Labels

Monday, April 12, 2004

ALAMAT E-MEL SENDIRI

BOS di tempat kerja lama banyak kali berkata yang alamat e-mel seperti @yahoo atau @hotmail adalah lebih baik, lebih reliable dan lebih segala-galanya berbanding dengan alamat e-mel jabatan. Walau bagaimanapun, demi untuk menjaga dan memelihara nama baik jabatan, sebarang urusan (rasmi) perlulah menggunakan e-mel jabatan. Walaupun kadang-kadang masa tidurnya lebih panjang dari masa jaganya. Server cuma di depan mata, namun bila dia buat perangai, mel tak masuk, mel tak terhantar, server meragam, talian terputus, modem senak, router pening dan macam-macam lagi fe'elnya, banyak sangat pihak yang perlu dihubungi dan akhirnya ia baik sendiri sahaja tanpa sebab. Esok lusa meragam lagi dan dia OK lagi bila dia mahu. Bagi e-mel seperti @yahoo atau @hotmail tu, walaupun duduk di Amerika sana, kadang-kadang saja dia meragam, itupun pengguna diberitahu dulu time dia nak tidur kejap. Agak pelik bin ajaib juga bila mel yang terpaksa ke US terlebih dulu, lebih laju sampainya berbanding dengan mel yang berputar-putar dalam negara sahaja. Lebuhraya kat sana luas kot, kat sini cuma lorong kampung je. Walau bagaimanapun, mel yang ke US sana tu, agaknya bila dah ada plet US, dengan pemanduan belah kiri tu, boleh laju saja masuk lorong kampung?

mba setuju juga dengan apa yang dinyatakan oleh bekas bos seperti di atas tu. Hingga kini rasanya sudah lima alamat e-mel rasmi yang mba gunakan dan telah dilupuskan kerana berpindah, kini alamat yang keenam pulak. Sebagai kesinambungan kepada e-mel yang sentiasa akan berubah bila kita berpindah tempat kerja tersebut, mba juga ada e-mel dari jaring dan tmnet serta streamyx juga. Mungkin reliable jugalah e-mel sebegini. Sebagai orang terawal yang mempunyai akaun dengan jaring, terasa sayang juga untuk melepaskannya. Namun oleh kerana akaun berbaki (0.44) pihak mimos telah menamatkan perkhidmatan e-mel ini tanpa notis. Bila tersedar, dan cuba top-up dengan RM50, ia telah tidak mau dilayan lagi. Waduh... agaknya akaun ini diselenggara dengan harga 50 sen, lantas bila dah berbaki negatif, lebih baik ditamatkan saja, jika tidak company boleh rugi besar. Alangkan jabatan kerajaanpun boleh dihapuskan alamat web atau DNS mereka kerana lewat bayar RM100 setahun, inikan pula seorang pekerjanya sahaja. Jauh bezanya dengan operasi tmnet yang tak jemu-jemu hantar bil kepada penggunanya dan amat menghargai pengguna dalam ertikata jika bil dah mencecah ratusan ringgit tu, ia tidak akan terus dipotong.

MBA - Kena cari alamat e-mel yahoo atau hotmail yang bagus sementara menunggu e-mel 1GB dari gmail ;-)

No comments: