Saturday, August 21, 2010
PERASAAN BOS VS PERASAAN STAF
PERTAMA kali saya dimarah (lebih tepat lagi ditegur) oleh bos ialah dalam minggu pertama saya melapor diri untuk bekerja. Sebaik sahaja melapor diri untuk bekerja, saya dibiarkan sahaja. Tidak diperkenal kepada sesiapa, tidak diberikan kerusi meja. Bilik apatah lagi. Bukankah aku ini graduan? ...
Melihatkan seorang pegawai terpinga-pinga macam rusa masuk kampung, seorang pembantu pejabat (masa itu kita panggil office boy) datang menyapa. Pertama kali saya dipanggil tuan. Kami berkenalan dan dia membawa saya mencari ruang-ruang kosong sebagai stesen kerja saya. Ofis tersebut menggunakan konsep terbuka, guna partisyen. Kami berdua mencari dan mengangkat kerusi untuk diletakkan di meja kosong. Dapatlah saya sebuah meja dan sebuah kerusi untuk bekerja. Tanpa telefon. Tanpa kabinet. Tanpa apa-apa. Komputer jauh sekali.
Bos saya kemudiannya diberitahu lokasi stesen kerja saya. Kemudian, ada seorang pegawai yang bertukar keluar. Tempatnya tinggal kosong. Agak strategik. Ada privasi. Ada telefon. Oleh kerana tempat itu kosong, maka sayapun pindahlah ke situ.
Entah bagaimana, bos panggil saya dan bertanya mengapa saya pindah tanpa meminta izin daripadanya terlebih dahulu. Dia marah. Itu tempat jurutera katanya. Dia marah sangat. Saya tidak minta kebenaran dia. Itu pertama kali saya kena marah. Minggu pertama kerja. Saya berpendapat saya tidak buat salah apa-apa, tetapi bos berpendapat saya telah buat salah yang besar.
27 tahun kemudian, saya telah menjadi bos. Saya perhatikan staf saya juga buat perangai macam saya dahulu. Pindah ruang ikut sedap hati sahaja. Mana-mana ada tempat kosong, main suka sahaja pindah. Tanpa kebenaran. Saya juga terkilan. Saya tidak panggil mereka. Saya panggil bos mereka. Saya arahkan arahan pentadbiran dikeluarkan. Tidak ada perpindahan lokasi boleh dibuat tanpa kebenaran.
Rupa-rupanya perasaan anak buah dan perasaan bos adalah berbeza, walaupun dalam perkara yang sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment