Labels

Friday, September 03, 2010

MINTA TUKAR


ADA kalanya apabila seseorang staf tidak berpuas hati, dia akan memohon untuk ditukarkan. Tidak puas hati di sini tersangat luas maksud dan difinisinya. Di antaranya termasuklah:-

1. Suami atau isteri bekerja jauh
2. Anak bersekolah jauh
3. Tidak ada pengasuh anak
4. Rakan sekerja tidak ngam atau sebulu
5. Penempatan kerja tidak sesuai
6. Ingin mencari pengalaman baru
7. Bos garang @ tidak perihatin
8. Ingin berkahwin dengan rakan sepejabat
9. Terlalu banyak kerja
10. Kerja tidak mencabar @ kurang kerja
11. Ingin menjaga @ berbakti kepada ibu-bapa
12. Sebab-sebab peribadi

Bos perlu tegas dalam soal ini. Jika diberi pilihan, semua orang ingin bekerja di pejabat yang paling hampir dengan rumah. Jika tidakpun, ofis di dalam rumah. Jawapan paling munasabah ialah berhentilah kerja dan bukalah ofis sendiri dalam bilik tidur.

Saya sendiri pernah bekerja di satu tempat yang mana pelbagai jenis "ancaman" saya terima. Di antaranya ialah:

1. Tidak pernah diberi peluang berkursus
2. Tidak berpeluang menaiki kapalterbang walaupun sekali
3. Terpaksa membuat kerja dari A hingga Z
4. Menerima laporan prestasi yang di bawah tahap par

Saya juga ingin bertukar keluar. Namun seorang rakan sekerja yang lebih junior, tetapi senior usianya menasihati saya. "Jika tuan rasa kerja di sini ada masalah, jika tuan bertukarpun, masalah itu akan ada juga di tempat baru. Masalah akan ikut tuan ke tempat baru. Sebabnya ialah masalah itu ada dalam kepala tuan. Ke mana sahaja tuan pergi, ia tetap akan ikut tuan. Saya nasihatkan tuan tinggalkan masalah dalam kepala tuan dahulu dan bekerjalah di sini".

Saya sangat menghargai nasihat sedemikian. Saya anggap tempat kerja saya tersebut adalah sebagai "universiti kedua" bagi saya. Saya bertahan selama enam tahun di sana. Saya kemudiannya ditukarkan ke luar kerana pengalaman dan pengetahuan saya dalam 'bidang tertentu' sangat diperlukan di sana. Beberapa bulan di sana saya telah diberikan peluang untuk berkursus di luar negara. Itulah pertama kali saya menaiki kapalterbang dan pertama kali saya keluar dari Malaysia.

No comments: