Labels

Wednesday, October 20, 2010

MYJICA DAN BUDU

bertandang ke rumah rakan
dijamu makan malam
singgang dan budu
teh secawan
dan
aku terpandang
myJICA terpampang
(ada gunanya juga rupanya)

Monday, October 18, 2010

NASI MENTAH


SEMASA rehat daripada mesyuarat tengahari tadi, kami dijamu dengan makan tengahari. Apa yang menariknya ialah kami dijamu dengan nasi mentah. Saya tidaklah bermaksud bahawa mereka dengan sengaja menjamu nasi mentah. Apa yang terjadi sudah tentulah suatu kesilapan. Mereka menggunakan katerer untuk menghidang makanan. Nasi mentah ini sudah tentulah angkara katerer berkenaan. Katerer itu sudah tentulah sangat jahat makhluknya. Sudahlah dibayar akan perkhidmatannya, masak nasipun tidak tahu. Nasi mentah diberinya kepada pembesar-pembesar jabatan yang datang bermesyuarat. Memang tidak patut. Sangat tidak patut. Tidak boleh diberi maaf langsung.

Memasak nasi bagi tetamu dalam 40 orang bukanlah susah benar. Jika digunakan pemasak nasi, tidak mungkin nasi akan mentah ataupun hangit. Jika digunakan periuk biasa, ada kemungkinan mentah. Walau apapun, jika telah diketahui nasi adalah hangit, usahlah dijamu. Masaklah semula atau pergilah beli nasi di kedai lain, bukannya susah benar. Namun memandangkan betapa jahatnya hati perut katerer ini, dia hidangkan juga nasi mentah untuk dimakan. Nasib dia memang baik, kerana semua tetamu yang datang adalah orang baik-baik belaka. Tidak seorangpun komplen. Semuanya mengikut sunah, iaiatu tidak makan nasi, cuma makan lauk dan tidak bercakap apa-apa. baik sungguh.

Cuma seorang sahaja yang kurang baik, dia tidak komplen, tetapi tulis dalam blog.

Saturday, October 16, 2010

JERSEY BASIKAL myJICA

Thursday, October 14, 2010

50 JAWATAN TERPILIH DALAM KERAJAAN




WAH seronoknya apabila pengarang diberi peluang untuk memilih cover buku...
Yang mana satu pilihan anda? Pertama atau kedua?

Wednesday, October 13, 2010

iSTOCKPHOTO TERBAIK OKTOBER

MERAKAM foto bukan lagi kerja susah
Sesiapa sahaja boleh merakam foto, malahan kanak-kanakpun boleh merakam foto yang baik. Buat duit dengan foto juga kerja senang. Asalkan sudah ada foto yang baik, maka ia adalah bersamaan dengan duit. Apa yang anda perlu tahu, selepas merakam foto yang baik ialah bagaimana foto boleh buat duit. Ya, buat duit dengan foto.

Berikut disertakan foto terbaik bulan oktober yang telah berjaya buat duit. Jika foto anda setaraf atau lebih baik dari ini, sudah tentu anda sudah lama dapat buat duit. Jika belum, rakamlah foto yang berada dalam kategori "baik", kemudian carilah buku panduan bagaimana anda boleh buat duit dengan foto. Salah satu bukunya ialah "Buat Duit Dengan Foto".



Tuesday, October 12, 2010

BUNGA KERTAS TEPI RUMAH


TERDAPAT tiga pohon bunga kertas di laman rumah saya. Pohon pertama dan kedua agak mahal harganya kerana bentuknya yang 'menarik'. Ada seninya. Pohon ketiga, lurus melengkong sahaja. Ia dicampak terbiar sahaja. Yang dua lagi itu disiram, dibelai, dibajai. Namun..... pohon yang terbiat juga yang tidak jemu-jemu untuk berbunga ...

Monday, October 11, 2010

ARAK DAN HALAL


SEBELUM

SELEPAS

RAMADAN tahun ini JAKIM membuat satu kejutan yang amat baik. Banyak sekali bufet Ramadan yang dikategorikan sebagai tidak halal. Apa tidaknya, kedai arakpun buat bufet ramadan. Bagaimana?. Sangat tepatlah tindakan JAKIM tersebut.

Selepas Ramadan, muncul Syawal. Tiap-tiap hari ada rumah terbuka. Bab rumah terbuka yang dibuat di hotel dan restoran ini, kita tidak terdengar pula mengenai halal-haramnya.

Saya dijemput ke satu majlis. Saya enggan pergi sebab setahu saya hotel tersebut tidak ada dalam senarai Halal-JAKIM. Mereka kata hotel mereka memang halal, cuma belum dapat sijil. Masih dalam proses. Saya kata, dalam proses, belum lagi halal, kena tunggu proses selesai dulu. Mereka kata, hotel mereka adalah kepunyaan sebuah 'organisasi' yang tentunya halal ....

Dan sayapun pergi. Saya temui Carlsberg di sana, halalkah?. Saya tegur dan apa mereka buat?. Cuba perhatikan foto sebelum dan selepas....

Sunday, October 10, 2010

10.10.10

HARI ini ialah hari sepuluh yang sempurna (perfect ten), ia itu 10.10.10. Hari ini dimulakan dengan memberi ceramah EA (Enterprise Architecture) untuk pelajar-pelajar masters di UiTM. Kemudian bergegas pulang untuk menghadiri kenduri kahwin seorang saudara. Kami sekeluarga ditempatkan di sebuah meja yang dikhususkan untuk kaum keluarga. Meriah sekali majlis ini.

Selesai majlis, para tetamu berpusu-pusu untuk bergambar.Hmmmm.... bukan bergambar dengan pengantyin, tetapi dengan artis yang menjadi tetamu undangan dalam majlis ini. Rupa-rupanya dia juga sedara kami ;-)

Wednesday, October 06, 2010

KASUT PEGAWAI LELAKI

RAMAI orang kurang jelas, apakah jenis kasut yang boleh atau perlu dipakai oleh pegawai kerajaan yang lelaki. Kebanyakan yang saya dengar ialah "kasut kulit hitam bertali". Benarkah begitu?. Maknanya kasut selain daripada warna hitam tidak dibolehkan?. Kasut hitam yang tidak bertali juga tidak dibolehkan?. Saya mencari takrifan sebenar "kasut pegawai lelaki" ini, namun yang ditemui rata-ratanya hanyalah bagi pegawai tentera sahaja.


kasut pegawai tentera udara

kasut pegawai tentera darat

kasut pegawai tentera

Tuesday, October 05, 2010

PETUA BUNGA KERTAS


SAYA sudah bosan melihat bunga kertas dalam pasu di laman rumah saya. Ia tidak segar. Ia kurang subur. Ia tidak berbunga. Menyampah saya tengok. Buat menyemak sahaja.

Petua Orang Melayu terhadap bunga kertas yang buat pe'el begini ialah buang sahaja. Campak sahaja. Jangan dimanja. Jangan dibelai. Nanti ia akan berbunga lebat. Lebih lebat daripada yang dibaja dibelai.

Hmmmmm.... entah betul entah tidak. Saya akan campak dua pasu bunga kertas di laman lumah ini ke luar, di tepi jalan. Tengoklah nanti apa yang akan jadi ....

Thursday, September 23, 2010

TEMAN IPAD

Hari ini seharian saya berada di hotel, menghadiri seminar bertemankn iPad.
Ingin menguji sejauh mana iPad boleh berfungsi atau membantu saya. Sebagai teman, tanpa pken dan kertas.
Semoga tidak banyak gangguan seperti mana semalam, di mana banyak sungguh orang yang datang berkerumun melihat iPad.

Oh ya.... Di sini ada wifi percuma. Tanpa sambungan ke internet, iPad adalah hampeh..

Sunday, September 19, 2010

iPad


BIASANYA kita di Malaysia memberi duit kepada kanak-kanan pada hari raya. Semasa belajar di UK, anak-anak Muslim di sana diberikan hadiah berupa barang permainan sempena hari Raya. Katanya ia ditiru daripada gereja. Selepas solat Aidilfitri atau Aidiladha, kanak-kanak akan berbaris untuk menerima toys mereka. Biasanya budak perempuan diberikan anak patung dan lelaki diberikan senapang ataupun kereta. Namun ada kalanya budak-budak ini tidak puas hati, sebabnya ada juga anak perempuan yang suka main senapang dan ada juga anak lelaki yang suka dolls.

OK, oleh kerana saya telah dewasa dan di sini tidak ada hadiah raya, cuma duit raya sahaja... maka saya telah berikan hadiah raya untuk diri sendiri, ia itu iPad.

Jadi tahun ini saya beraya dengan iPad.

KIni raya sudah habis... iPad sudah menjadi tugas saya pula. Tugasnya ialah untuk menjadikan iPad sebagai alat korporat (corporate tools). Hmmmm.... siapa ada idea, apakah kegunaan iPad untuk kegunaan koperat?.

Saturday, September 18, 2010

RAYA NANG


UMAT Islam dianugerahkan oleh Nabi dengan dua hari raya, ia itu Raya puasa (aidilfitri) dan raya haji (aidiladha). Itu sahaja, tidak leih tidak kurang.

Pada zaman kecil saya, kami beraya, khususnya raya puasa bagi raya pertama, kedua dan ketiga. Kadangkala bila ayah ajak balik 'kampung', ia itu di Cabang Tiga, Kuala Terengagnu, orang-orang di sana telah tidak beraya. Mereka telah berpuasa dan hanya akan beraya pada hari raya ke-8. Puasa bermula pada 2 Syawal hingga 7 Syawal, selama enam hari. Apabila emak saudara saya ingin datang bertandang ke rumah saya di kampung, emak selalu memberi tahu meraka yang orang kampung kami tidak menyambung Raya Nang.

Itu dulu.

Pada masa itu, saya hanya tahu puasa enam adalah bermula dari 2 Syawal hingga 7 Syawal. Bila saya sudah besar dan meninggalkan kampung, baharulah saya dapat ilmu baru, iaiatu puasa enam hari di bulan Syawal boleh dibuat pada bila-bila hari sahaja dalam bulan Syawal. Namun hati kecil saya masih berkata bahawa puasa enam yang sebenarnya ialah 2 hingga 7 Syawal.

Kini, emak telah mula berpuasa mulai 2 Syawal dan beraya (semula) pada 8 Syawal. Raya Nang. Bukan emak seorang, orang kampung yang lain juga begitu.

Jadi .... jika saya ingin pulang beraya di kampung, saya perlu pulang untuk merayakannya pada 1 Syawal ataupun pada 8 Syawal, ia itu Raya Nang.

Friday, September 17, 2010

FOTO TERPILIH SEPTEMBER 2010 : ISTOCKPHOTO




ANDA juga mampu untuk membuat duit dengan menghasilkan foto-foto sebegini. Untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana duit boleh dijana daripada foto, anda boleh baca buku "Buat Duit Dengan Foto"
. Order di mba4ever@gmail.com RM15 termasuk belanja pos.

Wednesday, September 15, 2010

MENCARI JALAN PULANG - KASSIM AHMAD


BUKU ini sudah lama saya beli, namun ia mula dibaca dan dihabiskan semasa cuti raya di Terengganu.

Buku ini merupakan sebuah memoir atau riwayat hidup Kassim Ahmad sendiri. Oleh kerana Kassim adalah seorang yang hebat, memoir ini tidaklah bersifat terlalu peribadi, bahkan mengenai falsafah hidup dan perjuangan beliau. Begitulah memoir mengenai tokoh-tokoh yang hebat.

Dr. Mahathir dalam kata pengantarnya menyeru supaya lebih ramai lagi rakyat Malaysia membukukan kisah hidup mereka. Jika di Jepun, kisah hidup ini dinamakan jibunshi, iaitu kisah hidup orang biasa.

Persoalannya ialah, bukan tidak ramai orang yang ingin terbitkan kisah hidup, namun berapa kerat sahaja penerbit yang sanggup menerbitkannya?.

Mungkin pihak kerajaan perlu berbuat sesuatu. Misalnya, lima tahun sebelum bersara, pegawai tinggi kerajaan diwajibkan menulis dan menerbitkan jibunshi mereka.

Tuesday, September 14, 2010

AZABNYA BROADBAND DI MALAYSIA

MUSIM cuti raya ini, saya percaya ramai juga orang yang bercuti ke kampung membawa bersama mereka notebook, iPad, beserta broadband mereka. Saya tidak terkecuali. Banyak sebab kenapa mereka berbuat begini, di antaranya ialah untuk sentiasa dapat berhubungan dalam Internet.

Semasa di Perak, cuma 10km sahaja dari bandaraya Ipoh, broadband saya cuma ada 1 bar sahaja. Maknanya satu bendapun tidak dapat diperolehi. Tidak ada harapan langsung. Pilihan yang ada cumalah pada handphone sahaja. Nasib baik BlackBerry membantu.

Semasa di Terengganu, sekitar 50km dari Kuala Terengganu, dapatlah EDGE dengan 4 bar. Sepatutnya sudah sangat laju, namun hampa juga. Di sanalah entri ini dibuat.

Jika beginilah keadaan kita, maka terbukti sudah bahawa kita masih terlalu jauh ketinggalan di belakang dengan semua negara di dunia. Broadband konon...

Monday, September 13, 2010

WAINUIOMATA - TERUJA CINTA MAORI


SAYA selesai membaca buku ini pada hari raya puasa yang ke-2.
Buku ini mengisahkan Ahmad, pelajar lepasan SPM dari Felda Keratong belajar di New Zealand. Kisah bermula pada Februari 1983 hingga Disember 1983. Iaitu selama mana Ahmad berada dalam Tingkatan 7.

Dalam masa yang kurang dari setahun ini, pembaca dibawa mengembara ke seluruh New Zealand. Bagi mereka yang belum pernah ke sana, maklumat ini adalah sangat-sangat berguna. Bagi yang sudah ke sana, novel travelog ini boleh menimbulkan semula nostalgia lama.

'Kisah benar' ini digarap oleh penulis dengan sangat berkesan sekali.

Sunday, September 12, 2010

LEBUHRAYA BASIKAL


INI lebuhraya basikal di London.
Bila agaknya lebuhraya basikal akan dibina di Malaysia?
Tidak mungkin rasanya... Lorong motosikal telah ada, penunggang kekadang guna kekadang tidak. Penunggang motorsikal ingin lalu di laluan kereta. Cuaca di Malaysia juga panas yang tidak menarik minat pengayuh basikal. Banyak sebab lain lagi.

Wednesday, September 08, 2010

MIT


SAYA pernah menjadi tetamu kepada MIT (Massachusetts Institute of Technology) semasa menghadiri persidangan CIO (Chief Information Officer) di Boston, USA. Kemudiannya saya dihadiahkan dengan sehelai kemeja-t. Semasa dalam perjalanan pulang, saya singgah di New York dengan memakai kemeja-t MIT tersebut. Berjalan mundar mandir di kompleks membeli belah. Saya ditegur oleh duia orang manmita pertengah umur. Mereka bertanyakan samada saya adalah graduan MIT. Ia adalah universiti yang bagus katanya. Dalam perbualan ringkas kami, mereka memberitahu bahawa mereka adalah graduan BU. Adakah kamu tahu apa itu BU?. Boston University, iaiatu jiran kepada MIT.

Dalam episod perjalanan yang lain pula, saya memakai topi @ cap yang bertulis NAVY. Pemandu kenderaan hotel bertanyakan samada saya ada kenal sesiapa orang penting dalam US Navy. Rupa-rupanya cap sedemikian tidak dijual kepada orang awam. Ia hanya untuk US Navy. Sebenarnya saya membelinya di Okinawa, Jepun yang merupakan pangkalan US Navi yang terbesar.

Saya kemudiannya tertanya-tanya, adakah kemeja-t MIT tersebut juga tidak dijual kepada publik?.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN.

Sunday, September 05, 2010

PENGURUSAN MONYET


SESEORANG bos mungkin terlalu banyak kerja. Ada kalanya ia terpaksa menyelesaikan masalah yang dibuat oleh orang lain. Ada kalanya ia terpaksa bekerja berjam-jam dan sentiasa ketiadaan masa. Barangkali stafnya bersenang lenang sahaja. Bos mungkin kecewa dengan keadaan sedemikian. Apakah alternatif yang ada?. Jawapan kepada persoalan ini ialah Pengurusan MOnyet.

Pengurusan Monyet adalah satu pendekatan berstruktur bagi mencegah masalah daripada dideligasi ke atas. Monyet diistilahkan sebagai masalah yang tidak selesai ini. Sementara para pengurus pula keberatan untuk menyelesaikan monyet ini kerana sedikit sebanyak ia akan menurunkan prestasi kerja mereka.

Berapa banyak monyetkah dalamsesebuah organisasi?. Monyet-monyet ini pula memerlukan dua pihak, ia iatu pekerja untuk menyelesaikannya dan penyelia untuk mengawasinya.

Bagaimanakah Pendekatannya?

1. Apabila staf datang membawa masalah, tanyalah staf tersebut, apa yang dia mahukan. Apa yang dia mahu bos lakukan. Kerapkali staf hanya mahukan masalahnya didengari oleh bos sahaja.

2. Jika staf datang membawa sebuah penyelesaian, tanyalah dia apa masalah yang ingin diselesaikannya. Kenalpasti monyetnya.

3. Buat keputusan samada isu tersebut adalah masalah ataupun tidak. Nyatakan kepada mereka "saya memahami isu ini, namun memandangkan ada isu yang lebih besar, ataupun masanya kurang sesuai, maka ia bukanlah keutamaan pada masa ini". PIlihlah samada untuk menyuap atau membunuh monyet tersebut.

4. Nyatakan dengan jelas bahawa masalah dan penyelesaian adalah hak dan urusan staf. Katakan "saya boleh uruskan perkara ini, namun adalah lebih baik jika kamu sendiri yang selesaikannya". Jangan ambil monyet tersebut.

5. Skedulkan masa dan jadual penyelesaian masalah. Misalnya "Selasa 2 petang" aalah langkah bijak. "kita bincang kemudian" adalah tidak sesuai. Selagi masalah belum selesai, skedulkan jadual penyelesaian seterusnya.

Saturday, September 04, 2010

15 KOMPLEN PENGURUS TERHADAP CIO


1. Tidak mendapatkan semua fakta sebelum membuat keputusan
2. Tidak mempunyai kemahiran bermesyuarat yang tinggi
3. Selalu menyalahkan pihak lain
4. Kemahiran mendengar yang rendah
5. Tidak mahir terhadap isu teknikal
6. Suka campur tangan
7. Komunikasi yang tidak konsisten
8. Berulang kali memberikan tugas kerja yang sama
9. Tidak menghormati pengetahuan staf
10. Tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh pengurus
11. Berulangkali mengulangi maklumat yang sama
12. Kerap membuat susulan yang tidak perlu
13. Mengabaikan kecerdikan orang lain
14. Mempamerkan peranan pepimpinan
15. Mengambilalih projek setelah banyak kerja dilakukan

Friday, September 03, 2010

MINTA TUKAR


ADA kalanya apabila seseorang staf tidak berpuas hati, dia akan memohon untuk ditukarkan. Tidak puas hati di sini tersangat luas maksud dan difinisinya. Di antaranya termasuklah:-

1. Suami atau isteri bekerja jauh
2. Anak bersekolah jauh
3. Tidak ada pengasuh anak
4. Rakan sekerja tidak ngam atau sebulu
5. Penempatan kerja tidak sesuai
6. Ingin mencari pengalaman baru
7. Bos garang @ tidak perihatin
8. Ingin berkahwin dengan rakan sepejabat
9. Terlalu banyak kerja
10. Kerja tidak mencabar @ kurang kerja
11. Ingin menjaga @ berbakti kepada ibu-bapa
12. Sebab-sebab peribadi

Bos perlu tegas dalam soal ini. Jika diberi pilihan, semua orang ingin bekerja di pejabat yang paling hampir dengan rumah. Jika tidakpun, ofis di dalam rumah. Jawapan paling munasabah ialah berhentilah kerja dan bukalah ofis sendiri dalam bilik tidur.

Saya sendiri pernah bekerja di satu tempat yang mana pelbagai jenis "ancaman" saya terima. Di antaranya ialah:

1. Tidak pernah diberi peluang berkursus
2. Tidak berpeluang menaiki kapalterbang walaupun sekali
3. Terpaksa membuat kerja dari A hingga Z
4. Menerima laporan prestasi yang di bawah tahap par

Saya juga ingin bertukar keluar. Namun seorang rakan sekerja yang lebih junior, tetapi senior usianya menasihati saya. "Jika tuan rasa kerja di sini ada masalah, jika tuan bertukarpun, masalah itu akan ada juga di tempat baru. Masalah akan ikut tuan ke tempat baru. Sebabnya ialah masalah itu ada dalam kepala tuan. Ke mana sahaja tuan pergi, ia tetap akan ikut tuan. Saya nasihatkan tuan tinggalkan masalah dalam kepala tuan dahulu dan bekerjalah di sini".

Saya sangat menghargai nasihat sedemikian. Saya anggap tempat kerja saya tersebut adalah sebagai "universiti kedua" bagi saya. Saya bertahan selama enam tahun di sana. Saya kemudiannya ditukarkan ke luar kerana pengalaman dan pengetahuan saya dalam 'bidang tertentu' sangat diperlukan di sana. Beberapa bulan di sana saya telah diberikan peluang untuk berkursus di luar negara. Itulah pertama kali saya menaiki kapalterbang dan pertama kali saya keluar dari Malaysia.

Thursday, September 02, 2010

BAGAIKAN PAHAT DENGAN PEMUKUL


Pemukul: Kenapa malas kerja?

Pahat: Pemukul tidak kerja

Pemukul: Baiklah... nah kerja!

Pahat: OK-Ok jom kerja...

Pahat: Bos kerja sudah habis, boleh balik? boleh rehat?

Pemukul: ????

Barangkali zaman sekarang pemukul lebih berkualiti sangat diperlukan.

Monday, August 30, 2010

BERKONGSI MIMPI DENGAN BOS


SUAMI-isteri tidur sebantal mimpi asing-asing. Inikan pula berkongsi mimpi dengan bos. Apakah maksudnya?. Adakah ia bermakna tidur sebantal dengan bos?.

Bos mengimpikan sesuatu kejayaan untuk organisasi. Impian bos ini staflah yang perlu merialisasikannya. Kadangkala mimpi bos itu sayup-sayup sahaja, staf perlulah tafsirkan mimpi tersebut. Kadang-kadang mimpi bos sabgat spesifik, staf perlu laksanakan sahaja.

Namun banyak kali, mimpi bos hanya tinggal mimpi sahaja. Setelah puas bos menceritakan mimpinya, ia hanyalah dijadikan penglipurlara sahaja oleh staf. Apa yang disuruh tidak menjadi. Apa yang dihajatkan tidak tercapai.

Bagaimanakah cara terbaik untuk berkongsi mimpi dengan bos?.

Friday, August 27, 2010

SENARAI SEMAK @ CHECKLIST


PADA zaman dahulu, bahasa program komputer mempunyai struktur dan asas-asas tertentu. Itu di zaman Structured Oriented Programming (SOP). Pada masa itu disiplin pemprograman adalah ketat. Bermacam-macam peraturan perlu diikuti. Misalnya FIFO, GOTO, SISO dan banyak lagi. Kini program ditulis berdasarkan Object Oriented Programming (OOP). Programmer perli klik, klik dan klik sahaja kepada fungsi-fungsi tertentu dan programpun siap. Ia sangat mudah, namun kadangkala programmer sendiripun tidak tahu apa yang mereka buat.

Kembali kepada soal kerja. Dulu pekerja sangat tahu mengenai kerjanya. Setiap kerja ada senarai semak masing-masing. Apa yang perlu dibuat, apa tindakan perlu diambil, siapa buat apa dan bila. Kini... sebahagian besar daripada pekerja telah tidak tahu apa kerja sendiri.

Jika diberikan satu kerja, pekerja sekarang biasanya hanya akan tunggu arahan seterusnya dikeluarkan ataupun menunggu sesuatu berlaku terhadap tugasan tersebut. Katakanlah tugas mereka ialah "memantau pelaksanaan aplikasi ABC". BIla saya tanya, apakah tugas-tugas pemantauan yang kamu lakukan?. Bagaimana cara memantau? Apa yang dipantau?. Semuanya jawab tidak tahu atau bergantung kepada keadaan. Suatu pagi, pengguna tidak boleh membuat capaian kepada sistem ini disebabkan oleh ruang storan sudah penuh. Maka pekerja akan periksalah di mana silapnya dan hapuskan mana-mana fail yang tidak perlu.

Jika sekiranya senarai semak harian, mingguan, bulanan dan tahunan disediakan dan dipatuhi, perkara-perkara sebegini tidak boleh berlaku...

Thursday, August 26, 2010

STAF RAJIN DAN PANDAI KENA PENALTI


UMUM mengetahui bahawa:
1. Staf pandai dan rajin akan kena penalti
2. Staf malas, culas dan kurang pandai akan dapat ganjaran.

Pelik?. Ia adalah lumrah dalam dunia pekerjaan.
Sekiranya kita mempunyai staf yang pandai dan rajin, maka kepada beliaulah kita berikan segala kerja. Kerja, kerja dan kerja. Semua tugasan yang diberikan semuanya siap dan beres.

Bagi staf yang culas, kerja yang diberikan kerap kali tidak siap. Alasan yang diberikan adalah panjang berjela. Barangkali dia menghabiskan masa untuk mereka-reka alasan adalah lebih lama daripada masa memberi tumpuan kepada kerja. Alasan tidak pandai buat kerja dan perlukan kursus serta latihan untuk buat kerja. Kita hantar kursus. Alasan tidak cukup staf bawahan, kita beri staf. Alasan sibuk dan tidak ada masa, kita kurangkan kerja. Akhirnya satu bendapun tidak jadi. Apapun tidak menjadi. Semuanya tidak siap.

Maka kita mengharapkan kepada staf yang rajin dan boleh diharap. Semua kerja diserahkan kepadanya. Tidak ada masa untuk kursus, tidak ada masa untuk cuti. Yang culas gunakan masa sepenuhnya untuk kepentingan peribadi. Misalnya membaca untuk peperiksaan PTK dan seumpamanya. Akhirnya si culas berjaya dan si rajin gagal. SI culas dapat kenaikan pangkat dan si rajin masih begitu juga.

Wednesday, August 25, 2010

TWITTER UNTUK URUSAN PEJABAT


MINGGU lepas saya jumpa bos besar. Dia suruh saya ajarkan dia dan kawannya, juga seorang bos besar cara-cara mengunakan twitter. HAmpir saya terlupa akan permintaan ini. Semalam saya bertemu seorang sahabat yang buat bisnes dalam bidang ICT. Sembang-sembang petang. Akhirnya tercetus idea bagaimana mengunakan Twitter untuk kegunaan rasmi.

Saya mempunyai sedikit masalah untuk mengesan 30 orang pengurus di bawah saya. Apabila saya perlukan, mereka tidak ada di tempatnya. Adakah mereka cuti, kursus, mesyuarat atau ke mana?. Tidak ada sistem atas talian yang mengesan pergerakan mereka. Lantaran itu mereka diminta untuk membuka akaun Twitter dan saya 'follow' mereka. Sekiranya mereka ralit mengemaskini Twitter, sudah tentu pergerakan mereka dapat saya ketahui melalui Twitter saya.

Arahan melalui e-mel diberikan selepas Subuh tadi supaya membuka akaun Twitter. Sehingga selepas Isya' baru 5 akaun Twitter yang berjaya saya follow. Ke mana perginya 25 lagi?. Adakah mereka tidak membaca e-mel? Adakah mereka tidak tahu menggunakan Twitter? Adakah mereka memang culas?. Entahlah...

Tuesday, August 24, 2010

STAF TUA Vs STAF MUDA

KELAPA tua lebih santan dan berlemak daripada kelapa muda, namun sebiji kelapa muda lebih mahal harganya berbanding dengan sebiji kelapa tua. Yalah, itu kelapa, tetapi bagaimana pula dengan staf?.

Staff tua @lama lebih berpengalaman, Staff muda @baru lebih bersemangat
Staf baru lebih laju, staff lama lebih perlahan
Staf baru sanggup belajar, staff lama sudah berilmu
Staf baru sangat inovatif, staff lama sungguh setia
Staf baru senang diajar, staff lama tidak makan ajar

Ah, entahlah.... apabila banyak majikan mula menaikkan umur persaraan, ini bermakna staff lama (berpengalaman) adalah lebih bernilai daripada staf baru (bersemangat dll). Jika ikutkan logik, sarakan sahaja staf lama yang sudah bergaji tinggi dan digantikan dengan staf baru yang boleh dibayar murah. Apa-apapun mana-mana staf yang mencapai sasaran (KPI) itulah dia, tidak kita tua atau muda.

Saturday, August 21, 2010

PERASAAN BOS VS PERASAAN STAF


PERTAMA kali saya dimarah (lebih tepat lagi ditegur) oleh bos ialah dalam minggu pertama saya melapor diri untuk bekerja. Sebaik sahaja melapor diri untuk bekerja, saya dibiarkan sahaja. Tidak diperkenal kepada sesiapa, tidak diberikan kerusi meja. Bilik apatah lagi. Bukankah aku ini graduan? ...

Melihatkan seorang pegawai terpinga-pinga macam rusa masuk kampung, seorang pembantu pejabat (masa itu kita panggil office boy) datang menyapa. Pertama kali saya dipanggil tuan. Kami berkenalan dan dia membawa saya mencari ruang-ruang kosong sebagai stesen kerja saya. Ofis tersebut menggunakan konsep terbuka, guna partisyen. Kami berdua mencari dan mengangkat kerusi untuk diletakkan di meja kosong. Dapatlah saya sebuah meja dan sebuah kerusi untuk bekerja. Tanpa telefon. Tanpa kabinet. Tanpa apa-apa. Komputer jauh sekali.

Bos saya kemudiannya diberitahu lokasi stesen kerja saya. Kemudian, ada seorang pegawai yang bertukar keluar. Tempatnya tinggal kosong. Agak strategik. Ada privasi. Ada telefon. Oleh kerana tempat itu kosong, maka sayapun pindahlah ke situ.

Entah bagaimana, bos panggil saya dan bertanya mengapa saya pindah tanpa meminta izin daripadanya terlebih dahulu. Dia marah. Itu tempat jurutera katanya. Dia marah sangat. Saya tidak minta kebenaran dia. Itu pertama kali saya kena marah. Minggu pertama kerja. Saya berpendapat saya tidak buat salah apa-apa, tetapi bos berpendapat saya telah buat salah yang besar.

27 tahun kemudian, saya telah menjadi bos. Saya perhatikan staf saya juga buat perangai macam saya dahulu. Pindah ruang ikut sedap hati sahaja. Mana-mana ada tempat kosong, main suka sahaja pindah. Tanpa kebenaran. Saya juga terkilan. Saya tidak panggil mereka. Saya panggil bos mereka. Saya arahkan arahan pentadbiran dikeluarkan. Tidak ada perpindahan lokasi boleh dibuat tanpa kebenaran.

Rupa-rupanya perasaan anak buah dan perasaan bos adalah berbeza, walaupun dalam perkara yang sama.

Friday, August 20, 2010

BOS YANG BERJAYA


BOS saya dulu pernah berkata:

"kejayaan saya adalah apabila 80% masa saya berada di luar pejabat dan pejabat saya dalam keadaan yang terurus".

Pada masa tersebut, saya adalah sebagai orang kanannya. Apakah maksudnya?.
1. Saya staf yang sangat dipercayai
2. Saya staf yang sanat berdedikasi
3. Dia sangat pandai mengagihkan kerja

Thursday, August 19, 2010

MENGAJAR ADALAH CARA BELAJAR YANG TERBAIK


STAFF yang tidak tahu buat kerja biasanya kita akan ajar atau hantar pergi kursus. Staff yang pandai buat kerja biasanya kita berikan mereka kerja, kerja dan kerja. Adilkah?.

Apabila saya tidak tahu sesuatu perkara, bos suruh saya mengajar subjek tersebut. Adakah ia munasabah?. Bos saya berpegang kepada falsafah "mengajar adalah cara belajar yang terbaik".

Dulu saya tidak pernah tahu menggunakan perisian dBaseIII (sekarang sudah tidak ada lagi). Bos saya terus melantik saya sebagai pensyarah bagi subjek ini. Kamu beli buku, beli software, buat latihan, sediakan nota dan pergi mengajar. Perit sungguh arahan yang diberikan.

Namun akhirnya saya menjadi mahir menggunakan bukan sahaja dBaseIII, namun dBase4 juga. Kini saya sangat percaya apa yang diungkapkan oleh bos saya dulu.

Wednesday, August 18, 2010

PEGAWAI BOLEH BERCUTI, KERJA TIDAK BOLEH


Seorang bos saya selalu berkata

"pegawai boleh bercuti, tetapi kerja tidak boleh cuti"

Maksudnya:

1. Jika kamu mahu cuti, pastikan kerja kamu disiapkan
2. Jika kamu mahu cuti, pastikan ada orang lain ambil alih kerja kamu
3. Jika kamu mahu cuti, bawa balik kerja kamu
4. Jika kamu mahu cuti, ingat.... kamu boleh dipanggil bila-bila masa sahaja.

Tuesday, August 17, 2010

DILEMA BOS


ORANG Melayu kata:-
1. Kerja bertangguh tidak menjadi
2. Kerja beransur tidak bertahan.

Kadang-kala bos menghadapi dilema, samada kerja perlu diagih kepada anak-buah ataupun dibuat sendiri. Ini adalah khusus kepada kerja-kerja penting yang perlu disegerakan. Berdasarkan kepada pengalaman lampau, sememangnya buat kerja sendiri adalah lebih cepat, tepat dan boleh dipercayai. Namun sampai bila?. Apa gunanya ada staf jika bos yang lakukan kerja sendiri?.

Bos mengagihkan kerja kepada staf kerana:
1. Mahu melatih staf buat kerja
2. Bos kerja banyak, tidak tertahan dibuat sendiri
3. Bos mahu wujudkan pasukan kerja yang mantap.

Namun banyak kali juga staf menghampakan harapan bos dengan buat kerja secara sambil lewa, tidak sempurna dan bagaikan melepaskan batok di tangga (bukan batuk ya...).

Monday, August 16, 2010

MENGAPA BOS LAMBAT?


UMUM mengetahui hukum ini:
1. Bila staff lambat, dia memang lembab
2. Bila bos lambat, dia sangat cermat

Sebagai bos, kita mahu anak buah kita buat kerja dengan cepat dan tepat. Sebagai anak buah, kita juga mahu bos kita bertindak dengan cepat.

Ada kalanya kertas kerja, surat, memo dan pelbagai deraf mengambil masa yang sangat lama untuk bos sahkan. Mengapa?.

Jawapan pertama saya ialah, bos tidak berkenan dengan deraf yang dibuat. Bos ingin baiki, tetapi semua sudut perlu diperbaiki. Lebih baik dibuat yang baru. Sebabnya ialah mesej yang bos ingin sampaikan tidak kesampaian. Anak buah pula, main letak saja deraf tanpa berbincang. Jika ia dibincang terlebih dahulu, nescaya bos akan luluskan dengan cepat sekali.

Sunday, August 15, 2010

TRAVELOG NEW ZEALAND


SAYA sudah lama tahu akan penulisan trilogi travelog New Zealand ini. Namun tidak berkesempatan untuk memantau akan kelahirannya. Pagi ini ke kedai buku dan ketiga-tiga sirinya telah terjual.

Buku karya sdr Fudzail ini mengisahkan tentang kembara anak Felda kratong ke New Zealand. Belajar dan hidup di sana. Buku ini ditulis dalam bentuk fiksyen, iaiatu novel.

Hmmm.... saya mahu baca dulu ya...

Saturday, August 14, 2010

MENU BERBUKA PUASA

1. LAKSAM


2. LOMPAT TIKAM


3. PUTERI MANDI

Monday, August 02, 2010

KESESAKAN PUTRAJAYA


Pagi-pagi hari
Putrajaya telah sesak
tidak seperti biasa.
Barangkali ramai pekerja
menukar waktu WP satu
menjelang puasa.

Saturday, July 31, 2010

SAYANG-SAYANG BUAH KEPAYANG


sayang-sayang buah kepayang
ditelan pahit
dibuang sayang

Friday, July 30, 2010

KAYUHAN PUTRAJAYA KE TELUK KEMANG




Persatuan Juruanalisa Sistem Sektor Awam (PERJASA) menganjurkan acara mencari harta karun (treasurer hunt) berkereta dari Putrajaya ke Teluk Kemang. Sebanyak 17 buah kereta mengambil bahagian.

Saya saja-saja gatal mulut bertanyakan samada boleh atau tidak kami ingin berbasikal ke sana. Jawapan yang diberikan sungguh mengejutkan. Kami diterima. Berita ini disampaikan dua hari sebelum acara. Kelam kabut juga mencari rakan-rakan untuk turut berkayuh. Akhirnya lima orang bersetuju.

Ramai yang tidak percaya kami boleh berkayuh hingga ke destinasi. Namun oleh kerana kayuhan Putrajaya ke Port Dickson pergi balik pernah kami buat sebanyak dua kali sebelum ini, kami sangat yakin. Malahan kami yakin akan tiba lebih awal daripada pasukan berkereta.

kami dilepaskan di perkarangan JPA, Putrajaya sudah agak lewat. Hampir jam 9am. Ia sangat lewat bagi pasukan berbasikal. Biasanya seawal 7.30am kami sudah berlepas. faktor cuaca panas adalah penghalang utama. Jarak tidak begitu membimbangkan.

Kayuhan kami agak santai pada permulaannya. Memang santai habis. Apatah lagi kerana sebuah kenderaan sokongan mengiringi kami. Semua bekalan dan kelengkapan disimpan dalam kenderaan. Cabaran pertama berlaku tidak sampai 10km berkayuh. Mengayuh mendaki bukit Limau Manis memang tidak nampak langsung manisnya. Gelap sahaja dan banyak bintang yang kelihatan berligar-ligar di atas kepala.

Kayuhan ini juga telah memperkanalkan saya dengan sesuatu yang sangat sinonim dengan pengayuh. Saya tidak pernah kena 'cramp'. Hampir tiba di PD, paha terasa sangat sakit. Inikah cramp?. Tolak sakit, tarikpun sakit. Ah tidak boleh jadi, perlu bantuan. Panggil kenderaan sokongan untuk spray penahan sakit. Itulah kali pertama cik cramp datang berkenalan.

Akhirnya .... setelah enam jam berkayuh dan berhenti rehat dan berkayuh, kami tiba ke destinasi. Ia itu Tiara Beach Resort. Kami diberikan empat bilik penginapan. Kayuhan cuma 84km. Inilah kali pertama basikal kami menginap di hotel!.

Friday, July 23, 2010

KERTAS TANDAS


SEHARI dua ini, bekalan kertas tandas di semua tandas di sini telah kehabisan. Perkara kecil ini mendatangkan kesan yang tidak kecil rupanya. Jika bekalan air yang terputus, entahlah. Kehidupan moden di sini telah menjadikan seolah-olah kertas @tisu tandas adalah suatu kemestian. Semua pengguna telah dimanjakan dengan bekalan berterusan selama ini. Sekali terputus, semua menggelabah.

Jika di sana dulu, tandas tidak dibekalkan dengan tisu. Apa yang pengguna lakukan ialah membeli dan menyediakan tisu sendiri untuk kegunaan sendiri. Jikalah amalan beringat semasa ada diamalkan oleh pengguna, sudah tentu kehabisan stok perkara kecil ini tidak akan menjadi perkara besar.

Tuesday, July 20, 2010

PERDANA BARU


PROTON sedang giat menjalinkan hubungan bisnes dengan pengeluar kereta asing bagi menggantikan model Perdana. Model baru Perdana dikatakan akan dikeluarkan awal 2011. Di antara yang disebut-sebut ialah sebuah jenama barat yang tidak lagi dikeluarkan di negara asalnya, sebaliknya di China.

Hmmm.... bagaimanakah rupanya Perdana 2011?.

Friday, July 16, 2010

GAMBAR NABI

SESETENGAH daripada ustaz kita menceritakan dan memberikan gambaran mengenai wajah dan bentuk badan Nabi secara sangat terperinci. Rambut nabi bagaimana. Kumis nabi begitu begini. Hidung nabi mancung yang bagaimana. Telinga nabi. Leher nabi jinjang yang serupa apa. Badan nabi dengan ketinggiannya dan serba serbi mengenai bentuk fizikal nabi.

Untuk apa diterangkan semua ini?. Dari mana diperolehi?. Kita disuruh mengikut sunnah nabi, bukan bentuk fizikal badan nabi. Jika hidung kita penyek, adakah ustaz bermaksud suruh kita buat pembedahan plastik supaya hidung kita mancung seperti nabi?. Jika tidak apa gunanya bersungguh-sungguh sangat ustaz bercerita?. Barangkali supaya kaum wanita mencari suami yang ala-ala nabi?.

Umum mengetahui bahawa Nabi Yusof adalah sangat tampan. Namun tidak ada sebarang riwayat dalam Surah Yusof akan ciri-ciri ketampanan wajah Nabi Yusof ini. Nabi Muhammad pula di mana nas dan dalil akan bentuk wajahnya?.

Soalannya ialah, apabila para ustaz bercakap dan memberi gambar(an) akan wajah dan bentuk badan nabi ini, ia dibolehkan. Apabila ada orang memberi gambaran nabi hasil dari gambaran yang diberi oleh ustaz ini melalui lukisan, ia tidak boleh @ haram pula. Mengapa ada double-standard?. Bukankah gambar boleh menceritakan lebih daripada 1000 perkataan?.

Bagi saya, gambaran itu adalah sudah tidak betul, tidak sahih.

Thursday, July 15, 2010

KETUA PEGAWAI MAKLUMAT (CIO)

[Nota ini sekadar untuk mengingatkan saya sahaja ...]
Tujuan utama CIO diwujudkan ialah untuk memberi nasihat bagaimana bagaimana pelaburan dalam ICT sesebuah organisasi boleh dimenafaatkan untuk mencapai kejayaan.

CIO mestilah menunjukkan pemikiran maju ke depan bagi mengintegrasikan ICT ke dalam proses bisnes organisasi dan kepentingan ICT untuk kejayaan pada masa hadapan.

CIO adalah posisi terbaik untuk memulakan perubahan dalam proses bisnes.

Peranan CIO ialah untuk menelusuri maklumat yang dihasilkan setiap hari di seluruh dunia dan menilai kesesuaiannya dengan organisasi.

CIO bukan sahaja membuat keputusan bisnes sahaja, tetapi juga membantu pengurus fungsi membuat keputusan mereka sendiri

CIO perlu berada 'di mana-mana' sahaja dalam dan di luar organisasi


[bersambung]

Peranan CIO di masa hadapan:

Sungguhpun Bahagian ICT telah ada dan bersedia untuk membuat jajaran kepada strategi bisnes, CIO mestilah juga berusaha lebih dari segi strategi, masa dan sumber bekerja bersama unit-unit bisnes. Kepelrluan mendapatkan staf UCT sepenuh masa di pejabat CIO adalah suatu keperluan.

CIO perlu menjajarkan strategi ICT dengan strategi bisnes secara kerap melalui dialog di antara ICT dan unit bisnes. Dengan ini Bahagian ICT akan dapat membuat pengubahsuaian, sentiasa releven dan di landasan yang betul. Pasukan ICT dan unit bisnes perlu bekerjasama untuk mempastikan kesimbangan sistem dibangunkan.

Wednesday, July 14, 2010

GURU DULU DAN SEKARANG

JIKA dulu, guru berkata "jangan duduk di atas bantal, nanti bisul". Kata-kata ini akan dipegang, diamal dan diperturunkan sehingga anak cucu. Tanpa soal, tanpa tanya. Kami dengar dan kami patuh.

KINI jangan harap. Guru perlu sangat berhati-hati dengan 'ilmu' anak muridnya. Silap cakap, siap. Guru akan disoal akan dalil dan nasnya. Murid kini lebih mempercayai Pakcik Google berbanding dengan guru dan juga mahaguru.

Hati-hati.

Monday, July 12, 2010

PIALA DUNIA FIFA


SAYA buat rekod pada FIFA Piuala Dunia 2010 ini, iaiatu tidak menonton walau satupun pertandingan. Bukan rekod baru sebenarnya, tetapi menyamai rekod tahun-tahun lepas.

Normalkah aku?

Tuesday, July 06, 2010

PhD : MENGAPA SUSAHKAN ORANG?

RASA-RASANYA begitu ramai sekali orang yang ingin belajar hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Hadiahnya ialah mereka boleh menggunakan gelaran "Dr." di hadapan nama mereka.

Jika tidak silaplah, PhD adalah berkaitan dengan kajian. Kajilah apa-apa yang telah dipersetujui oleh penyelia. Temuilah bahan kajian, buatlaj hipotesis, ujilah, buktikanlah. PhD adalah berkaitan dengan penemuan baru. Ia boleh jadi perkara baru atau memperbaharui perkara yang telah ditemui.

Barangkali anggapan saya salah, khususnya PhD dalam bidang bukan teknikal. Sebabnya.... kami terlalu banyak dihujani dengan permintaan untuk membuat kajian bagi thesis PhD. Macam interview, macam-macam borang perlu diisi. Bukan sedikit. Bukan mudah. Banyak masa terbuang kerana melayan keperluan orang yang inginkan PhD.

Saya tidak dapat menerima logik bahawa, kita perlukan PhD dan terpaksa bertanya macam-macam soalan kepada orang lain. Adakah orang yang ditanya itu lebih pandai dari yang bertanya atau apakah yang ingin dibuktikan oleh penanya?. Saya bosan apabila mereka bertanya dan saya menjawab dan jawapan saya disangkal. Itu jawapan saya, ityu pengalaman saya, mengapa harus menjurus kepada keperluan kamu untuk buat PhD kamu?.

Saya tidak mahu ditemuduga. tidak mahu. Mengapa dipakasa juga?. Susahlaj buat PhD tetapi asyik kena tanya semua orang A .. B .. C.

Monday, July 05, 2010

MAT, MOHD, MUHAMMAD, MOHAMMED

MALAM tadi saya tidur awal. Sebenarnya tiap-tiap malampun tidur awal. Dalam tidur saya terdengar orang bersorak. Muhamad !, Muhamad!, Muhamad!. Muhamad juara!. Dalam hati tertanya-tanya, sudah glamorkah saya?. Saya sudah jadi juara?. Muhamad adalah juara!. Telinga mendengar, namun mata tidak boleh dibuka.

Tengah malam saya terjaga (sebab belum solat Isya'). Tanya isteri, siapa yang menang program realiti mentor?. Jawabnya "Muhamad". Oooo.... patutpun dalam tidur saya mendengar nama saya adalah juara.... Muhamad menjadi juara mentor-proteje rupanya ....


Mohamad Izwan Mohamad Noor atau lebih dikenali dengan Mohd adalah juara mentor edisi ke-4. Sangat jarang orang menggunakan nama glamor sebagai Mohd sekarang ...