Labels

Monday, October 13, 2003

MAJLIS KENDURI ORANG MELAYU

MAJLIS KENDURI ORANG MELAYU

Semasa di kampung dulu, jika sekala-sekali ada kenduri, emak dan ayah terpaksalah pergi menjemput orang kampung, tok guru, tok imam, tok bilal, tok siak sebagainya dari rumah ke rumah. Jemputan menggunakan kad tidak akan dibuat. Jemputan menggunakan wakil yang dilantik khas hanya untuk yang jauh lokasi dan pertaliannya sahaja.

Para jemputan ini mahu menerima jemputan dari tuan rumah sendiri dan sekiranya hanya meninggalkan pesanan sahaja, itu hampir samalah statusnya dengan tidak menerima jemputan. Orang-orang Melayu kat kampung ni biasanya sensitif, jika tidak dijemput ke sesatu majlis kenduri, sampai ke anak cucu diungkitnya. Kadang-kadang ianya perlu dijemput juga walaupun memang tidak akan pergi (sebab ada keuzuran dan sebagainya). Mengikut pengalaman, di antara individu-individu yang paling sensitif dan tidak akan hadir ke majlis jika tidak dijemput mengikut “protokol” yang betul ialah pak imam yang akan baca doa. Jadi masyarakat kampung dah “kenal sangat”lah dengan “protokol” yang dimaksudkan.

Pada zaman moden ini, khususnya di bandar, jemputan biasanya menggunakan kad sahaja. Seorang sahabat saya dari keturunan Tionghua cukup rimas apabila jemputan beliau dijawab dengan insyaallah. Katanya, jika insyaallah itu, maknanya tidak akan datanglah. Beliau faham makna insyaallah ini bermaksud jika diizainkan Allah, namun katanya yang menjawab sedemikian akan carilah apa sahaja alasan yang menjadikan Allah “tidak mengizinkan” mereka ni hadir.

Sebenarnya tulisan saya ini timbul hasil dari Jamujan Makan Malam JICA Alumni pada malam tadi. Ramai daripada para jemputan yang tidak hadir. Ada yang memang dah maklumkan lebih awal, ada yang cari pengganti. Tetapi ada juga yang memberi kesanggupan untuk hadir (insyaallah), sampai saat akhir, :tidak dapat” hadir juga. Kadang-kadang kita jemput makan free ni sudah juga jadinya. Jika dikenakan bayaran, barangkali mereka akan hadir atau akan carikan pengganti supaya hadir. Walau bagaimanapun, yang menjemput saya rasa tidaklah “ikhlas”, memandangkan bukan semua orang yang dijemput, kecuali yang “ada kepentingan” sahaja. Maklumlah jika sekadar nak memenuhkan meja, sudah tentu banyak lagi orang di KL ini yang belum makan dan akan tidak menolak untuk makan free. Tetapi yang kita jemput adalah orang-orang yang dah “kenyang” belaka.


----------- hadis darihal majlis kenduri ----------------
Hadis Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang daripada kamu dijemput ke majlis kenduri maka hendaklah kamu menghadirinya

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Makanan yang buruk ialah makanan di majlis kenduri yang mana jemputannya ialah orang-orang kaya sahaja dan orang-orang miskin tidak dijemput. Orang yang tidak memenuhi jemputan sesungguhnya dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya


No comments: