Labels

Saturday, July 17, 2004

WAWANCARA DENGAN DAMAHUM Vol I

WAWANCARA BERTULIS ABDULLATIP DENGAN SAUDARA DAMAHUM ADMINISTRATOR HAIKU.

1.Assalamualaikum dan terima kasih kerana sudi diwawancara. Boleh beritahu nama sebenar saudara, lahir di mana dan ceritakan sedikit latar belakang keluarga saudara?.

Waalaikumsalam dan terima kasih kerana sudi mewawancara saya. Apa ada pada nama?. Kawan-kawan panggil saya MBA. [selebihnya telah disensor]

2. Saudara lebih sinonim dengan HAIKU. Boleh ceritakan sejak bila saudara berminat dengan puisi dari negeri Matahari terbit itu?.

Jika tidak silap, mula-mula sekali saya membaca haiku Melayu pada tahun 1976 yang diterbitkan dalam sebuah majalah. Pada 1989 saya berkursus di Jepun, pada masa itu bahan bacaan yang boleh saya fahami amat terhad. Apabila terjumpa dengan haiku dalam bahasa Inggeris, saya baca dan memberitahu rakan-rakan dari negara lain dan juga pensyarah serta koordinator dari Jepun. Apabila mereka nampak saya berminat, apabila terjumpa lagi haiku, mereka maklumkan atau berikan pada saya. Dari situ saya mula meminati haiku.

3.Bagaimana bermulanya penyertaan saudara dengan esastera dan apakah pandangan saudara mengenai laman web ini?.

Sebenarnya saya tidak ingat bagaimana saya bermula dengan esastera. Walau bagaimanapun jika tidak silap, ia bermula semenjak awal 2003 (berdasarkan mesej pertama yang mengalu-alukan saya ialah pada 2 Jan 2003). Sejak dari tarikh itu saya agak "ketagih" dengan laman ini di mana setiap hari saya pasti melawatnya.Pada pandangan saya, laman web ini adalah bagus, unik dan berkualiti. Semoga ia akan terus menempa kejayaan demi kejayaan.

4. Pertama kali kita bertemu pada malam HESCOM.2003 dan saudara ditemani oleh isteri. Boleh beritahu nama isteri dan anak-anak saudara?. Adakah mereka juga minat dengan haiku?.

Isteri saya seorang perempuan ….. namanya Puteri dan kami mempunyai enam (6) anak lelaki. Tidak seorangpun yang berminat dengan haiku walaupun tiga orang anak saya pernah tinggal di Jepun dalam program homestay dan mempunyai keluarga angkat di sana.

5. Baru-baru ini saudara masuk atau dimasukkan ke hospital kemudian keluar atau dikeluarkan. Apakah kerana tugas atau penyakit. Boleh ceritakan?.

Saya dimasukkan ke hospital untuk menjaga doktor dan jururawat. Ya… lah, doktor kena jaga pesakit, saya kena pastikan yang doktor mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk merawat pesakit. Saya ditugaskan untuk mengetuai jabatan IT di hospital tersebut.

6. Boleh beritahu kami saudara pernah belajar di mana dan apa pekerjaan saudara?.

Saya belajar dari sekolah rendah hingga ke universiti bagi ijazah pertama dalam bahasa Melayu. Setelah lulus dari UKM (Jalan Pantai Baru) dalam bidang sains, saya bekerja di Jabatan Telekom (kini Telekom Malaysia) sebagai Penolong Pengawal Telekom. Lepas tu saya lepaskan jawatan dan belajar di INTAN untuk diploma lepasan ijazah. Bermula dari situ saya dilantik sebagai Juruanalisa Sistem (kini PSM – Pegawai Sistem Maklumat) dalam Perkhidmatan Gunasama Kerajaan Malaysia. Ketua Perkhidmatan saya ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Saya telah berkhidmat di beberapa jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Akauntan Negara (JAN) dan Hospital Selayang (HS). Kini saya baru sahaja ditukarkan ke sebuah kementerian. Sepanjang perkhidmatan, saya sempatlah belajar lagi. Di antaranya di Okinawa, Jepun dalam bidang kejuruteraan sistem dan Pengurusan Prosesan Data. Di Tokyo dalam teknologi persidangan video. Di USA dalam bidang Quality Assurance dan saya buat Sarjana IT di Leeds, UK.

7. Saudara dilantik menjadi Administrator Haiku. Apakah saudara telah berjaya menarik minat ahli-ahli esastera kepada puisi Jepun ini?.

Haiku adalah seni sastera yang ketat terikat dengan hukum dan peraturan. Ahli-ahli sastera dan esastera pula saya rasa adalah insan seni yang memerlukan kebebasan dalam berkarya mengikut daya cipta dan imaginasi mereka. Jadi, pada agakan saya mungkin tidak ramai ahli esastera yang berminat untuk ke komuniti haiku untuk berkarya, kecuali bagi yang ingin mencuba genre baru. Walau bagaimanapun saya fikir saya mungkin telah berjaya menarik minat rakan-rakan siber lain dari blog dan melayu.com misalnya kepada haiku. Saya cuba mempromosi haiku kepada mereka dan saya kira ramai haijin (penulis haiku) baru dari golongan ini. Saya juga telah dilantik sebagai administrator haiku di melayu.com

8. Kabarnya saudara berkawan rapat dengan Sri Diah yang juga salah seorang ahli esastera dan peminat Haiku. Boleh saudara ceritakan sedikit mengenai dirinya?.

Saya mengenali Sri Diah melalui esastera dan pertama kali berjumpa dengannya semasa jamuan makan malam alumni JICA [tambah kemudian: suaminya dan isteri saya juga hadir dalam majlis ini, kami duduk semeja tapi lain-lain kerusi]yang turut dihadiri oleh sdr drirwan dan cikgu Hasimah. Oleh kerana dia adalah penulis novel popular yang terkenal, maka saya acah-acah dia ajak berduet menulis novel dengan saya. Saya sedar yang tulisan dan gaya bahasa saya saya macam budak tak lepas SPM sahaja, tetapi konsep berduet yang saya majukan tersebut dipersetujui. Dari situ kami buat novel bersiri dalam blog berjudul "Jangan Ada Dendam" Ramai jugalah pembaca e-novel tersebut (peminat Sri Diah sebenarnya).Sebelum itu saya buatkan blog untuk dia. Malahan ramai lagi kawan-kawan yang saya kenal dan tidak dikenali di alam nyata, yang saya tolong buatkan blog. Saja suka-suka.

9. Kenapa saudara lama menyepi dari esastera?. Selain dari masuk hospital mungkinkah ada sebab-sebab yang lain?.

Susah saya nak jawab soalan ini dengan tepat. Namun ia bagaikan "hangat-hangat air suam, lama-lama ia akan dingin …". Itulah saya. Saya mengendalikan pelbagai laman dan mailing-list di dalam dan luar negara. Ada kalanya bila sesebuah laman sudah maju, saya ‘berehat’ seketika dan ada kalanya juga bila ia kurang mendapat sambutan, juga saya berehat.Mengenai esastera, mungkin ketiadaan idea untuk menulis kot, tetapi saya tetap juga membaca sekali sekala terutamanya karya-karya dari penyair yang saya minati. Mungkin juga "kesibukan" dengan blog ( http://mba2u.blogspot.com ) yang menambahkan lagi sepinya saya kat esastera. Tapi sat lagi saya boring pulak dengan blog dan cari perkara baru pulak. Itulah saya ….

10. Maaf kerana soalan ini agak sensitif namun saya terpaksa juga menanyakannya demi untuk kebaikan kita bersama khasnya esastera. Ada ahli esastera berkata antara sebab mereka tidak aktif di komuniti Haiku kerana sikap dan layanan saudara terhadap mereka. Maksudnya begini, saudara lebih memberi tumpuan dan perhatian kepada kenalan saudara dari Jepun atau mereka yang menyertai blogger saudara sahaja. Kehadiran orang lain seolah tidak dipedulikan. Sebagai Administrator saudara sepatutnya memberi layanan yang sama. Saya sendiri pernah terfikir, saya telah menyiarkan lebih 70 buah Haiku namun tak ada sebuah pun yang pernah saudara komen apatahlagi untuk mengulasnya?. Apa komen saudara?.

Wah panjangnya soalan!. Jika begitu anggapan ahli esastera, mungkin juga ia betul atau secara kebetulan. Sebenarnya yang dikatakan kenalan saya itupun tidak ramai yang pernah saya jumpa. Saya hanya kenal dalam internet sahaja. Bila mereka tegur saya, saya tegur balik. Bila mereka usik saya, saya balas semula. Bagi yang baru berjinak-jinak dengan haiku, saya beranilah buat teguran atau ulasan depan umum. Bagi yang lain atau nampak sangat kesilapannya, biasanya saya utuskan mel peribadi. (Sepatutnya bagi tujuan rekod dan bukti, saya patut cc kepada Founder)Seperkara lagi, komuniti haiku atau esastera ini adalah milik bersama, sesiapa sahaja boleh beri teguran, ulasan atau layanan. Saya lihat ramai ahli lain yang berbuat begitu.Mengenai haiku saudara, entah mengapa tidak pula diulas. Namun ada yang terpilih dalam "Haiku Hari Ini" kan!. Lagipun haiku sdra. Sudah mantap dan tepat, jadi saya tak tahu apa yang hendak dikomen atau diulas. Bukankah komen dan ulasan itu untuk motivasi?
 
[bersambung]

No comments: