Labels

Monday, February 28, 2005

BERFIKIR DI LUAR KOTAK


AKHIR-akhir ini, pemimpin kita kerap menyeru rakyat jelata amnya dan pegawai kerajaan khususnya supaya "berfikir di luar kotak". Adapun bagaimana rupanya "kotak" tersebut tidaklah dapat hamba fahami. Barangkali juga ia adalah "kotak fikiran". Jika benar begitu, apa akan terjadi bila kita berfikir di luar dari fikiran?. Ha ha ha entahlah labu...

Orang dulu-dulu yang terkenal kerana "berfikir di luar kotak" ialah Hang Nadim. Kononnya Hang Nadim ini ialah anak kepada Hang Tuah. Dia telah mengeluarkan fikirannya (keluar dari mana entahlah jika dia dikatakan berfikir di luar kotak), untuk menghalang dari Singapura di langgar todak.

Bila semua rakyat jelata seronok bercuti, ada orang mencadangkan supaya cuti tidak diperlukan dan perlu dihapuskan. Bila orang ramai semuanya mencemuh Charles kerana ingin berkahwin dengan Camelia, ada orang yang memujinya kerana sanggup berkahwin dengan janda tua yang lebih tua dari dirinya sendiri dan tidak juga rupawan. Itu adalah cinta sejati, katanya. Inikah yang dikatakan "berfikir di luar kotak"?.

Sunday, February 27, 2005

DIALOG ANTARA RUMI DAN JAWI



JAWI telah didapati bersalah kerana menangkap orang salah. Berikut adalah dialog yang tidak ingin kita dengar:-

RUMI: Mengapa kamu tangkap mereka?. Apa kesalahan mereka?. Kamu nak caj bawah akta mana?

JAWI: Mereka memang bersalah. Mereka tidak bersopan. Pakaian mereka tidak senonoh. Mereka ditangkap di tempat yang menghidangkan arak.

RUMI: Mana ada akta mengatakan itu adalah suatu kesalahan?

JAWI: Barang siapa yang bertentangan dengan undang-undang Islam, bertindak atau berkelakuan menjolok mata di tempat awam adalah bersalah dan boleh dihukum”

RUMI: Ah itu terlalu umum, terlalu subjektif. Apa itu berkelakuan tidak senonoh atau menjolok mata?. Ia terpulang kepada penerimaan masyarakat. Ia terlalu kanur, subjektif.

JAWI: Orang Islam dilarang meminum, menghidang, melayan, membawa arak. Malahan memerah anggur untuk dijadikan arak juga dilarang dan adalah suatu kesalahan.

RUMI: Apa akta yang menyatakannya?

JAWI: Ini ada dalam Quran

RUMI: Dalam Quran tu lain, jika tak ada akta mana boleh hokum mereka.

JAWI: OK Seksyen 19(2) Kesalahan Jenayah Syariah.

RUMI: Itupun tak detail, macamana nak hukum?. Lagipun engkau pilih kasih. Mengapa kelab malam ini saja engkau serbu?. Banyak lagi kelab malam lain yang buat kesalahan yang sama, yang hidangkan arak, mengapa tak serbu?. Pilih kasih tu salah. Lagi satu, mengapa engkau tak naik kapalterbang dan tangkap pramugari yang hidangkan arak kepada penumpang?

JAWI: Aku baru tangkap satu, engkau dah heboh seluruh dunia, macamana nak tangkap semua?. Kalau aku naik kapalterbang kang, engkau tentu akan jadi peguambela kata ia tidak tertakluk kepada akta kerana berada di ruang angkasa. Engkau ni dah sunat ke belum?. Jika belum eloklah engkau masuk jawi.

Thursday, February 24, 2005

MAA

"itu senang saja, bukan susah maa...". "kita bikin ini macam lagi cantik maa".

ungkapan "maa" rasanya sudah banyak menyerap dalam struktur bahasa Melayu. Rasa-rasanya dalam sepuluh tahun lagi "maa" akan dimasukkan dalam Kamus Dewan maa... Sama seperti "lah" yang telahpun didaftarkan dalam Kamus Dewan.

Bagi orang Melayu Singapura, perkataan "lu" dan "gua" memang telah menjadi sebutan rasmi mereka, bagi menggantikan engkau dan aku atau I dan You.

Bukan itu macan maa...

Wednesday, February 23, 2005

CAYANG BOS

INI sekadar untuk menjawab pertanyaan Adik-WK di TagBoard dan mereka-mereka yang dah terlepas masa untuk check-in :-






BOS NAMPAK BERGAYALAH!

IDEA BOS NOMBOR 1!

BOS SUMBER INSPIRASI SAYA!

LAWAK BOS MEMANG BEST!

BOS ADA KELAS!

BOS MEMANG BIJAK!

BOS MEMANG SELALU BETUL!

PUTIH KATA BOS,
PUTIH KATA SAYA, BOS!

SAYA SAYANG BOS!

Monday, February 21, 2005

HOMESTAY DI MALAYSIA


peserta homestay 2004

SERAMAI 8 orang pelajar dari Jepun ingin membuat homestay selama satu malam, dari 26/3-27/3 (Sabtu-Ahad) di sekitar Kuala Lumpur/Putrajaya/Lembah Kelang. Mereka ialah merupakan kanak-kanak sekolah yang telah memenangi peraduan mengarang bahasa Inggeris anjuran JICA. Berikut ialah nama-nama mereka:-

1) Kobayashi Tomoyo (F) 15 y
2) Yanagihara Mamika (F) 14 y
3) Anpeiji Makot (M) 15 y
4) Sasaki Rika (F) 15 y
5) Shimizu Ayaka (F) 18 y
6) Miyanaga Yakinori (M) 18 y
7) Li Hisato (M) 17 y
8) Yoshida Robson (M) 19 y

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengambil mereka sebagai anak angkat, bolehlah hubungi saya untuk maklumat lanjut.

Sunday, February 20, 2005

SELESA DI SELESA HILLHOMES



awan memutih
selesa di Selesa
aman bersantai

Sesi perancangan strategik dan pelan tindakan myJICA 2005-2008 di Selesa Hillhomes, 19-20 Februari 2005.

Friday, February 18, 2005

PEREMPUAN MELAYU TERKINI




Duduk bersimpuh
Perempuan melayu
Tersenyum sipu

DULU-dulu penampilan perempuan Melayu terbahagi dua. Pertama yang bertudung atau menutup aurat. Kedua yang tidak bertudung atau mendedah aurat.

Bagi lelaki, ada dua pilihan sahaja, iaitu mahu yang bertudung atau tidak bertudung. Pilihan lain ialah yang tidak bertudung dan kemudian minta bertudung selepas kahwin. Walau bagaimanapun kadang-kadang berlaku juga sebaliknya.

Kini kaum lelaki ada satu lagi pilihan, iaitu mahukan yang berambut warna asli (hitam) atau berambut warna. Keghairahan mewarna rambut kini begitu menjadi-jadi.

Berikut adalah petikan dari laman web JAKIM:-

Mewarnakan rambut dari segi hukum syarak terbagi kepada :
1.Harus mewarnakan rambut dengan warna selain hitam.Warna hitam hannya harus bagi yang berpenyakit sahaja
2.Makruh mewarnakan rambut bagi orang muda
3.Haram mewarnakan rambut bagi orang yang terlalu tua
4.Haram mewarnakan rambut tanpa tujuan
5.Harus mewarnakan rambut dengan izin Suami.

Dari segi ingredient pewarna rambut yg ada dipasaran terbahagi kepada 2 jenis yang mana kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan. Yang menjadi persolan adakah pewarna tersebut menyerap air atau tidak ?? Pewarna rambut yang dipasaran biasanya akan tertulis pada kotak PERMANENT DYE atau SEMI PERMANENT DYE. Mengikut kajian jenis yang Semi-Pamenent Dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ianya tidak boleh dipakai oleh orang islam.Begitu juga sebaliknya.. JAKIM sendiri tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ianya di kilangkan di luar negara. Utk pengetahuan, JAKIM hanya akan keluarkan sijil halal utk produk yang diproses di malaysia sahaja . Wassalam

Pada masa akan datang agaknya kita boleh pilih warna mata pula …

Thursday, February 17, 2005

MURAH BERMAKNA RUGI?




surat dihantar
dijamin sampai esok
kad warna kuning


SEORANG makcik penjual nasi lemak mengeluh. Dia kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit setahun kerana nasi lemaknya dijual dengan harga 80 sen sahaja, sedangkan nasi lemak orang lain harganya RM1.00 sebungkus. Harga murah tersebut menyebabkan ramai sangat orang datang membeli nasi lemaknya, terutamanya orang dari luar negara yang mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi dan pertukaran nilai wang yang lebih baik. Makcik ini berpendapat dia kerugian 20 sen bagi setiap bungkus nasi lemak yang dijualnya. Oleh itu setelah mendapat pandangan seorang konsultan yang menjual kotak plastik, dia bercadang untuk menjual nasi lemaknya dengan harga RM1.20 setelah dibungkus dalam kotak khas berjenama yang dibeli dari konsultan terbabit. Makcik ni fikir dia boleh untuk 40 sen bagi setiap kotak nasi lemak yang dijualnya. Pandai betul makcik ni berniaga, panjang wawasannya. Tapi dia tak fikir bahawa dengan menaikkan harga nasi lemaknya, orang ramai tidak lagi akan membeli nasi lemaknya, akan tetapi akan membeli nasi lemak dari makcik lain yang dijual dengan harga RM1.00. Walau bagaimanapun harap-harap makcik ni seronoklah dengan mengira untuk 40 sen bagi setiap yang datang membeli berbanding rugi 20 sen dulu tu...

POS Malaysia dilaporkan sebagai berkata yang mereka kerugian RM4 juta setahun kerana haga stem pos cuma 30 sen sahaja berbanding dengan negara jiran yang lebih mahal. Oleh itu banyak sangat surat-surat dilambakkan ke Malaysia untuk diposkan. Untuk mengelakkan kerugian berterusan, mereka akan naikkan harga stem bagi surat perdagangan dan surat persendirian akan diwajibkan menggunakan sampul khas dengan harga yang sama, jika tidak akan dikenakan stem 45 sen berbanding 30 sen sekarang.

Engkau punya servis tak baguspun ramai juga penggunanya rupanya ekk?. Naikkanlah harga lagi supaya orang tak payah gunakan stem lagi dan supaya pejabat pos boleh jadi lengang dan lebih banyak untung diperolehi... he he.

Dua hari lepas ada terima sekeping kad kuning dari "dijamin sampai esok" aka PosLaju. Ini memenag perangai PosLaju, depa ni dok kira nak hantar kad kuning suruh penerima pergi ambil sendiri surat kat pejabat mereka, bukan berusaha nak pastikan penerima dapat surat yang dihantar.

Kat obersi dulu, posmen akan berusaha hubungi penerima samada melalui telefon atau bertanya jiran dan segala usaha supaya surat berdaftar atau laju dapat diterima. Posmen akan tanya bila masa ada kat rumah, mereka boleh hantar atau nak letak surat tu kat mana (dalam tong sampah ke, dalam reban ke) macam-macamlah. Kalau siang tak boleh, malampun dia sanggup hantar. Inilah posmen di negara orang. Posmen di negara sendiri khabarnya ada simpan ribu-ribu surat dalam rumah sendiri....

Wednesday, February 16, 2005

MAHATHIR ATAU MALAY CHAN

Ni nak tanya pembaca yang tahu mengenai Restoran Mahathir atau Restoran Malay Chan (atau apa-apa lagi restoran Malaysia/Halal kat Tokyo). Ada tak sesiapa yang ada peta macamana nak ke restoran berkenaan?


Malay-chan. Nishi-Ikebukuro 3-22-6. Open 11am-2, 5-10:30pm (LO) daily. Tel: 5391-7638.



Mahathir Restaurant.
Hyakunincho 1-17-10, Tokyo.
Tel: 03 3367 3121

Mahatiru.
ST Building 1-17-10 Hyakunin-cho, Shinjuku-ku, Tokyo.
Tel: 03 3367 3121

Malay-chan.
Nishi-Ikebukuro 3-22-6, Tokyo.
Tel: 03 5391 7638.

Only Malaysia.
26-5 Udagawacho, Shibuya-ku, Tokyo.
Tel: 03 3496 1177

Rasa Malaysia.
4F, Hashimoto Bldg, 1-6-6, Kabukicho, Shinjuku-ku, Tokyo.
Tel: 03 3209 9315

DITAHAN POLIS

KELUAR dari ofis semalam, dapat panggilan telefon. Sambil berjalan sambil bercakap dan terus ke kereta. Bercakap lagi setelah memandu hinggalah terserempak dengan polis kat roundabout. Polis terus kejar dan suruh berhenti.

Encik m.b.a , maafkan saya kerana terpaksa memberhentikan awak. Tadi masa kat round about saya nampak encik sedang bercakap di telefon bimbit tanpa menggunakan handsfree. (dalam hati 1. baiknya polis ni, siap bagi salam dan minta maaf 2. Bila masa dia kenal nama aku?)

Ya betul kata ku

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah suatu kesalahan. Jika encik tidak tahu, sekarang saya beritahu. Ia adalah satu kesalahan dan saya boleh saman encik. Bla bla bla bla dia beri syarahan @ berleter kat aku. Aku diam saja, buat muka bodo saja. (dulu masa aku muda-muda, kalau kena tahan camgini, aku akan cakap, Jangan buang masa sayalah, kalau nak saman, samanlah cepat, saya banyak kerja ni. Awak nak apa dok berteler ni?. Tapi kali ini aku cool jer, biarlah apa dia nak cakap. Diapun gian nak bersyarah jugak agaknya tu).

Encik kerja kat kementerian mana (sambil tengok stiker kereta yang terpampang). Eh tahu-tahu pulak dia aku ni orang gomen. Tu kat kementerian 'a.b.c'. Apa jawatan encik kat situ?. pengarah ke? . ksu ke? atau apa?. Aku terperangkap dengan soalan ini sebab tak tahu apa sebenarnya yang dia nak tahu. Ah bantai sajalah... saya kerja 'xxxx'. xxxx tu apa?. Ala yang jaga itu-itu tu?

Ada lesen?. Bak tengok lesen. Masa ni aku blur lagi. Kalau aku nak confiuskan dia aku bagi myKAD saja sebab kat situ memang ada lesen dan aku tahu dia tak ada reader. Oleh kerana aku sendiri yang dah confuse, aku hulurlah lesen aku. Bila tengok lesen, bila tengok alamat dia beri balik semula dan memulakan lecture baru (teringat kawan aku letakkan alamat kat lesen dia sebagai Ibu Pejabat JPJ Malaysia...).

Encik telah buat salah, saya boleh saman encik, encik begitu encik begini. Mengapa tak pakai handsfree?. Telefon cangih sekarang semua ada. (Dalam hati: Nak minta maaf ke nak biart jer dia membebel ni?). Nak mencelahpun tak sempat, dia membebel macam tembakan M16 jer. Akhirnya dia kata anggaplah ini satu amaran dan ia adalah amaran terakhir, Buat lagi saya saman. OK terima kasih dan aku belah dan telefon berdering lagi.... Alamak!.

[di sebalik tabir peristiwa]
1. Mengapa dia tahu nama penuh aku?
- Aku masih pakai pass kerja, dia baca dari pass tu. Hampeh betul, ingatkan aku ni glamer.

2. Kalau dihulur myKAD rasanya kes ni tak boleh setel, sebab dia tak ada reader

3. Kalau aku lawan dia ni, mesti kena saman punya.

4. Mengapa dia perlu tahu jawatan aku sebelum decide nak saman atau nak lepaskan?.

5. Lain kali MESTI pakai handsfree masa memandu OK?.

Tuesday, February 15, 2005

PATI ATAU PETI?

DALAM kesibukan kes Pekerja Tanpa Izin (PATI), khususnya dari Indonesia yang datang ke negara kita ini, ada orang berkata bahawa menggaji PATI samalah dengan berjudi secara haram (mana ada judi halal?). Dalam berjudi, ada yang kalah dan ada yang menang. Sekiranya yang kalah tidak mahu membayar kepada yang menang, maka tidak ada sebarang undang-undang yang boleh digunapakai kerana perbuatan tersebut memang haram.

Persoalan pertama yang timbul ialah mengapa diumpamakan menggaji PATI seperti berjudi?. Di antara seorang pekerja dan majikan samakah dengan berjudi? Bila masakah pekerja akan menang dan majikan akan rugi atau sebaliknya? Awak suruh dia buat kerja dan kemudian tak bayar gaji dan kata tak ada undang-undang yang boleh diguna pakai sebab dia datang secara haram. Itu dah macam hamba abdi... Jika begitu halnya, lebih baik PATI tersebut mencuri, merompak dan me***** majikannya kerana kedatangannya ke negara ini memang haram. Eh? mencuri kena hukum! samada datang halal atau haram. Kenapa pulak suruh PATI bekerja dan tak bayar gaji tak boleh kena hukum (jika bersalah)?.

Itu macam punya orangpun boleh dikutip pendapatnya untuk disiarkan secara besar-besaran dalam TV. Buat malu sajalah...

Monday, February 14, 2005

BUBUR ASYURA ATAU BUNGA?



HARI ni berkoyan-koyan bunga bertukar tangan sebab menyambut hari kekasih ....
Tapi bukankah elok jika kita saling beri-memberi bubur asyura sempena dengan hari asyura sehari dua lagi?.

Elok jika kedai dan pasaraya menyedia "kuih sura" bi dalam paket yang menarik kan?.

HARI VALENTINE

Artikel ni setahun yang lalu dari akhbar:-


Murtad sambut hari kekasih mirip agama Kristian

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:
``Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.''

Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom.

``Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama.

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II.
Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Hari ini budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan orang-orang yang mereka sayangi sebagai simbolik dalam menyatakan cinta terhadap mereka.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka. Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut. Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine' sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.

``Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala.

``Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik,'' kata beliau.
Menurut Harussani, Islam turut menggalakkan umatnya mengasihi sesama mereka secara ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.

``Berkasih sayang bagi Islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia,'' kata beliau.

Sunday, February 13, 2005

MENCARI MAKNA

dia:Datanglah, kita boleh berbincang pasal itu.
aku:Ya saya mesti datang. Boleh hantar mel/surat/fax jemput saya, untuk bolehkan saya dapat visa?
dia: diam
dia: diam
dia: Saya ingat U tak perlu datang, kita boleh selesaikan urusan ini dengan e-mel saja
aku: Saya perlu datang juga. Jangan risau soal visa, saya boleh uruskan sendiri. Harap kita dapat bertemu.

ini bukan dia, yang ini dia


dia: Terima kasih kerana datang ke pejabat kami dan perbincangan kita begitu bermakna. Terima kasih banyak.
aku (dalam hati):Aku datang mencari makna. Aku ingat dia ialah seorang nenek atau kurang-kurangnya makcik, oh rupa-rupanya muda belia...

Tuesday, February 08, 2005

SELAMAT: TAHUN BARU CINA, MAAL HIJRAH, CUTI



SELAMAT bercuti kepada semua sempena cuti panjang Tahun Baru Cina & Tahun Baru Islam.

Blog ini juga akan turut bercuti.
Jumpa lagi tahun hadapan.


Monday, February 07, 2005

MENTERI SWASTA?


barisan menteri kabinet - gambar hiasan

MENTERI ialah ahli pemerintahan yang tertinggi dalam jurusan atau kementerian yang dipimpinnya dalam sesebuah negara. Misalnya menteri pengangkutan bertanggungjawab dalam soal pengangkutan samada di darat, laut ataupun udara. Jika kerajaan ada syarikat seperti KTM, maka menteri pengangkutan bukan sahaja jaga KTM, malahan STAR, PUTRA dan MONOREL juga. Jika kerajaan ada MAS, maka AirAsia juga dijaga oleh menteri yang sama. Seseorang menteri tidak boleh hadkan skopnya menjadi terlalu kecil untuk menjaga kepentingan kerajaan sahaja, tetapi Malaysia (termasuklah swasta juga).

Contoh lain ialah, menteri kesihatan, bukan hanya jaga hospital kerajaan, tetapi hospital sawsta juga. Begitu juga dengan menteri pelajaran, bukan hanya jaga IPTA, tetapi IPTS juga.

Dapatkah anda kaitkan contoh-contoh di atas dengan yang menjaga RTM, TV3, NTV7 dan sebagainya yang menimbulkan pelbagai isu sehari dua ini?.

Sunday, February 06, 2005

DARI MANA HENDAK KE MANA



DULU:
dari mana hendak ke mana
tinggi rumput dari padi
tahun mana bulan mana
dapat kita berjumpa lagi

KINI:
dari mana hendak ke mana
banyak papan dari tanda
tahun mana bulan mana
nak selesai hutang berganda

Friday, February 04, 2005

SUSAH SENANG MENCARI REZEKI


AHAD lepas MBA ke Pasar Seni @ Central Market kerana membeli beberapa cenderamata yang diinginkan oleh peserta kursus yang akan berangkat ke Jepun. Mereka nak berikan cenderamata ini kepada sensei dan rakan-rakan baru @ sekelas mereka. Sebaik sahaja selesai urusan jual beli, hujan turun dengan lebatnya. Maka tersadailah di situ sementara menunggu hujan reda untuk menaiki LRT pulang ke rumah.

MBA pergi dari satu gerai ke satu gerai melihat 'seniman' mencari rezeki. Sebuah lukisan dijual sekitar RM5000. Dalam hati bertanya sendiri, dalam setahun berapa buah yang laku?. Pelan dan lakaran sebuah rumah mewah dijual RM50,000 (dengan 2X ansuran). Ada ke pembelinya?.

Akhirnya bertemu dengan seorang penyair jalanan yang menjaja puisinya. (Mengapa poet diterjemah sebagai penyair?. Bukankah penyair adalah penulis/pembaca syair?. Penyajak patutnya penulis/pembaca sajak dan pemuisi ialah yg menulis puisi?). Entahlah labu.... Penyair ini agak pelik sikit (mana ada penyair yang tidak pelik?). Katanya dia belajar kat UK, lepas tu merantau di pelbagai negara, tulis puisi merata-rata. Pernah dapat anugerah kat US. Balik Malaysia dan kerja kat bank, tapi tak seronok lalu ambil keputusan menjaja puisi di CM (entah betul entah tidak cerita dia, atau entah-entah dia memang tak betul). Tapi oleh kerana hujan lebat, kita layan jugaklah puisi dia ni. Satu puisi dia dijual dengan harga RM10 (lebih mahal dari sebuah antologi penyair yang kurang ternama). Dengan membayar RM10, pembeli dapat sebuah puisi, dapat dengar deklamasi dia (kalau ada pita/kamera/video boleh rakam ). Nak buat apa dengan puisi tersebut?. Nak bacapun bukannya faham, nak dengarpun bukannya ... Dalam sehari dapatlah RM20-RM30 katanya hasil usaha dia mendekati berpuluh-puluh orang yang terlarat olehnya.

Perbuatan penyair ini menjaja puisinya samalah dengan seorang pengemis yang menjaja kalendar atau ayat Quran yang tidak meminta 'derma ikhlas'. Namun rasanya seorang pengemis mendapat pulangan yang lebih lumayan berbanding dengan penyair tersebut.

Thursday, February 03, 2005

KENAPA TAK MAHU CUTI?


KERAJAAN memberi cuma satu hari sahaja cuti dalam setahun kepada warga kerja di Wilayah Persekutuan, iaitu pada 1 Februari. Namun ada orang yang tidak mahu bercuti dengan alasan tidak dapat memenafaatkan cuti tersebut. Tidak tahu nak buat apa semasa cuti. Tidak dapat bercuti. Rasa resah gelisah bila cuti. Dalam bahasa lain ia boleh ditulis sebagai mati kutu bila bercuti.

Tidak boleh atau tidak tahu memenafaatkan cuti tersebut adalah kelemahan peribadi. Soal kedhaifan peribadi begini tidak perlulah melibatkan orang lain hinggakan ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menghapuskan cuti Hari Wilayah Persekutuan.

Apakah sebabnya seseorang itu tidak perlu bercuti atau memenafaatkan cuti walaupun diberikan cuti?. Saya rasa di antaranya ialah:-

1. Tiap-tiap hari dia memang cuti, kerjapun cuti
2. Dia boleh main golf masa kerja, tak perlu tunggu cuti
3. Dia boleh keluar pejabat sesuka hatinya, buat apa cuti?
4. Nak servis kereta? Drebar dia uruskan
5. Nak bayar bil?. Office(r) boy dia buatkan
6. Atap rumah bocor? Ada kontraktor tolong buatkan
7. Nak baca buku cerita?. Tiap-tiap hari baca kat ofis
8. Nak menulis?. Tiap-tiap hari jugak tulis, mana perlu cuti?
9. Nak balik kampung?. Masa kerja lagi baik, boleh buat program rasmi, boleh claim lagi untuk balik kampung
10. Nak raikan sedara-mara atau orang kampung datang bertandang, apa pulak cuti?. Boleh buat urusan rasmi apa?.
11. Nak tidur? Kat ofispun boleh tidur (selalu tidurpun)
12. Nak bersembang-sembang?. Tiap-tiap hari bersembang @ meeting, siap boleh marah-marah & kutuk orang lagi.
13. Nak pekena teh tarik kat kedai mamak?. Apalah perlu cuti, takat 3-4 jam sehari tu biasa ler...
14. Nak main-main dengan kucing?. Kucing kat ofis lagi ramai. Kucing Parsi ada, kucing Siam ada ayam seramapun ada...
15. Lain-lain-lain lagilah.

Namun berapa ramai sangatkan yang kerjanya adalah cuti?


Wednesday, February 02, 2005

WEBLOG: PENULISAN KELAS DUA?


[JAWAPAN MBA kepada pertanyaan yang dilontarkan kepada Tok Rimau (Presiden GEJU) rentetan dari Wacana Weblog di Rumah Pena Sabtu lepas:

1) Sejak bila menubuhkan blob/weblog di internet dan berapa ramai yang sudah membacanya?

Tarikh sebenar ialah 12 Ogos 2002, tetapi cuma sehari sahaja sebelum disambung semula pada 26 April 2003hinggalah sekarang. Berdasarkan statistik yang diukur dari 26 Julai 2003 menunjukkan 101,693 pelawat telah berkunjung.. Biasanya lebih dari 200 kunjungan dicatat dalam sehari, pada hari biasa dan menurun pada hujung minggu. Catatan kunjungan tertinggi dalam sehari ialah 508. Mungkin pengunjung yang sama datang beberapa kali dalam sehari, atau seorang pengunjung hanya datang sekali seminggu, sekali sebulan atau sekali-sekala. Maka jumlah pengunjung sebenar tidak dapat dipastikan.

2) Khabarnya hanya penulis tidak bernama yang membaca karya sastera di weblog?

Saya mendapat khabar yang penulis besar tidak membaca karya sastera rakan mereka, walaupun di kertas cetakan, apatah lagi jika di weblog. Ada sebilangan dari mereka juga masih menggunakan mesin taip dan tidak mempunyai alamat e-mel. Jadi tidak hairanlah jika mereka tidak membaca.

Jika orang yang buta huruf tidak boleh membaca (mereka menikmati karya melalui deria dengar atau lihat) dan orang yang rabun komputer juga tidak boleh membaca (karya di weblog).



3) Ada pendapat mengatakan karya weblog adalah karya kelas kedua? Apa komen saudara mengenai perkara ini?

Karya sastera zaman dahulu kala, di zaman Tok Selampit dikisahkan secara lisan. Hanya masyarakat setempat dapat menikmati karya tersebut. Dengan kemajuan teknologi, karya telah ditulis dan dicetak, diperdengar melalui radio dan di tayang di layar TV. Pembaca, pendengar dan penonton merangkumi seluruh negara. Dengan teknologi Internet, weblog membolahkan karya disebar ke seluruh dunia.

Ini bermakna karya weblog bukan kelas kedua, tetapi berkelas dunia.


4) Berkarya di weblog, tiada siapa yang mengedit atau menilai bahasanya. Dimanakah kualiti penulisan itu sendiri?


Karya atau penulisan tanpa edit adalah yang paling jujur, ia adalah suara hati. Kualiti penulisan di weblog adalah kejujurannya. Ia tidak perlu diedit supaya menepati mana-mana teori penulisan atau mengikut rentak editor atau penerbit.

5) Difahamkan Tok Rimau menerbitkan makalah Gangguan Teksual, bagaimana dengan hakcipta dan royalti?


hakcipta adalah hak penulis dan terpulang kepada Tok untuk memberi royalty (jika ada) ..... selebihnya Tok kena jawab sendiri....

6) Mampukah karya sastera di weblog memartabatkan sastera negara sedangkan ia tiada proses penyuntingan?

Tidak semua karya yang diterbitkan (yang melibatkan proses suntingan) adalah bermutu dan boleh memartabatkan sastera negara. Karya-karya dalam weblog atau karya siber tidak semestinya tidak bermutu hanya kerana tidak mengalami proses suntingan oleh editor. Sebagai contoh dalam beribu-ribu karya sastera yang disiarkan (tanpa suntingan) di www.esastera.com sudah tentu terdapat beratus-ratus yang baik dan bermutu (malahan lebih baik dari karya yang telah disunting) Perlu diingat, tidak semua karya di weblog, atau karya siber tidak disunting. Contohnya haiku yang disiarkan di www.melayu.com disunting terlebih dahulu (secara ala kadar) oleh pentadbirnya.

Sekiranya soal suntingan yang menentukan mutu sesebuah karya, maka saya berpendapat karya yang disiarkan di weblog lebih bermutu kerana ia disunting terus oleh pembaca dan pengulasnya dan tidak terbatas kepada hanya seorang penyunting.

Saya pernah hadir ke anugerah puisi alam siber (APAS) dan hakim (penulis tersohor) memberitahu yang beliau tidak dapat membezakan (dari segi kualiti) di antara karya dari media cetak dengan karya alam siber (selepas dicetak). Nah.... berkualiti apa! karya alam siber...


7)Saudara dari disiplin yang berbeza dengan sastera tetapi kenapa begitu minat berkarya? Pernah menerbitkan buku?

Sastera adalah milik semua. Jika ia tidak menyusahkan orang lain apa salahnya? Buku? Nantilah.

8) Tidak teringinkah berkarya luar dari dunia maya dan menghantar kepada penerbit?

Nanti ada yang tidak boleh cari makan pulak. Ha ha ha ha

9) Setiap hari berapa ramaikah yang mengunjungi weblog saudara?

Sekitar 200


10) Tidakkah berkarya melalui weblog menghilangkan atau memutuskan silaturahim kerana hanya berinteraksi melalui media elektronik dan teks menjadi penghubung tanpa dapat melihat reaksi atau ekspresi wajah orang yang memberi tindakbalas atau komen kepada weblog anda?

Karya melalui media tradisional milik orang lain adalah lebih banyak memutuskan silaturahim kerana ingin cantas mencantas, pilihan kroni dan rasa tidak puas hati dengan pihak-pihak lain.


Kalau kalian tidak larat jawab semua, pilih satu pun cukuplah.

Jawapan secara ala kadar sahaja.

Tuesday, February 01, 2005

SELAMAT MENYAMBUT HARI WILAYAH





daun melambai
angin sepoi bahasa
hari wilayah