Labels

Monday, July 12, 2004

SLANGA DAN SEMANGAT KEDAERAHAN




mulut nan manis
bikin hati gelisah
bahasa slanga

SEJAK akhir-akhir ini kita dapati terlalu ramai jurucakap di negara kita ini. Pelbagai isu dan bukan isu dibawa dan dikupas. Jika misalnya PM membicarakan satu isu, maka isu tersebut akan menjadi tajuk utama dan diberikan liputan utama. Namun ulasan dan sokongan terhadap isu tersebut oleh tokoh lain nampaknya akan dibuat secara panjang lebar, siap dengan temuramah lagi. Akhirnya bukan isu yang diberitakan, tetapi tokohnya yang ditonjolkan. Kita juga boleh perhatikan sejak akhir-akhir ini ada tokoh-tokoh yang mesti keluar dalam berita (radio dan TV) pada setiap hari. Setiap kali berita, mesti ada dia berkata sesuatu, samada isu atau bukan isu, samada baru ataupun telah basi. Fenomena ini adalah kerana pertandingan dan pemilihan UMYES akan dan sedang berlangsung sekarang, maka penampilan dalam media masa adalah diperlukan.

Dalam membicarakan isu bahasa SMS yang digunakan oleh muda-mudi misalnya, ramailah tokoh dan bukan tokoh yang risau ia akan merosakkan bahasa. Umum juga telah mengetahui bahawa akhbar juga menggunakan bahasa yang salah dan tidak boleh dibuat pedoman. Kini sudah tentu blog juga sedemikian. Apa yang menarik perhatian saya ialah, tokoh yang menegur kesalahan bahasa SMS ini juga menggunakan bahasa yang salah. “Bahasa SMS ini tak betoi, nanti habih ghosak bahasa kita”. Kalau cakap betulpun dah tak betoi, dan keretapun disebut kheta macamana orang nak ikut?. Dahlah begitu, berita siap diulang tayang siap dengan gambar dan suara yang tak betoi tu ke seluruh negara, macamana ia nak betul?. Bapak ketam dah mengajar anak-anaknya berjalan tak betoi.

Mengapakah perkara ini boleh dibiarkan begitu sahaja malahan mendapat liputan berita secara besar-besaran? Seseorang tokoh yang tidak tahu bercakap dengan betul, tidak perlu diangkat sebagai tokoh. Jikapun dijadikan tokoh, dia tidak layak untuk bercakap, memadai dengan beri arahan bertulis sahaja ataupun gunakan jurucakap sahaja. Kita risau kesalahan bahasa akan bertambah-tambah parah bila ada tokoh-tokoh yang dengan sengaja menggunakan slanga begini diberikan tempat dalam media elektronik. Sememangnya ada tokoh kita yang bercakap “Oleh kerana pemuda-pemuda kita suka menghisap dada(h), maka saya menyerulah supaya pemudi-pemudi kita menderma dara(h)”.Ini saya rasa bukan disengajakan, sudah memang slanga dia begitu dan memang sukar untuk diatasi, lagipun BM bukanlah bahasa ibundanya.

Saya tidak pernah mendengar adanya menteri dari pantai timur yang dengan sengajanya bersyarah menggunakan slanga mereka. Sebaliknya kalau yang dari utara (tidak semua) memang sengaja mencari perkataan-perkataan slanga daerah mereka untuk dicakapkan. Mengapa?. Mungkinkah kerana nak tarik perhatian PM yang dari utara?.



No comments: