Labels

Friday, March 12, 2004

BAKTI TERHADAP IBU BAPA YANG TELAH MENINGGAL

SEMPENA dengan hari Jumaat ini, elok kita renungkan apakah yang boleh dilakukan oleh anak terhadap ibu bapa yang telah meninggal dunia. Semoga dapat menafaat:-
1. Menjelaskan hutang.
Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya. Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.


2. Membayarkan zakat.
Seseorang yang meninggal dunia dan belum membayar zakat, maka wajib bagi warisnya menjelaskan zakat tersebut kerana zakat yang belum dibayar itu adalah hutang seseorang hamba kepada Allah s.w.t. Kewajipan membayarnya pula didahulukan sebelum menjelaskan hutang yang lain, memenuhi wasiat dan pembahagian harta pusaka.

3. Mengqadakan puasa.
Waris atau anak-anak disunatkan supaya mengqada puasa ibu bapanya yang telah meninggal dunia, ia termasuk puasa Ramadan, puasa nazar dan puasa kafarah.

4. Membayarkan fidyah puasa.

Fidyah puasa itu ialah memberi sedekah dalam kadar satu cupak makanan asasi penduduk sesebuah negara sama ada daripada beras, gandum atau seumpamanya. Di Selangor kadar satu cupak itu ialah 900 gram bersamaan RM1.10. Mereka yang diwajibkan membayar fidyah puasa ialah:

5. Mendoakan ibu bapa.
Doa anak yang soleh merupakan khazanah ibu bapa yang amat berharga. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh dan berdoa untuknya.

6. Menghubungkan tali silaturahim.

Menghubungkan tali silaturahim adalah termasuk dalam perkara yang amat penting dan ia merupakan salah satu tuntutan syariat yang harus mendapat perhatian utama daripada kaum Muslimin. Mengeratkan hubungan silaturahim dan berbuat baik dengan kaum kerabat dan sahabat ibu bapa adalah sebahagian daripada cara berbuat amal untuk kedua-duanya yang telah meninggal dunia.

7. Menziarahi kubur.
Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakad dan besar ganjaran pahalanya. Adalah lebih baik jika di-ziarahi pada setiap hari Jumaat dan dibacakan surah Yasin untuknya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan berdoa dan menziarahi kuburnya membawa kebajikan yang bukan sahaja kepada anak-anak yang soleh tetapi juga kepada anak yang derhaka.

Dalam sebuah hadis diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua-dua ibu bapanya kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk kedua-duanya, nescaya ia diampuni Allah dan dianggap sebagai anak yang taat.

8. Menyelesaikan harta pusaka mengikut faraid.
Pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat setelah dijelaskan segala hutang si mati sama ada hutang dengan Allah mahupun sesama manusia, wasiat dan segala perbelanjaan pengurusan jenazah.

Firman Allah s.w.t. Allah telah memerintahkan pembahagian harta pusaka terhadap anak-anak kamu iaitu bahagian seorang lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. (An-Nisa :11)

9. Memohon keampunan bagi dosanya.
Perkara yang paling mudah dan dapat dikerjakan oleh semua orang pada bila-bila masa ialah berdoa serta memohon keampunan bagi dosa kedua-dua ibu bapanya sama ada yang masih hidup lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia, seperti mana doa yang dianjurkan di dalam al-Quran Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan juga kepada semua orang mukmin pada hari terjadinya hisab. (Ibrahim : 41)

Firman Allah s.w.t. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka), ``Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil. (Al-Isra: 24)

10. Membuatkan haji untuknya.
Anak-anak digalakkan untuk membuatkan haji bagi kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yang belum sempat menunaikan haji. Ia boleh dilakukan dengan membuat sendiri (bagi yang telah menunaikan haji untuk diri sendiri) atau dengan cara mengupahkannya kepada orang lain.


[telah diringkaskan dari artikel asal]
- NURHELMI IKHSAN, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Selangor.

No comments: