JANGAN ADA DUSTA - VERSI LELAKI SIRI 8
Seharian di Melaka cukup menyeronokkan. Kadang-kadang jika dapat Dato’ Pengerusi yang sepadan begini, berbulan keluar jadi panel temudugapun tak mengapa. Berbagai perkara lucu dan banyak pengajaran yang ditimba dari Dato’ Razak ni. Kami berdua jadi serbasalah untuk tidak memilih calon-calon ke jawatan PSM ini oleh kerana semua yang datang temuduga adalah yang terbaik. Dari 70 senarai yang perlu ditemuduga, kuota kami ialah 4 orang sahaja yang boleh dipilih dan 4 lagi calon simpanan. Memang sengit persaingannya. Kami juga kurang mengerti apabila PSM dari sektor swasta yang bergaji US$5K dan DBA bank asing juga datang memohon jawatan ini dan sanggup menerima gaji yang ditawarkan. Mereka ini juga ini telah melepasi tahap kecemerlangan sesi temuduga. Namun keputusan Dato’ pengerusi ada logiknya dan ia suatu pelajaran baru buatku.
Sampai ke rumah ingatkan nak bersantai dengan membaca dan menjawab e-mel, mengintai blog dan ke eSastera. Namun kulihat Mercedes mata belalang milik syarikat tersadai di garaj. Setahu aku dia ke Genting, bersukaria dalam tugas di sana. Oh mungkin dia menaiki kereta ofis agaknya. Tetapi terkejut beruk aku apabila dapati dia berada di rumah dan tanpa bertanya apa-apa lantas menyuakan sesuatu ke mulutku. Apa lagi bertempiklah aku. Entah-entah dia ni dah buang tebiat, entah-entah ini sebenarnya bukan dia, tetapi sesuatu yang menyamar. Pelbagai perasangka buruk terlintas sepantas pemproses pentium xion dalam kotak fikiranku. Entah-entah dia nak bomohkan aku supaya.. ah entah apa-apalah aku ni.
Aku bungkam apabila dia berada di rumah bukan pada waktunya. Waktu-waktu begini aku perlukan sedikit privacy. Aku perlu membaca dan membalas mel yang barangkali banyak diterima hari ini. Juga komen dan catatan di blog perlu diteliti dan dijawab jika perlu. Ya aku sememangnya memerlukan sedikit privacy. Sebenarnya terlalu jarang suami seperti aku ini. Aku tetap pulang dan bermalam di rumah walau apapun terjadi. Di samping menjimatkan duit kerajaan yang tidak perlu membayar sewa hotel untukku di Melaka, aku juga menjimatkan rasa curiga isteriku, begitulah harapanku. Jika diikutkan hati, ingin saja aku beli beju berjenama atau sepatu baru ataupun PDA Treo 600 yang lengkap dengan kamera, telefon dan Palm untuk dihadiahkan kepada diriku sendiri sempena ulangtahun kelahiran bertuah ini. Akan kukatakan ada secret admire yang menghadiahkannya padaku. Tetapi aku masih lagi waras dan tidak perlu menyakitkan hati sesiapa walaupun Treo tu sangat-sangat kuidamkan.
Oleh kerana privacy agak terganggu, aku memilih untuk tidur sahaja untuk mententeramkan jiwa.
No comments:
Post a Comment