Labels

Tuesday, July 06, 2004

PENYELENGGARAAN ATAU PENYENGGARAAN


Berita akhbar: Makmal sekolah meletup, 20 pelajar cedera, 5 parah
Kenyataan pihak berkuasa: Makmal ini tidak selamat digunakan dan tidak pernah diperiksa semenjak 22 tahun yang lalu.

Berita akhbar: Kebakaran flat. Tiga sekeluarga terkorban. Orang ramai tidak dapat berbuat apa-apa kerana hos bomba tidak berfungsi
Kenyataan pihak berkuasa: Pihak berkuasa tempatan diarahkan menyediakan hos bomba di setiap tingkat flat mereka.

Berita akhbar: Bas masuk gaung dipercayai brek tidak berfungsi. Tiga maut.
Kenyataan pihak tertentu: Bas tersebut telah lulus pemeriksaan berkala.




mengelap lantai
berbakti pada kayu
mencuci hati

HUJUNG minggu lepas secara kebetulan saya melihat api menyambar talian elektrik serta asap yang tidak begitu besar di rumah jiran kira-kira empat buah rumah daripada rumah saya. Secara kebetulan juga, beberapa minit selepas itu pembaca meter Tenaga Nasional (TEN) datang dan saya terus melaporkan perkara tersebut kepada beliau dan dia berjanji untuk memaklumkannya kepada pejabatnya. Kemudian bersama seorang jiran lain, kami memaklumkannya kepada tuan rumah. Keesokannya saya perhatikan talian elektrik (input dari tiang ke rumah) telah diperbaharui oleh TEN. Dimaklumkan pendawaian tersebut tidak pernah diperiksa semenjak ia dipasang berpuluh tahun dahulu. Berapa kerap pula kita memanggil juru elektrik memeriksa pendawaian di rumah kita?.

PADA kebiasaannya kita hanya menyelenggara barang baru ataupun apabila telah 'mendengar' kerosakannya. Contohnya kereta baru, keraplah kita hantar untuk diselenggara mengikut jadual tertentu. Apabila kereta tersebut sudah berusia dan telah tamat tempoh jaminan maka proses penyelenggaraan akan menjadi jarang-jarang dan kemudiannya menjadi kadang-kadang. Samada kereta baru atau kereta lama, pernahkah kita hantar untuk pemeriksaan di Puspakom misalnya?.

TERINGAT masa dulu-dulu, ya puluhan tahun dulu semasa berkursus di negara matahari terbit. Setiap musim kami 'dipaksa' meninggalkan asrama dengan diberikan tiket percuma ataupun tambang percuma untuk melancong ke destinasi terpilih di sekitar pulau Okinawa. Pada masa tersebut tidak seorangpun dibenarkan tinggal di asrama. Rupa-rupanya belbagai pasukan penyelenggaraan bangunan akan datang membuat pelbagai pemeriksaan. Ada yang memeriksa pendawaian, ada yang memeriksa paip air & gas, ada yang memeriksa tandas, ada yang memeriksa lif dan ada yang memeriksa bilik-bilik kami. Undang-undang menyatakan tidak boleh memasak di asrama dan pada masa inilah periuk dan peralatan memasak akan dirampas. Pemeriksaan dan penyelenggaraan bersepadu ini dilakukan secara berkala pada setiap musim. Bangunan manakah di negara kita yang melalui proses sedemikian?




Mari belajar bahasa: Dulu saya menggunakan penyelenggaraan, kemudian terikut-ikut menggunakan penyenggaraan. Mana satu yang betul? Penyelenggaraan berasal dari kata selenggara yang bermaksud menguruskan dan mengerjakan, mengelolakan, mengusahakan. Penyenggaraan berasal dari kata senggara yang bererti mengurus, mengendali. Sama erti?.

No comments: