Labels

Friday, August 15, 2003

ARWAH AYAH - CELIK HURUF DAN SEMANGAT BELAJAR

ARWAH AYAH - CELIK HURUF DAN SEMANGAT BELAJAR

Berbalik kepada pelajar sastera jadi doktor, saya teringat kepada arwah ayah saya. Beliau sekadar kenal huruf sahaja dengan belajar di kelas dewasa. Namun begitu sikap beliau terhadap pelajaran anak-anak adalah tegas sekali.

Pertama-tamanya saya dimarah teruk setelah tidak mahu ke sekolah Inggeris selepas tamat darjah 6. Pada masa itu saya bersemangat kebangsaan dan yakin penuh dengan keupayaan bahasa Malaysia :-). (Jika bersekolah Inggeris saya tidak boleh tinggal di kampung lagi. Perlu tinggal di asrama atau rumah sewa yang saya dengar macam-macam perkara buruk mengenai ragging oleh pelajar senior).

Kali kedua kemarahan beliau memuncak apabila saya memutuskan untuk belajar aliran sastera sahaja selepas tamat SRP. Beliau mengugut untuk tidak menyekolahkan saya lagi. Ini adalah gara-gara saya terpengaruh dengan kata-kata guru saya "Dalam SPM: Gred 1 sastera adalah lebih baik dari gred 3 sains". Kata-kata cikgu ini berasas kerana di sekolah kami, makmal sains tak lengkap, cikgu siswazah memang tiada, pendik kata serba serbinya kekurangan.

Akhirnya setelah saya ditawarkan ke sekolah berasrama penuh untuk tingkatan 4, maka sayapun menyambunglah pelajaran dalam aliran sains. Oleh kerana suasana pembelajaran, kelengkapan sekolah dan sebagainya maka tidaklah perit sangat belajar sains pada masa itu.

Setelah bekerja dan berjumpa semula dengan rakan sekolah terdahulu, kami tidak pernah menyesal samada belajar sains atau sastera. Maklumlah belajar sastera juga boleh jadi jurutera!. Cuma kekesalan kami ialah kerana tidak ke sekolah Inggeris dan kami gelarkan diri sebagai "anak-anak yang tertipu dengan dasar pelajaran kebangsaan". Sebabnya?. Kami tahu bahawa anak-anak "pejuang bahasa" semuanya bersekolah Inggeris (di luar negeri lagi...), sedangkan kami yang tertipu inilah yang terpaksa berjuang sebenarnya.

Alfatihah untuk roh ayah:

No comments: