Labels

Monday, August 02, 2004

PTK DIMANSUHKAN

Sila lawat CUEPACS untuk menyatakan suara hati mengenai PTK.
Berita Penuh dari Utusan:-
Cuepacs gesa kerajaan mansuhkan peperiksaan PTKKUALA LUMPUR 1 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mengambil keputusan menggesa kerajaan memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kerana tidak berfungsi dengan baik dan mempunyai banyak kelemahan sehingga merugikan kakitangan awam.

Keputusan tersebut dicapai oleh 120 ahli gabungan kongres itu pada mesyuarat khas mereka di sini khusus membincangkan isu PTK yang diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada tahun lalu.

Presidennya, Nordin Abdul Hamid berkata, sehubungan itu, Cuepacs akan mengadakan perhimpunan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pelaksanaan PTK di Stadium TPCA, Jalan Raja Musa di sini pada 5 September depan.

Beliau berkata, keputusan mesyuarat khas kongres itu juga akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan dengan Cuepacs pada 12 Ogos ini.

Nordin berkata, satu daripada kelemahan sistem peperiksaan itu ialah ramai kakitangan awam yang menduduki peperiksaan PTK pada tahun lepas masih belum menerima keputusan mereka.

Katanya, perkara itu telah menjejaskan peluang mereka untuk naik pangkat dan kenaikan gaji.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu, beliau berkata:

``Walaupun PTK diwujudkan untuk membangunkan serta menjayakan kerjaya anggota sektor awam namun ia gagal mencapai matlamatnya kerana hanya menilai aspek di luar kemahiran seseorang kakitangan.''

Nordin turut melahirkan kekecewaan kerana surat yang dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 7 Mei lalu berhubung isu itu sehingga kini belum menerima maklum balas.

``Dalam surat itu, kita hanya mahu tahu kadar peratusan yang lulus di peringkat kementerian dalam pelaksanaan PTK. Ini kerana di mana-mana saya pergi sekarang, kakitangan rendah mahupun pegawai tinggi mahu PTK dimansuhkan.

``Isu PTK telah melemahkan semangat pekerja sektor awam,'' katanya.

Pelaksanaan PTK diperkenalkan sebagai syarat anjakan gaji dan kenaikan pangkat di bawah SSM, tetapi menjadi isu apabila hanya 0.9 peratus daripada 130,000 guru lulus ujian berkenaan yang diadakan buat pertama kali tahun lalu.

PTK meletakkan 80 peratus markah sebagai paras lulus.

Bagaimanapun agensi dan kementerian lain belum mengumumkan keputusan masing-masing.

Isu berkenaan juga mendapat perhatian Perdana Menteri pada 21 Mei lalu yang mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri segera berunding dengan Cuepacs bagi menyelesaikan isu tersebut.

Dalam pada itu, Nordin memberitahu, kakitangan awam boleh juga melayari laman web www.cuepacs.org.my untuk menyatakan suara hati mereka terhadap PTK.

No comments: