Labels

Monday, November 01, 2004

RAYA


Di pagi hari raya, cuaca nyaman sekali. Takbir raya berkumandang di corong radio dan TV. Budak-budak dengan baju raya dengan gembiranya beraya dari rumah ke rumah. Walaupun dihidang dengan kuih raya, namun mereka hanya berminat dengan duit raya sahaja. Di jalan raya tidak banyak kenderaan, Cuma sesekali kelihatan kapalterbang melintas di angkasa raya.

Selepas sembahyang raya, aku memulakan perjalanan raya dari Serdang Raya menuju ke Petaling Jaya dan berhasrat untuk singgah di Cyberjaya dan Putrajaya. Perjalanan hanya dalam beberapa minit sahaja sekiranya melalui lebuh raya. Namun kami mengambil keputusan untuk melalui jalan tol Besraya. Oleh itu terpaksalah memasuki bandar raya terlebih dahulu. Jalan dari Pudu Raya ke Dewan Bandaraya menampakkan ramai juga pendatang Bangla yang tidak pulang dan mereka ini beraya sakan, mungkin masih raya H**du lagi agaknya.

Walaupun pada tahun ini aku tidak banyak menerima kad raya, namun agak terhibur juga kerana banyak lagu raya yang evergreen dimainkan di radio. Kuih raya pula kebanyakannya aku beli di pasar raya kerana ia adalah lebih murah berbanding dengan yang ditempah.

….. Penat beraya, aku tertidur di perdu pokok bunga raya berhampiran dengan poster pilihan raya dan telah bermimpi didatangi oleh …… h*ntu raya ;-)
UPDATE
imie tanya: menteri kerja raya tak masuk ke?

Di sebelah petang hari raya, ramai orang kampung berkumpul di balai raya, sambil bincang-bincang masalah Siti Raya yang diserang penyakit ganjil, ia diselang seli juga dengan telatah menteri Kerja Raya.

No comments: