Labels

Friday, January 28, 2005

ENTAH IYA ENTAH IDAK


PENGGUNA disel mengeluh sekarang.
"haiya, manyak susah woo, rata-rata pigi, minyak abis. macamana mau kerja?. mau cari makan pun susah woo. Ada duitpun tatak guna, minya semua abis. Murahpun apa guna jika stok abis?. Saya ingat kalau juai sikit mahaipun tak apa, asal jam kita mau pakai, stok ada. Haiya.... manyak lugi ooo berniaga, minyak punya pasai".

Nah sekarang pengguna sendiri sudah meminta supaya harga minyak (disel) dinaikkan. Kerajaan tidak mintak. Penjual tidak mintak. Pengguna juga yang mintak. Ia suatu strategi yang bagus??. Entahlah labu...

Thursday, January 27, 2005

YANG MANA SATU?




YANG mana satu pembekal telefon mudah alih yang bagus?. Celcom atau Maxis atau Digi?. Antara pre-paid dan post-paid rasa-rasanya memang dah nekad nak gunakan post-paid (bil) sebab malas nak top-up.

Pada masa ni dah bertahun-tahun gunakan Maxis yang cuma RM10 saja sebulan. GPRS juga percuma (tanpa caj bulanan), cuma bayar bil penggunaan saja. Mengapa nak tukar?. Ooh kat pejabat ni Maxis tak berapa stabil, ada satu bar saja. Kat kampung lagilah teruk, kosong bar. Selain dari itu rasanya semuanya OK.

Cuba-cuba nak pakai Celcom. Kat ofis OK. Kat kampung OK, Tapi kena bayar RM10 yuran laluan tetap untuk GPRS. Kena bayar RM15 untuk yuran laluan tetap bulanan untuk talian. Dah kira RM25 yuran tetap bulanan. Dah rugi RM15 berbanding dengan Maxis. Kalau Celcom pre-paid, GPRS cuma bayar caj penggunaan saja, tapi sampai bila?.

DiGi?. Ala.... tak payahlah talian ni lagi tak stabil kat sini.

Ada sapa-sapa aa cadangan baik?. Tukar ke tidak?. Celcom ke Maxis?.

Wednesday, January 26, 2005

Weblog: Ruang Ekspressi Idea dan Sastera




Tajuk: Weblog: Ruang Ekspressi Idea dan Sastera
Moderator: Nazmi Yaakub, cerpenis, novelis, wartawan
Ahli Panel:
-Sri Diah, Editor Kanan di Penerbitan Karangkraf, Novelis Alaf 21
-Nisah Haron, Peguam, Cerpenis, Novelis
-Tok Rimau, Presiden Geng Jurnal 2004
Masa: 3 petang
Tarikh: 29 Januari 2005, Sabtu
Lokasi: Rumah PENA, Kuala Lumpur
(Depan Wisma MAA, dekat Restoran Tupai-tupai dan mercu tanda yang mudah dikenali Bangunan DBP yang ada rehal kat bumbungnya)

Minum petang disediakan

Tuesday, January 25, 2005

HAJI DAN HAJAH


haji dan hajah
ihram melilit tubuh
dam haji jahil


TERINGAT perbualan semalam "selamat hari raya haji" eh eh... "selamat hari raya hajah" juga.

Jika begitu, LUTH (Lembaga Urusan Tabung Haji) kena tukar kepada LUTHH (Lembaga Urusan Tabung Haji & Hajah) atau LUTHHP... Ini ialah kerana mengikut Kamus Dewan, hajah bererti "haji perempuan".

Di tempat saya gelaran "haji" diberikan kepada seseorang yang telah menunaikan fardhu haji di Mekah, tanpa mengira jantinanya. Contoh yang paling nyata misalnya ialah Haji Gayah (Hajah Rugayah Sulung) yang merupakan qari (sepatutnya qariah?) terkenal pada masa itu.

Oleh kerana Pak Haji biasanya dipanggil Pak Aji dan biasanya Mak Aji lebih kerap dipanggil berbanding Mak Hajah atau Mak Ajah. Maka "dam haji" atau "dam aji" sesekali boleh juga dipanggil "dam hajah".

Sunday, January 23, 2005

TAYAR KL MONOREL MELETUP (LAGI)



KIRA-KIRA tiga tahun lalu, KL menjerit gempar dengan peristiwa tayar (roda sebenarnya) KL monorel jatuh dan menimpa seorang wartawan yang berjalan di bawah landasan. Perkara tersebut dianggap mustahil oleh pengurusan KL Monorel. Mereka berjanji yang peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.

Semalam, tayar KL monorel meletup pula. Ia mencederakan dua orang penumpang. Pada kali ini pihak pengurusan KL monorel berkata perkara seumpama ini tidak mungkin boleh berlaku dan berjanji peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.

Entahlah di mana silapnya, entah apalah malangnya perkara yang dianggap mustahil telahpun dua kali berlaku terhadap KL monorel. Peristiwa ini mungkin suatu kemalangan yang tidak dijangka (macam tsunami, siapa yang jangka boleh melanda negara kita?). Namun menyedari hakikat bahawa budaya selenggara adalah terlalu lemah di negara kita, tidak mustahil perkara yang mustahil boleh menjadi perkara harus dan janji akan tetap tinggal janji sahaja.

Saturday, January 22, 2005

RAYA HAJI LEBIH MERIAH

HARI INI adalah hari raya haji yang kedua. Pada kebiasaannya, di Malaysia hari raya puasa adalah lebih meriah berbanding dengan hari raya haji. Kekecualiannya hanya di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu di mana hari raya haji adalah lebih meriah berbanding dengan hari raya puasa. Malahan di sini, hari raya enam, iaitu selepas habis berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah jauh lebih meriah berbanding dengan hari raya puasa pertama. Pada hari raya puasa, kita hanya disunatkan bertakbir sehari sahaja berbanding dengan tiga hari di hari raya haji. Maknanya raya haji adalah lebih besar adalah raya puasa.

Sepuluh sebab mengapa raya haji tidak meriah di Malaysia?
1. Raya Haji cutinya cuma satu hari sahaja berbanding curi raya puasa
2. Sekolah tidak mengambil kira raya haji untuk cuti penggal/ cuti peristiwa
3. Ops warta oleh polis/JPJ juga tidak ada sempena raya haji
4. Shopping Complex tidak ada pesta jualan sempena raya haji
5. Lagu raya haji tidak pernah ada dan tidak didendangkan
6. Kad raya haji tidak dijual dan tidak dihantar/terima
7. Raya haji tidak perlu bayar zakat (fitrah)
8. Kuih raya tidak dijual sempena raya haji
9. Sampul duit raya tidak dicetak untuk raya haji
10. apa lagi ekkk....

Friday, January 21, 2005

RAYA JUMAAT - KRISMAS AHAD

HARI ini, Jumaat adalah merupakan penghulu segala hari. Kebetulan hari raya Aidiladha pula. Selepas sembahyang raya, mennguruskan korban, kita akan bersembahyang Jumaat pula.

Teringat akan dialog raya-krismas yang lepas.

+Kalau Krismas pada hari Ahad, lu pergi gereja satu kali ka dua kali?

-Satu kali sajalah. Buat apa dua kali, itu sama saja ma.

+ooo itu macam ka?

-Lu pulak kalau Laya hali Jumaat, semayang mau 2 kali ka 1 kali?

+2 kali boleh 1 kali pun boleh. Tapi ramai orang bikin 2 kali semayanglah. Tapi tuhan Allah kasi relaks sikitla. Sapa-sapa sudah semayang raya, kalau dia tak pigi semayang Jumaatpun boleh. Tapi masjid bikin semayang jugak, mana tahu ada olang tak sempat mau semayang raya, dia mesti semayang Jumaat.

-oooo itu macam ka? Tapi itu saja lu mau tanyalah kan? Kita punya Krismas hali Sabtu, bukan Ahad. Lu sudah tau bukan?

+ ya ya ya sudah tahu, saja mau tanya saja.

Thursday, January 20, 2005

Wednesday, January 19, 2005

MENCARI KALIMAH 'ALLAH'

KITA biasa mendengar bahawa masyarakat kita (mungkin juga orang lain) kerap kali gempar setiap kali ada orang menemui kalimah 'Allah'. Ada kalanya kalimah ini ditemui dalam buah tomato, pada kulit kambing, di badan lembu, pada pintalan awan dan sebagainya. Maka hebohlah orang-orang akan bercerita mengenai kebesaran Allah. Semasa Asia dilanda oleh tsunami, sekali lagi kalimah 'Allah' menjadi bualan hangat apabila ombak yang melanda pantai Sri Lanka dikatakan mempunyai bentuk yang serupa dengan Alif Lam Lam Ha. Pelbagai tafsiran dikeluarkan mengenai perkara itu.



Pokoknya..... umat kita hanya akan merasai kekuasaan Allah hanya apabila bertemu dengan perkara-perkara begini yang belum tentu kesahihannya?.


Tuesday, January 18, 2005

JOM MAIN HANTU-HANTU





Jom main hantu-hantu
Aku jadi hantu engkau jadi kutu
Engkau sebut sepak
Aku sebut takraw

Jom main hantu-hantu
sepak takraw itu lembaga
Jangan takut itu puak kita

Jom main hantu-hantu
Sepak terajang itu orang
Bila rasa seram
Lari lintang pukang

Jom main hantu-hantu
Sepak tak berjawab itu batu
Jangan cuba lari
Selagi roma belum berdiri

Jom main hantu-hantu
Jumpa Lembaga putih
Taburlah bertih
Baca ayat kursi
Sembunyi bawah kerusi

Jom main hantu-hantu
Terjun longkang patah geraham
Bengkak gusi lebam pipi
Mata dua berjahit Satu

Jom main hantu-hantu
Engkau tingkatan Satu
Kami ni bakal tok guru

Monday, January 17, 2005

HAIKU MINGGU INI

Pada kali ini saya berhasrat untuk membuat sedikit ulasan terhadap haiku mengenai unsur musim. Lima haijin yang menghantar haiku mereka ke komuniti haiku dipilih mengikut kesesuaian dengan tema (musim) yang dimaksudkan.

Dalam memperkatakan “haiku yang baik”, kita tidak boleh tidak terpaksa merujuk dan berpandukan kepada haiku dari haijin agung, iaitu Basho, Furu ike ya kawazu tobikomu muzu no oto terjemahan bebas ke dalam BM lebih kurang begini, Kolam nan tua/ kodok terjun ke dalam/ percikan air.

Selain daripada itu, haiku Melayu terbaik yang telah diberi pengiktirafan oleh pihak Jepun dalam kategori kanak-kanak ialah Bunga berkembang/ Unggas terbang nan bebas/ Damainya hati


BEBAS – Rudy Bluehikari
Langit nan biru/ burung bermain riang/angin berlagu

Unsur musim begitu jelas dalam haiku ini yang diwakili oleh baris pertama dan kedua. Pembayang haiku juga amat jelas dan dapat dinikmati oleh pancaindera yang biasa. Haiku ini istimewa apabila disertakan dengan versi Jepun (romanji dan juga kanji) serta haiga (lukisan haiku) seekor burung melayang atau terbang. Kainatn antara ‘langit nan biru’ dan ‘burung bermain riang’ mungkin bermaksud burung sedang bermain di atas pokok atau dalam sangkar. Itu adalah fahaman biasa perkataan ‘bermain’. Namun daripada haiga yang disertakan menunjukkan burung terbang. Jika haijin bermaksud demikian, maka mungkin baris kedua boleh ditukar kepada ‘burung melayang riang’ dan seumpama dengannya.

Baris ketiga ataupun maksud haiku ini ‘angin berlagu’ mungkin tidak begitu jelas mengenai hasrat sebenar haijin. Namun ia tidak menjejaskan apa-apa dalam kategori haiku yang baik seperti mana haiku Basho. Secara keseluruhannya saya kagumi haiku ini, apatah lagi apabila diiringi dengan haiga yang begitu bermakna.

BAHAGIA – Saleha Ahmad
Kudup berkembang/ malam semakin dini/ hati semerbak

BAHAGIA ialah sebuah haiku yang bagus dan unik. Haiku ini mempunyai makna berganda yang menarik.‘kudup berkembang’ dengan jelas menggambarkan musim. Bunga berkembang bukan pada setiap masa atau musim. Baris pertama ini juga membawa makna berganda, misalnya ‘cinta berkembang’, itu ialah suatu perlambangan yang dibawa oleh haijin secara tidak langsung.

Kaitan di antara baris pertama dan kedua agak kabur. Adakah haijin bermaksud kudup berkembang di waktu dinihari? (memang ada bunga yang hanya berkembang waktu malam sahaja – jika demikian lebih elok diberikan nama bunga tersebut, bukannya kudup). Baris kedua juga menceritakan secara langsung mengenai suasana ketika itu, iaitu larut malam. Sebuah haiku yang baik biasanya mempunyai pembayang diwakilkan dengan objek-objek untuk menggambarkan suasana. Misalnya ‘ayam pulang ke reban’ boleh mewakili waktu senja. Oleh itu ‘malam semakin dini’ boleh diwakili dengan objek seperti ‘embun jantan menitis’ dan yang seumpama dengannya.

Baris ketiga haiku ini dengan jelas merujuk semula kepada pembayang di baris pertama mengenai kudup dan menguatkan lagi makna berlapis haiku ini. Inilah merupakan satu contoh haiku yang baik.

BULAN YANG PENUH – dipinggiran
Bulan yang penuh/ pungguk di dahan tinggi/ bisikan syahdu

Bulan Yang Penuh adalah menceritakan suatu perkara biasa dalam cara yang biasa. Syarat penting sesebuah haiku yang baik ialah haijin perlu mencatatkan peristiwa semasa (present tense) bukan peristiwa semalam atau esok. Ini bermakna seolah-olah haijin mesti berada di lokasi di mana kejadian yang dilaporkan berlaku. Haiku Bulan Yang Penuh sememangnya menepati kriteria ini.
Baris pertama sememangnya mewakili musim. Bukan yang penuh berlaku Cuma beberapa hari sahaja dalam sebulan dan hanya boleh jelas kelihatan sekiranya cuaca terang. Ungkapan lain yang boleh digunakan bagi baris pertama ialah ‘bulan pertama’. Salah satu senarai semak untuk menilai sesebuah haiku ialah samada ungkapan yang digunakan boeh digantikan dengan ungkapan lain atau sebaliknya. Dari ungkapan alternatif ini, pilihlah yang terbaik.

Bulan dan pungguk adalah merupakan dua objek biasa dalam masyarakat kita. Baris pertama dan kedua haiku ini adalah yang dikatakan sebagai dikatakan sebagai perkara biasa yang diceritakan dalam keadaan biasa. Haiku yang istimewa perlu ‘menceritakan perkara biasa dalam cara yang berbeza. Mungkinkah ‘bulan purnama/ pungguk mencari tikus’ adalah sesuatu yang berbeza?.

Kemuncak dari haiku ini ialah bisikan syahdu yang boleh dikategorikan sebagai makna berganda. Siapakah yang berbisik?. Adakah pungguk berbisik kepada bulan atau haikin mendengar bisikan lain atau haijin sendiri yang berbisik?.
Bulan Yang Penuh atau mungkin lebih paat lagi bulan purnama banyak mempunyai cirri-ciri haiku yang baik.


Kepulangan TabirAlam
Koc musim sejuk / henti stesyen bersalju /Tok senyum gembira

Maksud tersirat dari haiku ini ialah kegembiraan seorang Atok yang barangkali dengan sabar menunggu sekian lama orang tersayang di stesen keretapi. Orang yang ditunggu boleh jadi cucu, anak atau buah hatinya.

Dalam menggambarkan tentang musim, haijin perlu memilih objek dan bukannya bercerita secara langsung tentang musim. Misalnya bagaimanakah rupanya koc musim sejuk? Adakah ia berbeza dengan koc musim panas? “koc musim sejuk” secara langsung bercerita tentang musim sejuk, kerana masakan koc musim sejuk berjalan di musim panas. Sekiranya koc musim sejuk dan musim panas ini berbeza, haijin hendaklah bercerita mengenai keadaan fizikal koc tersebut sebagai objek dan biarkan pembaca berfikir dan mengaitkannya dengan muzim dan gambaran lain yang ingin dibawa. Katakanlah koc musim sejuk bewarna biru dan koc musim panas bewarna putih, maka ‘koc musim sejuk’ boleh digantikan dengan ‘koc warna putih’.

Baris kedua ‘henti di stesen bersalju’ adalah merupakan pelengkap kepada baris pertama untuk menceritakan tentang musim sejuk juga.
Barangkali kata haiku ini ingin menyamai haiku kodok karya Basho, ia boleh ditulis begini:

Perigi nan tua (stesen bersalji)/ kodok terjun ke dalam (keretapi berhenti)/ air berkocak (atok gembira).


MENITI KEHIDUPAN – EP
Kabus Nan Tebal/ Duri Merobek Baju / Melangkah Maju

Meniti Kehidupan mungkin bukan sebuah haiku biasa. Haiku ini banyak meninggalkan banyak persoalan atau teka teki kepada pembaca.
Kabus nan tebal adalah mewakili musim. Pembaca boleh meneka sendiri musim apa. Duri merobek baju pula mungkin merupakan sambungan daripada suasana berkabus. Namun persoalan yang ditimbulkan ialah siapa yang dimaksudkan dalam objek ini. Soalan siapa ini berlarutan kepada baris ketiga ‘melangkah maju’. Ia itu langkah siapa, untuk ke mana dan mengapa.

Sunday, January 16, 2005

BTM



BTM asalnya ialah mesyuarat benda hitam (black things meeting), Sekarang dah jadi Beam, Talk & Makan.

Thursday, January 13, 2005

Tuesday, January 11, 2005

jika takut dilambung tsunami

SMS di terima:-"XXX minta saya hantar puisi2 xxxxxxxxx ttg tsunami pagi2 esok utk diantologikan.Kalau boleh masukkan satu ke xxxxxxxxx mlm ini"

SMS dijawab:- dah dimasukkan puisi segera 2 minit. Harap maaf jika tidak menepati citarasa.

JIKA TAKUT DILAMBUG TSUNAMI …
di hujung tangis anak kecil berbisik
ibu,
mana rumah kita?

nak,
rumah kita hanyut ditelan tsunami

ibu,
mengapa tsunami telan rumah kita?

nak,
itu hak laut
kita tinggal dalam rezab laut
tsunami itu along laut

ibu,
tsunami kuat sembahyang kah?
masjid tidak runtuh
surau masih tegap

nak,
itu rumah Allah,
Dialah yang menjaganya

ibu,
kuil juga tidak runtuh
tokong juga masih kuat
siapa jaga tokong?
siapa jaga kuil?

nak,
struktur masjid kuat
struktur kuil kukuh
struktur tokong padu
tsunami tidak mampu

ibu,
hati ibu kuat
iman ibu kukuh
tsunami telan juga

nak,
pesanlah pada anak-anak mu
jika takut dilambung tsunami
jangan berumah di tepi pantai.
usah menangis lagi.

Monday, January 10, 2005

KELUARGA DAN KERJAYA

KATA orang, jika kita nak berjaya dalam kerjaya, hal-hal keluarga perlu diketepikan. Orang lain pula kata, jika berjaya dalam keluarga, maknanya dia tidak berjaya dalam kerjaya. Tepat pukul 4 dah nak balik, dengan alasan ingin bersama keluarga. Kerja lebih masa tidak boleh, kerja luar pejabat juga tidak boleh, gara-gara tidak boleh tinggalkan keluarga.

Ada juga orang kata orang kaya memang kedekut, sebab itu dia boleh jadi kaya. Jika dia tidak kedekut, sampai bilapun dia tidak boleh jadi kaya. Orang lain pula berkata orang kaya biasanya mahukan mahukan barang percuma. Lagi kaya mereka, lagi tinggi pangkatnya, lagi banyak barang dan perkhidmatan percuma yang dimahukan. Mereka mahu kereta dengan minyak percuma, telefon percuma dan semuanya percuma. Jadi sememangnya orang kaya boleh jadi kaya sebab semuanya dapat percuma.

Orang lain pulak kata kedua-dua kata-kata di atas adalah tidak betul. Apa salahnya jika keluarga bahagian dan kerjaya berjaya. Orang miskin juga kedekut dan dia tak jadi kaya sebab dia kedekut.

Aku yang mendengar ni 'entahlah labu...'

Sunday, January 09, 2005

CRM Dalam PDA

SAYA dah pakai Personal Digital Assistant (PDA) dah bertahun-tahun. Ada perisian salinan dan ada juga beli perisian tulen. Namun baru semalam tahu bahawa perisian Agendus Pro (AP) yang dibeli ni boleh buat macam-macam, termasuk Customer Relation Management (CRM). Sebelum ni AP ni hanya untuk buat diari/kalendar saja. Penat-penat bayar mahal, tak tahu fungsi 'tersembunyi' yang ada rupa-rupanya.



Keadaan ini rasanya samalah dengan 80% daripada pengguna yang menggunakan 20% sahaja dari fungsi yang ada pada perisian mereka.

Saturday, January 08, 2005

TSUNAMI: SIKAP SEBENAR KITA TERBONGKAR


gambar hiasan

KHABARNYA macam-macam cerita mengenai tsunami yang dilaporkan. Cerita mengenai mangsa memang menyayat hati. Cerita mengenai penonton dan penderma juga ada yang menyedihkan hati. Diceritakan bahawa apabila para pekerja mengisih barang-barang derma yang diterima, kononnya ada yang menjumpai pakaian dalam terpakai, ada tuala wanita terpakai. Ada baju koyak rabak yang hanya layak untuk lap lantai. Mengikut ceritanya ada juga pakaian glamor yang tak sempat sampai ke tangan mangsa, tapi simpan dulu oleh para petugas.

Kalau benar cerita begini, maknanya malang sungguhlah kita semua. Dalam kemurahan hati rakyat kita ingin menderma, ada juga yang ingin membuang sampah yang tidak kena pada tempatnya.

Friday, January 07, 2005

TSUNAMI



diutusnya Nabi diingkari
diutusnya Ulama digari
diberikan Quran tidak dipeduli
ditunjukkan damai dicabuli

Nah dihantar ombak besar - Tsunami
Masih lagi berleka.

Thursday, January 06, 2005

BUDAYA KERJA

BEBERAPA hari yang lepas, saya mengadakan pertemuan dengan sektor swasta. Kami bertukar-tukar pendapat mengenai HR dalam sektor masing-masing. Rupa-rupanya pihak swasta tidak mengetahui bagaimana HR dalam kerajaan beroperasi. Tentang perjawatan, pengisian, skim dan sebagainya. Adalah sesuatu yang baru bagi mereka bila mendengar orang gomen tidak boleh tukar skim perkhidmatan (ada pengecualiannya). Maknanya jika seseorang dah dalam Skim F, maka dia akan pencenlah dalam skim tersebut dan tidak boleh ke skim M dan sebagainya. Itu biasa kan bagi orang gomen!/

Saya diberitahu masalah HR di agensi tersebut ialah staf mereka yang terlalu rajin bekerja. Kerja bagaikan orang kena dadah, dah ketagih dengan kerja. Walaupun cuti tak boleh carry-forward ke tahun berikutnya, depa tak juga ambil cuti. Hinggakan terpaksa tawarkan duit supaya ambil cuti. Wah ingatkan perkara ini hanya berlaku di Jepun sahaja, macam tak caya jer, ia juga berlaku kat Malaysia.

Jadinya mereka terpaksa hadir "kursus keseimbangan dalam hidup". Supaya lebih relaks, lebih enjoy, lebih sosial dan "jangan rajin sangat" kerja. Alahai.... dalam sektor saya, kena hadir kursus motivasi supaya kerja rajin, ini terbalik pulak. Rupa-rupanya staf rajinpun susah jugak ya...

Wednesday, January 05, 2005

BUKU TEKS

MUSIM persekolahan baru sahaja bermula. Di antara beberapa perkara yang mungkin memeningkan kepala ibu bapa ialah soal penjadual bas sekolah, yuran sekolah, sekolah ugama dan juga buku sekolah. Mengenai buku sekolah, biasanya bagi yang tidak layak menerima bantuan buku teks masalah yang timbul ialah kehabisan stok di kedai buku. Itulah di antara masalah saya sekurang-kurangnya.

Semua akan-anak saya yang bersekolah, tidak pernah menggunakan buku bantuan. Ini ialah kerana saya tidak pernah memohon bantuan. Sebab utama saya tidak memohon ialah, sudah tercatat di borang permohonan tentang kelayakan pemohon. Saya tidak layak untuk mendapat bantuan buku teks bagi anak-anak saya kerana pendapat adalah lebih tinggi daripada paras kelayakan. Jadi buat apa saya memohon jika sudah tahu memang tidak layak.Kexualilah semasa anak-anak saya bersekolah di luar negara dulu (saja nak habaq mai). Sebabnya pada masa tu kami sekeluarga dah termasuk dalam golongan papa (cuma belum kedana saja lagi). Tapi kat sekolah di luar negara tu, semua benda percuma, termasuklah buku teks, buku tulis, pensil, pemadam, pensil warna malahan makan juga percuma. Tidak kira kaya atau miskin. Mengapa kita tak buat macam tu ya?

Walau bagaimanapun, saya dapati ada guru besar yang memohon dan berjaya mendapat pinjaman ini. Bila saya tanya mengapa dia memohon dan berjaya sedangkan dia tidak layak. Jawabnya senang saja, saya guru, jadi saya "hello" saja kepada guru sekolah tempat anak saya belajar, maka dapatlah. Kita kena ada networking. Kalau cikgu tak dapat tolong cikgu siapa lagi nak tolong?. Lagipun buku tu banyak, memang kita mintak lebih bagi tujuan-tujuan yang macam ni.

Saya berpendirian perkara begini adalah SALAH. Lebih salah lagi apabila anak cikgu berkenaan memohon ke sekolah berasrama. Anak orang dapat 5A, anak dia dapat 5A juga. Cuma bezanya anak dia perempuan dan anak orang lelaki (anak lelaki lebih senang dapat sebab budak lelaki tak ramai yang cemerlang). Dia juga menggunakan saluran "hello" untuk dapatkan tempat. Terus terang saya tanya dia. "U tak rasa berdosa ke, anak U ambil tempat anak orang lain yang layak, sedangkan anak U tak layak?". Merasa bersalah, dia berdalih "Oh.... sekolah sediakan meja ekstra, bukan ambil meja anak orang lain, so tak berdosa". Saya tahu dia cuma bergurau, sebab dia memang rasa bersalah. Sebenarnya salah atau tidak terletak kepada hati kecil kita. Hati tidak akan menipu kita (melainkan hati yang dah berkarat dek kerana terlampau banyak dosa - agaknya).

Tuesday, January 04, 2005

MENUNGGU GUGUR





dedaun rimbun
hijau bertemu merah
menunggu gugur


* Foto dari Lynn, Kobe
Haiku untuk Lynn yang sedang bermain yuki (salji)

Bagaimana membacamentafsir haiku
Haiku ditulis berdasarkan kepada alam sekitar, namun ia dikiaskan kepada kehidupan manusia.

Dedaun rimbun adalah ibarat kerjaya yang memuncak. Yang hijau biasanya staf junior, yang merah adalah senior (yang dah jusa-jusa gitu...). Tapi merah ke, hijau ke, masing-masing menuju hari pencen. Macam daun akan gugur bila tiba gilirannya.

heh heh...

Monday, January 03, 2005

ADA KALANYA IT MENYUSAHKAN ...

Kepercayaan karut umum ialah menggunakan IT adalah memudahkan. Menggunakan IT dapat mengurangkan staf. Menggunakan IT akan lebih menguntungkan. Namun dari segi hakikatnya penggunaan IT tidak semestinya begitu selalu.

Pada masa ini Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan Dawama masih mengadakan jualan gudang yang mana diskaun buku-buku terbitan DBP boleh mencapai hingga 80%. Setiap tahun (mungkin beberapa kali setahun) DBP & Dawama mengadakan jualan gudang ini di kilang percetakannya di Hulu Kelang. Seperti tahun-tahun lepas juga, masasalah yang sama sahaja berlaku. Akhir tahun baru-baru ini MBA ke jualan gudang tersebut untuk membeli bebrapa buah buku. Tak sampai 15 minit, satu bakul buku telah penuh. Namun terpaksa berbaris lebih setengah jam untuk membayar buku sebanyak 20 buah tersebut. Dalam barisan cuma ada 2-3 orang sahaja yang berbaris. Apakah sebabnya terpaksa berbaris terlampau lama?. JAwapannya ialah kerana kaunter bayaran menggunakan kemudahan IT!.

Penggunaan IT (atau ICT) di kaunter bayaran DBP tersebut telah menyulitkan staf yang bertugas dan menyusahkan pelanggan yang ingin membayar. Sebabnya ialah staf di kaunter terpaksa menaip (key-in) satu per satu butiran yang diperlukan sebelum dapat diproses oleh komputer. Ini yang dinamakan sistem komputer yang tidak mesra pengguna. Walaupun setiap buku telah disediakan dengan kod-bar (barcode), namun ia cuma untyuk hiasan sahaja. Masalah kedua ialah makcik-makcik yang bertugas di kaunter tersebut ialah rabun komputer. Menyedari pembeli sudah bersungut lama menunggu, makcik ni cakap "semalam baru kursus pakai komputer ni". Sepatutnya DBP (atau Dawama) perlu menggunakan sistem komputer yang lebih canggih dan mesra pengguna. Dua-patutnya DBP (atau Dawama) perlu mencari staf lain untuk bertugas di kauntar. Jika diupah budak-budak yang tengah tunggu SPM dengan beberapa ringgitpun, ia jauh lebih cekap dari makcik-makcik yang hanya tunggu masa bersara yang takut-takut pada komputer.

Itulah cerita penggunaan IT, yang sepatutnya jika gunakan manualpun jauh lebih menyenangkan pelbagai pihak.

Sunday, January 02, 2005

KEKESALAN SEPANJANG 2004

semalam aku bangkit seperti orang lain juga
tidur dalam 2004 dan bangkit setelah 2005 menjelma
namun terasa kekesalan yang amat sangat
aku terlupa untuk membayar zakat
sepanjang rezekiku pada tahun 2004
aku takut hartaku tidak berkat

aku kesal yang amat sangat
mengapa boleh terlupa membayar zakat
31 Disember adalah tarikh dan had
walaupun harta tidaklah banyak
namun bila cukup haul dan nisab
berzakatlah untuk membawa berkat

mungkin tsunami yang telah melekakan aku
barangkali tanpa pesta tahun baru yang melenakan aku
mungkin kurangnya publisiti yang menghayalkan aku
yang pasti ozon kian menipis
dan hatiku bagaikan ozon itu

rupa-rupanya aku terperangkap
mengapa perlu bayar zakat?
-Ia adalah rukun
mengapa perlu bayar sebelum tahun baru?
-Untuk dapatkan rebet!
bagaimana haul dikira?
-muharram ke Zulhijah
-bukan januari ke disember

aku tertipu rupa-rupanya
bukan 2004 tetapi 1425



Saturday, January 01, 2005

KESAN PERTAMA TAHUN BARU 2005



PAGI-PAGI lagi sudah menerima beberapa SMS tahun baru. Di antara yang menarik termasuklah:-

Sunday went to Monday to look for Tuesday and ask Wednesday whether Thursday has told Friday that Saturday is New Year. An early wish of HAPPY NEW YEAR 2005!

Seperti tahun lepas, hujung minggu tahun baru juga dimulakan dengan rutin ke pasar untuk membeli lauk-pauk. Hasrat untuk ke pasar borong masih tinggal hasrat yang tidak tertunai oleh beberapa sebab yang logik untuk diterima.

Selesai membeli ayam dan daging (ikan tidak banyak di pasar, mungkin kerana Tsunami), beli pula dua akhbar harian dengan menghulur RM2.40 seperti biasa. Sampai dipertengahan jalan, dipanggil oleh peniaga kerana duit tak cukup dan rupa-rupanya akhbar harian dah naik harga sempena tahun baru ke RM1.50. Semasa MBA masih kanak-kanak, masih jelah diingati yang akhbar Berita Harian cuma RM0.15 dan Utusan Malaysia RM0.20. Ini bermakna kenaikan sudah menjangkau 10 kali ganda. Esok hari minggu, pasti harga akhbar mingguan naik lagi.

Apakah yang turun?. Cuma hujan sahajalah...

SELAMAT TAHUN BARU 2005



TAHUN baru 2005 telah selamat ditempuhi. Dalam diam tak diam tahun 2004 telah ditinggalkan. Tahun 2005 ini rasanya lebih istimewa daripada beberapa tahun kebelakangan. Tahun 2005 datang tanpa disambut dengan pesta gila-gila yang diadakan secara rasmi. Tidak ada pesta yang ditaja secara terangan. Mungkin ada pesta secara private yang dianjurkan, namun hanya orang tertentu sahaja yang mengetahuinya. Walaupun tahun 2005 tidak disambut dengan pesta gila, namun 2005 datang juga dengan selamatnya. Tahun 2005 ini tidak disambut dengan kes kemalangan mat rempit yang menjadi-jadi. Ia tidak disambut dengan tangkapan pemandu yang mabuk dan banyak lagi yang bagusnya mengenai 2005. Semoga permulaan yang bagus ini akan berkekalan sehingga ke akhir tahun.

Sebenarnya pesta menyambut tahun baru bukanlah perkara baru. Namun kerajaanlah yang bertanggungjawab untuk membudayakannya. Kononnya untuk menarik pelancong luar datang untuk berhimpun menunggu detik dua belas malam. Maka dengan menggalakkan pelbagai penajaan pesta menyambut tahun baru, maka secara langsung kerajaan juga menggalakkan pelbagai jenis maksiat dan kemungkaran berlaku.

Apabila YAB Perdana Menteri sendiri meminta supaya sambutan tahun 2005 tidak dibuat dengan pesta, tetapi dengan doa selamat, dengan sembahyang hajat, dengan khutbah khas, maka selain dari keberkatan yang diperolehi, mudah-mudahan segala kemungkaran dan maksiat juga akan turut berkurangan. Sekarang terbukti bahawa tanpa pesta gila sambutan tahun barupun, tahun 2005 tetap selamat mengunjungi semua.

Selamat tahun baru 2005.