Labels

Sunday, November 10, 2013

ANTARA PERATUTAN DAN BUDI BICARA

AYAH saya dimasukkan ke hospital dan ditahan diwad kerana dikesan menghidapi barah paru-paru tahap akhir. Emak menelefon saya dan memberitahu "Doktor kata ayah kamu ada masa tujuh hari sahaja lagi untuk hidup". Terkejut dengan kata-kata itu, saya terus pulang ke kampung.

Tiba di hospital, saya ditunjukkan dengan x-ray dada ayah saya yang hampir keseluruhannya berwarna hitam di bahagian dadanya. Memang di peringkat akhir dan sudah tidak boleh diselamatkan lagi.

Saya tinggal di hospital menemani ayah beberapa hari. Berbincang dengan beberapa orang doktor pakar. Akhirnya ayah buat keputusan untuk pulang ke rumah. Doktor memberikan kebenaran. Saya dan adik-beradik bawa ayah pulang ke rumah. Sebagai bekalan, doktor bekalkan dengan sedikit "ubat batuk". Saya agak ia adalah morphine, untuk menahan sakit. Dicatatkan pada kad untuk mengambilnya di farmasi.

Walau bagaimanapun pegawai di farmasi tidak mahu memberikan ubat tersebut. "ubat ini tidak boleh dibawa balik, ia hanya untuk diminum dalam wad sahaja. Itu peraturannya".

Saya pergi menemui doktor pakar. Seorang ketua jabatan. Dia kawan sekelas saya. Beliau mengiringi saya ke kaunter farmasi, namun pegawai farmasi masih tidak mahu membekalkan ubat tersebut.

Farmasi: Ini ubat kawalan. Tidak boleh dikeluarkan tanpa tandatangan doktor pakar.

Doktor: Saya doktor pakar. Biar saya yang tandatangan.

Farmasi: Hanya doktor pakar yang merawat dia boleh tandatangan

Doktor: Tidak mengapa, nanti saya dapatkan tandatangan doktor itu. Sementara itu sila berikan ubat ini. Biar saya yang bertanggungjawab dan ambil risiko.

Farmasi: Tidak boleh. Saya ikut peraturan.

Doktor: Saya tahu peraturan, tapi cubalah guna budi bicara. Pesakit ini sudah kritikal. Sudah tahap akhir. Cuma ubat ini sahaja yang dapat melegakan dia buat seketika. Apa salahnya kita meringankan beban manusia lain?. Dia pesakit kita.

Akhirnya saya pulang tanpa ubat tersebut. Pihak farmasi menelefon saya seminggu selepas itu minta datang mengambil ubat yang dimaksudkan. Pada ketika itu ayah saya sudahpun pergi meninggalkan dunia ini.

Alfatihah.