Labels

Saturday, October 30, 2004

PERTEMUAN II




warna bertemu
lukisan cat dan air
sebuah karya


Pertemuan II sedang dirancang ;-)

Friday, October 29, 2004

PERTEMUAN I



Gambar kelas 1976 dan hanya bertemu 28 tahun kemudian

MALAM kelmarin mba bawa keluarga berbuka di hotel. Saja nak beri peluang kat budak-budak merasa. Tanpa disangka-sangka bertemu pulak dengan classmate masa tingkatan 5 dulu. Tahun berapa tu? 28 tahun yang lalu!. Itulah kali terakhir kami berjumpa, iaitu pada hari terakhir SPM dan tidak mengetahui lagi khabar berita masing-masing hinggalah kelmarin.
Dia: Hmmm ini XXX ke?
Aku: A'aaaaa ini YYYYYY ya?
Dia: Lama kita tak jumpa
Aku: Last rasanya selepas SPM dulu kan?. Kira-kira 30 tahun yang lalu.
(dialog seterusnya semakin rancak dan selepas bertukar-tukar kad nama, kami beredar kerana waktu berbuka dah hampir)

Isteri kedua-dua kami cukup hairan, 28 tidak berjumpa masih boleh kenal siap dengan nama penuh sekali. Tabik!!!.

Thursday, October 28, 2004

RODAT


inang menari
rebana tar dipalu
rodat dirindu

RODAT: Ada sesiapa yang pernah menonton rodat? Atau tahu apakah itu rodat atau sekurang-kurangnya pernah mendengar perkataan rodat?. Masa saya kecil dulu, kerek (selalu) juga menontonnya, tapi kini boleh dikatakan tidak pernah lagi...

PERMAINAN rodat merupakan salah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih subur hingga sekarang. Permainan ini terdiri dari satu pasukan terdiri daripada pemukul rebana tar, orang meneggak dan mak inang. Pemukul rebana juga bertugas sebagai penyanyi bagi mengiringi orang menenggak dan mak inang. Ketua kumpulan ini dinamakan Tukang Adi yang akan membacakan lagu-lagu rodat dari kitab Hadrah. Kitab ini dipercayai dari Timur Tengah. Biasanya lagu-lagu rodat ialah tentang pemujian terhadap Tuhan dan nabi. Namun ada kalanya juga telah diMelayukan mengikut suasana semasa.

Rodat selalunya dipertunjukkan waktu malam. Biasanya dari jam sepuluh malam hinggalah fajar menyinsing. Pertunjukan diadakan apabila adanya majlis-majlis kahwin, kenduri, khatan, pesta-pesta perayaan atau Temasya Main Pantai

Mak Inang adalah merupakan tarikan utama terhadap sesebuah kumpulan rodat. Inang yang terdiri daripada gadis atau perempuan muda hanya keluar sekali sekala sahaja dan sentiasa diawasi oleh kumpulan tenggak. Masih kuingat ... pada zaman dahulu, setiap kali inang keluar, para penonton khususnya pemuda akan melontarkan rokok dan ada kalanya duit kepada mereka ini.

Diantara nama-nama lagu penting yang masih digunakan dalam Permainan Rodat yang terdapat di dalam Kitab Hadrah ini ialah:-

* Ya hayum ya qayum ( nama Tuhan yang mengidupkan ).
* Sillatullah ( hubungan dengan Tuhan ).
* Ya rasul Ya Rasulullah ( Wahai Rasul, wahai pesuroh Allah )
* Allah la illa ha illa llah ( tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah ).
* Zikri Nabi - al - mukhtar ( Nabi yang terpuji ).


MBA - Nostalgia lama.

Wednesday, October 27, 2004

APAKAH KEGUNAAN HANDPHONE?


SAKIT hati rasanya apabila kita berada dalam mesyuarat (apatah lagi bila mempengerusikan mesyuarat) dan dapat panggilan telefon yang bertalu-talu dari seseorang. Walaupun telefon berada dalam silent mode, namun ia tetap juga mengganggu. Ada ke sampai lapan kali berturut-turut panggilan dibuat?. Apa salahnya jika hanya menghantar pesanan ringkas (SMS) untuk menyatakan sesuatu?. Saya kenal pemanggil ini mempunyai telefon yang canggih, tetapi hanya tahu membuat dan menerima panggilan sahaja. Fungsi-fungsi lain sesebuah telefon bimbit tidak pernah digunakannya. Ada seorang lagi ni asyik membuat panggilan dengan berselindung, dan kita akan dapat No Caller ID. Yang ini saya tidak akan jawab walaupun sepuluh kali dia call.

Apakah kegunaan sesebuah telefon bimbit? Di antaranya termasuklah:-
-Buat dan terima panggilan
-Tulis dan terima SMS
-Buku alamat
-Penentuan lokasi
-Jam
-Kalendar
-Kalkulator
-Dengar muzik/radio
-Main games
-Terima & hantar e-mel
-Melayari internet
-Kamera
-Organizer
- sila tambah --

* Tahukah anda mengapa key-pad pada angka 5 pada setiap handphone agak timbul?

Tuesday, October 26, 2004

SUASANA RAYA



buluh nan tegap
karbaid campur air
dentuman maut

SEKARANG kita telah berada di bahagian kedua Ramadan. Sepuluh hari yang pertama telah berlalu. Namun suasana raya mungkin masih belum dirasakan lagi. Bagi perantau, atau sesiapa sahaja, suasana raya akan timbul apabila radio mula memainkan lagu raya. Lagu-lagu raya evergreen yang diputarkan di corong-corong radio ini akan meninggalkan nostalgia mendalam dan membawa seribu makna kepada pendengarnya.

Bagi masyarakat desa pula, apalah suasana menanti lebaran jika tanpa kedengaran dentuman meriam buluh. Halaman rumah pula dihiasi dengan pelita minyak tanah. Tanpa itu semua, mood raya masih belum tiba.

Bercakap mengenai nostalgia, bagi yang telah berpuasa pada tahun 70an ke 80an, tentu masih mengingati irama lagu Arab yang mengiringi masa hampir masuk waktu berbuka. Irama tersebut begitu sinonim dengan waktu berbuka. Namun setelah diselidiki, rupa-rupanya irama tersebut ialah dari lagu yang mengiringi tarian gelek yang popular di Mesir. Masyaallah!.

Monday, October 25, 2004

PANTUN RAYA (Slanga Negeri...)



Pantun Raya ini bukanlah yang baru, ia dah lama beredar dalam kotak-kotam e-mel:-

Terengganu...

Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicah cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung gile

Kelantan...

Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Pahang...

Sepadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin

Johor...

Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie

Melaka...

Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok

N. Sembilan...

Masak lomak cili api
Campo dongan daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri

org kolumpo jgn kocik ati !!!

Selangor/K.Lumpur...

Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu

Perak...

Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai

Kedah...

Aloq Staq terketaq-ketaq
Lapaq perut makan pau
Macam mana tak ketaq
Kena paksa bagi angpau

Penang...

Nasi kandaq kedai mamak
Anak mami juai pesemboq
Lepas raya usah dok triak
Kalu ceti mai ikut dapoq

Perlis...

Padang besaq kecik aja
Tempat Siam lalu lalang
Hari raya kita berbelanja
Jangan sampai menambah utang

Sunday, October 24, 2004

DIET UNTUK "RAJA SEGALA PENYAKIT"

Makanan yang perlu dielak – kandungan Purina tinggi:
*Organ dalaman: limpa, hati, jantung, perut, lidah dll
*Daging merah dan ayam itik yang berlebihan
*Makanan laut: kerang, siput, kupang, kepah, bilis, tenggiri, sardin, udang dll
*Semua jenis Kekacang,
*Ragi
*Cendawan
*Asparagus
*Alkohol

Makanan yang dibolehkan - rendah purina
*Buah-buahan – (ceri & strawberi adalah bagus)
*Sayuran (selain dari di atas)
*Biji-bijian
*“seedes & nuts”
*Roti putih/crakers (bukan gandum)
*Nasi putih
*Cereal
*Keju (semua jenis)

Saturday, October 23, 2004

GEN2: LEBIH BAIK BELI BASIKAL?


--------GEN2 ---------------------- Ford Fiesta ------------------ Rover 25



Sebuah majalah pemotoran di UK memberikan hanya satu bintang (daripada lima bintang) kepada kereta proton Gen2. Penulisnya berpendapat Gen2 agak cantik di luaran tetapi di dalam hanyalah plastik murahan. Membeli sebuah Ford Fiesta, Rover 25 yang lama atau sebuah basikal adalah lebih baik berbanding Gen2.

Kadang-kadang Mat Salleh cakap ni boleh bercaya jugak, jika kita tidak meletakkan sebarang prasangka. Gen2 berbanding dengan Ford Fiesta dan Rover 25 tu bolehlah diterima akal, tetapi bab basikal tu entahlah labu...






--- karangan asal ---
Gen2 looks quite smart from the outside and it was developed with help from Lotus - but don't be fooled. If you can put up with the appalling engine noise then the other serious drawback is lack of power, especially at low speed. Avoid the automatic gearbox option and buy a periscope for extra rear visibility. The driving position is terrible and soft seats don't help. Inside, the fit and finish lack any refinement. Passengers are confronted by dull, lifeless plastic and flimsy fittings all round. If you must have a brand new car then the Gen2 is relatively cheap - until you come to resell it. Equipment levels on some cars are good, with air conditioning and a Blaupunkt CD-player. Overall though, a smaller Ford Fiesta, an ageing Rover 25 or a bicycle are better buys.

Friday, October 22, 2004

LANGKAH MAYAT AKU DULU



mayat diusung
tinggal pangkat dan harta
menghimpun doa

MUNGKIN kita pernah dengar ungkapan "langkah mayat aku dulu". Ia diucapkan secara kasar dan mencabar untuk menolak sesuatu. Misalnya jika suami ingin berkahwin lagi satu atau girlfriend nak kena rampas atau anak dara nak dikahwini oleh pemuda yang tidak disukai. Akhirnya ungkapan ini boleh menjadi kenyataan, iaitu suatu pembunuhan.
Dulu di negara kita pernah diberitakan seorang ahli parlimen menyebut perkataan tersebut sebelum malaysia boleh diistiharkan sebagai negara Islam...

Walau apapun, saya cuma ingin kepada pembaca, apakah yang anda akan lakukan jika anda dikatakan begitu oleh tidak lain dari bos anda sendiri?.

Alkisahnya begini. Kami (saya dan rakan-rakan) membuat suatu cadangan mengenai suatu projek. Ia adalah bagus dari segi teknologi, selamat, menjimatkan kos dan tidak memerlukan ramai kakitangan untuk pelaksanaannya. Ia adalah suatu alternatif yang baik (perasan kami ler) kepada sistem yang sedang diamalkan. Cadangan ini dipersembahkan dengan baik dan profesional (perasan lagi...). Ia adalah logik dan tidak logiklah untuk ditolak. Hujahnya bernas dan semua soalan dapat dijawab dengan tepat dan menasabah. Oleh kerana bos tidak mahu ia dilaksanakan walaupun terpaksa bersetuju dengan hujah-hujahnya, maka ia mengucapkan kata-kata tersebut kepada kami. Pada masa itu hanya Allah sahajalah yang tahu apa perasaan saya dan rakan-rakan. Jika ia terjadi kepada anda, apakah yang anda akan lakukan?.

Selepas dari peristiwa tersebut, saya perasan yang bos tidak lagi meminta apa-apa cadangan dari saya, tidak lagi mengindahkan saya dan setiap kali saya membuka mulut dalam mesyuarat ia akan dicantas sebelum ayat dapat dihabiskan. Walaupun idea saya bagus, ia tidak akan mendengarnya. Memikirkan yang saya ini jenis yang tak reti bercakap, maka saya berikan idea yang sama kepada orang lain untuk diucapkan dan ia diterima dengan bangganya.

Akhirnya saya dapatlah signal yang diinginkan. (Syukur... kerana dalam perkhidmatan gunasama). Apabila orang lain mendengar apa yang saya telah lakukan dan telah tidak saya lakukan, kata mereka 'tingginya tahap kesabaran you.... jika I lah hmmmm..... ".

---- pengajaran -------
Kita makan gaji, jangan tunjuk pandai, jangan tunjuk terror dgn bos, tapi buat2 pandai seperti mana yg bos mahu. Jika memang awak pandai, resign saja kerja sendiri.


Thursday, October 21, 2004

KITA ADALAH APA YANG MEREKA FIKIRKAN


PERKHIDMATAN awam terbahagi kepada perkhidmatan tertutup (khusus untuk jabatan/ kementerian tertentu sahaja dari awal hingga pencen) dan perkhidmatan terbuka @ gunasama (boleh berkhidmat dan bertukar di mana-mana jabatan/ kementerian/ agensi). Dalam masa lebih 20 tahun berkhidmat, MBA telah berkhidmat di tujuh buah jabatan/agensi di tujuh kementerian yang berbeza. Paling lama ialah 7 tahun dan paling singkat ialah 2 bulan di sesebuah agensi, dengan purata 3 tahun bagi setiap agensi/kementerian. Ini adalah perkara biasa bagi pekerja dalam perkhidmatan gunasama. Walau bagaimanapun ada juga rakan-rakan yang 20 tahun masih di organisasi yang sama dan ada juga yang telah bekerja hingga ke 13 agensi dalam tempoh yang sama.

Rekod dan reputasi pekerja awam dalam perkhidmatan gunasama dibawa ke mana-mana dan kita tidak dapat menjangka di mana kita akan berada dan kepada siapa yang kita akan bekerja. Ada staf yang minta ditukarkan kerana tidak suka dengan bos mereka dan tidak kurang juga bos yang tidak dapat bertahan dengan kerenah anak buah. Tapi selang beberapa tahun mereka berjumpa semula di suatu tempat baru dan pusingan hidup perlu dimulakan semula. Ada juga yang menjadi bos di sesuatu agensi dan menggunakan pemerintahan secara kuku besi terhadap anak buah. Tetiba dia terpaksa melapor diri kepada anak buah tersebut di suatu organisasi lain sebab dah terbalik kot. Pendek kata dalam perkhidmatan gunasama ini, semua boleh jadi dan yang penting semua hendaklah respek satu sama lain sebab kita sesama dalam gunasama.

Penerimaan penjawat gunasama di sesuatu agensi adalah bergantung kepada "rekod" yang dibawa. Biasanya ia adalah lebih kepada apa yang difikirkan oleh mereka (penerima) kepada kita. Misalnya banyak ...

Wednesday, October 20, 2004

BERSAHUR DENGAN VOLTAREN, BERBUKA DENGAN VIOXX



kaki berdenyut
pantang sudah ku pantang
raja penyakit


RAMADAN tahun lepas terpaksa ke klinik untuk menerima suntikan penahan sakit. Sambil berjenaka doktor berkata yang ini adalah kali pertama beliau memberi rawatan kepada "raja penyakit" pada bulan puasa. Biasanya pada bulan puasa, penyakit ini tidak datang. Ingatkan ia tidak akan berulang pada Ramadan ini, namun harapan hanya tinggal harapan sahaja. Teringat kepada sebuah buku yang dibaca bahawa pesakit ini perlu meminum banyak air, berpantang makan dan "tidak boleh puasa". Dalam hati terfikir, ini buku karya orang kafir, memang macam itulah gayanya. Namun bila berfikir dua-tiga kali dan cuba duduk di sebelah penyelidik tersebut, tanpa iman sememangnya benarlah apa yang dibukukan...

Tadi sekitar jam 4 pagi, "raja" tersebut datang lagi. Semakin lama semakin parah dan sebelum waktu bersahur habis, terpaksalah menelah sebiji voltaren untuk membolehkan ke pejabat seperti biasa. Jika tidak terlentanglah seharian di rumah. Namun voltaren ini pulak lambat benar meresapnya, sekitar jam 9 pagi kaki masih lagi berdenyut yang amat sangat dan terpaksalah mempengerusikan mesyuarat dengan segala keperitan. Sudahlah lambat bermula, tapi cepat pula ia berakhir. Jam 4 petang bergegas pulang selagi boleh memandu dan sebaik sampai di rumah sahaja kesan voltaren sudah habis namun tidaklah begitu menderita menunggu waktu berbuka.

Selepas berbuka, sudah tentu tidak dapat ke surau dan denyutan demi denyutan, serangan bertubi-tubi di segenap penjuru kaki. Akhirnya terpaksa jugalah mengalah di antara kesan pain-killer dengan menahan rasa sakit. Kali ini sebiji vioxx ditelan dan katanya ia boleh bertahan selama 24 jam. Moga-moga boleh ke pejabat semula selepas subuh besok.

Inilah penderitaan "raja segala penyakit" (sakit yang teramat sangat) yang biasanya dihidapi oleh "raja-raja" (banyak memakan protin) yang dinamakan gout. Masa ini barulah rasa bersyukur bekerja dalam gomen. Walaupun bertongkat, masih lagi boleh mengheret badan ke ofis. Masa kerja kat HS dulu, seorang kenalan swasta terpaksa diberhentikan kerja kerana terlalu banyak MC kerana serangan gout dan akhirnya buah pinggang sudah tidak berfungsi. Sudahlah jatuh ditimpa tangga, terkena pulak tahi ayam.

Quran kata: Setiap penyakit ada ubatnya, melainkan mati
Dr. kata: Penyakit awak ini sudah tidak ada ubatnya. Jika sakit telah pain-killer saja, jika tidak telah pil utk kurangkan uric acid, sampai bila-bila.
Apa kata anda? ...

Tuesday, October 19, 2004

NALURI ATAU PERASAAN?



duduk berbincang
lihat tengok dan rasa
membeli rumah

SETELAH bekerja selama 10 tahun kira-kira 14 tahun yang lalu, saya layaklah membeli rumah. Itulah syarat memohon pinjaman perumahan pada masa tersebut (sekarang boleh beli rumah bila-bila masa sahaja selepas disahkan dalam jawatan). Oleh kerana anakpun dah nak masuk empat orang, maka kami memutuskan untuk membeli rumah yang telah siap. Beli, bayar dan terus boleh duduk. Tidak perlu tunggu beberapa tahun atau kadangkala puluh-puluh tahun sebelum dapat menduduki rumah yang sudah dibeli.

Membaca iklan, bertanya kawan dan mencari agen hartanah adalah tugas wajib kami pada masa tersebut. Lepas satu rumah satu rumah lagi, lepas satu kawasan satu kawasan lagi mencari rumah yang sesuai (dengan kelayakan pinjaman yang terhad). Ejen hartanah yang biasa akan memberikan tiga tips untuk membeli rumah, iaiatu 1. kawasan 2. kawasan 3.kawasan. Ejen hartanah saya memberi satu tips yang saya rasa amat bersesuaian dengan jiwa saya. "awak masuk ke dalam rumah tersebut, tengok apa yang ingin dilihat dan jika awak ada rasa satu macam feeling, itulah rumah yang sesuai untuk awak, usahalah untuk mendapatkannya". Feeling tersebut sukar untuk diceritakan, namun itulah rumah yang saya duduki sekarang.

--- mari belajar bahasa -----
naluri: desakan hati untuk melaksanakan sesuatu, tabiat semula jadi

perasaan: perihal merasai dengan hati atau batin, hasil atau perbuatan hati atau batin, sentimen.

Monday, October 18, 2004

MUSIM PERIKSA



dewan periksa
tahan lapar dahaga
ujian iman


KITA masih dalam bulan ujian. Baru lepas UPSR diikuti dengan PMR. Kita dapati ramai ibu bapa bercuti kerana memberi sokongan moral kepada anak-anak untuk mengambil peperiksaan. Dalam bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan ujian kepada semua umat Islam. Mudah-mudahan semua akan lulus dalam ujian ini. Hari ini dan esok ramai lagi pegawai kerajaan akan mengambil Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK). Namun rasanya tidak ada suami yang bercuti kerana isteri mengambil PTK ataupun sebaliknya isteri yang bercuti

Selamat berjaya kepada semua

Sunday, October 17, 2004

HARAKIRI


HARAKIRI adalah perkataan Jepun yang membawa erti "potong perut". Ia itu cara mengambil nyawa sendiri dengan cara memotong bahagian perut dengan benda tajam seperti pisau atau pedang. Di zaman lampau, harakiri adalah merupakan satu hukuman dari pemerintah terhadap pegawai kerajaan yang menyeleweng, tidak cekap ataupun melakukan kesalahan. Harakiri adalah menjadi suatu kebanggaan kepada keturunan pegawai kerajaan atau yang bertaraf samurai atau shogun.

Walau bagaimanapun di zaman moden ini, harakiri sudah tidak diamalkan lagi di Jepun. Sungguhpun begitu semangat harakiri ini masih membara meresapi jiwa masyarakat Jepun. Sekiranya sebarang kesalahan dilakukan oleh pegawai kerajaan, menteri dan sebagainya, mereka akan melakukan harakiri cara mereka. Umpamanya dengan meminta maaf dengan melutut kepada orang awam, keluarga mangsa dan paling tidakpun akan meletakkan jawatan.


Berlainan sekali halnya di negara kita. Misal kata seseorang menteri berbuat salah. Jarang sekali kita dengar mereka akan meminta maaf, apatah lagi meletak jawatan. Jika 'menteri tersebut meletak jawatan kerana kesalahan yang dilakukannya, niscaya tidak akan ada seorangpun menteri di negara kita ini' adalah suatu ungkapan yang rasa-rasanya pernah kita dengar. Malaysia dengan moto "Melayu mudah lupa" sudah tentu tidak akan wujud harakiri dalam kamusnya.

Saturday, October 16, 2004

RAMADAN INI: 3 BULAN GAJI

RAMADAN kali ini, seperti biasa juga kakitangan kerajaan akan menerima 2-3 bulan gaji. Gaji pertama, iaiatu untuk bulan Oktober akan dibayar pada 12 Ramadan. Gaji kali ini sekali gus dengan bonus sebulan gaji (bagi yang berpendapatan kurang RM1000) atau setengah bulan gaji. Kemudian pada 25 Ramadan gaji bagi bulan November pula akan dibayar. Hmmmmm begitu istimewa sekali Ramadan ini, dibayar sehingga 3 bulan gaji!.



Ramadhan
Naluri kita manusia
Selalu leka
Hanya sujud dan sembah
Padanya jua

Kini engkau ku datangi
Berserah diri
Bersama kehitaman masa
Nan silam

( korus ) Ampunan Mu kuharapkan
Tiada daya... aku menghindarkan
Kesalahan dan dosaku
Hanya Engkau Yang Tahu
Di Ramadhan ini kabulkan doaku

( 1 )
Suluhkanlah cahaya Mu
Di malam yang penuh syahdu

( muzik )

( ulang korus & 1 )

Ramli Sarip (Ramli Sarip / Hartina Ahmad)


Friday, October 15, 2004

JUADAH BERBUKA

A - Akok, Apam
B - Beleda (agar-agar),Buah Melaka, Baulu
C - Cengkodok, Cucur Badak, cara berlauk, cakar ayam, cendol
D - Donut
E - Epok-epok
F - Fillet-O-Fish
G - Buah Gomok, Kuih Gulung,
H - Horlic
I - Ikan Bakar
J - Jala Mas, Kuih Jagung
K - Keria, Kuici, Kole Kacang, Ketayap, Karipap, Kuih Karas, Kurma
L - Lompat Tikam, Lepat Pisang, Kuih Lapis, Laksa, Laksam
M - Murtabak
N - Nekbat, Nasi Dagang
O - Otak-Otak, Ondeh-Ondeh
P - Pulut Lepa, Popia, Pengat, Pau
Q - 'Quey' Teaw Goreng
R - Roti Jala, Roti Sira
S - Sago-Sago
T - Tepung Pelita, Tapai
U - Ubi
V - Vitagen
W - Wadeh, Wajik,
X - Xfactor ice cream (nestle)
Y - Yong Tau Fu
Z - Zinger Burger


* Yang biru tu dari Sifu-MD

Thursday, October 14, 2004

KERJA KERJA KERJA KERJA

MENGAPA kita semua perlu kerja?.
Ada yang bekerja untuk hidup.
Ada yang hidup untuk bekerja.
Ada yang bekerja sekadar untuk menghabiskan waktu lapang.
Ada yang bekerja kerana bosan berada di rumah.
Ada yang bekerja untuk bersosial.
Ada yang bekerja kerana terpaksa bekerja
Ada orang kerja untuk dapat kuasa

Macam-macam alasan kerja
Macam-macam jenis kerja
Ada orang kerjanya membaca
Ada orang kerjanya berkata-kata
Ada orang kerjanya makan saja
Ada orang kerjanya main merata-rata
Ada orang kerjanya tulis berita
Ada orang kerjanya duduk saja
Ada orang kerjanya tak buat apa-apa
Ohhh bosannya!

Namun
Sebaik-baik alasan bekerja ialah kerana
kerja itu ibadah
kerja itu fardhu kifayah
Tetapi
Macamana ekk yang dikatakan kerja itu ibadah?
Sebab masa kerjapun curi tulang
Masa kerjapun umpat orang
Masa kerjapun asyik hilang (pergi sembahyang?)

Wednesday, October 13, 2004

SELAMAT BERPUASA & KHATAM QURAN


SELAMAT berpuasa kepada semua yang akan berpuasa. Dalam bulan puasa ini, elok jika dapat khatamkan satu Quran (bulan lainpun elok juga). Quran yang bersaiz biasa ada 604 muka surat. Jadi kalau nak khatam dalam masa sebulan (30 hari), maka caranya ialah baca 4 muka surat setiap kali lepas sembahyang fardhu. Itu sahaja..... (4 mukasurat X 5 waktu sembahyang X 30 hari = 600 mukasurat = satu Quran). Membaca satu huruf dari Quran kita akan memperolehi 10 hasanah, dalam Quran ada berapa huruf?.

Wassalam.

Monday, October 11, 2004

PhD




segulung kertas
pangkal nama bertukar
ewah PhD!

SABTU minggu lepas aku dijemput untuk memberi ceramah kerjaya kepada pelajar-pelajar tahun akhir di sebuah IPTA di selatan tanah air. Jemputan melalui telefon dibuat pada hari Khamis. Oleh kerana itu adalah Sabtu tidak bekerja, maka tak perlulah minta kebenaran bos untuk keluat pejabat. Walau bagaimanapun, oleh kerana menunggu jemputan rasmi dan aturacara melalui fax atau e-mel tidak kunjung tiba, hati mula berfikir untuk membatalkannya sahaja. Usaha memujuk offismate supaya menggantikan diri tidak berjaya kerana bagi beliau, semua perkara perlu dibuat secara teratur, ada persediaan dan rasmi. Tanpa itu semua, sorry!. Walhal profesor yang membuat jemputan tersebut adalah merupakan bekas bos beliau. Aku ni pulak adalah jenis manusia yang susah nak kata tidak. Sanggup sajalah. Apatah lagi yang menjemput tu adalah kawan dan bos dia juga adalah classmate aku masa sekolah dulu. "datanglah ya.... kita lunch sama dan sembang-sembang banyak perkara".

Setelah difikir-fikir, pujuk-pujuk diri sendiri, akhirnya sampai jugalah ke destinasi tersebut. Nak menyesal dahulu sebelum pergipun takut pulak menghampakan 300 pelajar yang sedang menunggu. Hmmmm.... kalau menyesal kemudian tak berguna lagi kan?. Bila dah sampai, perutpun memainkan lagu keroncong. Ingat bila dah selesai seramah/taklimat, bolehlah ke kedai mamak mana-mana. Tapi, giliran pula ditunda hampir sejam. Ohh ini tak boleh jadi ni... air mati pun tak ada? Nasib baik ada bekalan dalam kereta.

Lepas ceramah, bertolak balik ke KL jam 5:30pm dan sampai di rumah sebelum maghrib. Entahlah aku memandu kereta atau kapalterbang?. Rasa-rasanya orang lain dah biasa buat begitu, tapi ia adalah pertama kali aku lakukan...

Apa kena mengena tajuk PhD dengan isi karangan yang merapu ini?. Aku sendiri masih belum menemui jawapannya.

Sunday, October 10, 2004

AYAM PANDAN

SEMASA Halela tiba di NRE, kami sedang makan sebaik sahaja sesi pagi meeting berakhir. Saya menghabiskan suapan terakhir setelah menerima signak dari Sila. Kemudian kami keluar ke suatu destinasi untuk makan tengahari (sekali lagi). Salah satu dari menunya ialah Ayam Pandan.

Semut bertanya: ayam pandan tuh ape ekk? wangi la ayam tuh ek? semut bayangkan kaler ijau tapi takkan la kan? hehe

OK ini gambar ayam pandan:

Daging ayam dimarinate dan dibungkus dengan daun pandan kemudian digoreng dalam minyak mendidih."deep fried".

Sedap ke?: Sedap jugak.

Jumaat, Sabtu dan Ahad MBA hadiri sesi 'team building' di Putrajaya. Sebelah malamnya ada jamuan di restoran Thai dan salah satu menunya ialah "Pandan Chicken". Bungkusannya sama sahaja dengan "Ayam Pandan" hari tu, tetapi warna ayam tersebut adalah hijau dan rasanya kureng sikit.

Friday, October 08, 2004

KASIH AYAH SEPANJANG JALAN


Kasih saudara semasa berada;
Kasih ayah sepanjang jalan;
Kasih ibu membawa ke syurga

MEMANG tidak dinafikan kasihnya ibu kepada anak-anaknya adalah melampaui sempadan (macam Internet?).[dibaca sebagai: Jika berjauhan dalam negeri, hantar SMS. Jika di luar negeri hantar e-mel, jika tak sempat nak balik rumah, tinggalkan duit untuk cari makan sendiri, jika lambat balik pesan saja kat nursery supaya overtime]. Begitu besar sekali pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anaknya. Sudahlah terpaksa mengandung selama sembilan bulan, melahirkan, menyusu (walaupun susu lembu) seterusnya membersarkan anak-anak. Nabi juga berpesan kepada kita supaya mengasihi ibu beberapa kali melebihi kasih kita semua kepada bapa.

Namun dalam kehidupan saya, saya menemui ramai sekali ayah yang pada perhitungan saya mempunyai beberapa kelebihan istimewa yang diberikan dan dikorbankan kepada anak-anaknya. Di antara sebab-sebab yang menjadikan ayah memberikan 'kasih sepanjang jalan' kepada anak-anak mereka ialah kerana ibu telah tidak lagi memberikannya kerana sebab-sebab tertentu.

Saya mengenali seorang ayah kepada dua orang anak yang kematian isteri semasa anak-anak masih kecil lagi. Dengan segala susah payah dia membesarkan anak-anaknya bersendirian. Mengangkutnya pagi-pagi ke rumah pengasuh dan mengambilnya semula di sebelah petang. Pantang ada masa terluang, anak-anaklah dunianya. Kini anak-anak sudah remaja dan puluhan tahun beliau hidup tanpa hari minggu seperti orang lain. Bukan tidak ramai gadis, andalusia, janda, balu dan yang seumpamanya yang berkenan, yang diperkenalkan dan yang disuakan. Namun kerana anak-anak dia sanggup berkorban diri sendiri dan kini sudah hampir kepada usia persaraan. Namun ada juga suami yang kematian isteri, terus sahaja berkahwin lain. (Sebenarnya jenis ini juga terpaksa mengorbankan bujangnya kerana anak-anak yang memerlukan kasih ibu).

Saya juga mengenali ayah dan suami yang cukup unik dan istimewa. Beliau menjahit semua pakaian anak-anak perempuan dan juga pakaian isterinya. Ini merupakan keistimewaan, mungkin bukan pengorbanan.

Berapa ramai ibu yang bekerja bangun di awal pagi untuk menyediakan sarapan dan memasak untuk anak-anak yang akan ke sekolah dan yang berada di rumah?. Saya cukup kagum dengan ibu sedemikian yang mengorbankan masa tidur dan keindahan diulik mimpi untuk berada di dapur pada setiap hari. Dengan kekaguman tersebut, sebenarnya saya lebih kagum dengan ayah yang saya kenali yang mengambil tugas tersebut. Beliau melakukannya setiap hari setelah sekian lama memerhatikan anak-anaknya tidak dapat menikmati makan pagi dan juga makan tengahari yang sempurna di rumah(baca: masak mee segera atau goreng telur). Kasihnya ayah .....

Thursday, October 07, 2004

KAIZEN


PERTAMA KALI bertemu dengan CEO, hanya satu ayat yang diucapkannya. "Ofis awak ni macam kampung, sepatutnya ofis IT adalah canggih dan menjadi model kepada yang lain". Untuk mengatasi persepsi ofis kampung ini, kami bergotong royong mengemaskan pejabat, membuat susun atur dan membuang pokok-pokok palsu yang tumbuh meliar di segenap penjuru ofis. Konsep 5-S diamalkan.

Prinsip 5-S dalam amalan kaizen:adalah asas kepada peningkatan produktiviti dan kualiti yang berterusan:-

SISIH
Sisihkan dan buangkan barang-barang yang tidak diperlukan.

SUSUN
Susun barang-barang dengan teratur supaya ianya mudah diambil atau dipulangkan ke tempat asal.

SAPU
Sentiasa bersihkan tempat kerja anda dengan rapi supaya tiada kekotoran di lantai, mesin dan peralatan.

SERAGAM
Memelihara taraf kebersihan dan penyusunan tempat kerja yang efektif dan sistematik setiap masa.

SENTIASA AMAL
Melatih pekerja mematuhi prinsip 5S dengan baik supaya menjadi amalan budaya kerja yang cemerlang dan berterusan.

Akhirnnya panel hakim dijemput untuk membuat penilaian.


UPDATE Pertanyaan dari SD mengenai 5S dalam bahasa Jepun:-

Seiri (Sort)
Seitun (Set-in-Order)
Seiso (Shine)
Seiketsu (Standardize)
Shitsuke (Sustain)

Wednesday, October 06, 2004

PESTA NAIK HARGA


PESTA NAIK HARGA khabarnya sedang rancak berjalan di seluruh negara. Harga semua benda naik. Harga nasi ayam sudah tentu naik sebab harga ayam naik. Selain dari produk yang berasaskan ayam, semua produk lain juga dilaporkan naik harga. Sebabnya ialah kerana kenaikan harga minyak dan tidak ada satu produkpun yang tidak terlibat dengan kenaikan harga minyak. Perkhidmatan secara langsung dengan minyak seperti tambang bas, teksi dan yang seumpama dengannya memanglah menasabah dinaikkan. Walau bagaiamanapun beberapa pengusaha industri pengangkutan dilaporkan sebagai berkata, tambang tidak perlu dinaikkan jika kerajaan menurunkan kadar cukai jalan. Namun kerajaan berpendirian tegas yang road tax ini tidak akan diturunkan dan pengusaha perlulah mencari jalan lain untuk menyerap kos kenaikan harga minyak.

Hmmmm.... sepatutnya kerajaan yang berusaha menyerap kos kenaikan harga minyak ini tanpa membebankan rakyat. Namun kerajaan berkata ia sengaja mengambil jalan yang tidak popular ini kerana (terpaksa?). Ya lah sebab pemilihan sudah berlalu dan pilihanraya jauh lagi..... Akhirnya segala beban kenaikan harga dalam pesta ini rakyat sendirilah yang tanggung.

Di tempat lain (agaknya), jika penjual nak naikkan harga naiklah, pengguna tidak hairan sebab pengguna ada pilihan untuk tidak membeli produk yang harganya mahal. Sebab itulah walaupun dalam jenama yang sama dan dalam daerah yang sama, harga minyak petrol dari satu stesen dengan stesen yang lain harganya berbeza... (bukan kat sini, ini cerita kat tempat lain). Jadi pengguna boleh buat pemilihan sendiri nak pergi ke stesen mana, samada dari segi harga atau layanan atau jarak atau faktor lain (jenama minyak adalah sama). Di tempat kita bila boleh berlaku agaknya?.

Tuesday, October 05, 2004

KOBAYASHI ISSA

KOBAYASHI ISSA ialah satu nama yang cukup besar dalam dunia haiku di Jepun. Beliau adalah merupakan seorang pelopor haiku, di samping seorang lagi tokoh iaiatu Basho.

Ini ialah sebuah buku koleksi 250 haiku Issa yang dihadiahkan oleh Halela kepada MBA. Mengikut Halela (yang telah khatam membaca buku Issa ini), kehidupan Issa penuh dengan penderitaan dan karya-karya haiku beliau menggambarkan rasa hati, kesedihan dan kepiluannya. Walau bagaimanapun asas haiku yang menitikberat dan mengutamakan soal musim tetap menjadi pegangan kukuhnya.

Domoarigato gozaimasuta Halela.

Monday, October 04, 2004

NEPAL MASUK MELAYU


wajah rupawan
nepal masuk melayu
musnah bahasa

UNGKAPAN "Nepal Masuk Melayu" bukanlah suatu peribahasa baru. Ia adalah suatu perumpamaan yang diberikan oleh seorang ahli parlimen semasa perbahasan bajet Kementerian Penerangan di parlimen baru-baru ini. Ungkapan ini ditujukan kepada pembaca berita RTM (TV1 dan TV2).

Alhamdulillah, RTM banyak mengambil pembaca berita yang cantik rupa parasnya. Namun dia punya bahasa dan cara sebutan, masyaallah setakat boleh faham sajalah. Macam "Nepal masuk Melayu" sahaja lagaknya. Selain dari itu, RTM juga dibidas kerana membelakangkan bahasa Melayu dan tidak mengendahkan teguran pihak yang lebih pakar dalam soal bahasa apabila tetap mempertahan dan menggunakan infotainmen sebagai slogannya.

MBA: Jarang tengok berita RTM dan lepas ni minat jugalah nak tengok macamana rupa 'Nepal Masuk Melayu' tu...

Sunday, October 03, 2004

NOREN



noren nan cantik
langsir dari nigata
inai berbudi

NOREN atau Japanese Curtain (langsir Jepun) ialah sejenis langsir pendik yang digantung menegak di bahagian pintu dapur, restoran, bar ataupun kedai-kedai di Jepun.

Domo arigato gozaiamasuta (terima kasih yang tidak terhingga) kepada Inai kerana telah menghadiahkan noren kepada MBA.

Saturday, October 02, 2004

DARI OKINAWA KE PUTRAJAYA

Dari Okinawa ke Singapura
Singgah Sebentar di Putrajaya
Tinggal Anak Tinggal Saudara
Di Kuala Lumpur Kita Berjumpa



Cerita lanjut di blog Nectar .Gambar lain di photobucket Fotopages

Friday, October 01, 2004

HARGA MINYAK NAIK LAGI


MULAI hari ini harga petrol dan diesel serta LPG naik lagi...
Dua minggu lagi masuk Ramadhan, harga ayam naik lagi

Harga ayam naik kerana pihak kerajaan menerima permohonan daripada persatuan penternak ayam, persatuan penjual ayam dan yang sewaktu dengannya. Pernah ke harga ayam (atau apa sahaja) turun kerana kerajaan menerima permohonan dari persatuan pengguna?. Ada!!!..... semalam harga air minuman dan harga air mineral turun.

Harga minyak naik kerana katanya harga minyak mentah dunia naik. Walau bagaimanapun harga minyak tidak pernah turun apabila harga minyak mentah dunia turun. Sebabnya ialah:-

Harga minyak di Malaysia adalah yang paling murah berbanding negara jiran
Harga ayam di Malaysia adalah yang termurah berbanding negara jiran
Semua yang kat Malaysia adalah yang termurah berbanding dengan negara jiran (termasuklah gaji).