Labels

Sunday, July 18, 2004

WAWANCARA DENGAN DAMAHUM Vol II

[sambungan semalam]
WAWANCARA BERTULIS ABDULLATIP DENGAN SAUDARA DAMAHUM ADMINISTRATOR HAIKU.

* Sdra Abddullatip ialah Administrator Cerpenis

11. Haimarea dan Dipinggiran antara penulis Haiku yang paling aktif berkarya. Secara jujur, adakah mereka wujud di alam nyata?. Saudara kenal dan pernah bertemu dengan mereka?.

Sdr Haimarea kata dia kenal saya dan mengikuti perkembangan saya setiap hari. Wah …. Ini merisaukan saya!. Walau bagaimanapun saya boleh buat perumpamaan begini: Saya ada seorang kenalan di Jepun yang hendak sangat berjumpa dengan Yang Dipertuan Agong. Dia Tanya saya samada saya kenal Agong?. Saya jawab memang saya kenal, saya tahu di mana dia tinggal dan tahu serba sedikit mengenai aktiviti dia. Namun saya pasti Agong tidak mengenali saya ….
Saya pasti sdr Dipinggiran adalah wujud dan saya tahu di mana dia bekerja dan kami pernah utus mengutus mel mengenai beberapa perkara, khususnya mengenai haiku. Walau bagaimanapun kami belum pernah berjumpa (setakat berkirim salam tu adalah…).

12. Selain menulis haiku apakah saudara minat menulis yang lain?.

Minat menulis tu banyak, cuma bakat tidak ada. Pada masa ini saya menulis blog, boleh dikatakan pada setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Sekadar untuk suka-suka pada mulanya.

13. Apakah pandangan saudara mengenai penulis-penulis di komuniti esastera?. Dan apa nasihat saudara kepada mereka?.

Penulis di esastera ini mempunyai pelbagai latarbelakang, kecenderungan dan kebolehan. Ramai penulis berkaliber, ternama dan juga yang sekadar ingin mencuba (macam saya). Namun semua penulis di sini adalah celik IT, ia sesuatu yang memang patut dibanggakan. Namun ada penulis yang berterus terang mengenai identity mereka dan ada juga yang tidak memberikan apa-apa biodata.
Nasihat saya?. Saling hormat menghormati antara satu sama lain. Berkarya secara harmoni. Kadang-kadang kecoh juga ruangan sembang-sembang tu, yang paling aman setakat ini ialah komuniti haiku ;-)

14. Boleh saudara beritahu siapakah penulis Haiku yang terkenal di negera Jepun?. Di negara kita siapakah penulis Haiku yang terkenal?.

Boleh dikatakan semua peminat haiku mengenali haijin agung seperti Basho, Buson dan Issa. Saya tidak mengenali haijin terkini yang terkenal di Jepun. Haiku telah ditulis dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia dan Kelab Haiku telah ditubuhkan di merata dunia. Di antara haijin di liuar Jepun yang terkenal termasuklah Higginson, Reichhold dan Bruce Ross.
Haiku ini lebih kurang seperti pantun di Malaysia. Pantun yang baik yang seringkali disebut dan dibaca, namun kebanyakannya tidak diketahui penulis asalnya. Boleh saudara namakan pemantun yang terkenal di Malaysia?
Pada pendapat saya, haijin terkenal di Malaysia ialah Puan Azah Aziz iaitu isteri kepada Profesor DiRaja Ungku Aziz. Namun dia sudah jarang (tidak) menulis haiku lagi sekarang rasanya.

15. Kabarnya Haiku mendapat tempat yang baik di kalangan rakyat Jepun. Setakat yang saudara tahu apakah langkah-langkah yang mereka ambil untuk memelihara dan mempopularkan puisi tradisional mereka?.

Tidak semua rakyat Jepun menyukai haiku. Rakyat Malaysia juga tidak semuanya menyukai pantun. Namun haiku mendapat tempat di media cetak dan media elektronik di Jepun. Umpamanya terdapat banyak majalah yang mengkhusus dalam haiku di sana. Dalam TV juga kadang-kadang dibacakan haiku pada ketika-ketikanya.
Nampaknya haiku juga sangat diminati di luar Jepun. Haiku telah ditulis dalam pelbagai bahasa dan banyak kelab haiku ditubuhkan. Pertandingan dan pameran haiku juga kerab diadakan. Misalnya JAL ada menganjurkan pertandingan menulis haiku bagi kanak-kanak sekolah di seluruh dunia (termasuk Malaysia) sejak beberapa tahun yang lalu.
Jika dibandingkan dengan pantun, saya nampak haiku sudah berada jauh ke hadapan.

16. Boleh saudara ceritakan sejarah haiku di negara kita?. Dan apakah perkembangan terbaru Haiku setakat yang saudara tahu?.

Dulu-dulu memang ada ruangan haiku dalam akhbar mingguan, tetapi kini sudah tidak kelihatan lagi. Mungkin popularitinya sudah merosot. Setakat yang saya tahu hanya sebuah antologi haiku sahaja yang telah dicetak, iaitu oleh INTAN. Itupun lebih mirip kepada sajak-sajak pendik tiga baris (bukan haiku yang sebenar).

17.Sebagai Administrator Haiku , apakah usaha saudara untuk terus mengaktifkan komuniti tersebut?.

"Kalau ada padi, semua kerja menjadi". Angan-angan saya banyak. Misalnya saya ingin minta Siti Norhaliza bacakan beberapa buah haiku, divideokan dan dihantar ke stesen TV. Lepas tu saya berangan, ramailah peminat Siti mula main petik-=petik jari bilang 5-7-5. Wah pada masa tu satu Malaya dah gempak pasal haiku dan tasbih 5-7-5. Lepas tu kan…, ada pula pameran foto & haiku kat hotel ternama. Masa tu ramai betul pengunjung yang datang untuk menikmati keindahan haiku dan fotonya. Banyak kali jugalah saya dan Founder keluar masuk radio dan TV mengiringi Siti membicarakan tentang haiku. Sekali sekala Cikgu jeling-jeling jugaklah kat Founder. Kemudian kami buatkan pula pertandingan haiku seluruh Malaysia. Majlis pelancaran gilang gemilang ini dilancarkan oleh wanita pertama (eh..eh kan dia orang Jepun?). Majlis ini ditayangkan secara terus menerus dan penaja berlambak-lambak pada masa itu. Pemenang pertandingan ini kami bawa ke kem haiku kat Jepun selama seminggu. Kemudian hasil haiku Melayu ini kami bukukan dan sediakan dalam bentuk multimedia CD sekali, siap dengan suara deklamasinya. Masa tu dah ramai artis yang ingin mendeklamasi haiku.
Selepas saya berangan sedemikian, saya cuba buat beberapa perkara untuk merialisasikannya:-



Pertama saya buat kertas kerja untuk promosi haiku Melayu supaya ditaja oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA). Saya bentangkan kertas tersebut dan mendapat sokongan serta janji manis. Katanya permohonan tersebut telah dibawa ke Tokyo, namun tidak diluluskan (sebab saya minta banyak sangat). Saya kemudiannya diminta supaya mengubahsuai kertas tersebut supaya amaunnya boleh diluluskan di Kuala Lumpur sahaja. Akhirnya permohonan tersebut diluluskan secara lisan, namun sampai sekarang kelulusan bertulis belum diperolehi hinggalah wakil residennya telah pulang ke Tokyo. Khabarnya hingga sekarang beliau masih mengingati saya dan projek haiku saya ini.
Kedua saya menulis kepada Japan Airline (JAL) untuk memohon beberapa perkara dan kemudahan untuk membolehkan saya mempromosi haiku dalam bahasa Melayu di Malaysia. JAL memberikan sokongan dan galakan dan berjanji untuk memberikan segala kerjasama, kecuali wang. Kini saya telah hampir menyiapkan sebuah buku panduan mengajar haiku kepada kanak-kanak yang saya terjemah daripada penerbitan JAL. Oleh kerana ketiadaan wang, saya simpan dulu buku ini dan mungkin saya akan terbitkan sendiri di laman web sahaja.
Ketiga, saya juga ada menelefon sahabat saya yang bekerja di syarikat korporat untuk membodek beliau supaya mempengaruhi Siti Norhaliza membaca satu dua rangkap haiku bagi tujuan promosi secara percuma. Ini ialah kerana syarikat besar ini menaja Siti untuk menjadi jurucakap produk mereka sejak bertahun-tahun. Tapi saya dapat jawapan "eleh aku ni sapa, aku orang no.3 je dalam company ni, kalau no.1 tu bolehlah, susahlah nak buat cam gitu".
Keempat saya berhenti berangan-angan dan menghadapi kenyataan, itulah kenyataannya.

18. Di Komuniti Haiku ada penulis baru dan ada penulis veteran yang sama-sama berminat menulis Haiku. Apa nasihat saudara kepada mereka?.

Menulis haiku (yang baik) dalam bahasa Melayu ini susah. Namun belum cuba belum tahu, jadi cuba-cubalah menulis haiku, jangan segan jangan silu. Haiku adalah menulis perkara-perkara biasa dalam sudut yang berlainan. Usah terpengaruh dengan sajak yang puitis untuk menghasilkan haiku yang baik. Tulislah apa sahaja objek yang boleh dicapai oleh pancaindera, itulah haiku.

19. Kabarnya saudara pernah ke Jepun dan ke beberapa buah negara lain kerana urusan yang ada kaitan dengan Haiku. Boleh ceritakan?.

Sekali sekala adalah saya pergi melihat pameran haiku di luar negara. Kadangkala saya juga hadir ke kem haiku musim panas. Saya juga pernah berada dalam beberapa buah kelab haiku. Semuanya secara maya melalui Internet sahaja (jangan marah!).

20. Di Komuniti Haiku ramai penulis yang aktif menyiarkan karya antaranya Dipinggiran, Haimarea, Tomohiko dan beberapa orang lagi. Apa pandangan saudara mengenai karya yang mereka hasilkan?.

Dipinggiran hebat!. Saya cukup kagum dengan kebolehannya menghasilkan haiku dengan begitu banyak dan cepat sekali. Saya agak itu bukan karya asli Dipinggiran, tetapi haiku-haiku tersebut ditulis oleh Doremon yang menjadi teman Dipinggiran J Tema haiku Dipinggiran banyak menyentuh mengenai cinta dan perasaan.
Haimarea adalah seorang haijin yang peka kepada persekitaran dan isu-isu semasa. Haiku beliau dari pelbagai tema, khususnya mengenai isu-isu semasa yang masih hangat dibicarakan.
Tomohiko mempunyai pelbagai kelebihan ungtuk menulis haiku. Beliau tinggal dan berkeluarga di Jepun. Bahasa dan budaya Jepun sudah sebati dalam jiwanya. Beliau bukan sahaja boleh memahami haiku dalam bahasa asalnya, bahkan mengerti akan ‘roh’ sesebuah haiku. Lantaran itu, karya-karya beliau nampak terlalu berhati-hati supaya tidak tergelincir dari garis panduan haiku tradisional. Struktur bahasa Melayu mungkin jadi penghalang kepada Tomohiko untuk berhaiku seadanya.

21. Soalan terakhir. pada pendapat saya Haiku masih kurang diminati oleh rakyat Malaysia. Pada pendapat saudara apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempopularkannya?.

Andaikata angan-angan saya di atas tadi tu boleh direalisasikan, saya percaya haiku akan popular di sini. "Kalau ada beras, semua kerja jadi deras".

Terima kasih kerana sudi menjawab secara jujur dan berterus terang. Maaf jika ada terkasar bahasa. Sekian.
Pertama saya mengucapkan terima kasih kerana memilih untuk diwawancara. Kedua minta maaf berbanyak-banyak kerana agak leka dan makna dalam menjawab wawancara ini. Juga berbanyak maaf sekiranya ada jawapan yang saya diberikan menyentuh sesiapa secara sedar mahupun tidak.
Sekali lagi saya memohon maaf kerana mengemukakan soalan- soalan sensasi dan boleh menimbulkan kontroversi.



abdullatip
14.7.2004.

No comments: