamakan ucapan salam ini dengan ungkapan selamat pagi sahaja. Apatah lagi apabila yang mengatakan sedemikian bukanlah seorang ulamak dan tidak pernah belajar di negara-negara Arab.

Beberapa tahun yang lepas, mba berpeluang menghadiri kursus di luar negara bersama-sama dengan peserta antarabangsa dari banyak negara. Di antaranya dari Mesir dan Arab Saudi. Dalam sesi suai kenal, penyelaras kursus meminta setiap peserta menyebut good morning dalam bahasa masing-masing. "Selamat pagi" dalam bahasa Arab bagi peserta dari Arab Saudi dan Mesir ini ialah assalamualaikum !. Kebetulan kedua-duanya adalah berugama Islam. Walau bagaimanapun, dalam sesi yang serupa bagi kelas yang lain, seorang peserta Kristian dari Mesir juga menggunakan assalamualaikum untuk ungkapan good morning tersebut. Menurut mereka, ungkapan assalamualaikum ialah untuk bahasa Arab, bukan untuk orang Islam (sahaja).

Jadinya... bagi sesiapa yang mempunyai ilmu, hujah, pendapat, nas dan sebagainya mengenai ucapan salam ini, saya sangat-sangat mengalu-alukannya sama-sama berkongsi di ruangan [comments] atau lain-lain ruang yang ada untuk faedah bersama.

Wassalam.

Saturday, December 27, 2003

APACHE


Semalam ada sebuah berita
Apache mengebom kereta
Semua kehilangan nyawa


Dulu ada dalam wayang
Apache tidak menang
Kalah kepada pendatang


Kini sudah enam hari
Pejabat ini tidak berseri
Akibat Apache mogok seni


Friday, December 26, 2003

RINGKASAN BERITA


Kakitangan perkhidmatan awam wanita tidak mesra pelanggan
KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kakitangan perkhidmatan awam wanita dikatakan kurang mesra dari segi perkhidmatan pelanggan berbanding kakitangan lelaki yang lebih bersikap praktikal ketika berurusan dengan orang ramai sebagai pelanggan. berita lanjut


Kakitangan awam kian `terlupa' amal prinsip asas piagam
KUALA LUMPUR 25 Dis. - Ramai di kalangan kakitangan awam semakin `terlupa' mengamalkan prinsip asas yang digariskan oleh piagam pelanggan jabatan masing-masing iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. berita lanjut




Thursday, December 25, 2003

Pembelian Krismas


HARI Krismas sudah berlalu, namun saya percaya pembelian Krismas atau lebih dikenali sebagai Christmas Shopping masih berterusan, khususnya di pejabat-pejabat kerajaan. Pembelian ini bertujuan untuk menghabiskan baki peruntukan yang telah diberikan sepanjang tahun ini. Ia mesti dibelanjakan, jika tidak duit tersebut tidak akan dapat dibawa ke tahun hadapan, ataupun hangus. Bukan itu sahaja, tidak dapat menghabiskan peruntukan juga bermakna ketua jabatan tidak pandai untuk merancang. Ia itu merancang untuk sekian banyak peruntukan, tetapi disebabkan oleh perkara-perkara tertentu, ianya tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya. Ini bermakna perancangan telah tidak dibuat dengan teliti.

Walau apapun alasan yang diberikan, amalan pembelian Krismas ini sememangnya sudah menjadi semacam suatu kemestian di kebanyakan jabatan ...

Tuesday, December 23, 2003

BATIK: Pakaian Rasmi Masa Bekerja


PADA 3 Disember saya pernah blog mengenai kemungkinan Kerajaan akan mengeluarkan satu pekeliling baru mengenai pemakaian batik di pejabat, iaitu pada hari Sabtu. Pada hari ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan satu pekeliling bertajuk Galakan memakai batik oleh kakitangan awam. Pekeliling ini bukan hanya tertakluk pada hari Sabtu, malahan batik ialah sebagai salah satu pakaian rasmi dan tertakluk kepada ketua jabatan untuk menentukan apakah majlis yang sesuai untuk memakai batik, selain dari hari Sabtu

Sila rujuk di sini untuk membaca pekeliling tersebut (format PDF)

Monday, December 22, 2003

MENGAPA SAYA MEMBACA NOVEL




APAKAH yang membuatkan orang biasa (bukan peminat novel) membaca sesebuah novel?. Seingat saya, sudah lebih dua puluh tahun tidak membaca novel Melayu (tidak pernahpun membaca novel Inggeris). Entah mengapa pada suku keempat tahun 2003 ini saya sudah menghabiskan enam buah novel. Biasanya saya membaca novel disebabkan oleh pengarang, judul, publisiti ataupun latarbelakangnya.

Kuala Lumpur Di Mana Suami Ku
Saya telah mengenali pengarangnya sudah lama melalui tulisannya. Secara kebetulan saya terjumpa beliau di eSastera.com dan saling menyapa. Akhirnya beliau dan suami menerima jemputan saya untuk makan malam Alumni JICA.

Merentas Sungai Sejarah
Novel ini ialah pemenang ketiga Penulisan Novel Alaf Baru anjuran DBP. Saya juga terlalu kerap ke blog penulis ini. Walau bagaimanapun, yang menguatkan saya untuk memiliki dan membaca buku ini (malahan hadir ke majlis pelancarannya) ialah kerana novel ini dikatakan berlatarbelakang dunia ICT. Lantas saya ingin tahu bagaimana dunia ICT dinovelkan. Ternyata ia tidak seperti diharapkan apabila terlalu banyak error dan bug suasana ICT yang diceritakan.

Dominasi Tebrau dan Arca
Novel ini adalah pemenag pertama dan kedua Penulisan Novel Alaf Baru. Sesudah membaca pemenang tempat ketiga, saya ingin pula mengetahui tahap pemenang kedua dan pertama.

1515
Novel ini ialah pemenang penulisan novel remaja anjuran Utusan. Saya memandang 1515 sebagai TMNet. Apatah lagi judul asal novel ini ialah 1511 yang saya nampak sebagai JARING. Saya nampak (perasan sebenarnya) JARING mesti mengalah kepada TMNet dalam judul novel ini walaupun tarikh sebenarnya kejatuhan Melaka kepada Portugis yang menjadi latar kepada novel ini ialah pada tahun 1511. Malahan saya dapati 1515 hanyalah pada judul kulitnya sahaja sedangkan 1511 lebih menyerlah dalam isi novel ini.

SEMPADAN TANPA SERI

Bersambung......

SEMPADAN TANPA SERI (STS)




Novel Sempadan Tanpa Seri saya baca disebabkan oleh dua perkara. Pertama kerana saya biasa berkunjung ke blog pengarangnya dan kedua kerana jalan cerita berlatarbelakang di UK, khususnya Manchester.

Pada tahun 1980-an dulu, sebelum saya dihantar ke Jepun untuk berkursus (pada masa itu Internet belum ada di Malaysia), saya terjumpa sebuah novel yang bertajuk Sejuk-Sejuk Tokyo (kalau tak silap). Oleh kerana keinginan saya untuk mengetahui serba sedikit mengenai kehidupan di Jepun, makan novel ini saya beli dan baca. Namun ia adalah mengecewakan kerana tidak mendapat maklumat yang diperlukan. Walau bagaimanapun STS adalah berlainan. Sekiranya ada pelajar yang akan ke UK (khususnya Manchester), saya ingin mencadangkan kepada mereka supaya membaca novel ini terlebih dahulu. Ini ialah kerana pengarangnya telah berjaya menulis dan menggambarkan suasana sebenar atau hampir benar mengenai kehidupan dan suasana di Manchester dan UK amnya. Saya percaya pengarangnya sudah tentu mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas mengenai tempat-tempat yang dimaksudkan. Saya tertarik untuk membacanya bukan kerana ingin ke Manchester, tetapi sekadar untuk mengimbau kembali lokasi dan suasana yang diceritakan yang kini sudah ingat-ingat lupa.

Kembali kepada jalan cerita, saya tidak berasa bosan untuk meneruskan pembacaan di samping minda terus meneka-neka apa yang akan berlaku seterusnya. Ada kalanya tepat dan tidak kurang juga yang tersasar dari jangkaan. Keseluruhannya adalah adalah memuaskan. Walau bagaimanapun saya agak terkilan apabila watak Fatimah atau Elizabeth Thornston dimatikan di penghujung cerita dengan membunuh diri. Walau sebesar manapun masalah yang melanda, membunuh diri ini adalah sesuatu yang paling dilaknat, apatah lagi ia sekali gus membunuh dua nyawa (anak Asmawi yang dikandungnya). Walhal watak Elizabeth adalah seorang yang matang sebelum Islamnya dan begitu tabah sebagai kakak kepada Asnawi. Adalah lebih elok jika riwayatnya ditamatkan dengan cara lain, umpamanya kemalangan.

Oh ya, saya juga kurang yakin apabila Zarina membeli sebuah basikal di car boot sale (cbs) di Old Trafford dengan harga UKP200. Mengikut pengalaman saya, sebuah basikal terpakai yang berjenama jika dijual dengan harga UKP100 itu sudah dikira terlalu mahal, apatah lagi jika ianya dibeli di CBS. Tetapi mungkin juga Zarina beranggapan UKP200 itu macam RM200 sahaja J

Satu perkara lagi ialah apabila bapa Asnawi, Benjamin Patrick Thornston membawa pingat kebesaran bapanya ke Mersing dan menyerahkan kepada bidan Mak Su Jah untuk diserahkan kepada anaknya (Asnawi) yang bakal lahir. Ini seolah-olah Benjamin sememangnya merancang begitu, walhal sepatutnya bintang kebesaran begitu sepatutnya ditinggalkan sahaka di Belanda, kepada anak-anaknya.

Selain daripada itu, saya sangat berpuas hati dengan novel ini dan diucapkan syabas kepada John Norafizan yang telah berjaya mengarangnya dengan begitu baik. Syabas!.






Thursday, December 18, 2003

eNovel versi PDA



BARANGKALI eNovel Jangan Ada Dendam (JAD) yang ditulis bersama oleh Sri Diah, MBA dan Rudy adalah merupakan eNovel pertama dalam bahasa Melayu yang ada dalam versi Pembantu Peribadi Digital (PDA).

Petikan dari JAD Versi Palm yang diusahakan oleh Ibnu Arif:-


Reader untuk semua platform PDA boleh di download di sini .
Bantuan teknikal blog eNovel ini dilakukan oleh CNMA.

Wednesday, December 17, 2003

BERMAIN DENGAN KATA-KATA



SAYA mengikuti berita pencerobohan Amerika terhadap Iraq dengan penuh minat hinggalah dikatakan tertangkapnya Saddam Hussin. Di samping berita, saya juga memerhatikan gaya bahasa dabn kata-kata yang digunakan oleh media dengan penuh minat. Didapati pelbagai gelaran diberikan kepada tentera yang menceroboh Iraq oleh pelbagai pihak di Malaysia. Jika mengikut logik akal, jika askar dari negara luar datang menyerang dan menceroboh negara lain, saya fikir tentulah PENCEROBOH adalah kata yang paling tepat untuk digunakan. Sekarang pula, setelah negara tersebut berjaya ditakluki, mungkin kata yang paling sesuai ialah PENJAJAH atau PENAKLUK. Namun berita yang digunakan oleh media cetak dan media elektronik di Malaysia saya nampak sentiasa berubah hari demi hari dan tidak menunjukkan sebarang kesatuan. Hari ini dikatakan tentera bersekutu, petang nanti tentera penceroboh, malam nanti pengkhianat, esok balik bersekutu dan sekarang sudah tidak kedengaran lagi penceroboh digunakan. Kata-kata tentera bersekutu pula yang diagung-agungkan. Entah apa yang disekutukan, hanya meraka dan bos-bos mereka sahajalah yang lebih arif. Tentera Amerika dan Britain bolehlah dikatakan bersekutu untuk menceroboh, akan tetapi bagi negara-negara kecil yang sekadar menghantar seratus orang askar yang kononnya untuk membangunkan semula Iraq itu untuk apa disekutukan pula?. Mungkin mereka ini tidak menceroboh agaknya, maka media Malaysia tidak menamakan langsung semua sekali bala tentera ini sebagai penceroboh (termasuk majoriti yang menceroboh).

Adakah kita tidak menemui kata-kata yang lebih baik atau kita terpaksa "potong dan tampal" perkataan yang telah ditentukan untuk kita?



Monday, December 15, 2003

MAKNGA




MENGIKUT Kamus Dewan, maknga ialah perkataan dari Terengganu yang bermaksud lalai atau cuai. Ia digunakan secara meluas di negeri tersebut. Untuk menunjukkan betapa maknga nya mba, ikuti kisah ini:

MBA dicalonkan untuk membentangkan satu country report di luar negara. Tiket pergi balik dan hotel disediakan oleh penganjur. OLeh kerana maknganya.... powerpoint presentation hanya disiapkan beberapa minit sebelum berlepas. Notebook tak bawa kerana mengharapkan penganjur sediakan. Baju dipilih & siap digosok 2-3 minit sebelum ke stesen LRT untuk ke ERL. Sampai di KL Sentral, teringat kompas (untuk tengok arah kiblat) tak bawa dan paling penting dalam majlis dengan Jepun ialah kad nama, juga tak bawa. Masyaallah maknganya aku.... Duit satu sen pun tak tukar sebab pada masa lepas penganjur bayar elaun semasa pendaftaran, jadi bolehlah buat beli cenderahati (nasib baik ada US$100 dalam wallet sebagai senjata terakhir) mengenangkan semuanya akan diuruskan oleh penganjur. Bila dah siap powerpoint, waduh...,. 34MB, pen drive tak muat, nasib baik ada CD Writter dalam notebook ni (ambil risiko lagi dan nak cetakpun tak sempat sebab pencetak kat rumah ni banyak sangat songelnya).

Sampai di lapangan terbang di negara tersebut, alhamdulillah disambut oleh penganjur dan dibawa ke bilik VIP sambil menunggu paspot dibereskan. Kemudian dibawa ke hotel dengan iringan kereta peronda polis, wow sangat hebat sambutan mereka. Persidangan berjalan lancar, namun baju batik untuk makan malam habis berfkedut gara-gara melipatnya secara maknganya.

AKhirnya alhamdulillah, semuanya beres kerana nasib baik, semoga lain kali tidak akan maknga lagi.


GADIS MAKNGA

Anak dara
di dapur jangan bernyanyi-nyanyi
dondang sayang, ghazal, atau inang
alahai, takut dapat suami tua
demikian pesan ayah bonda.

Tapi anak dara yang seorang ini
bernyanyi-nyanyi memang hobi
ikan digoreng api diperlahan
lenggang-lenggok dia berjalan
singgah di radio dengar lagu permintaan
Alahmak... kahwinkan aku...

Asyiknya dia mendengar pantun
dua tiga kucing berlari...

"Alahai, Cik Pah jiran sebelah
apalah yang dimasaknya?
kuat benar bau
oh... Amran pujaanku
bilalah hendak meminang?"

Anak dara maknga
ikan di kualinya hangus sudah
dia masih berangan-angan
"Datanglah Amran kepadaku...
apalah dimasak oleh Cik Pah tu?"

Ikan di kualinya rentung sudah.

Hasimah Harun
Kuala Lumpur, 30.6.03




Thursday, December 11, 2003

RASUAH




Berita yang agak panas dan menarik dalam beberapa hari ini ialah mengenai rasuah. Iaitu tuduhan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh LPKP yang mengeluarkan 6,000 permit teksi di Lembah Kelang kepada beberapa buah syarikat yang dipunyai oleh satu orang sahaja. Aduan telah dibuat oleh presiden persatuan pemandu teksi.

Yang menariknya ialah bila menteri yang terlibat beberapa kali bercakap melalui media meminta supaya BPR mempercepatkan siasatan. Beliau kemudiannya mengeluarkan pelbagai perkataan dalam media yang tidak selayaknya terhadap seorang pegawai kerajaan. Seterusnya mengatakan pegawai BPR tersebut telah melanggar GO perkhidmatan awam.

KSN selaku orang nombor 1 perkhidmatan awam dipetik sebagai berkata, mengkritik (menegur) menteri tidak dijelaskan/ dilarang dalam GO. Walau bagaimanapadalah lebih elok kiranya teguran tersebut dimaklumkan kepadanya supaya beliau boleh mengemukakannya kepada bos menteri tersebut, iaiatu Pedana Menteri.

Rasuah, mengikut tafsiran kamus ialah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap). Entah mengapa rusuk yang perlu ditumbuk?…. Akan tetapi jika mengikut tafsiran BPR, rasuah itu terlalu luas maksudnya. Antara lain termasuklah penyalah gunaan kuasa, tuntutan palsu, buat kerja tak ikut peraturan, tak ikut SKT/ SOP/ MPK dan banyak lagilah.

Namun adalah difahamkan bahawa definasi rasuah tersebut hanya terpakai untuk penjawat awam sahaja. Sekiranya pemberi dan penerima "tumbuk rusuk" tersebut bukanlah penjawat awam, maka ia tidak dikira sebagai rasuah, sebaliknya ia adalah urusan perniagaan atau wang pelincir. Begitu juga difahamkan bahawa menteri tidak tertakluk kepada GO dan mempunyai peraturannya yang tersendiri.

Wallahualam.



--
LPKP – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN)
GO – General Orders (Perintah Am), buku panduan perkhidmatan awam
BPR – Badan Pencegah Rasuah
KSN – Ketua Setiausaha Negara
SKT - sasaran kerja tahunan
SOP - Standard Operation Procedure
MPK - Manual Prosedur Kerja



Wednesday, December 10, 2003

PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN



NABI ada bersabda yang "9 dari 10 punca rezeki adalah dari bidang perniagaan". "Perniagaan juga adalah merupakan fardhu kifayah" (orang lain dah buat, kita tak payah). "Syurga ialah balasan bagi orang yang lurus dalam perniagaan" dan banyak lagi hadis yang berkaitan dengan dunia perniagaan. Sehubungan dengan itu berlumba-lumbalah sebahagian daripada kita untuk merebut punca rezeki yang terbentang luas tersebut.

Ada satu teka teki: Apakah bendanya lagi rosak lagi laku? (jika tidak rosak kurang untung menjualnya)..
Jawapannya ialah: jeng.. jeng.. jeng.. "jual barang rosaklah, umpamanya SMS, pesanan suara dll.

Dulu kita pernah ada perkhidmatan UPU (Unit Pusat Universiti) melalui telefon. Jawapan keputusan penempatan ke universiti belum tentu dapat, namun bil telefon dan melambung tinggi sebab ketidakcekapan sistem tersebut (jual barang roasak). Jika sistem tersebut cekap, sudah tentu bil telefon tidak tinggi dan berniaga dapat sikit saja untung.

Kini yang terbaru ialah SMS pasal Khidmat Negara. Diberitakan beratus ribu manusia telah hantar SMS dan tidak menerima jawapan dan hantar lagi dan hantar lagi sehingga kredit prepaid habis ditelan. Lagi.. jual barang rosak. Jika barang baik yang dijual sudah tentu memadai dengan sekali SMS sahaja dan jawapan sudah menjelma.

Isteri (maklumlah org perempuan) dan anak (maklumlah budak) saya beriya-iya sangat hendak menggunakan perkhidmatan SMS ini. Tetapi tepatlah seperti mana yang saya jangka lebih awal lagi, memang dia orang nak jual barang buruk yang memang laku di pasaran. Adakah patut pengguna dibebankan dengan membayar perkhidmatan yang begini?. Jawapannya ada pada pengguna sendiri sebenarnya. Fikir-fikirkanlah.


Tuesday, December 09, 2003

BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA



BERBAKTI kepada kedua ibu bapa adalah salah satu daripada impian terbesar bagi kebanyakan orang yang telah berjaya dalam kehidupan, tetapi sayangnya ibu bap[a mereka telah pergi menemui Ilahi. Jadi, sebagai ketua dan orang tua, pesanan mereka kepada anak buah ialah: "berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa kamu, sementara mereka masih hidup ini". Namun dalam kebanyakan hal, ianya tidak begitu sebab maksud kata-kata bos tadi sebenarnya ialah "ikut dan patuhlah kepada cakap aku jika kamu ingin meningkat naik dalam kerjaya, jangan asyik minta cuti nak balik kampung sahaja. Mak bapak tak akan lari, susah-susah ajak sajalah mereka tinggal di KL ni, atau you gajikanlah seseorang untuk jaga dia di kampung". Alahai, cakap tatak selupa bikin ....


Apakah yang dimaksudkan dengan berbakti kepada kedua orang tua kepada anda?
* Hantar duit setiap bulan atau balik kampung setiap bulan
* Bawa pergi umrah setahun sekali atau balik kampung di musim buah (atau musim raya)
* Ajak mereka tinggal bersama atau anda pulang tinggal di kampung
* Suruh mereka jaga cucu atau berikan seorang cucu (anak anda) kepada mereka
* Hantar kad raya/hari lahir/anniversary/e-mel atau panggilan telefon seminggu sekali

Walau apapun jawapan anda, gembirakanlah hati mereka




*

Monday, December 08, 2003

DULUKAN KELUARGA DARIPADA KERJA




TERTARIK dengan titah ucapan Yang Dipertuan Besar NS mengenai perkara di atas sempena dengan perasmian forum "kekeluargaan dalam perubahan dunia". Titah baginga, "kepincangan keluarga dikenalpasti sebagai faktor utama kepada keruntuhan moral yang serius di kalangan generasi muda pada hari ini"

Ini maknanya, ibu bapa perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak. Bukan setakat makan minum, pakaian dan alat permainan sahaja, tetapi yang lebih penting ialah perhatian dan kasih sayang. Walau bagaimanapun dalam dunia hari ini, di mana kedua-dua bapa (sudah semestinya) dan ibu (sudah semacam mesti juga) adalah bekerja di luar rumah, maka anak-anak dibiarkan sahaja dibesarkan oleh orang gaji. Sebagai pekerja yang makan gaji, ibu bapa akan mematuhi apa sahaja arahan bos di pejabat dan bukannya keperluan anak-anak di rumah.

Adalah menjadi suatu kebiasaan untuk ibu-bapa keluar dari rumah awal pagi (baca sebelum anak bangun tidur) dan pulang ke rumah lewat (selepas anak dah tidur). Pada hari minggu pula, biasanya sudah tentulah pekerja sudah keletihan dan ingin berehat, jadi bilakah masanya untuk anak-anak?.

Pada masa cuti sekolah ini, apakah agaknya yang anak-anak lakukan di rumah?.

MBA - suatu hari semasa kat kampung, anak bertanya, "abah, itu kambing ke anak lembu?". Heh..heh.. itu sebanarnya adalah Kur punya sedara, sebab Kur hisap susu emak dia punya ... :-). Terpinga-pinga anak saya (dia membahasakan dirinya sebagai Kur) dengan jawapan sadis begitu.

p.s esok nak tulis pasal anak menjaga ibu-bapa pula (jika teringat).

Sunday, December 07, 2003

PEMBANTU PERIBADI DIGITAL (PDA)






siang termimpi
pembantu peribadi
malam terkenang
 

 

-- Haiku ini ditulis pada 12 Oktober 2003

Friday, December 05, 2003

TREO 600




ORANG kita zaman purba tidak akan meninggalkan keris di pinggan jika berpergian. Orang kita zaman dulu tidak akan meninggalkan sikat di poket jika keluar rumah. Orang kita zaman sekarang tidak akan meninggalkan handphone jika keluar, hatta ke masjid pun.Zaman keris tu tak sempatlah dengan mba, walaupun semasa bersanding (sebab tak betrsanding). Akan tetapi, entah dari mana turunnya ilmu, anak mba yang umur 3 tahun tu pun siap dengan sikat di poket jika nak keluar ... yang abang-abangnya sudah tentulah dengan handphone.



Selain dari handphone, ramai juga yang membawa PDA ke mana-mana. MBA pernah menggunakan PDA seperti Palm IIIc, IBM WorkPad c505, Nokia Communicator 9210, Compaq Ipaq H3760 dan Sony Clie yang digunakan secara combo dengan handphone. Hari ini mba dah ada Treo 600, jadi tak payahlah lagi nak bawa hp & PDA secara berasingan sebab ia adalah 3-in-one (pda, phone camera) di samping mp3 player, video player dan banyak lagi fungsinya. Bagi pengguna Palm yang canggih, menggunakan Treo 600 ini tidak banyak sangat kelebihannya kerana warna yg tidak begitu menyerlah dan paling ralat ialah dulu boleh tulis tangan gunakan pen tanpa dakwat, kini kena pakai papan kekunci. Walau bagaimanapun, untuk all-in-1, ia banyak faedahnya di mana baca & tulis mel, layari Internet dan semua fungsi PDA boleh dicapai hanya dengan satu peranti sahaja.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mempelajari lebih lagi mengenai Palm, bolehlah berkunjung ke laman web Palmx atau menyertai mailing list palmx





Thursday, December 04, 2003

BERBAJU BATIK KE PEJABAT



Semasa MBA mula-mula kerja di tahun 80an dulu, di antara beberapa persediaan yang agak sukar untuk disediakan selain daripada seluar slack, kemeja lengan panjang, tali leher dan sepatu kulit ialah baju batik. Pada masa itu (di bawah PM ke-3) baju batik dipakai pada setiap hari Sabtu. Tidak lama kemudian, baju batik telah tidak dibenarkan lagi dipakai pada waktu pejabat kerana dikhuatiri pemakainya tidak serius untuk bekerja kerana pakaian batik lebih bersifat santai.

Pada hari ini, YAB PM ke-5 mendesak supaya rakyat Malaysia memakai baju batik pada hari Sabtu. Di antara tujuannya ialah untuk meningkatkan industri batik tempatan. Saya rasa tidak lama lagi akan keluarlah pekeliling meminta semua kakitangan kerajaan supaya berbaju batik di hari Sabtu.

Adakah berbaju batik ke pejabat akan menyebabkan pemakainya tidak akan serius untuk bekerja?. Adakah memakai tali leher dan berkot, dalam hawa yang tidak begitu dingin akan menjadikan pemakainya lebih produktif?. Saya rasa ada beberapa negara seperti Indonesia, Samoa, Timur Leslie dll yang pekerjanya memakai pakaian batik ke pejabat, malahan ada lelaki yang pakai skirt juga!. Tetapi itu adalah negara yang belum maju. Saya juga ada melawat ke beberapa pejabat kerajaan di Okinawa, Jepun. Saya dapati pekerja di sana memakai baju batik lima hari seminggu di musim panas.

Juga, kebanyakan syarikat .com pada masa ini tidak lagi perlu mengenakan kot dan tali leher untuk pekerjanya. Malahan ada yang hanya cukup dengan kemeja-T sahaja dan saya sempatlah bekerja setahun dengan pakaian sebegini semasa "dipinjamkan" tidak lama dulu ...


Wednesday, December 03, 2003

HAIKU MELAYU







 


MACE-MACE


Marilah abe
solok, percik, dan tape
haiku kelate


Hasimah Harun
Kuala Lumpur, 5.11.03


alihbahasa haiku ini ke BM bermaksud:-
marilah abang
solok (lada), (ayam) percik dan tapai
haiku Kelantan

Ini adalah merupakan sapaan seorang penjual juadah berbuka puasa di sebuah pasar Ramadan




Saya telah diberi penghormatan oleh Prof. drirwan untuk menjadi pentadbir kepada komuniti haiku di ruangan esastera. Tugas ini bermaksud untuk mempromosi penulisan dan aktiviti Haiku dalam bahasa Melayu.

Setakat ini komuniti telah mengumpul lebih dari 900 buah haiku yang memungkinkan matlamat 1000 haiku menjelang akhir 2003 boleh dicapai dengan mudah. Haiku terpilih dari sini kelak akan dibukukan dalam sebuah antologi yang mungkin berupa antologi pertama Haiku Melayu yang benar-benar menepati patrun 5-7-5. Juga jika tiada aral, satu pameran Foto-Haiku juga akan diadakan buat julung-julung kalinya di Malaysia pada 2004 nanti.

Semua yang berminat untuk menikmati keindahan Haiku atau menyumbang bolehlah ke komuniti haiku ataupun ke melayu.com yang secara kebetulan saya juga adalah merupakan pentadbirnya.

Selamat Berhaiku.

Tuesday, December 02, 2003

Developing ISO to be good project managers

Artikel Dari Penaja



According to a KPMG study, a survey of 100 ICT projects of Canadian public and private sector had revealed 30% exceeded schedule and more than 50% exceeded budget by a substantial margin. The same case might happen to Malaysia ICT projects.

Since 1967 the first government ICT project successfully implemented in National Electricity Board (NEB), thousands of ICT projects had been approved and implemented worth billions of Ringgits. By now, we should have a project management culture of our own. But our culture of excellence in managing projects is still in questions.

Today’s successful ICT projects must be ready to meet the challenges of the never-ending users expectations and demands. Having project management will be a key competency. A consistent approach to managing projects is needed to ensure that costs are minimized, deadlines are met and quality is enhanced.

The management of construction projects such as building or roads is more simpler compared with today’s ICT projects. 80% of ICT project involve people while construction project are not. They are building the project which “we build, they use”. But ours is “smart partnership in building and using”.

Although many people may call themselves project managers, but many do not earn project management certification, or even don’t have enough experience in handling projects. But still, the departments appoint them as project managers.

Since there is no prerequisite for having project management certification, it is strongly suggest that a project manager should have project management certification or had completed at least a number of ICT projects. This requirement should be stated in the tender document.
As such, it is timely to establish a national competency standard as a benchmark for under taking government ICT projects especially involving projects management consultants.

INTAN should look in setting up a variety of ICT project management training options to improve individual and agencies performance. INTAN should also consider establishing Project Management Centre of Expertise that regularly publishes educational materials, provides training, provide monitoring and showcase best practice of case studies.

We should strive to have the best human capital in project management expertise. It is a challenge for system information officers to establish a group of experts in project management within information system officer community. If we could perform an excellence job in managing ICT projects, we could do it better in other projects.

We should lead the public sector in having a pool of experts in project management. And, who knows, in the future we will be chosen as a project leader in any government projects.

* ISO = Information System Officer


Sekolah Kampung Sekolah Bandar


Keputusan UPSR telah diumumkan seminggu sebelum hari raya, maka bagi anak-anak yang cemerlang, sudah tentu dapat beraya sakan dan duit raya telah digandakan menjadi duit hadiah UPSR. Seperti tahun-tahun sebelumnya juga, saya perhatikan keputusan UPSR di beberapa sekolah di luar bandar adalah jauh lebih cemerlang dari sesetengah sekolah di bandar. Misalnya semasa anak sulung saya mengambil UPSR dulu, hanya 5 pelajar di sekolahnya yang mendapat keputusan 5A, berbanding dengan 14 pelajar di sekolah kampung dalam FELDA yang diduduki oleh anak saudara saya.

Pada tahun 2003 ini, secara rasminya diumumkan bahawa lima dari enam buah sekolah rendah yang mencapai kelulusan 100% 5 ABC adalah sekolah luar bandar. Sekolah yang dinaksudkan ialah:-
- SK Chalok, Setiu, Terengganu
- SK Kuala Jenderis, Kuala Berang, Terengganu
- SK Seri BEntong, Karak, Pahang
- SK Sentosa, Maran, Pahang
- SK Perian, Jerantut, Pahang
sementara sekolah bandar yang dimaksudkan ialah SK (Agama) Datuk Abd Kadir Hassan, Kuching, Sarawak.

Apa hal pula dengan sekolah-sekolah di atau di pinggir Kuala Lumpur?. Agaknya anak-anak di KL ni banyak sangat menghabiskan masa dengan bermain, ko-kurikulum ataupun terlebih tusyen?

Sesetengah pihak berpendapat, kelulusan 5A tidak membawa apa-apa makna dan bukanlah kayu pengukur kepintaran kanak-kanak tersebut. Juga sekolah di luar bandar terlalu menumpu untuk lulus peperiksaan yang boleh menyempitkan lagi minda pelajar dalam jangka masa panjang ....

Monday, December 01, 2003

Korban Aidilfitri


SELAMAT kembali semula kepada semua yang pulang kerana merayakan Aidilfitri di kampung halaman. Sudah menjadi kebiasaan di Malaysia, khususnya di KL, Aidilfitri disambut dan dirayakan sepanjang bulan Syawal ini. Tetapi jangan lupa berpuasa enam .... Seperti juga tahun-tahun sebelumnya, korban Aidilfitri di jalanraya sentiasa bertambah dan meningkat jumlahnya. Walaupun pelbagai kempen dan operasi SIKAP dijalankan oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri sudah berulang kali mengingatkan semua pengguna jalanraya supaya berhati-hati, sabar di jalanraya, biar lambat asal selamat dan telah mengarahkan supaya kenderaan berat tidak menggunakan jalanraya dua hari sebelum dan selepas hari raya. Namun semua nasihat dan arahan ini bagaikan masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja, kerana korban tetap meningkat, kemalangan tetap bertambah dan lori masih banyak di jalanraya.

YB Menteri Pengangkutan kata terdapat lebih 100 lori di hari pertama larangan dan 60 lori di hari kedua, namun tiada sebarang tindakan diambil kerana mereka ni nak balik "ke rumah" selepas hantar barang. Dalam perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke KL juga saya terpaksa mengekori beberapa buah lori yang membuatkan perjalanan begitu menyulitkan. Bertemu juga dengan beberapa sekatan jalan dan beberapa kenderaan pihak berkuasa yang seolah-olah tidak mengetahui langsung tentang arahan tersebut. Saya ada bertanya dengan pemandu lori (yang lain, yang patuh kepada arahan), dia kata arahan ini memang menyulitkan, namun dia dan taukeh dia tetap patuh walaupun hanya terima arahan melalui TV dan radio sahaja.

YAB Perdana Menteri juga meminta semua pihak menjadikan kempen keselamatan jalanraya ini sebagai "forum umum" untuk mencadang dan menghurai langkah terbaik ke arah jalanraya yang lebih selamat kepada semua penggunanya. Jadi selain dari TV, radio dan akhbar, sudah tentu kita boleh memenafaatkannya melalui blog....

Selamat bersidang dan berforum ke arah jalanraya yang lebih selamat.
Wassalam.