Labels

Wednesday, February 04, 2004

AKTA JENAYAH KOMPUTER

SEMENJAK Akta Jenayah Komputer diperkenalkan pada tahun 1997, mungkin tidak ada suatu tuduhanpun dibuat di mahkamah yang melibatkan akta ini sehinggalah minggu lepas, apabila seorang pembantu tadbir rendah pejabat tanah dan galian (PTG) Selangor dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh memalsukan dokumen dan mendapatkan data PTG yang menyebabkan kerugian kepada dua pemilik berdaftar. Beliau menghadapi satu tuduhan dan tuduhan pilihan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu mengakses dan meminda program Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer PTG tanpa kuasa sah (memetik berita dari Berita Harian).

Banyak persoalan timbul daripada berita tersebut, namun memandangkan ia adalah masih dalam kes mahkamah kebanyakan daripadanya tidak boleh dibincangkan di sini. Namun beberapa perkara mungkin menarik untuk diperhatikan:

1. Mengikut seorang peguam yang mengkhususkan dalam bidang ini (Akta Jenayah Komputer), memang banyak kes telah dilaporkan, namun ia tidak dibawa ke mahkamah kerana kes adalah kompleks dan mahu menjaga nama baik syarikat.

2. Berita "meminda program Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer PTG tanpa kuasa sah" adakah munasabah?. Program (yang biasanya dikompil dalam kod mesin) atau data yang dipinda?

3. Adakah 'sistem komputer kita' telah selamat atau telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang tertentu?

4. Amat menarik untuk mengikuti sesi perbicaraan nanti, di mana siapa yang akan mempertahankan kekebalan sistem ini (PSM atau SI yang membangunkannya?).

Ada satu contoh bidalan di mana sebuah rumah telah dimasuki pencuri dan banyak barang-barang telah dicuri. Walau bagaimanapun pencuri dibebaskan kerana didapati tidak bersalah. Sebaliknya tuan rumah yang dikatakan tidak pandai menjaga hartanya dengan betul .... Tidak memagar rumah, tidak pasang alat penggera, tidak kunci pintu dengan betul, tidak ada peti keselamatan dalam rumah, meninggalkan rumah tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa dan akhirnya pencuri dibebaskan kerana "kecuaian" tuan rumah walaupun barang telah dicuri dan mencuri itu memang satu kesalahan.

Wallahualam.




No comments: