Labels

Tuesday, April 13, 2004

CATATAN-CATATAN RINGKAS

1. SEMALAM hari pertama ke ofis setelah lima hari di rumah. Berpuluh e-mel yang diterima mengenai pelbagai masalah dan komplen. Mulalah mengatur tapak selangkah demi selangkah dari bilik ke bilik dari tingkat ke tingkat untuk menyelesaikannya. Alhamdulillah semuanya selesai kecuali satu yang memerlukan peruntukan kewangan. Berbanding dengan di tempat lama yang lebih seratus mel diterima dalam sehari yang biasanya satupun tidak boleh diselesaikan, melainkan diserahkan sahaja kepada SI.

2. BOS buat gempak semalam sebab baru lapor diri dah ambil MC. Biasalah bos ... penyakit orang tua!. Tapi bertuah sungguh rasanya sakit sedikit masa awal-awal ini, sebabnya bos dah arahkan PA dia buat temujanji dengan pakar terbaik yang ada. Masa kecik dulu ustaz cakap, kalau kita sakit tanda Tuhan sayang kat kita ...

3. HARI ini akan hadir satu mesyuarat jawatankuasa IT peringkat negeri. Setelah lebih 21 tahun bekerja di peringkat persekutuan, tak sangka rupanya di peringkat negeri ini mereka begitu aktif sekali mempromosikan IT hingga ke peringkat daerah.






CATATAN ringkas ini dibuat sebab rasanya sebab dah kehabisan modal untuk menulis:

Monday, April 12, 2004

ALAMAT E-MEL SENDIRI

BOS di tempat kerja lama banyak kali berkata yang alamat e-mel seperti @yahoo atau @hotmail adalah lebih baik, lebih reliable dan lebih segala-galanya berbanding dengan alamat e-mel jabatan. Walau bagaimanapun, demi untuk menjaga dan memelihara nama baik jabatan, sebarang urusan (rasmi) perlulah menggunakan e-mel jabatan. Walaupun kadang-kadang masa tidurnya lebih panjang dari masa jaganya. Server cuma di depan mata, namun bila dia buat perangai, mel tak masuk, mel tak terhantar, server meragam, talian terputus, modem senak, router pening dan macam-macam lagi fe'elnya, banyak sangat pihak yang perlu dihubungi dan akhirnya ia baik sendiri sahaja tanpa sebab. Esok lusa meragam lagi dan dia OK lagi bila dia mahu. Bagi e-mel seperti @yahoo atau @hotmail tu, walaupun duduk di Amerika sana, kadang-kadang saja dia meragam, itupun pengguna diberitahu dulu time dia nak tidur kejap. Agak pelik bin ajaib juga bila mel yang terpaksa ke US terlebih dulu, lebih laju sampainya berbanding dengan mel yang berputar-putar dalam negara sahaja. Lebuhraya kat sana luas kot, kat sini cuma lorong kampung je. Walau bagaimanapun, mel yang ke US sana tu, agaknya bila dah ada plet US, dengan pemanduan belah kiri tu, boleh laju saja masuk lorong kampung?

mba setuju juga dengan apa yang dinyatakan oleh bekas bos seperti di atas tu. Hingga kini rasanya sudah lima alamat e-mel rasmi yang mba gunakan dan telah dilupuskan kerana berpindah, kini alamat yang keenam pulak. Sebagai kesinambungan kepada e-mel yang sentiasa akan berubah bila kita berpindah tempat kerja tersebut, mba juga ada e-mel dari jaring dan tmnet serta streamyx juga. Mungkin reliable jugalah e-mel sebegini. Sebagai orang terawal yang mempunyai akaun dengan jaring, terasa sayang juga untuk melepaskannya. Namun oleh kerana akaun berbaki (0.44) pihak mimos telah menamatkan perkhidmatan e-mel ini tanpa notis. Bila tersedar, dan cuba top-up dengan RM50, ia telah tidak mau dilayan lagi. Waduh... agaknya akaun ini diselenggara dengan harga 50 sen, lantas bila dah berbaki negatif, lebih baik ditamatkan saja, jika tidak company boleh rugi besar. Alangkan jabatan kerajaanpun boleh dihapuskan alamat web atau DNS mereka kerana lewat bayar RM100 setahun, inikan pula seorang pekerjanya sahaja. Jauh bezanya dengan operasi tmnet yang tak jemu-jemu hantar bil kepada penggunanya dan amat menghargai pengguna dalam ertikata jika bil dah mencecah ratusan ringgit tu, ia tidak akan terus dipotong.

MBA - Kena cari alamat e-mel yahoo atau hotmail yang bagus sementara menunggu e-mel 1GB dari gmail ;-)

Friday, April 09, 2004

HOSPITAL KERAJAAN


Hospital Kerajaan:
Kemudahan Kelas Pertama
Layanan Kelas Ketiga


Mengapa ek?.....


gambar hiasan

Thursday, April 08, 2004

KENANGAN BERSAMA PAKCIK HIGA


"itu jam hidup kat Malaya susah, jalanpun tak ade... gambar 1999"

PERTAMA kali bertemu dengan beliau pada tahun 1989 apabila beliau datang menziarah pelajar-pelajar Malaysia di Okinawa International Centre (OIC), Jepun. Semenjak itu kami mula berkawan. Saya seronok bersembang dengan beliau kerana banyak perkara. Pertamanya tentang kebolehanya bertutur dalam BM. Pada masa itu ada 5-6 orang pelajar Malaysia di OIC, tetapi lama kelamaan tinggallah saya seorang sahaja apabila tahun sudah bertukar. Pada masa itu kami jika dapat mendengar bahasa Inggeris, rasanya sudah macam sampai di negara sendiri, sebabnya semuanya Nihonggo belaka. Tetapi Kyogi Higa atau nama panggilannya Pakcik Higa boleh bercakap Melayu, tentulah seronok berbual. Keduanya tentang pengetahuannya mengenai Malaya yang banyak. Selain dari itu saya suka mengusiknya kerana bahasa Melayu klasik yang digunakannya, ala-ala zaman Abdullah Munsyi gitu. Juga lagu-lagu Kamariah Nor kegemaran beliau. Beliau kerap datang ke OIC, membawa ikan dan makanan yang dimasaknya sendiri. Bila apa penuntut yang akan pulang ke Malaysia, beliau akan datang bawa omeyage. Saya juga beberapa kali ke rumah beliau di Ittoman, bahagian utara Okinawa. Namun tiap kali berhasrat untuk ke rumah beliau, beliaulah yang akan datang menjemput dengan teksi. Hanya sekali sahaja rasanya kami pergi sendirian, itupun beliau menunggu di pekan perkampungan nelayan Itoman.

Dari apa yang tersirat melalui kata-katanya, saya jangka dia menyimpan suatu hasrat untuk bertemu kawan-kawan lama atau mungkin saudara/keluarga di Malaysia. Apabila pulang ke Malaysia, saya menyertai JICA Alumni dan mula mengumpul kawan2 yang telah menjadi anak angkat beliau. Buat beberapa pungutan derma untuk membiayai beliau untuk ke Malaysia. Impian ini menjadi kenyataan setelah saya menemui pemberita2 dari Okinawa yang datang dalam rombongan Datuk Bandar Okinawa ke Malaysia. Setelah menceritakan tentang Pakcik Higa kepada mereka, pemberita ini mengedarkan topi di kalangan mereka dan dapatlah beberapa ribu yen. Setelah pulang, mereka menemui Higa dan foto saya telah meyakinkan beliau untuk ke Malaysia.

Sampai di Malaysia, saya bawa beliau ke Terengganu, ke Bukit Besi tempat beliau menjadi engineer dulu, ke Batu Rakit, Kuala Terengganu dan beberapa tempat lagi untuk mencari rakan-rakan beliau. Pulang semula ke KL dibawa ke Jejak Kasih TV3. Beliau ingin bertemu dengan anak & isteri yang telah berpisah semenjak perang dunia ke-2. Panggilan pertama yang diterima oleh saya di rumah telah menemukan mereka semua. Rombongan JICA Alumni & TV3 berkunjung ke Kelang dalam sesi pertemuan tragis ini. Sejak dari itu kehidupan Pakcik Higa semakin sibuk, maklumlah sudah ada 3 cucu yang besar-besar. Dalam kesibukan itu saya sempat juga bawa dia naik-turun dua tiga pejabat majalah dan akhbar. Beliau berpindah dari satu rumah ke satu rumah anak-anak angkatnya. Program sebulan telah menjadi tiga bulan beliau di Malaysia.

1999 saya datang lagi ke OIC dan Halela telah membawa saya menemui Pakcik Higa lagi. Dia masih ceria seperti dulu walaupun sedikit uzur. Sudah tidak lagi ke OIC kerana pacemaker yang dipakainya.

Pakcik Higa Invited to Malaysia

Beliau meninggal pada 24 March 2004 (melalui blog halela dan kini hanya tinggal kenang-kenangan bersama beliau di Naha, Itoman, Bukit Besi (kita dijamu dengan daging rusa oleh pemburu), Batu Rakit, Tok Dor, Keramat, Kelang, USJ dan sebagainya.

Wednesday, April 07, 2004

PENILAIAN VENDOR

MUNGKIN pengguna perlu ada satu piawaian untuk menilai vendor. Jika baik setakat mana bagusnya. Jika tidak baik setakat mana buruknya. Mungkin boleh diberikan sistem bintang sebagaimana dibuat kepada hotel dan restoran juga.

Semasa mula-mula kerja, mba menggunakan komputer Nova dan PDP/11 yang tidak diketahui (sangat) siapa vendornya. Kemudian datang komputer mini dan supermini Prime yang dibawa oleh Complete Computer System (CCS). CCS adalah sebuah syarikat kecil sangat baru dalam industri IT di Malaysia. Syarikat tersebut kemudiannya bertukar menjadi Total Computer System (TCS) dan kemudiannya dibeli oleh Kumpulan Emas (KE). Syarikat kecil ini senang untuk dibuat kira bicara, berunding dan berlebih kurang. Janji-janji biasanya memadai dengan mulut sahaja dan pengarah urusan boleh ditemui dengan senang (sekarang dah jadi orang besar, namun masih mengenali mba yang kerdil ini).

Setelah Prime di US tutup kedai, maka pengedar di Malaysia juga bungkus. Pada masa tersebut IBM mula attack kita orang untuk memasukkan mesin gergasi kerangka utamanya. Bos pada masa itu kena perli oleh agensi pusat apabila ingin menaiktaraf jawatan "kalau agensi yang pakai IBM mainframe, bolehlah kita timbangkan pengurus komputer dengan superscale "F" atau "E". Ini komputer mini, tak pernah dengarlah nama Prime ini. Kalau superscale "G" tu dah cukup tinggi tu, tapi mungkin tak boleh lulus ni". Balik dari mesyuarat tu, bos bertekad, OK kita ikut arus, kita pakai komputer IBM, kita pakai mainframe. Pada masa itu jurujual IBM berkampung kat ofis kita orang. Jam 7:30 pagi dah sampai. Tiap-tiap hari itulah kerjanya. Macam-macam cerita, macam-macam kerjas dia bawak mengenai komputer dia, mengenai keburukan komputer lain. Hinggakan kami acah-acah dia nak bertikan dia kad perakam waktu jabatan. Bila dah gunakan mesin dia, hmmmm.... dia mulalah hilang (sebab ke ofis lain pulak untuk menjual temberang barang). Alasan wajib ialah kita beli dari Mesiniaga, jadi Mesiniagalah yang kena support. Pada masa itu, Mesiniaga tak tahu apa-apa mengenai mainframe, cuma buat syarat sahaja yang memerlukan kehadiran Mesiniaga. Staf Mesiniaga dan IBM juga macam abang-adik dan susah untuk dikenalpasti yang mana satu. Oleh kerana semua suite menggunakan produk IBM (Ini Barang Mahal) maka tak timbul sebarang konflik dengan produk/vendor lain. Syarikat IBM ini memang besar, teguh tapi kurang peramah. Ia syarikat multinasional dan penuh dengan profesionalisma. Maknanya cakap mulut tak boleh pakai. Cakap mesti pakai kertas dan kalau tak ada duit tak perlu cakap. Kalau nak minta tolong mesti ikut tertib, ikut abjad, ikut anak tangga dari satu step ke step berikutnya. Tak boleh langkah bendul. Bila dah habis IBM Malaysia, baru boleh ke IBM Singapura, Jepun dan seterusnya ke US. Staf yang dulu dok memuji keprofesionalisma IBM semasa zaman Prime dulu dah tak tahan dan resign. Tapi rasa-rasanya bos masih juga tak dapat superscale "F" dan ikut jejak langkah kawan tu jugak akhirnya.

mba pindah ke instalasi lain selama dua tahun dan pindah lagi. Kat sini pakai komputer Barrough dengan konsultan dari Filipina. Tak banyak story sebab misi mba ialah projek pengkomputeran baru. Akhirnya beli IBM lagi. Kali ini melalui PNB-IT. Syarikat ini memperkenalkan konsep baru dalam pengkomputeran, iaitu modified turnkey dan semua yang diperlukan, pendik kata semua boleh jadi. Syarikat ini juga besar, namun tidaklah susah untuk berunding hingga ke atas.

Setelah berpindah lagi ke instalasi lain, berjumpa lagi dengan komputer Barrough yang telah diambil alih oleh Unisys. Pada masa ini rasanya blank saja. Semua perkara diuruskan oleh vendor, iaitu KJ. Link ke Unisys langsung tidak ada. Dengan KJ memang tak kenal sesiapapun, kecuali engineers yang buat kerja-kerja kat ofis. Meeting dengan management mereka adalah sekali dua yang lebih berkisar kepada aplikasi perniagaan.

Kemudian pindah lagi memasuki projek dan membuat perolehan IBM AIX pula. Kali ini tidak lagi menggunakan system integrator xybase. Database pula menggunakan Oracle. IBM macam dulu-dulu jugalah, datang bila tercium ada bau. Oracle pula keraplah datang untuk meninjau projek baru. Projek semasa yang berjalan jatuh, berdiri rebah ni hampeh kalau dia nak support. Asyik-asyik dok kena bayar lesen berjuta ringgit. Perangai SI di Malaysia ini rupa-rupanya suka sangat menghalang principal daripada berjumpa terus dengan pelanggan. Segala masalah atau isu akan ditutup dulu dan biasanya prinsipal yang tak tahu menahu akan dipersalahkan. Ini jelas setelah empat hari di instalasi baru (lagi ....).

Kesimpulan (setakat ini) deal dengan company kecil jauh lebih senang berbanding dengan yang BESAR (sebab kita ni kecil)

Tuesday, April 06, 2004

TAHAP KECEKAPAN IT PELBAGAI SKIM

TIGA hari bekerja dengan doktor mungkin terlalu pendik untuk membuat penilaian. Namun ia boleh mengesahkan beberapa kenyataan yang telah lama didengar atau dianggap. Mula-mula mba kurang setuju apabila Abedib kata doktor adalah lebih celik IT daripada engineer macam dia. Maklumlah mba bekerja enam (6) tahun bersama-sama dengan engineer, juruukur bahan dan arkitek di JKR dulu. Pada waktu itu, time mula-mula kerja di awal 80-an. Rata-rata engineer adalah jauh lebih terror daripada JAS. Itu dulu, tapi kini juga begitu dan agaknya sampai bila-bila atau bila JAS (sekarang PSM) ditukar nama kepada engineer kot, baru sama pandai. Ya lah, kat negara lain atau kat swasta di negara kita, PSM ni dipanggil software engineer atau network engineer atau apa-apa engineer lah.

Berbalik kepada pengalaman tiga hari tersebut (sebenar di hari pertama lagi), bolehlah saya mengesahkan atau menjadi penyokong kepada pendapat Abedib seperti di atas. Iaitu lebih kurang “I observed that doctors are more innovative than my fellow engineers in using PDA and may be other IT devices.This is one area that could be explored to improve usage of IT for the benefits of patients as well.Health care is one industry to watch as more percentage of people has longer life..”

Selain dari skim ini, mba juga sudah kerja dengan PSM. Skim ini tak perlu mba komen, biar orang lain yang komen. Mba boleh tokok tambah dan sokong kemudian.

Lepas tu mba kerja pula dengan PTD. Skim ini secara puratanya tidaklah mahir dalam selok belok teknikal IT. Namun kebolehan mereka mengurus, mengelola dan bercakap pasal IT memang mengkagumkan. Kira-kira macam ni lah: Bila kita tengok bola (kat TV), penonton boleh bercakap berjam-jam (mungkin) yang boleh mengalahkan jurulatih dan pengurus profesional. Pemain profesional dan semi-pro juga boleh bungkus dek komen dan tunjuk ajar penonton ni. Itu sudah dikira amat bagus dalam dunia bola sepak berbanding dengan penonton yang mungkin tahu sepak bola, tapi tak tahu nak cakap sepatahpun pasal bola (baca: sesetengah psm).

Akhir sekali, sebelum kerja dengan doktor, mba bekerja selama 6 tahun 6 bulan dengan akauntan. Bekerja di sini agak sulit sikit sebab hingga hari terakhir kerjapun, mba masih dicop sebagai masih lagi konfius dengan debit dan kredit. Secara jujur boleh dikatakan mereka masih terlalu jauh lagi untuk lulus dalam ujian kecekapan it yang dilakukan oleh kerajaan (ISAC misalnya).

Kesimpulannya mungkin ramai yang sependapat bahawa kerja dengan PTD adalah yang terbaik.

Monday, April 05, 2004

... TEGAL BIASA

APABILA berpindah kerja dari tempat lama ke tempat baru, biasanya kita akan membandingkannya dengan segala-galanya dengan yang lama. Pada masa itu yang lama itu semuanya cantik, semuanya baik belaka. Masa ini barulah nampak keindahan dan kecantikan suasana kerja di tempat lama. Namun semuanya bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Pada kebiasaannya seseorang pegawai yang sentiasa diberikan segala kelengkapan akan merasa tercabar apabila ke tempat yang tidak mempunyai kemudahan sebegitu. Keadaan ini adalah sebaliknya bagi seseorang yang sudah biasa dengan kesederhanaan yang diberikan kemudahan yang terlampau di tempat baru:

* Dulu buat kerja sendiri, sekarang dah ada pembantu peribadi, alamak menganggurlah si PA tu
* Dulu pejabat dalam partition, kini dah berbilik, alamak sunyinya duduk sorang-sorang
* Dulu kemudahan IT yang tahun depan punya, kini yang lima tahun lepas, alamak tambah rajin le kerja di ofis
* Dulu bos asyik kontrol, mana mau pigi? bila mau siap?. Kini dok tanya anak buah soalan yang serupa
* Dulu asyik-asyik meeting kat HQ, sekarang dah memang duduk HQ, tak ada pulak meeting
# Dulu berangan sekarangpun berangan .....

Sunday, April 04, 2004

BERJOGET SAJA


Pokcik datang berjoget saja
Duduk-duduk sejam dua

Abe mari hanya untuk minum
Tengok-tengok demo dok senyum

Tibo-tibo demo dok bom
Semua bunyi berdentum
Pah tu pokcik dok kabar
Sedar-sedar kat spital

Pokcik sekodor berjoget saja
Bukan buat benda berdosa

Sebab apo kena bommmm?

Friday, April 02, 2004

ALAH BISA ...

RAMAI kawan-kawan bertanya bagaimana keadaan di ofis baru. Alhamdulillah semalam dah selamat melapor diri dan dapatlah sepatah dua kata pegangan dari bos untuk bekalan perjuangan yang belum selesai .... Dalam masa lima tahun kewujudan jabatan aiti di sini telah menampilkan lima orang ketua jabatan. Semua yang dihantar ke sini adalah yang hebat-hebat belaka. Namun semuanya tidak bertahan lama. Banyak kemungkinan yang memungkinkannya. Di antaranya ialah mereka ini hebat dan di sini kurang cabaran, lantas mereka minta berundur. Mungkin juga mereka tidak menyangka betapa hebatnya tiger users di sini, lantas terpaksa mengundur diri sebelum disuruh berbuat demikian. Tidak kurang juga yang terlalu cemerlang, belum sempat berlama-lama, telah dinaikkan pangkat dan terpaksa keluar kerana ketiadaan jawatan tersebut di sini. Walau apapun, mba teruskan perjuangan yang belum selesai yang telah mereka rintis.....

Semalam meninggalkan rumah agak lewat, iaitu jam 7:00am. Sengaja dilewatkan kerana ia adalah hari pertama, jika sampai awal sangat tidak tahu untuk kemana. Namun wow, 7:20am dah sampai ke pejabat baru. Sementara nak menantikan time untuk report duty, habislah semuka buku catatan mencatat mengenai apa yang nak dibuat di hs ini. Perjalanan pulang juga tidak memenatkan sangat. Hari ini juga hampir sama dengan semalam, pergi dan balik. Itu bab pergi dan balik kerja.

Tentang kerja pula, insyaallah boleh diusahakan dan boleh nampak terus hasilnya kepada pengguna akhir. Tidak lagi hanyut dalam lautan tidak bertepi kerana projek terlalu besar yang kita hanya sebahagian kecil sahaja dari berpuluh modul yang dibangunkan. Walau bagaimanapun, kerja-kerha ghurka terpaksalah ditinggalkan jika nak buat juga, terpaksalah pandai membahagikan masa. Kerja kini lebih kepada sesi lawatan, ucapan, pr dan yang gitu-gitu tu ... Melihatkan seorang pengguna jusa "b" masih lagi membuat programming sejam sehari, terasa jealous juga ni, mampukah psm jusa "c" melakukan sedemikian?.

Akhir kata, setakat ini hepi di sini dan sakit kepala (alhamdulillah) belum singgah lagi. Moga-moga ia berkekalan.

p.s Blog tidak dikemaskini semalam sebab merajuk kat notebook ni, dah jenuh menaip, bila publish, dia ilang begitu je, buat penat je menaip. Nak taip kat ofis, rasa macam bersalah je. Lagipun manalah tau kat sini sekuritinya terlalu ketat ....

Wednesday, March 31, 2004

SAYONARA PUTERAJAYA

tasik membiru
puterajaya megah
ucap jamata

SETIAP pertemuan mesti diakhiri dengan perpisahan. Tempoh selama 6 tahun 6 bulan berkhidmat di sini rasanya sudah cukup untuk mengenali bagaimana akauntan bekerja dalam dan di luar pejabat.

Mulai esok, untuk meneruskan lagi kerjaya semasa, akan berhadapan dengan doktor pula sebagai bos, rakan setugas dan juga pelanggan. Ramai rakan-rakan yang berasa pelik apabila memilih untuk meninggalkan puterajaya untuk ke hospital. Sebabnya semua ketua jabatan IT yang terdahulu tidak dapat bertahan lama. Entahlah, mba tidak mahu meramalkan berapa lama dapat bertahan di sini. Biarkan Penentuan yang menentukannya.

Esok pasti akan tiba jua. Pertemuan pasti akan berakhir dengan perpisahan jua.

mba sudah mengumpulkan pelbagai profesyen pekerjaan sejak mula berkhidmat lagi. Mula2 dengan jurukur bahah, jurutera, arkitek kemudian dengan PTD, seterusnya dgn PSM dan kini dgn akauntan. Ah doktor juga manusia biasa ....

---
MBA
di luar pejabat dgn treo600

Tuesday, March 30, 2004

OMEYAGE

DAPAT omeyage lagi?. Gitulah rasa terkejut SRI DIAH bila diberitahu yang HALELA ada kirimkan omeyage kepadanya melalui seorang peserta kursus yang baru pulang dari Okinawa. Apa agaknya yang Puan Sri dapat?.

Ini omeyage yang MBA terima dari Puan Halela. Domo arigato gozaimasuta Halela-san

Monday, March 29, 2004

HARI PERTAMA DI OFIS BARU

BERTOLAK dari rumah 6:45am dan singgah di stesen minyak dalam 10 minit. Memandu melalui MRR II menuju lebuhraya KL-Seremban untuk ke ofis baru. Sampai jam 7:30am. Wow cepatnya!. Memang pasti tidak tahu di mana petak meletak kereta yang dikhaskan, lantas parking saja di ruang pelawat. Sampai di pejabat baru: terpegun. besar. cantik. indah. menawan, tapi pendiam (sunyi kerana populasi pekerja yang rendah berbanding dengan keluasan pejabat. Maklumlah dulu dah biasa nampak anak-buah depan mata, sekarang terpaksa mencari-cari di mana mereka ....

Perjalanan pulang juga mengambil masa kurang sejam, Wow jika begini, tak perlulah ke ofis baru lagi!. Namun ofis ini hanya untuk transit 3 hari sahaja. Khamis ini perlu melapor lagi di organisasi baru, cabaran baru, suasana baru dan menteri yang baru dilantik.

Walaupun indah namun jamata Putrajaya.

(jamata - "selamat tinggal dan berjumpa lagi")

ofis baru

dari tingkap

Saturday, March 27, 2004

MENJAYAKAN HOMESTAY

HUJUNG minggu ini agak sibuk. Selepas waktu pejabat hari Jumaat, memulakan sesi dengan menghadiri cocktail di Impiana Hotel. Ia diikuti dengan menghantar 27 pelajar Kolej Tuanku Jaafar ke KLIA untuk program homestay di Nagoya. Tengahari Sabtu pula menguruskan pengagihan anak angkat dari Jepun untuk program homestay mereka di hotel Corus.

Program ke Nagoya sudah menunjukkan tanda-tanda kelam kabut semenjak di KLIA nanti. Ia berlaku apabila agen pelancongan dan pihak sekolah tidak sekata dalam soal sesi taklimat yang akan diadakan oleh pihak kami (JICA Alumni) . Akhirnya kami pulang setelah sesi taklimat dikatakan akan diadakan dalam balai berlepas setelah mereka check-in, Semoga Farah & Firdaus boleh mengatasi segala masalah yang timbul jika ada. Juga menceritakan apa yang berlaku di Nagoya nanti. Sepatutnya soal taklimat ini dibereskan sejak lama dulu, namun apa yang patut berlaku telahpun berlaku.

Sesi penyerahan anak angkat di hotel Corus menemukan dengan dua orang GEJU, iaitu ZAR dan ADDEEN (mereka mengambil seorang anak angkat dan seorang adik angkat). Suasana juga tidak terurus apabila budak-budak Jepun ini tidak diberi makan tengahari terlebih dahulu, walaupun telah dimaklumkan kedatangan keluarga angkat ialah dari jam 12 - 2 pm. Seorang-demi seorang datang dan kami terpaksa melepaskan mereka pergi tanpa sebarang taklimat kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Sebenarnya pihak JICA Alumni telah berkali-kali memohon supaya Sabtu minggu pertama atau ketiga sahaja yang sesuai, namun pihak Tokyo masih juga gagal menghitung ini adalah Sabtu keberapa. Sebagai penganjur, rasanya program ini masih lemah dan masih banyak yang boleh diperbaiki (walaupun lebih baik dari tahun lepas). Semoga Zar dan AdDeen akan menceritakannya dalam blog mereka bagi pihak keluarga mereka pula.

Gambar ZAR dengan anak angkatnya (Tomoko Nakamura) yang cute. Sayang terlupa nak ambil foto AdDeen dengan adik angkatnya (Eri Takeda).

Friday, March 26, 2004

MENARIK DIRI DAN SALAM KEMAAFAN

SAYA sedikit terharu apabila diberitahu nama saya dicalonkan dalam beberapa kategori jawatan dalam GEJU. Baru sekali hadiri akiviti GEJU telahpun dicalonkan. Ini adalah gara-gara sebab keyboard badan merasa ni kot?. Walau bagaimanapun, sebagai pegawai divisyen satu kerajaan, saya tidak boleh bertanding dan memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa pertubuhan yang tidak diiktiraf/ tidak berdaftar. Maknanya begini, kalau NGO sebenar, ia mesti ada perlembagaan dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Jika pertubuhan lain seperti Jawatankuasa Kemajuan Kampung, AJK Masjid/Surau, Rukun Tetangga peringkat taman perumahan, PIBG, kelab kebajikan peringkat jabatan, kelab sukan peringkat kementerian dan yang sewaktu dengannya adalah jenis pertubuhan yang mungkin tidak berdaftar, tetapi diiktiraf oleh kerajaan. Misalnya perkara-perkara ini ada dalam borang laporan prestasi.

Sehubungan dengan itu, saya telah memohon untuk menarik diri dari pencalonan dan memohon maaf kepada mereka yang telah mencalonkan saya. Walaupun begitu, saya tetap akan memberi sokongan dan khidmat nasihat kepada GEJU jika diperlukan dan akan hadir ke aktiviti GEJU yang bersesuaian.

Wassalam.


PRESIDEN
01. TOK RIMAU []
02. FUAD MANMONCANG []
03. WKDIN []

TIMBALAN PRESIDEN
01. TOK RIMAU []
02. FUAD MANMONCANG []
03. WKDIN []

SETIAUSAHA
01. SPYZ []
02. MBA []
03. MAT JAN []
04. EP []

BENDAHARI AGUNG01. SPYZ []
02. MBA []
03. MAT JAN []
04. EP []

JAWATANKUASA TERTINGGI 01. SPYZ []
02. MBA []
03. MAT JAN []
04. EP []
05. ZHOULSZ []
06. SALJI []
07. MURING []
08. NAZMI []
09. COUNTSELAR []
10. AMYZ []
11. HANYA SAYANG []
12. NETTBIRU []
13. SULTAN MUZAFFAR []
14. UNGKUNORFAIZAH []
15. CIKDAUN []
16. SRI DIAH []
17. EMMA []
18. HAYAZI []
19. YADZIZ []
20. FAJAR []
21. ABASAN []
22. ZAREDA []
23. MUSHROOMCUTE []
24. PAKDI []
25. BANDARSEPI []
26. KAK G []
27. ELAIRA []
28. JIGO []

BAHAGIAN UTARA01. PURBE []
02. CIKGU MIDAD []
03. MEER []

BAHAGIAN TIMUR
01. YADZIZ []
02. AQULAID []
03. ADK77 []

BAHAGIAN SELATAN
01. COUNTSELAR []
02. UNGKUNORFAIZAH []
03. KAK G []

BAHAGIAN BARAT01. SUIF SAINAN []
02. WAWA []

LUARNEGARA01. MURING []
02. KSYAKIRIN []
03. RAFTHAH []


Thursday, March 25, 2004

HARI-HARI TERAKHIR

HARI ini ialah kali akhir berada di pejabat di Wisma PKNS di Jalan Raja Laut ini. Kerja-kerja packing sedang rancank dijalankan. Esok lori-lori akan datang memunggah barang-barang ke Putrajaya. Hari Sabtu sudah kena ketik kad perakam di Putrajaya. Isnin, Selasa akan berpejabat di Putrajaya dan RAbu adalah hari terakhir di Putrajaya. 1 April bersamaan dengan hari Khamis, akan melapor diri ke tempat baru, di luar Putrajaya, di Luar Kuala Lumpur.

Wednesday, March 24, 2004

KARAOKE


MUNGKIN tidak perlu diperkenalkan lagi apa itu karaoke di kalangan kita semua. Ia cukup popular di negara kita ini. Karaoke adalah perkataan Jepun yang bermaksud "orkestra kosong". Karaoke memang bermula di Jepun lebih 20 tahun yang lalu. Lebih tepat lagi di Kobe. Biasanya selepas waktu kerja, Nihonjin tidak terus pulang ke rumah, tetapi ke bar terlebih dahulu untuk meneruskan kerja mereka, bersosial, bertemu rakan dan sebagainya. Pada suatu hari, di sebuah bar di Kobe, penyanyi residennya telah tidak dapat bertugas kerana tidak sihat. Untuk tidak menghampakan pengunjung tetapnya, tuan punya bar telah memasang tape dan menjemput pengunjung menyanyi bersama-sama. Semua pengunjung gembira dan dari situ bermulalah karaoke.

Kini karaoke sudah begitu popular di seluruh dunia. Mesin-mesin karaoke bukan sahaja boleh didapati di pusat karaoke, malahan boleh dibeli untuk digunakan di rumah juga. Sebenarnya karaoke ini bukanlah semata-mata hiburan, malahan merupakan suatu terapi juga. Konon cerita, banyak penyakit boleh disembuhkan dengan karaoke. Di antaranya ialah stroke, stress dan yang sewaktu dengannya. Umum mengetahui bahawa olah raga (senaman) adalah bagus untuk kesihatan. Namun olah vokal (karaoke) juga begitu....

Karaoke di negara kita ini nampaknya telah dipakejkan dengan pelbagai perkara yang menampakkan kepentingannya. Dalam perkhidmatan awam pula, dulu saya pernah terbaca yang perdana menteri Singapura menggesa penjawat awamnya belajar menyanyi dan karaoke kerana beliau berasa kagum dengan kebolehan pegawai awam Malaysia yang rata-ratanya pandai menyanyi (malu sebenarnya dengan stafnya yang terlalu serius kerja dan tidak ada masa untuk berhibur dan menghibur). Perkara ini berlaku dalam majlis m akan malam di antara pegawai tinggi Malaysia dan Singapura tidak berapa lama dulu.

Hmmmm.... nampak gayanya universiti tempatan kenalah adakan kursus karaoke sebagai satu darioada matapelajaran elektif mereka. :)

Tuesday, March 23, 2004

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

BAGI penjawat awam dalam perkhidmatan gunasama (contohnya PTD dan PSM), mereka agak bertuah rasanya sebab boleh bekerja di mana sahaja kementerian, jabatan, agensi, negeri, daerah dan sebagainya. Keistimewaan ini jarang diperolehi oleh penjawat awam dalam perkhidmatan tertutup. Namun pada kebiasaannya, peluang memilih tempat tidak diberikan semasa lantikan pertama. Setelah beberapa tahun berkhidmat atau bagi yang pulang dari menyambung pelajaran, biasanya bolehlah memilih ke mana mereka ingin berkhidmat bergantung kepada kriteria tertentu.

Umum berpendapat bahawa bertugas ke kementerian adalah suatu kelebihan berbanding dengan di jabatan. Ada pula yang beranggapan bekerja di negeri adalah lebih glamor berbanding dengan di Pusat. Ia berbeza dari seorang ke seorang. Namun tidak semua orang layak untuk bekerja di tempat yang menjadi idaman mereka. Kelayakan ini perlulah dilihat kepada baju apa yang mereka pakai....

Semasa berada dalam pool setelah pulang dari cuti belajar dulu, mba ada mendengar macam-macam cerita pengenai proses penempatan rakan-rakan. Ada yang memohon untuk ke agensi pusat kerana dia suka buat kertas kerja atau polisi. Namun tidak berjaya kerana alasannya agensi-agensi pusat tersebut telah menetapkan kriteria tertentu atau dengan kata lain sudah ada orang tertentu yang diperlukan. Ia itu bergantung kepada baju apa yang dia pakai.

Ada rakan yang minat sangat untuk mengajar dan memohon untuk ke institusi pengajian. Beliau juga tidak berjaya kerana tidak cukup kriteria yang diperlukan. Dikhabarkan akhirnya beliau melepaskan jawatan dan berkhidmat dengan universiti.

Apakah baju yang diperlukan?. Di antaranya ialah ketampanan, kejelitaan, keceriaan. Pendik kata sedap mata memandang. Selain dari itu "adakah anda boleh karaoke"?. "Dalam sukan golf, berapa handicape anda"?.

Selain dari itu, banyak lagi kriteria lain, oleh itu ukurlah baju di badan sendiri. :)
(jangan jaga tepi kain orang) :(



Monday, March 22, 2004

GAJET & AKSESORI IDAMAN


A = 512MB SD Card
B = Isolator headphone
C = Stereo Headphone Adapter
D = BoxWave MiniSync charge and sync USB cable



Sunday, March 21, 2004

PERANCANGAN STRATEGIK

GENTING HIGHLAND: 19-21 Mac:
Mood untuk mengemaskini blog langsung tiada, namun oleh kerana pertanyaan daripada Cik Tipah, maka dituliskan sedikit sebagai kada' 3 hari tidak berblog. Ini baru saja sampai dari puncak Genting kerana mengurus (lebih tepat mengerjakan) Sesi Perancangan Strategik untuk The Japan International Cooperation Agency [JICA] Alumni Society of Malaysia, atau JICA Alumni Malaysia. Seramai 40 ahli dan bekas pelatih JICA hadir ke sesi Perancangan Strategik (PS) untuk merangka program dan aktiviti bagi tahun 2004-2008. SP yang julung-julung kali ini dilakukan dengan kerjasama fasilitator dari MIMOS, MAMPU dan INTAN.

Seminggu sebelum SP ini, bateri telefon sentiasa sahaja kehabisan kerana panggilan telefon dari peserta. Semasa sesi berjalan, dua malam memang tidak cukup tidur. Malam pertama tidur jam 2am dan bangkit semula 5pm dan terus berjaga sehingga 1am hari kedua. ( Sri Diah tentu setuju bahawa itu memang tidak cukup. Alhamdulillah matlamat awal SP dapat dicapat awal pagi tadi.

Hari ini terus pulang dengan alasan kuat untuk membuang undi (ungkapan ini salah, kita bukan buang undi tetapi ambil (bahagian) undi). Walau bagaimanapun alasan sebenarnya ialah untuk membayar qada' ZZZzzzzz yang terhutang.

Lepas ni kena sediakan laporan SP untuk dihantar ke Tokyo. Hajat dihati nak buat dalam BM dan terjemahkan ke BJ, namun JICA inginkan laporan dalam BI. Target penyerahan rasmi pada 28 Mac semasa Mesyuarat Agung JICA Alumni diadakan. Waduss..... .

OK selamat mengambil undi :)

Wednesday, March 17, 2004

Dari PUSPAKOM (testing dari Treo)

6.30am - tiba di puspakom
6.40am - pintu gate dibuka & masuk
7.15am - gate ditutup semula
8.15 - Q utk semak dokumen & Q bayaran
9.00am - selesai pemeriksaan

Tuesday, March 16, 2004

REALITI KEHIDUPAN

HARI ini sepatutnya sudah melapor diri ke tempat kerja baru. Namun atas beberapa sebab yang disenangi oleh beberapa pihak, ia ditangguhkan hingga ke hujung bulan ini.

Hari ini sempat ke persidangan CIO. Sekadar untuk melihat apa, siapa dan bagaimana CIO. Manalah tahu suatu hari nanti boleh jadi CIO.

Semalam jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur (maklumlah, lepas ini kena bekerja di luar KL). Lalu ternampak sebuah kedai motor lalu memberhentikan kereta di situ. Tanya tuan punya kedai, apa motor paling murah dijual kat sini?. Oh motor Comel model Monyet, harganya RM2,700. Lepas diskaun dapatlah RM2,500. (Apalah punya motor Comel nama Monyet?). Encik nak buat apa dengan motor ni?. Mau pakai atau beri sama orang? Oh saya mau nombor saja, saya mau buat interchange dengan nombor kereta saya. Kalau begitu senang saja. Kita boleh buat itu semua, kita biasa buat. Encik tak payah ambil motor, bayar kita sikit upah dan semua tanggung beres. Encik boleh dapat itu nombor.

Akhirnya duit bertukar resit dan janji minggu depan datang ambil semua dokumen untuk proses interchange. Betapa senangnya. Sudah lama mencari-cari jika ada sesiapa yang inginkan nombor kereta lama untuk interchange. Sebabnya dah dapat satu nombor baru dari JPJ Melaka, iaitu plet MBA xx. Dah buat iklan di beberapa tempat termasuk lelong.com namun tidak mempunyai jodoh. Sekali keluar ke alam nyata sahaja, alhamdulillah segala urusan selesai. Itulah realiti kehidupan sebenar, bukannya virtual reliti.

Esok pula akan ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan bagi tujuan interchange ini.
Tesr from Blogger Support

Monday, March 15, 2004

Al-Qura Digital

MBA menerima hadiah sebuah Quran Digital berjenama PenMan buatan Korea.

- Large LCD display in Arabic, English & French with night backlight
- Easy and fast search for Surahs and verses.
- Built in speaker.
- Recitation speed control in 3 steps.
- Book-marking of Surahs and verses will be saved even after shutdown.
- Built in DC Adaptor jack.
- The voice of Sheoukh Al-hudhaify
- Translated into English by Mohsen Khan and French by The Presidency of Islamic Researches, IFTA, Call AND Guidance.


Abedib: Boleh ke iPod berfungsi sebagaimana PenMan?. Jika ada kesempatan bolehlah kita bandingkannya.



Saturday, March 13, 2004

HARI JUMAAT

Menjawab Pertanyan PAKDI

JUMAAT tadi khutbah pasal apa ya? lupalah PakDi. Bukan tidur cuma cepat lupalah sekarang ni.... YAng masih ingat ialah tazkirah sebelum khutbah. Ia itu pasal bersahabat. Ustaz kata ramai antara kita berkasih sayang bukan kerana Allah. Ada yang mencarai rakan-rakan yang sudah lama tak jumpa semata-mata kerana nak jual barangan jualan langsung. Ada yang jumpa sahabat sebab nak naik pangkat. Ada yang nak mintak projek dan sebagainya dan sebagainya, Itulah antara intipati tazkirah sebelum khutbah.

menjawab pertanyaan Shamsul Kamar

Hari ini ofis buat jamuan perpisahan untuk mba. Ofis ini akan tutup dan pindah ke Putrajaya. mba akan ikut pindah selama 2 minggu dan kemudian akan pindah ke ofis lain pula. Ke mana?. tunggulah masa melapor diri nanti.

Friday, March 12, 2004

BAKTI TERHADAP IBU BAPA YANG TELAH MENINGGAL

SEMPENA dengan hari Jumaat ini, elok kita renungkan apakah yang boleh dilakukan oleh anak terhadap ibu bapa yang telah meninggal dunia. Semoga dapat menafaat:-
1. Menjelaskan hutang.
Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya. Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.


2. Membayarkan zakat.
Seseorang yang meninggal dunia dan belum membayar zakat, maka wajib bagi warisnya menjelaskan zakat tersebut kerana zakat yang belum dibayar itu adalah hutang seseorang hamba kepada Allah s.w.t. Kewajipan membayarnya pula didahulukan sebelum menjelaskan hutang yang lain, memenuhi wasiat dan pembahagian harta pusaka.

3. Mengqadakan puasa.
Waris atau anak-anak disunatkan supaya mengqada puasa ibu bapanya yang telah meninggal dunia, ia termasuk puasa Ramadan, puasa nazar dan puasa kafarah.

4. Membayarkan fidyah puasa.

Fidyah puasa itu ialah memberi sedekah dalam kadar satu cupak makanan asasi penduduk sesebuah negara sama ada daripada beras, gandum atau seumpamanya. Di Selangor kadar satu cupak itu ialah 900 gram bersamaan RM1.10. Mereka yang diwajibkan membayar fidyah puasa ialah:

5. Mendoakan ibu bapa.
Doa anak yang soleh merupakan khazanah ibu bapa yang amat berharga. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh dan berdoa untuknya.

6. Menghubungkan tali silaturahim.

Menghubungkan tali silaturahim adalah termasuk dalam perkara yang amat penting dan ia merupakan salah satu tuntutan syariat yang harus mendapat perhatian utama daripada kaum Muslimin. Mengeratkan hubungan silaturahim dan berbuat baik dengan kaum kerabat dan sahabat ibu bapa adalah sebahagian daripada cara berbuat amal untuk kedua-duanya yang telah meninggal dunia.

7. Menziarahi kubur.
Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakad dan besar ganjaran pahalanya. Adalah lebih baik jika di-ziarahi pada setiap hari Jumaat dan dibacakan surah Yasin untuknya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan berdoa dan menziarahi kuburnya membawa kebajikan yang bukan sahaja kepada anak-anak yang soleh tetapi juga kepada anak yang derhaka.

Dalam sebuah hadis diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua-dua ibu bapanya kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk kedua-duanya, nescaya ia diampuni Allah dan dianggap sebagai anak yang taat.

8. Menyelesaikan harta pusaka mengikut faraid.
Pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat setelah dijelaskan segala hutang si mati sama ada hutang dengan Allah mahupun sesama manusia, wasiat dan segala perbelanjaan pengurusan jenazah.

Firman Allah s.w.t. Allah telah memerintahkan pembahagian harta pusaka terhadap anak-anak kamu iaitu bahagian seorang lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. (An-Nisa :11)

9. Memohon keampunan bagi dosanya.
Perkara yang paling mudah dan dapat dikerjakan oleh semua orang pada bila-bila masa ialah berdoa serta memohon keampunan bagi dosa kedua-dua ibu bapanya sama ada yang masih hidup lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia, seperti mana doa yang dianjurkan di dalam al-Quran Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan juga kepada semua orang mukmin pada hari terjadinya hisab. (Ibrahim : 41)

Firman Allah s.w.t. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka), ``Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil. (Al-Isra: 24)

10. Membuatkan haji untuknya.
Anak-anak digalakkan untuk membuatkan haji bagi kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yang belum sempat menunaikan haji. Ia boleh dilakukan dengan membuat sendiri (bagi yang telah menunaikan haji untuk diri sendiri) atau dengan cara mengupahkannya kepada orang lain.


[telah diringkaskan dari artikel asal]
- NURHELMI IKHSAN, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Selangor.

Thursday, March 11, 2004

FREE TIDAK SEMESTI MURAH

FREE maknanya tidak perlukan apa-apa bayaran. Bagaimana pula free tetapi tidak murah?. Bukankah murah masih perlu dibayar?

Di zaman penggunaan komputer mainframe dulu, berita sensasi yang pernah saya dengar ialah apabila sebuah sekolah menolak pemberian sebuah komputer mainframe yang ingin diberikan secara percuma oleh sebuah kementerian. Sememangnyalah, buat apa sekolah memiliki sebuah manframe?. Harga yang perlu dibayar oleh sekolah tersebut untuk menggunakan mainframe yang ingin diberikan secara percuma ini sebenarnya adalah lebih mahal berbanding dengan membeli sebuah mainframe baru. Sebabnya kos penyelenggaraan mesin tua yang sudah ingin dilupuskan adalah berlipat kali ganda lebih mahal berbanding dengan mesin baru.

Tidak berapa lama dulu sebuah NGO telah menolak tawaran untuk menggunakan domain name secara percuma, sebaliknya membeli sendiri satu domain name yang lain dengan membuat bayaran penuh. Tawaran percuma ini dikira mahal kerana terdapat beberapa pra-syarat yang perlu dipatuhi sebelum domain name tersebut dapat digunakan. NGO yang sama baru-baru ini telah ditawarkan dengan laman web percuma yang telah siap dibangunkan. Namun khabarnya ia masih belum dapat diterima lagi kerana syaratnya mungkin lebih mahal.

Dalam dunia IT, kini kita boleh dapati perisian percuma. Namun tidak banyak organisasi yang menggunakan perisian percuma ini. Mungkin salah satu sebabnya ialah kos keseluruhan pelaksanaan perisian yang berbayar adalah lebih murah.


Harga jualan RM19.90. Diskaun 30% jika ke KK = RM5.90. Tambang komuter dari stesen bank negara ke shah alam = RM6. Ah..... harga diskaun lebih mahal dari harga biasa. Jadi, lebih baik beli harga biasa. [Dah Beli Dah .... ]

Diari peribadi Uncle Muhammad di http://mba2u.blogspot.com juga selalu memberinya pelbagai info dan mencetuskan idea. ... MS 142


Wednesday, March 10, 2004

DILEMA PERPINDAHAN TEKNOLOGI

PERPINDAHAN Teknologi atau lebih dikenali sebagai ToT (Transfer of Technology) adalah merupakan salah satu syarat apabila kerajaan memberikan tender/ projek berteknologi kepada kontraktor. Berdasarkan kepada pengalaman saya menyertai, mengendali dan mengetuai ToT ini, boleh dikata harapan hanyalah tinggal harapan. Maknanya masih terlalu jauh untuk mencapai matlamatnya.

Pada 1990an saya menjadi urus setia kepada satu projek pengkomputeran bernilai RM150 juta. Projek sebesar itu pada 1990an adalah dikira sebagai projek mega. ToT yang dipraktikkan ialah dengan mengambil lebih kurang 10 orang pegawai kerajaan untuk berkhidmat dengan pasukan projek di bawah penyeliaan kontraktor. Pegawai ini diberikan sedikit elaun di samping gaji yang dibayar oleh kerajaan. Kerajaan berharap kakitangannya akan dapat mempelajari dan menguasai teknologi yang digunapakai oleh kontraktor. Pihak kontraktor pula ingin menyiapkan projek mengikut jadual dan ingin "mempergunakan" kakitangan kerajaan ini untuk mengetahui mengenai selok-belok perkhidmatan kerajaan seperti prosedur, tatacara, peraturan, protokol dan sebagainya. Maka timbullah suatu persimpangan yang tiada penghujungnya di sini.

Kontraktor bukan tidak mahu memberikan "teknologi" yang digunapakai kepada kerajaan. Namun alasannya ialah kakitangan kerajaan ini tidak mempunyai asas yang cukup. Nanti projek boleh jadi perlahan disebabkan adanya penumpang dalam pasukan projek. Dengan menggunakan alasan kepentingan projek dan melaporkannya kepada pihak paling atas, maka akhirnya begitulah berakhirnya ToT tersebut. Walhasil blaik asal.

Pada tahun 2000 saya terlibat secara langsung dalam ToT sebagai peserta atau lebih dikenali sebagai receipient (R). Seramai 14 orang kakitangan menyertai ToT ini. Oleh kerana kedudukan saya dalam kerajaan sudah dikira agak tinggi, maka bukan teknologi per-say yang ingin dipelajari, namun bagaimana pihak system integrator (SI) menjalankan kerja. (sebenarnya SI dan kontraktor sama sahaja dalam kontak ini, namun masa berlalu, maka terma juga mesti lebih canggih). Setiap receipient (R) diberikan provider (P) dan dikawal selia oleh pengurus ToT. Ada beberapa method yang dilakukan seperti mengkaji jurang pengetahuan antara P & R, pra keperluan R, kemahiran P, kursus, kerja, perbincangan dan sebagainya. Kami kerja bersama, bermesyuarat, belajar, bertengkar, mencabar, menangis dan jarang-jarang ketawa selama 18 bulan.

Hasilnya ada P yang dapat pengetahuan dan ada yang tidak. Kebanyakannya bergantung kepada sikap & minat serta kesungguhan sendiri. Tidak semua P adalah pandai dan ingin berkongsi kepandaian. Malahan ramai P yang takut kepada R kerana ternyata atas kertas dan sebenarnya R jauh lebih pandai dan berwibawa. Pi mai pi mai dok tang tu jugak, di mana "kepentingan" deadline adalah diutamakan dan ToT dikebelakangkan. Akhirnya .... projek tak siap dan ToT terbengkalai.

MBA: kini menjadi pengurus ToT yang kehilangan P & T :-)

Tuesday, March 09, 2004

SEBELUM TERLAMBAT

ADA lima perkara sebelum datangnya lima perkara merupakan moto hiasan kebanyakan daripada kita. Biasanya tulisan ini dijadikan hiasan dinding. Iaitu (tidak mengikut susunan)
1. Kaya sebelum miskin
2. sihat sebelum sakit
3. muda sebelum tua
4. lapang sebelum sibuk
5. hidup sebelum mati.

Teringat kepada lima perkara tersebut kerana terdapat beberapa perkara di antaranya telahpun berlalu. Harapannya ialah untuk mengejar yang masih belum berlalu, yang masih belum terlambat. Berbalik kepada saham (tak) amanah dalam entri yang terdahulu, mba tidaklah kesal sangat membelinya, sebab bukanlah banyak sangat. Namun ada orang kita yang melabur puluh-puluh ribu, ada yang ratus-ratus ribu dalam saham seumpama itu, apa akan jadi?. Mudah-mudahan mereka akan tetap cool. mba adalah segelintir daripada orang Melayu yang tidak memiliki ASN atau ASB. Ini ialah kerana mba dengar, yakin dan percaya bahawa saham-saham tersebut tidak diurus mengikut syariah dan melabur dalam industri yang bertentangan dengan syariah. Jadi, walaupun untungnya adalah berlipat kali ganda, mba rasa tak mengapalah. Kalau betul ianya tidak halal maka mba untung di akhirat. Jika ianya memang halal, mba hanya rugi di dunia. Begitulah sifir kira-kiranya. Walau bagaimanapun, mengikut survey yang dibuat oleh PNB di kalangan orang Melayu yang tidak melabur ini didapati faktor halal-haram bukanlah menjadi penyebab utama. Sebab utama mengikut survey tersebut ialah tidak cakna atau maknga sahaja.

Begitu juga dengan insuran. mba tak ambil apa-apa insuran (nyawa) kerana yakin dengan fatwa dulu-dulu yang mengatakan insuran nyawa itu adalah haram. Sememangnya dulu-dulu tiada insuran Islam macam Takaful dan sebagainya. Lagipun insuran sekarang sudah banyak pakejnya. Apabila anak dah nak masuk institusi pengajian tinggi ni, barulah berasa lega sedikit sebab sempat juga beli insuran pendidikan Takaful beberapa tahun yang dulu. Jika tidak, alamak parah jugak tu. Kalau orang kampung dulu-dulu, anak dapat belajar kat kolej atau U, mereka adalah juga lembu/kerbau untuk dijual. Jika tidakpun tanah bendang untuk digadai. Bagi yang tinggal di bandar?. Apa yang ada jika tidak beringat dari awal?.

Mengenai insuran kesihatan pulak (yang halal), eloklah diambil semenjak muda lagi. Kalau boleh pada bulan pertama kerja lagi. Selain dari perlindungan kesihatan, ia juga adalah merupakan satu tabungan untuk masa depan. Macam mba ni, insuran dah tak mahu insured. [ingat masa sihat sebelum sakit].

Saturday, March 06, 2004

SAHAM TAK AMANAH

SEMALAM terima laporan pengurus Amanah Saham Bank Islam. Ada beribu-ribu lemon rasanya setiap kali menerima laporan pengurus saham tak amanah begini. Cuba lihat fakta ini:-

TAHUN RM
1994 1000
1995 0.00
1996 86.12
1997 93.14
1999 29.98
2000 51.29
2001 0.00
2003 22.87

Apakah maknanya ini semua? Ringkasnya pelaburan RM1000 pada tahun 1994 hanya berbaki RM22.87 sepuluh tahun kemudian. Pelaburan jenis apakah yang macam itu?. Adakah ini yang dinamakan sebagai Amanah Saham Akhirat?. Ke manakah agaknya duit-duit itu melayang?. Apakah yang dinamakan sebagai AMANAH?

Pelaburan adalah sebahagian dari perniagaan dan semua perniagaan mempunyai risiko. Pelaburan atau saham mesti mempunyai risiko, iiatu samada untung atau rugi. Jika mahu pelaburan yang mempunyai keuntungan yang tinggi, risikonya juga adalah tinggi. Sebab itu muncullah saham amanah. Adakah saham amanah tidak mempunyai risiko?. Oh tidak, semua pelaburan mempunyai risiko, namun saham amanah adalah satu jenis pelaburan yang berisiko rendah dan pulangannya juga tidaklah setinggi mana...

Namun jika suatu pelaburan itu TIDAK pernah untung, bukan sahaja untung, malahan dengan modal pokok sekali hangus, dah hancus lebuk, dengan ranting-rantingnya, dengan daun-daunnya sekali dah tak nampak, apakah itu yang dinamakan saham amanah?. Saham amanah Bank ISLAM lagi?. Wa ingat aaa, kalau itu RM1000 kasi sama apek tanam sayur yang tak basuh berakpun, wa ingat itu pokok sudah lama besar, hari-hari boleh makan bunga jugak.... Ha..ha... makan "bunga" itu haram!!! .... macamanaa mau makan bunga kalau pokok sudah mati?. Pokok sudah hangus?. Mana ada bunga!.... puih cakap talak salupa bikin jugak.

Sudahlah batang pokok dah jadi tunggul mati, tiap-tiap tahun hantar laporan pengurus bukan main cantik lagi. Kurang-kurang mau makan RM10.00 satu salinan full-color punya laporan. Aisey man.... sapa punya printer company bikin itu busines?. Lain kali meniaga banyak lugi... kasi lepot pakai fotostat sudahlah, ini pokok RM22.87 mau cetak guna RM10.00 punya materialkah?. Ayo...yo... tatak ingat hali kamulian ka?

Sekarang wa manyak elergik dengan ini bank, mau buat housing loan kena bayar double berbanding dengan bank kafir. Tapi kalau itu ikut Syariah ka, ikut Mudarabah ka, wa ingat akhirat jugak mau senang. Tapi kalau itu mudah-rabak punya kes, manyak susah woo..... Lain bank ada jugak buat mudarabah, tapi tatak cekik sampai ini macam, apa pasai?. Wa salah ka lu yang tak betui?.

Hai ya, apek sudah naik konfius la sikalang: tak tau mana mau pangkah. anak wa cakap, dia punya cikgu bilang, pangkah itu salah, right itu betul. jadi pangkahlah calon yang salah, yang kita tak suka sama dia ....


Friday, March 05, 2004

ELAUN KERAIAN

BAGI pegawai-pegawai kerajaan gred 48 (dulu gred 2) ke atas, mereka diperuntukkan dengan elaun keraian yang merupakan sebahagian daripada pendapatan mereka. Elaun minima RM500 sebulan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Imbuhan Tetap Keraian yang diberikan kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai tertentu dalam Kumpulan Pegurusan dan Profesional merupakan elaun yang dibayar atas kadar tetap secara bulanan. Tujuan pemberian Imbuhan Tetap Keraian adalah sebab jawatan dan tanggungjawab pegawai memerlukan mereka meraikan tetamu bagi mewujudkan suasana ramah mesra. -- FAQ SSM oleh JPA

Namun pada kebiasaannya, Imbuhan Tetap Keraian ini hanya digunakan untuk meraikan diri sendiri ataupun keluarga sendiri sahaja ataupun untuk membayar hutang-hutang peribadi sahaja. Andaikata ada tetamu yang datang ke pejabat dan mereka dijamu, itu adalah dari perbelanjaan pejabat. Malahan ada pejabat yang membayar makan minum tetamu yang diraikan di hotel/restoran menggunakan Local Purchase Order (LPO).

Ia agak berbeza dengan pegawai swasta di mana setiap kali berbelanja tetamu, kawan-kawan atau pelanggan, mereka akan meminta resit untuk membuat tuntutan dari company. Maknanya jika tiada perbelanjaan, tiadalah tuntutan. Namun company juga perlulah tengok Return of Investment (ROI), jika asyik dok belanja saja dan tak buat apa-apa sales, maknanya tak lamalah tu ...

Dari kedua-dua kaedah kemudahan elaun keraian tersebut, nampaknya pegawai kerajaan adalah lebih kedekut untuk berbelanja tetamu ....


Thursday, March 04, 2004

Projek SATU RUMAH SATU PC

[SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL]

Projek Satu Rumah Satu PC telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan. Namun rasanya ia masih jauh lagi dari sasarannya. Pelbagai insiatif dan insentif diberi mengenai projek ini. Misalnya pengurangan cukai pendapatan bagi setiap 5 tahun sekali. Kakitangan kerajaan pula dapat pinjaman beli komputer sekali dalam setiap lima tahun.

Kerajaan juga dibantu oleh pihak swasta dan NGO untuk mewujudkan komputer berciri sistem terbuka (open system). Pelbagai jenama Komputer Nasional boleh kita dapati di pasaran. Di antaranya ialah MIMOS PC, Suria PC, Matahari dan sebagainya. Hinggakan pembuat kereta seperti DRB-HICOM juga mengeluarkan Komputer Nasional yang berasaskan perisian Linux. Namun rasanya kempen-kempen begitu, jenama-jenama begitu masih belum lagi menyemarakkan pemilikan PC di semua rumah. Maka ada pemaju perumahan pula yang memberi PC percuma bagi setiap rumah yang dibeli (biasanya beri TV percuma). Di pejabat pula, beberapa PC antarabangsa telah mendapat pengiktirafan sebagai PC Buatan Malaysia, misalnya IBM PC yang dibuat di Pulau Pinang. Lucu??

Berita terkini, pada hari ini ialah satu lagi inisiatif yang dilakukan oleh Microsoft dan PIKOM. Sebuah PC dengan perisian Windows XP Home Bahasa Malaysia dan Works Suit 2004 International English serta International English MS Works 7.0 akan dijual dengan harga RM1147 sebuah.

Nampak gayanya .... barang murah hanya boleh dijual oleh company besar yang kaya sahaja. Lihat sahajalah berepa kos MS XP Home (Bahasa Malaysia lagi...) berbanding dengan Linux yang percuma, namun masih tidak boleh dijual dengan harga murah. Mesti ada harga tersembunyi di mana-mana ni ....



Tuesday, March 02, 2004

HOMESTAY

PADA 26 - 30 Mac ini kami akan menghantar 30 pelajar Malaysia ke Jepun untuk program homestay. Pihak Jepun pula akan hantar 10 pelajar mereka bagi homestay di Malaysia.

Sekiranya ada di antara tuan/puan berminat untuk mengambil anak angkat Jepun bagi program homestay ini dari [(27 Mac tengahari (Sabtu) - 28 Mac petang (Ahad) ] untuk satu malam sahaja, bolehlah hubungi saya. Sila nyatakan nama, bilangan ahli keluarga, alamat, telefon dan bilangan anak angkat yang diperlukan (2 orang bagi setiap keluarga adalah dialu-alukan).

Berikut adalah senarai nama mereka:

1. Ms. Amina SUGIMOTO (15)
2. Ms. Maki KANEKO (13)
3. Ms. Mayuka YAMAGUCHI (15)
4. Ms. Keijin RO (15)
5. Mr. Norio MATSUMURA (15)
6. Ms. Yoko SAITO (17)
7. Ms. Kazuka OSHIMA (18)
8. Ms. Tomoko NAKAMURA (17)
9. Ms. Eri TAKEDA (18)
10. Ms. Ai TANAKA (18)

Tarikh akhir ialah Jumaat (5 Mac 2004).
Sekian.

NEGARA ISLAM

KEBELAKANGAN ini (dekat pilihanraya agaknya), beberapa pihak mula mentakrif dan mentafsir apakah itu negara Islam. Ada yang kata Malaysia ialah negara Islam, bukan sahaja sebuah negara Islam, malahan negara Islam yang terbaik. Ada pihak lain pula kata Malaysia bukan sebuah negara Islam, cuma Malaysia hanyalah sebuah negara umat Islam. Malaysia masih jauh lagi untuk mencapai status negara Islam.

Apakah ciri-ciri sebuah negara Islam?
Adakah Malaysia termasuk dalam ciri-ciri tersebut?.
Mungkinkah Jepun lebih banyak mempunyai ciri-ciri negara Islam berbanding Malaysia?

Wallahualam.

Monday, March 01, 2004

POLIGAMI & BATANG HIDUNG SENDIRI

SARI BERITA

RUMAH MURAH UNTUK ISTERI KEDUA
JARANG-jarang sekali kita akan berpeluang membaca Awang Selamat @ Mingguan Malaysia tidak bersetuju dengan Sisters In Islam (SIS) dalam memperkatakan sesuatu mengenai Islam. Namun apabila SIS membantah cadangan untuk membenarkan suami yang berpoligami dibenarkan membeli rumah murah untuk isteri kedua mereka, maka Awang tidak bersetuju dengan SIS.

Awang setuju lelaki yang tidak mampu tidak sepatutnya beristeri dua. Namun bagi Awang, lelaki yang hanya mampu membeli rumah kos murah sahaja masih layak beristeri dua. Yang lebih penting ialah suami tersebut berlaku adil. Kata Awang, SIS tidak langsung memberi ruang kepada soal perasaan manusia. Amat jarang poligami dijadikan wawasan hidup lelaki. Kebanyakan poligami berlaku tanpa dirancang dan selalunya cuba dielakkan. Satu fakta menarik dari Awang ialah “Jika lelaki tidak berusaha mengelakkannya, bilangan poligami hari ini mungkin tiga kali ganda”. Rami pula wanita yang sanggup menjadi isteri kedua dan tidak kisah rumah jenis apa menjadi tempat tinggal mereka. Ini adalah soal perasaan dan sebahagian dari lumrah hidup.

MENTERI KESIHATAN
Membaca entri Sri Diah dan menonton TV3 mengenai perkara di atas, saya rasanya bersetuju yang menteri ini adalah cool sekali. Apatah lagi bila dibandingkan dengan sesetengah menteri lain terlalu cepat melenting dan yang sewaktu dengannya.

Namun bagi Awang Selamat, menteri ini dengan bersungguh-sungguh telah membedil akhbarnya hinggakan jika beliau lemah jantung, boleh terus pergi ….

Ini adalah perspektif berbeza dari peristiwa yang sama. Bila terkena batang hidung sendiri, sudah tentu manusia akan cuba bertindakbalas dengan cara yang berbeza dengan yang hanya menontonnya sahaja.

WARNA RAMBUT

Sekolah-sekolah di Singapura tidak membenarkan penuntut lelaki meraka yang berambut panjang dan penuntut yang mewarna rambut masuk ke kawasan sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan mereka kelmarin. Ia dikuatkuasakan di semua sekolah. Berita tersebut menyebut bahawa ini adalah sebahagian daripada disiplin yang mesti dipatuhi.

Di Malaysia pula nampaknya gejala mewarna rambut ini seolah-olahnya digalakkan. Lihat sahajalah model-model yang terpampabg setiap hari di kaca TV atau media cetak. Hampir semuanya mewarna rambut. Sudah tentu ia akan menjadi ikutan kepada penonton dan pembaca. Apatah lagi apabila [ihak berkuasa telah memberikan label HALAL kepada satu jenama pewarna rambut. Tanda halal ini seolah-olah memberi isyarat yang mewarna rambut itu adalah halal. Apakah bezanya tanda halal pada pewarna rambut dengan tanda halal pada makanan kucing?. Kucing juga memerlukan makan halal?.

Wallahualam.



Friday, February 27, 2004

TARIKH PILIHAN RAYA

BILAKAH pilihan raya umum akan diadakan?. Ia mungkin satu sualan dan teka teki bagi sebahagian besar dari penduduk Malaysia sekarang. Jawapan mudah kepada soalan ini ialah, tarikh pilihanraya ialah setelah Parlimen dibubarkan dan Suruhananjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi J

Namun pelbagai spekulasi dibuat mengenai tarikh pilihanraya ini. 20 Mac adalah tarikh yang paling mungkin bagi sesetengah pihak. 20 Mac dipilih sebagai tarikh favourite kerana ia adalah Sabtu tidak bekerja dan semasa cuti sekolah. Sungguhpun Parlimen akan bersidang pada 8 Mac hingga Mei, namun ia boleh dibubarkan semasa persidangan sedang berlangsung.

Pendapat lain pula mengatakan, 20 Mac adalah tidak mungkin. Sebabnya ialah pertandingan F1 akan diadakan dari 19 hingga 21 Mac. Besar sekali pengaruh F1 ini terhadap negara rupanya. Lagipun hari mengundi tidak semestinya pada masa cuti sekolah.

Walau apapun tarikhnya …. Ramai lagi di antara kita yang tidak menghairaukannya apabila tiba waktunya, hatta masih ramai yang tidak berdaftar sebagai pemilihpun.

MBA – Berdoa agar 20 Mac bukan hari mengundi, sebab ada program penting yang telah ditempah.

Thursday, February 26, 2004

KITA HANYALAH PENYIMPAN SAMPAH

PEJABAT mba akan berpindah ke Putrajaya dalam masa terdekat ini. Jadi kini kami tengah berkemas-kemaslah, cari kotak untuk isi barang-barang yang boleh dibawa ke sana nanti. Di ofis baru ni, tak semua benda boleh dibawa. Perabot baru kalau warna tak seragam dengan yang di sana, tak boleh dibawa. Kerusi meja, kabinet dan segala-galanya kena tinggalkan saja (disedekahkan kepada pejabat lain yang memerlukannya). Pejabat di sini yang disewa pulak, kena diserahkan semula kepada tuanpunya sekosong-kosongnya, tanpa karpet, tanpa bilik, tanpa partition. Hmmm....macam ni kalu, pintu-pintu bilik bos yang perkasa tu kena booking untuk bawak baliklah rasanya. Lagipun bebenda tu semua memang tak ada dalam inventori.

Dalam berkemas-kemas ni, hampir semua staf nampaknya lebih banyak membuang dari menyimpan. Maknanya sejak bertahun bekerja di ofis ini, hanyalah setakat menyimpan sampah sahaja. Terlalu banyak sampah tersimpan dalam laci, dalam kabinet, dalam almari dalam bilik. Jadi tak hairanlah kita ni memerlukan bilik-bilik besar.... semata-mata untuk menyimpan sampah sahaja.

MBA - simpan memori.


Wednesday, February 25, 2004

GELOMBANG BIRU





GELOMBANG BIRU

gelombang biru

laut tidak gelora

bulan purnama





dalam perjalanan dari KL ke TRG berjumpa dengan satu gelombang warna biru seketika namun kemudian sidang dan dan pemandangan berubah menjadi hijau semula.

Friday, February 20, 2004

GAWAT HAIKU

RAMAI kawan-kawan kini sudah mula membilang jari. Sempena dengan hari Jumaat ini, tentu ramai yang menyangka mereka sedang berwirid. Tapi...... hmmmm rupa-rupanya sedang membilang sukukata 5-7-5. HAIKU!. Berikut diperturunkan semula SAJEN mengenai kegawatan yang melanda sebuah kampung akibat haiku:


BERITA TERKINI
OLEH: ALAIEFFA

Pagi ini ku baca berita
Penyakit ganjil mengikut cerita
Apa garangan telah melanda
Penduduk kampung esastera?

Setiba aku dikampung itu
Orangnya ramai berjalan lalu
Tampak sehat ceria dan bahagia
Rukun damai satu keluarga

Ada yang khusuk waktu berjalan
Mulut terkumat kamit dalam senyuman
Jari terkedek kedek menadah tangan
Sambil tertunduk tunduk dengan sopan

Ku tegur “Hai” pada jejaka
Dijawab “ku” dengan selamba
Dik .. boleh kakak tumpang “Tan”
Jawapanya “Ka”.. buatku heran

Apa dah jadi dikampung ini
keadaan tenang tapi ganjil sekali
”Hai” disana “ku” disini
”Tan” disana “ka” disini
Aduh parah sekali

Haiku! Tanka! Haiku!! Tanka!!
Aku jadi pening kepala
Hingga tarzan dipanggil datang
Tak berbaju berkain belang
Nak minta tarzan serapah jampi
Agar Haiku Tanka tambah gawat lagi




SAKIT HAIKU
oleh: ALAIEFFA

Aku duduk termanggu- manggu
Seperti mengingatkan sesuatu
Mungkinkah aku ini rindu?
Atau disampuk hantu?

Jari-jemari bergerak- gerak
Mulutku terkumat-kamit
Suami ingat sedang bertahmid
Atau sedang mengira duit

Satu dua tiga empat lima
Aduh, sudah lebih suku kata
Kira lagi jangan tak kira
Hingga pening kepala

Haiku oh haiku
Hingga heran suamiku
Dalam tidur jari bergerak
Dia ingat aku nak minta pulak

Thursday, February 19, 2004

MENANTI untuk berGEJU di JEPUN

BESOK (Jumaat) ialah hari akhir yang mba berikan kepada rakan-rakan di Malaysia dan Jepun samada projek GEJU di Jepun boleh diadakan atau tidak. Alkisah ada sebuah sekolah dengan 30 orang muridnya ingin membuat projek homestay di Jepun pada cuti penggal pertama persekolahan akhir Mac ini. Mereka telah melantik sebuah travel agent untuk menguruskan pemergian mereka. Travel agent ini memang tidak mempunyai sebarang masalah untuk menguruskan program pergi-balik tersebut, kecuali homestay. Untuk mendapat host family atau foster parents di Jepun bukanlah suatu perkara yang mudah. Apatah lagi dalam masa yang singkat dan bilangan pelajar yang ramai.

Agen tersebut telah meminta pandangan the Japan International Coperation Agency (JICA) untuk membantu. Pihak JICA pula telah meminta mba tolong agen dan sekolah tersebut. Walaupun mba mempunyai beberapa kenalan di kalangan orang-orang yang berkedudukan juga di negara matahari terbit tersebut, namun tidak ramai yang boleh menolong kerana banyak prosedur dan arahan yang perlu dipatuhi. Institusi-institusi yang pernah mba berurusan/ menuntut juga tidak dapat membantu dalam keadaan begini. Maka rakan-rakan blog sahajalah yang boleh membantu dalam hal ini. Semoga penantian ini akan berakhir dengan sebuah jawapan esok, samada YA atau TIDAK.

Pada bulan Julai nanti, pihak JICA akan terima 70 orang anak-anak Jepun ke Malaysia untuk projek homestay. Pihak kami (mba & rakan2) telah diberitahu semenjak awal tahun lepas lagi mengenai perancangan mereka. Jadi sepatutnya tidak ada masalahlah untuk mendapatkan keluarga angkat di Malaysia cuma untuk 2 malam. Lagipun kat Malaysia ni banyak syarikat yang boleh menguruskan projek homestay.

Jika sesiapa ada idea macamana 30 budak sekolah ini boleh homestay ke Jepun (dengan bayaran), silalah kemukakan kepada saya. Mungkin kita boleh berGEJU di sana.

Wednesday, February 18, 2004

PERKARA kecil yang BESAR ...

SEKARANG kita sudah berada di pertengahan bulan Februari. Pasal pelbagai jenis sambutan hari raya semuanya sudah berlalu. Pasal penutupan akhir tahun semua sudah beres. Semua perkara mengenai tahun lepas sudah berlalu. Kita perlu menghadapi tahun baru (yang sudah tidak begitu baru lagi ini) dengan seadanya.

Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam negeri rasanya sudah dua minggu menghantar borang taksiran cukai pendapatan untuk diisi dan dikemukakan semula kepada mereka dalam masa 30 hari. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya juga, rakyat jelata akan tertumpu ke LHDN cuma pada hari terakhir tarikh penyerahan borang. Banyak sebabnya, di antaranya ialan kelemahan, kelalaian dan kealpaan diri kita sendiri. Maklumlah sudahlah kita kena bauyar cukai (yang bukan sedikit), kita pula dikehendaki mengisi dan menghantar borang tersebut. Namun itu adalah sebahagian daripada rutin kehidupan kita. Walau bagaimanapun, jika kita seorang yang rajin dan cekap sekalipun dalam mengisi borang, ia tetap juga tidak boleh dihantar sekarang (bagi kakitangan kerajaan). Ini ialah kerana selelah satu bulan setengah tahun lama berlalu, penyata gaji tahunan bagi tahun lepas masih belum dapat dikemukakan lagi kepada kakitangan awam. Entah di mana silapnya, tetapi setiap tahun perkara yang sama sahaja yang berlaku dan ianya memanglah menyusahkan. Pada setiap bulan kita menerima slip gaji seminggu sebelum tarikh gaji. Apakah kita tak boleh menerima penyata gaji tahunan seminggu sebelum akhir tahun?. Eh..eh... jangankan seminggu sebelum akhir tahun, seminggu selepas akhir tahun juga sudah dikira cukup bagus. Tetapi sekarang sudah hampir dua bulan selepas akhir tahun.

Apakah cadangan tuan/puan untuk mengatasi perkara ini?. Perlu tubuhkan suruhanjaya diraja macam PDRM tu ke? ;-)

Monday, February 16, 2004

APABILA

- Apabila Perdana Menteri melancarkan kempen Tak Nak, iaitu Kempen Berhenti Merokok, maka menteri-menteri beliau yang memang kuat merokok dan merasa kurang selesa. Ada di antaranya yang telah membuat janji kepada press yang dia akan berhenti merokok. Kita tengoklah nanti setakat mana janji itu dikotakan.


- Apabila ada menteri yang telah ditangkap kerana tuduhan rasuah, maka mungkin ada juga di kalangan menteri yang terfikir 'giliran aku dah tiba ke?'. Maka dapatlah rakyat membaca telatah mereka dalam akhbar tempatan.

- Apabila seseorang menteri yang tidak disukai ditangkap, maka menteri lain akan berkata, seeloknya dia meletak jawatan supaya kabinet adalah bersih.

-Apabila seseorang (menteri atau sesiapa sahaja) yang disukai (baca kroni) ditangkap, maka kengkawan mereka yang lagi power akan berkata, seseorang tidak dianggap bersalah sebelum diputuskan kesnya oleh mahkamah.

Sunday, February 15, 2004

SEKUNTUM MAWAR MERAH

APABILA abedib membuat entri mengenai sekuntum mawar merah dari tamannya, kebetulan pulak disertakan dengan sebuah puisi dan kebetulan lagi pada masa ini adalah di bulan Februari, maka terjadilah bagaikan lagu dari kumpulan Alleycat Sekuntum mawar merah, sebuah puisi indah di bulan Februari.



Sekuntum mawar merah,
Dibulan Febuari,
Merah kuning terserlah,
Di sinar mentari pagi.
-Abedib


Haiku Mawar Merah:
Mawar yang merah
Tanda kasih dan sayang
Orang dan tanah.
-Fina


Adib: Fina:Thanx for the Haiku.
Ini Pak Adib tak boleh tambah.
Over to you MBA san.


mawar yang mekar
merah kuning dan hijau
di simpang jalan
-MBA: menceritakan tentang
lampu isyarat di tepi jalan :)


ros dari taman
merah menyala indah
senyum isterimu
-Sri Diah



Seronok melihat perkembangan haiku yang cepat bercambah di kalangan bloger sekarang. Kini beberapa orang haijin baru yang berbakat termasuklah salina, oraet, zareda, hanyasayang, wan nor azlin (Fina sudah agak lama menyumbang haiku). Selain dari di komuniti haiku (www.communityzero.com/haiku), haiku juga boleh disumbangkan di www.melayu.com.

Selamat berhaiku.


Saturday, February 14, 2004

HAIKU YANG BAIK

MENULIS haiku tidaklah sesusah mana. Namun mungkin sukar untuk menghasilkan sebuah haiku yang baik. Walau bagaimanapun haiku senang dinilai berbanding sajak, pantun, syair gurindam dan sebagainaya. Ini ialah kerana haiku mempunyai peraturan yang banyak. Di antara ciri-ciri sebuah haiku yang baik termasuklah:-


1. 17 sukukata dalam 3 baris dibahagi kepada 5-7-5
2. Tulis apa yang boleh dinyatakan dalam satu nafas.
3. Gunakan perkataan musim (kigo) atau merujuk kepada musim.
4. Gunakan untaian sajak diakhir baris pertama atau kedua, tapi bukan kedua-duanya.
5. Jangan sekali-kali menjadikan semua 3 baris untuk menyempurnakan atau menjadikannya ayat.
6. Adakan dua imej yang berbandingan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Dalam berehat/ Mencuci tungku hitam/ Ku basuh tangan.
7. Adakan dua imej yang berkaitan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Suram cahaya/Tika bulan gerhana /Cantik wajahmu.
8. Adakan dua imej yang bertentangan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: dua biji tungku/tiada ruang bersentuhan/api kian marak
9. Hadkan penggunaan kata nama atau jenama khas.
10. Gunakan gantinama dalam huruf kecil. Contoh: saya ialah?
11. Gunakan ayat yang berkaitan dalam kedua-dua rangkaikata.
12. Gunakan pecahan-pecahan ayat.
13. Jadikan baris terakhir sebagai kemuncak haiku anda.
14. Cari ayat paling menarik/menawan di baris pertama.
15. Tulis perkara biasa dalam cara biasa menggunakan bahasa biasa.
16. Gunakan hanya imej yang nyata, bukan abstrak. Ch. Lampu adalah nyata, terang cahayanya adalah abstrak.
17. Cipta ungkapan berlirik untuk imej.
18. Cuba adakan makna berganda. Sekali baca ia hanya imej mudah, yang tersirat adalah falsafah/pelajaran dalam kehidupan.
19. Gunakan imej yang membangkitkan kesederhanaan atau kepapaan yang sederhana. (sabi)
20. Gunakan imej yang membangkitkan elegen klasik yang tersendiri (shubumi)
21. Gunakan imej yang membangkitkan nostalgia romantik/tempat cantik (wabi)
22. Gunakan imej yang membangkitkan misteri bersendirian (Yugen)
23. Gunakan paradoks.
24. Tulis sesuatu yang mustahil dalam keadaan biasa.
25. Gunakan imej yang mulia (bukan perang, seks atau jenayah).
26. Ceritakan seadanya perkara sebenar di sekeliling kita.
27. Gunakan hanya imej daripada alam sekitar (bukan perasaan manusia sahaja)
28. Campurkan alam sekitar dan perasaan manusia dengan cara menghubungkan perasaan manusia tyerhadap alam sekitar.
29. Elakkan merujuk kepada diri sendiri dalam haiku. (aku dsb)
30. Diri sendiri boleh dirujuk secara tidak langsung seperti ?orang tua ini? atau ?mamat itu?.

Untuk lebih memahami ciri sesebuah haiku yang baik, saya perturunkan di sini sebuah haiku yang tersohor yang telah dialih ke BM. Iaitu Katak & Kolam. Pengertiannya ditulis dalam SAJEN (Sajak Jenaka):-






KATAK AJAIB


Ini satu hikayat zaman purba
Basho berjalan tepi huma
Bila penat berhenti dia di tepi telaga
Terasa lapar bento turut dibuka.

Tetiba dia terdengar sesuatu….
Burrr…. Burr…. Burrrr….
Kecut segala anggota
Kerana disangka habu meronta.

Eh..eh… rupanya hanya seekor katak
Melompat masuk dalam telaga
Dan airpun berkocak.
Hmmmm…. lima tujuh lima
Basho dah dapat satu idea
Lalu diapun tulislah di tepi batu perigi
Begini adanya:-

perigi tua
lompat seekor katak
air berkocak.


Jeng..jeng..jeng….
Enam ratus tahun sudah berlalu
Empat Haijin Malaya datang melancong
Di tepi telaga Basho mereka bertinggung
Riuh-tinggi gegak-gumpita mereka berbicara:-

I
Pergi tuo itu ibarat isteri kito
Katak itu kito punyo awek
Berkocak jiwo bini keno kacau kat awek kito
Dalam maksud haiku Basho ni…..

II
Eleh… den tau, haiku ini pasal musim
Katak banyak jenis katak
Ado katak pisang ado katak puru
Katak Basho ni ada ekor…
Maknonya ini musim paneh
Mano ado katak musim salji?

III
Sebenarnya begini….
Perigi tua itu maknanya profesor
Katak itu adalah ilmunya
Apabila ilmu melompat keluar dari mulut profesor:
Berkocaklah alam sebab hebatnya ilmu itu

IV
Oh tak mungkin…. Maksud Basho begini
Telaga tua maknanya kekal abadi
Katak kurus pulak sementara saja
Ini haiku pasal kekal dan sementara ….

Andai kata Basho masih hidup
Tentu dia senyum kaldai
Tidak disangkanya katak itu katak ajaib
Jadi perbincangan sepanjang masa
Telah melompat ke seluruh dunia
tidak seperti pergi itu
masih tetap ukurannya
5 kaki lebar 7 kaki dalam 5 kaki panjang

 

Nota:

Basho – pelopor haiku

Bento – nasi bekal

Habu – sejenis ular berbisa

Haijin – Penulis Haiku

Friday, February 13, 2004

14 FEBRUARI, JUMAAT, HARI VALENTINE

HARI ini, adalah penghulu segala hari, iaitu Jumaat. Namun Jumaat ini nampak ada sedikit kelainan kerana adalah esok adalah 14 Februari. Hari yang dikenali oleh muda-mudi sebagai hari valentine atau hari memperingati kekasih. Sudah berbuih mulut mak bapak, sudah jenuh ulamak memberihatu yang umat Islam dilarang menyambut hari valentine.

Zaman dulu-dulu, bila mak bapak kita melarang buat sesuatu, kita patuh sahaja. Paling-palingpun tanya "sebab apa tak boleh?". Mak akan jawab "berdosa, Tuhan marah". Dan kitapun ikut dan patuh dengan arahan dan larangan tersebut. Namun kanak-kanak, apatah lagi remaja zaman sekarang tidak begitu. Bila mak bapak larang, malah siap keluar hadis lagi merarang, anak-anak boleh jawab secara ilmiah lagi, "ah ini hadis lemah atau hadis palsu dan yang sewaktu dengannya".

Berbalik kepada hari valentine ni, ibu bapa sekarang mungkin tidak pernah merayakannya semasa mereka remaja. Lantas bila anak-anak remaja mereka galak sangat nak berhari valentine, mereka sekadar berkata "hari velentine tiada dalam Islam, tidak elok dirayakan, itu perayaan dalam Kristian ...".

Mengapa remaja Islam kalaut sangat nak rayakan hari Valentine?. Berikut beberapa poin yang dikutip dari Internet:-
Ada beberapa jawaban yang bisa kita berikan terhadap pertanyaan tersebut :

Pertama, remaja muslim kita tidak tahu latar belakang sejarah Valentine’s Day sehingga mereka tidak merasa risau/resah untuk mengikutinya. Dengan kata lain, remaja muslim banyak yang memiliki kesadaran sejarah yang rendah.

Kedua, adanya anggapan bahwa Valentine’s Day sama sekali tidak memiliki muatan agama dan hanya bersifat budaya global yang mau tidak mau harus diserap oleh siapa saja yang kini hidup di – untuk meminjam McLuhan - global village.

Ketiga, kepupusan benteng pertahanan agama remaja kita sehingga tidak mampu lagi menyaring budaya dan peradaban yang seharusnya mereka “lawan” dengan keras.

Keempat, adanya perasaan loss of identity kalangan remaja muslim sehingga mereka mencari identiti lain sebagai pemuas keinginan mendapat identiti global.

Kelima, hanya mengikuti trend yang sedang berkembang agar tidak disebut ketinggalan zaman.

Keenam, adanya pergaulan bebas yang kian tak terbendung dan terjadinya perlakuan sumbang yang semakin berleluasa.

Entahlah.... mudah2an anak-anak kita tidak terjebak sama.

-----
"Katakanlah : Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kerabat-kerabatmu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kami khawatirkan kerusakannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu senangi lebih kau cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta jihad di jalan-Nya, maka tunggulah hingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik." (Q. S. At-Taubah : 24)


Thursday, February 12, 2004

BILA PANTUN MENJADI HAIKU

TIDAK dapat dinafikan pantun adalah begitu unik bagi masyarakat Malaysia dan haiku adalah bagi masyarakat Jepun. Haiku kini telah ditulis dalam pelbagai bahasa dunia, termasuk bahasa Melayu. Haiku juga dikatakan genre sastera yang paling ketat hukum dan peraturannya. Sebagaimana haiku yang pendik dan ringkas, masyarakat Jepun juga begitu. Pantun pula penuh dengan kiasan dan bidalan dengan pembayang dan maksudnya. Sebagaimana masyarakat Melayu (dulu) adanya. Walau bagaimanapun, haiku juga mempunyai pambayang dan maksud yang garis pemisahnya agak samar-samar.

Apa akan terjadi apabila pantun di haikukan?. Cuba lihat hasil dari beberapa pantun yang telah menjadi haiku:-





pulau pandan jauh ke tengah
gunung daik bercabang tiga
hancur badan di kandung tanah
budi yang baik dikenang juga

pulau nan jauh
gunung nampak bercabang
budi dikenang

buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
saya budak baru belajar
jika salah tolong tunjukkan

cempedak tinggi
galah halus meruncing
tunjukkan kami




dua tiga kucing berlari
manakan sama si kucing belang
dua tiga boleh kucari
manakan sama adik seorang

kucing berlari
tikus riang bermain
manakan mungkin




apa diharap padi seberang
entah jadi entahkan tidak
apa diharap kasihnya orang
entah sudi entahkan tidak

padi di bendang
pulut tidak menjadi
siapa sudi

kalau ada sumur di ladang
boleh hamba menompang mandi
kalau ada umur yang panjang
boleh kita berjumpa lagi

sumur di ladang
hamba menompang mandi
berjumpa lagi

Sekali pandang, haiku-haiku ini nampak macam doremonkartun, tetapi itulah haiku sebenarnya. HAiku-haiku di atas sudah tergolong dalam haiku yang baik. Ia itu selain dari menepati patrun 5-7-5, ia juga menceritakan tentang alam, tentang musim, mempunyai pembayang & maksud, makna yang berganda dan bukan jiwang-jiwang.

Nak cuba tulis haiku? Sila ke http://www.geocities.com/haikumelayu/ dan klik Haiku Sendiri. Ada program mudah untuk jana haiku sendiri. Mungkin program ini boleh dikembangkan lagi. Juga jangan lupa http://www.communityzero.com/haiku untuk melihat satu-satunya site Haiku Melayu.



Wednesday, February 11, 2004

JANGAN TINGGALKAN KAD PENGENALAN - JPN

Utusan Malaysia 10 Februari 2004 muka 8:

PETALING JAYA 8 Feb. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kad pengenalan masing-masing kepada mana-mana pihak termasuk pengawal keselamatan sesebuah bangunan

Ketua Pengarah JPN Daruk Wan Ibrahim Wan Ahmad berkata, berdasarkan peraturan, kad pengenalan seseorang itu tidak boleh diberikan kepada sesiapa.

"Tambahan pula ketika ini kad pengenalan pintar MyKad mengandungi pelbagai aplikasi seperti MEPS Cash dan Touch N Go.". "Oleh itu pemilik MyKad jangan sekali-kali memberikan kad pengenalan mereka kepada sesiapapun yang kemudiannya mungkin akan menyalahkan kad itu" katanya disini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan berlakunya perbuatan mengumpul kad pengenalan orang lain oleh mana-mana pihak untuk disalahgunakan terutamanya menjelang pilihanraya umum akan datang.

Sehubungan itu, Wan Ibrahim mencadangkan pengurusan sesebuah bangunan memperkenalkan sistem baru yang tidak memerlukan orang ramai meninggalkan kad pengenalan mereka di kaunter pengawal keselamatan. Katanya JPN telah mengenalpasti beberapa sistem berkenaan termasuk penggunaan MyKad sebagai akses untuk memasuki sesebuah bangunan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan penggunaan MyKad sebagai dokumen perjalanan menggantikan pasport antara Malaysia dengan Brunei, beliau berkata, cadangan itu dijangka akan dilaksanakan April depan.

"Projek ini adalah sebagai percubaan dan dijangka dilaksana mulai April ini" katanya. INi bermakna rakyat Malaysia yang memasuki Brunei tidak perlu lagi menggunakan pasport antarabangsa sebaliknya hanya menggunakan MyKad sebagai pengesahan perjalanan mereka.

NAMUN .... cubalah pergi ke mana-mana bangunan, khususnya bangunan yang agak glemer sikit. Pak Guard akan dengan gahnya berkata lebih kurang begini "kalau tak mahu tinggal kad pengenalan, boleh balik". Jadi hendak tak hendak, macamana ya?.


Tuesday, February 10, 2004

BANYAKNYA MAKLUMAT SUNTUKNYA WAKTU

[BEBELAN ini hanyalah merupakan sebuah harapan. Jika sekali fikir ia memang logik. Dua kali fikir akan jadi merapu dan banyak kali fikir rasa nak marah. Jadi usah fikir banyak kali, laksanakan terus]

Pada masa ini terdapat beratus-ratus blog yang bersekutu dengan GEJU . Sekiranya penulis blog sahaja yang membaca blog penulis lain, maka pengunjung blog sudah beratus-ratus setiap hari. Namun tidak semua penulis menulis pada setiap hari. Tidak semua penulis juga membaca pada setiap hari. Begitu juga dengan pembaca yang tidak menulis dan tidak mempunyai blog. Pada kebiasaannya beberapa kelompok penulis blog akan membaca hasil tulisan rakan-rakan mereka @ kroni pada setiap ketika dan pada kebiasaannya tidak menyedari akan kewujudan ilmu dalam blog-blog lain. Ini ialah kerana mereka sudah tahu tema penulis tersebut, menggemari tulisan sedemikian, ingin mengetahui kisah mereka dan sebab-sebab yang sewaktu dengannya. Dengan ini ada blog yang mempunyai pengunjung beribu sehari dan ada yang sekadar dua-tiga pengunjung sahaja, walaupun ianya agak bagus. Kemungkinan perkara ini terjadi ialah kerana kekurangn publisiti dan pembaca tidak menyedari kehadiran blog tersebut.

Ada teman mengupamakan GEJU ini sebagai sebuah balairaya yang dikelilingi oleh ratusan buah rumah. Tuan rumah suka berkunjung dari rumah ke rumah kroni mereka dan tidak ke balai raya. Untuk memeriahkan balairaya dan menyenangkan semua pembaca mencari rumah-rumah lain dalam khariah, mungkin boleh dicadangkan supaya balairaya menjadi pusat maklumat setempat. Setiap entri baru dihantar ke GEJU (sinopsisnya, sepertimana yang ada sekarang). Namun ia perlulah dibahagikan kepada beberapa kolum seperti berita, teknologi, dan sebagainya. Jadi pembaca hanya perlu ke balairaya@GEJU untuk melihat apa berita/cerita terkini dari ratusan blog ahli khariah. Masa tidak terbuang dengan mengulangi blog-blog yang tidak dikemaskini dan entri yang berkenan di hati boleh dikunjungi.

Perkara ini samalah dengan yang dibuat oleh project petalingstreet.org . Walau bagaimanapun saya nampak fokus pembaca/penulis petalingstreet dan GEJU adalah berlainan.

Sekian mohon mencadangkan
p.s cadangan ini saya tak tahu nak laksanakan macamana sebab ia memerlukan perbelanjaan (server dll.)

Monday, February 09, 2004

PSM Bertaraf Dunia (Worldclass ISO)

Information System Officers – The misunderstood profession: A case for reinventing the profession

Our infamous view: ICT is increasingly driving business change.
And, we can see, more and more ICT division is now reporting directly to CEO or deputy CEO.

Demands ahead
One of the biggest challenges for our ICT managers is dealing with senior management. We have difficulties in convincing the senior management and getting them to buy the idea that ICT can revolutionize the business.

Other concerns are keeping up with technology, managing resources, keeping up ICT knowledge, aligning ICT strategy with business strategy, managing users workload, coping with stress and managing vendors.

Agenda for change
We should stop being “backend boys” or “technical experts”. While technical knowledge and skills are important, we have to acquire skills in order to play the role of leaders and be influential in organizations.

We must reinvent ourselves to ensure we could remain relevant and competitive.

(a) Become future captains in knowledge management
(b) Nurture entrepreneurship culture
(c) Become a good project managers
(d) Become transformational leader

Redefining our job profiles
It is now necessary to re-classify the job profiles within us. The management function could be divided as follow:

Time scale officer is the lowest level between us. They should have knowledge and understanding in business and technical. Their jobs should be focused on conducting a study, developing, implementing and maintaining ICT applications.

The way forward
It is important that we develop a comprehensive plan for producing the next generation of information systems officers, a new breed of professionals who are multi-skills, nurture entrepreneurship culture, give adequate training in globalization to face future challenges, stand at the forefront of knowledge, become good project managers, innovator and change leader, encourage the use of managing mobility techniques, assuming CIO position, and capable of becoming future captains in knowledge management and leaders.

--------
Dokumen lengkap boleh didownload di sini (20 mukasurat dalam MS World).

p.s Oleh Abang PSM bakal JUSA.

Sunday, February 08, 2004


BLOGGER.COM SERVICE CHANGE


notis untuk pengguna Vagablog:

it appears that there have been some changes over at Blogger, and they have moved the interface used by Vagablog. If you use Blogger.com it appears that you'll have to change the Host entry on the Server form from plant.blogger.com to www.blogger.com. I'm not sure if this is a permanent change or not. Once I find out, I'll pass along the info.

Vagablog.


---
MBA

Saturday, February 07, 2004

IKLAN



WGE 59


ADA sesiapa yang berminat untuk memiliki nombor di atas?. Ia akan diberikan secara PERCUMA (tertakluk kepada syarat-syarat JPJ untuk interchange). Sebabnya?.... mba dah dapat plet MBA dari JPJ Melaka, tapi tak mampu nak beli kereta baru, so tukar nombor sahajalah, bukan tukar kereta baru .

Jika berminat dipersilakan...

Friday, February 06, 2004

PROTON BARU

HARI ini sebuah lagi model baru kereta Proton akan dikeluarkan. Mungkinkah gambar di bawah ini adalah modelnya?. Bercakap fasal kereta ini, kami di Ibu Pejabat ada mengeluarkan satu spesikasi kepada semua pejabat cawangan untuk membeli kereta yang menepati ciri-ciri tertentu untuk kegunaan pejabat. Bagi menerangkan ciri-ciri sebuah kereta, kami hanya menyebutnya "kereta" sahaja dan tidaklah menceritakan yang kereta itu mesti ada empat tayar, satu tayar spare, enjinnya di bonet depan, pintunya mesti empat, stereng sebelah kanan dan sebagainya. Kami anggap semua akan faham akan ciri-ciri sebuah kereta. Jadi spesifikasi khas kereta yang kami edarkan ialah enjinnya tidak melebihi 2000cc dan berwarna hitam.

Apabila surat ini sampai di pejabat-pejabat cawangan kami, semuanya OK dan mereka telah beli sebuah kereta yang menepati hasrat Ibu Pejabat. Adalah satu pejabat ini telah membeli sebuah Kembara berwarna hitam dan enjinnya memang kurang 2000cc. Hendak dipendikkan cerita, kembara ini tidak dapat memenuhi keperluan Ibu Pejabat sebagai kereta rasmi kerana Ibu Pejabat berpendapat Kembara bukan sebuah kereta, sebaliknya adalah kenderaan pacuan 4 roda. Pejabat cawangan itu pula menyalahkan Ibu Pejabat kerana katanya ia telah membeli kereta yang betul kerana telah menepati ciri-ciri enjin kurang 2000cc dan memang berwarna hitam.

Alasan Ibu Pejabat ialah, dalam ekonomi terbuka sekarang, mereka tidak boleh mengarahkan supaya cawangan membeli kereta dengan menyatakan model tertentu dan kereta maknanya adalah kereta salon, bukannya pacuan 4 roda.

Hmmmmm...... cuba anda gantikan "kereta" tersebut di atas dengan "komputer", apa sebenarnya yang terjadi?.

Thursday, February 05, 2004

PROTON BARU

TAHNIAH PRDM PDRM

Tahniah kepada PDRM dengan terlantiknya Suruhanjaya DiRaja PDRM. Sudah tentu Suruhanjaya ini akan memberi pelbagai cadangan dalam masa 12 bulan ini yang sudah tentu akan menguntungkan PDRM khususnya dan negara amnya.

Senarai ahli suruhanjaya:

· Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, bekas Ketua Hakim Negara; Pengerusi
· Tun Mohamed Haniff Omar, bekas Ketua Polis Negara; Timbalan Pengerusi
· Tun Salleh Abas, Bekas Ketua Hakim Negara
· Tan Sri Azizan Zainal Abidin, Pengerusi Petronas
· Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
· Tan Sri Zaki Tun Azmi, Penasihat Undang-Undang UMNO
· Datuk Seri Lim Ah Lek, Bekas T.Presiden MCA
· Datuk Kamila Ibrahim, Ahli exco Wanita UMNO
· Datuk A. Kadir Jasin, Bekas Pengerusi Bernama
· Datuk Michael Yeoh, CEO Asli
· Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, Penasihat ICT & Kerajaan Elektronik JPM
· Datin Paduka Zaleha Zahari, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam
· Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, President, Transparency International Malaysia
· Dr Denison Jayasooria, MIC
· Kuthubul Zaman Bukhari, Pengerusi Majlis Peguam
· Ivy Josiah, Pengarah Eksekutif WAO

Skop

·mengkaji peranan dan tanggungjawab polis dalam penguartkuasaan undang negara.
·Mengkaji struktur organisasi PDRM
·Mengkaji perkembangan HR PDRM, termasuk kemudahan latihan
·Mengkaji etika kerja dan prosedur kerja kakitangan PDRM
·Mengkaji isu hak asasi manusia, termasuk isu melibatkan wanita yang berkaitan tugas PDRM
·Membuat cadangan memaju dan memodenkan PDRM


===> MBA Cuma teringat peristiwa di Bangkok tahun lepas di mana peserta Malaysia, Indonesia dan Timur Timor diiringi oleh polis Thailand dari lapangan terbang ke hotel. Lalu bapak dari indonesia ni bertanya saya…. “Apa itu Polis Di Raja Malaysia?” saya jawab Royal Malaysia Police. Dia memberitahu yang tatabahasa itu adalah salah. Sepatutnya ialah “Polis Raja Di Malaysia” katanya. Kami ketawa berderai…. Sungguh dalam maksudnya.

Wednesday, February 04, 2004

AKTA JENAYAH KOMPUTER

SEMENJAK Akta Jenayah Komputer diperkenalkan pada tahun 1997, mungkin tidak ada suatu tuduhanpun dibuat di mahkamah yang melibatkan akta ini sehinggalah minggu lepas, apabila seorang pembantu tadbir rendah pejabat tanah dan galian (PTG) Selangor dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh memalsukan dokumen dan mendapatkan data PTG yang menyebabkan kerugian kepada dua pemilik berdaftar. Beliau menghadapi satu tuduhan dan tuduhan pilihan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu mengakses dan meminda program Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer PTG tanpa kuasa sah (memetik berita dari Berita Harian).

Banyak persoalan timbul daripada berita tersebut, namun memandangkan ia adalah masih dalam kes mahkamah kebanyakan daripadanya tidak boleh dibincangkan di sini. Namun beberapa perkara mungkin menarik untuk diperhatikan:

1. Mengikut seorang peguam yang mengkhususkan dalam bidang ini (Akta Jenayah Komputer), memang banyak kes telah dilaporkan, namun ia tidak dibawa ke mahkamah kerana kes adalah kompleks dan mahu menjaga nama baik syarikat.

2. Berita "meminda program Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer PTG tanpa kuasa sah" adakah munasabah?. Program (yang biasanya dikompil dalam kod mesin) atau data yang dipinda?

3. Adakah 'sistem komputer kita' telah selamat atau telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang tertentu?

4. Amat menarik untuk mengikuti sesi perbicaraan nanti, di mana siapa yang akan mempertahankan kekebalan sistem ini (PSM atau SI yang membangunkannya?).

Ada satu contoh bidalan di mana sebuah rumah telah dimasuki pencuri dan banyak barang-barang telah dicuri. Walau bagaimanapun pencuri dibebaskan kerana didapati tidak bersalah. Sebaliknya tuan rumah yang dikatakan tidak pandai menjaga hartanya dengan betul .... Tidak memagar rumah, tidak pasang alat penggera, tidak kunci pintu dengan betul, tidak ada peti keselamatan dalam rumah, meninggalkan rumah tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa dan akhirnya pencuri dibebaskan kerana "kecuaian" tuan rumah walaupun barang telah dicuri dan mencuri itu memang satu kesalahan.

Wallahualam.




Tuesday, February 03, 2004

LAWAK HARI RAYA

10 ZULHIJJAH: Pada setiap kali sembahyang raya, biasanya imam/khatib akan mengingatkan makmum akan cara-cara ringkas sembahyang raya, iaitu niatnya, 7 takbir di rakaat pertama dan 5 takbir di rakaat kedua. Ini adalah menjadi suatu kebiasaan di mana-mana masjid di negara kita kerana sembahyang raya cuma dua kali sahaja setahun. Tetapi adalah menjadi suatu lawak sekiranya makmum yang terpaksa ingatkan imam supaya membaca khutbah. Iaitu selepas salam, dan siap-siap takbir, baca doa dan siap salam-salam. Eikkk... khutbah belum baca! ;-)

Saban tahun juga akan kita dapati yang makmum yang datang lambat ke masjid berasa lega kerana "Oh khatib baru baca khutbah, belum sembahyang lagi ...". Ini adalah kerana mereka biasa datang sembahyang Jumaat semasa khatib sedang baca khutbah dan barulah diikuti dengan sembahyang. Ini semasa raya, bila khatib sedang baca khutbah, makmum yang baru sampai, masih selesa hisap rokok bawah pokok, habis khutbah berlari ke masjid dan didapati makmum lain bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Suatu adegan yang memang benar berlaku.

Ada juga suatu cerita (entah b enar entahkan rekaan) semasa sembahyang JUmaat di bulan puasa yang lepas, seorang makmum ni tertidur semasa khutbah dibaca. Ia tersedar semasa doa dalam khutbah kedua dan siap doa siap kuat-kuat sebut solawat ke atas Nabi macam malam-malam biasa bulan Ramadhan....

Wallahualam.

-------
Selamat Menyambut Hari Wilayah (baca: bercuti) kepada semua yang bekerja di Wilayah Persekutuan.Esok pula adalah hari cuti (Thaipusam) bagi negeri Selangor.