Labels

Monday, August 11, 2003

KISAH BENAR SEBUAH PALM

KISAH BENAR SEBUAH PALM
Ini cerita lama. Pernah dimasukkan dalam Palmx. Tapi oleh kerana ramai juga kengkawan yang bertanya: Apa gunanya PAlm, maka ia dimasukkan semula ke sini
Kisah Benar Sebuah Palm: (diceritakan semula oleh WorkPad c505 daripada cerita asal Palm IIIc)

Mengikut catatan aku dibeli pada 3 Januari 2001 daripada D'Challenger, KLCC. Daripada awalnya lagi tuan aku ni terpikat dengan adik aku Palm Vx, namun kerana ketiadaan stok, akulah yang terpaksa mengikutnya ke rumah.

Terdapat pelbagai perisian dan banyak peristiwa pahit manis aku bersamanya. Di sini aku ceritakan serba sedikit mana-mana yang boleh mengenai kehidupan harianku bersama beliau yang kita namakan YM.

6:30am: Kehidupanku bermula di awal pagi apabila YM memasukkan data ke dalam BloodPressMgr. Tiga bulan sekali aku akan dibawa ke Tangling untuk menunjukkan data-data tersebut kepada PP.

6:45am: Bersama YM dan 3 anaknya menaiki kereta ke sekolah dan pejabat.

7:15am: Sambil YM menikmati makan pagi, aku dimasukkan ke cradle untuk proses hotsync. Dari sini data-data semalaman bertukarganti dan dikemaskini dengan PC. Di antaranya termasuklah AvantGo, Handstory,
ActionNames, mail dan sebagainya. Sekiranya paras bateriku dah berkurangan, pada masa inilah
juga ia akan dicaj semula.

9am - 12pm: Aku mengikuti aktiviti pejabat harian bagi YM. Biasanya beliau akan memasukkan pelbagai tugasan yang diterima melalui e-mel ke dalam ActionNames (AN). Merenung sejenuk dan memasukkan perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam ToDoList. Apabila ke mesyuarat aku pasti akan turut serta. Kerap kuperhatikan YM tidak memberikan perhatian sangat
terhadap mesyuarat tertentu, di kala begini beliau akan membaca dan membalas e-mel atau membuat apa-apa lakaran atau catatan kepada ku. Namun begitu aku berpendapat beliau adalah seorang pegawai yang serius dan komited terhadap
kerjanya. Banyak minit mesyuarat, nota-nota penting, malahan manual teknikal yang beliau simpan dengan ku. Biasanya beliau menggunakan DocumenToGo. Kekadang tu beliau hadir mesyuarat berlenggang saja tanpa cebisan
kertaspun sebab semuanya ada bersamaku. Kini laptopnya dah bermukim di rumah sahaja yang menjadi pejabat kedua bagi YM.

6:00-6:30pm: Sambil menunggu anak-anaknya keluar dari sekolah, YM pasti membelek-belek aku untuk membaca berita atau artikel dari AvantGo yang dipindah turun pagi tadi di pejabat.

8:00-10:00pm: Biasanya di sebelah malam begini sekali lagi YM akan membelek aku. Kini mungkin dia akan gunakan perisian Ultrasoft Money atau Quick Budget untuk perancaangan kewangannya. YM ni bukanlah kaya orangnya, tapi boleh dikatakan hari-harilah beliau masukkan data dalam Money tu. Kebanyakannya keluar aje le.

Selain dari masa-masa begini, jika berkelapangan YM juga akan membelek tafsiran Al-Quran, atau City Time atau kekadang tu kamus. Pernah gak sekali tu beliau baca surah Yaasin bersamaku. Jemaah lain agak beliau hafal surah Yaasin ni kot, tapi syyyyyy... kadang-kadang tu beliau jeling kat tulisan roman :-)

Sebelum berpergian biasanya YM akan memasukkan longitute dan magnitute tempat tuju dalam Prayminder untuk memudahkan beliau bersolat. Setakat yang aku dimaklumkan baru dua kali aku di bawa melancong, sekali ke USA
dan sekali lagi ke Manila.

Jika balik kampung dan bersua dengan saudara mara serta anak-anak buahnya pulak YM akan bertanya sala-silah mereka dan memasukkan datanya dalam My Roots. Jadi seronoklah anak-anak buah YM bila nama dan keturunan mereka
sudah ada dalam komputer Ayah Longnya.

Kalau berjalan dalam bandar, YM lebih suka naik komuter jika boleh. Dengan itu beliau gunakan metro untuk mengetahui arah jalan. Seperkara lagi, YM ni tak suka main games tapi sekali lagi Syyyyyy.... Palmasutra pun ada. kah..kah...kah... Begitulah apa yang diceritakan oleh saudaraku Palm IIIc yang kini telah di lelong.com.my. Jika dia bohong, maka bohonglah aku.
Jadi minta maaflah lebih kurang, ya!.

Pencerita: WorkPad c505 (tak tahulah apa jadi dengan nasib aku. IBM dah hentikan produksi dan YM dah mula jeling-jeling kat Clie ....)

No comments: