Labels

Friday, July 09, 2004

BEBAN KERJA




siang dan malam
kertas kerja bertimbun
oh! beban kerja

TERLALU jarang kita jumpa staf yang bekerja makan gaji yang berkata mereka kekurangan kerja. Kebanyakan pekerja akan bersungut pasal beban kerja yang bertambah (dan gaji yang tidak mencukupi). Biasanya jika ada kerja baru yang perlu disiapkan dan perlu diagih-agihkan, semua akan menolak dengan pelbagai sebab. Alasan paling lumrah ialah beban kerja yang sudah banyak, tidak cukup staf dan seribu satu lagi.Pernahkah seseorang ketua didatangi oleh pekerjanya yang meminta kerja lebih? Rasa-rasanya terlalu jarang.

Sambil merayau-rayau mencari idea untuk menulis, mba terjumpa dengan satu nama yang pernah dikenali, iaitu anak buah semasa di sebuah jabatan pada tahun 80-an dulu. Semasa mba keluar dari jabatan tersebut, dia juga keluar kerana mendapat jawatan lain. Namun khabarnya dia resign lagi sebab tidak suka jadi penyelia. Terakhir mba jumpa dia ialah di sebuah surau di luar negara semasa diadakan satu sesi usrah keluarga di sana. Tiba-tiba saja dia terjongol di depan dan bertanya "masih kenal saya tak?". Oh... "one and the only!". Itulah nama jolokan dan moto yang beliau gunakan pada masa tersebut yang mba masih ingat (nama lupa pada masa tu). Beliau agak lain dari yang lain. Kerjanya terlalu cepat dan setiap hari akan datang menemui saya meminta kerja baru. Kerja-kerja (programming) yang rasanya agak sukar diberikan kepada beliau akan dibereskan dalam masa yang singkat sahaja dan dia akan minta lagi kerja. "kerja.. kerja...kerja, saya mahu kerja lagi". Kadang-kadang sebagai penyelia beliau, kita termenung mencarikan kerja untuk diserahkan kepadanya.

Rupa-rupanya dia telah menjadi ketua jabatan di sebuah universiti terkemuka di sini dan telah bergelar Dr. Itulah dia "Ruk, One and the Only".

No comments: