Labels

Tuesday, August 05, 2003

Dari Hal Elaun Pakaian Panas

ELAUN PAKAIAN PANAS: HAK ATAU KELAYAKAN?

Apabila kita ke luar negeri yang tertentu (yang terletak di garislintang tertentu) atas Urusan Seri Paduka Baginda, kita "berhak" menuntut Elaun Pakaian Panas (EPP). Tidak kiralah samada negara tersebut sejuk atau panas. Musim itu sejuk atau panas. Kita beli atau tidak pakaian tersebut. Ia bukanlah suatu tuntutan perbelanjaan (yang perlu kemukakan resit), akan tetapi ianya adalah seolah-olah satu keistimewaan yang diberikan (dengan syarat-syarat yang tertentu).

Seingat saya, pertama kali dapat elaun pakaian panas ini ialah semasa buat ijazah master dulu. Kira-kira 3 tahun kemudian, saya ditawarkan ke Jepun, maka sayapun memohonlah lagi ELP tersebut. Akan tetapi permohonan saya ini telah tidak diluluskan atas sebab ianya terkurang 2 hari 3 tahun. Maknanya baru 2 tahun 354 atau 353 hari. Saya cuba merayu kerana saya akan berada di negara tersebut selama 3 bulan dan sesampainya saya di sana saya akan kesejukan dan tempohpun telah melepasi 3 tahun dari tarikh mula-mula mendapat EPP yang pertama. Walau bagaimanapun rayuan ini tidak dilayan atas dasar peraturan. Saya tabiklah kepada pegawai tersebut, jika dan hanya jika beliau bertegas dengan semua orang dalam kes yang serupa :-)

Beberapa tahun kemudian, saya berpeluang pula ke USA (buat pertama kalinya) atas urusan negara. Walau bagaimanapun pada kali ini kelulusan diperolehi kira-kira 3 hari sebelum tarikh bertolak. Oleh kerana tiket telah tersedia, saya pergi sahajalah. Apabila kembali, saya memohonlah EPP ini, namun ianya ditolak lagi atas alasan saya patut memohon sebelum pergi bukannya selepas kembali. Saya merayu lagi dengan mengatakan sayab tahu banyak kes orang lain yang memohon selepas pulang dengan alasan-alasan tertentu. Rayuan saya masih tidak diendahkan kerana katanya saya tidak menggunakan EPP semasa di luar negara, sebaliknya akan gunakan duit itu untuk tujuan lain. Ini adalah antara persoalan "hak" atau "kelayakan". Saya yakin ia adalah "hak" saya, samada saya beli atau tidak. Saya gunakan analogi saya berhak mendapat elaun makan walaupun saya pergi pada bulan puasa. Memandangkan usaha saya masih tidak membuahkan hasil, usaha terakhir saya ialah mengutuskan mel yang antara lain berbunyi lebih kurang. - Saya yakin saya berhak terhadap EPP tersebut. Walau bagaimanapun saya akurlah dengan keputusan tuan untuk tidak meluluskannya berdasarkan kepada kedudukan tuan. Berdasarkan kepada keyakinan saya ini, dan sekiranya saya benar-benar berhak, maka saya sanggup untuk menuntutnya kembali di akhirat kelak (walaupun pada ketika itu tidak sejuk lagi). Keesokan harinya saya menerima panggilan telefon meminta saya berikan apa-apa bil yang menunjukkan saya telah belanja di US untyuk membolehkan tuntutan saya dilunaskan. Saya berilah satu resit saya beli beg kulit berharga US$80 di lapangan terbang Boston dan dipendikkan cerita dapatlah tuntutan tersebut sebanyak RM1500.

Pengajaran dari hikayat ini ialah, saya menyeru semua, khususnya diri saya sendiri supaya janganlah kedekut untuk meluluskan apa-apa sahaja kepada yang berhak (jika benar-benar berhak mengikut pandangan kita dan tidak menyalahi apa-apa). Jangan sekali-kali membuatkan kita terpaksa berhutang di hari Kemudian. Perkara kedekut dan pemurah ini bukan sahaja dari segi wang ringgit, malahan apa sahaja dalam ruang-lingkup kerja kita seperti pembangunan sistem, agihan PC, keutamaan CPU dan bermacam-macam lagi.

No comments: