Labels

Friday, October 31, 2003

mesyuarat

MESYUARAT

Dalam dunia pekerjaan, kita kerap benar bermesyuarat. Pagi mesyuarat, petang mesyuarat. Bagi sesetengah bos, jika tak mesyuarat maknanya tidak kerja, walhal bagi anak buah bila mesyuarat, sudah tentu tidak boleh buat kerja dan kerja yang sepatutnya disiapkan terpaksa dilakukan di luar waktu pejabat, di rumah misalnya. Adapun ada juga jenis anak buah yang suka mesyuarat, sebabnya setiap kali mesyuarat, dapat makan free dan jenis yang ini hadir mesyuarat untuk makan sahaja. Dalam mesyuarat, sepatah haram pun tak cakap. Di luar mesyuarat barulah pet-pot pet-pot.

Kehadiran mesyuarat juga akan bergantung kepada siapa yang akan mempengerusikan mesyuarat. Jika general yang jadi pengerusi maka semua jemputan akan hadir dan tidak akan diwakilkan, Jika kolonel jadi pengerusi, maka setakat Mejar sahajalah yang akan jadi wakil turut hadir. Kalau dibaginya Kapten yadi pengerusi, mungkin akan dihantarnya Cuma Sarjan sahajalah. Politik mesyuarat pula biasanya jika nak sesuatu resolusi tu diluluskan, pembawa resolusi akan melobi pengerusi terlebih dahulu sebelum mesyuarat dan bila pengerusi dan setuju mengenai duduk perkara, maka susahlah tangkisan hendak dibuat. Andaikata memang tak sempat nak pergi lobi, atau memang dah tahu pengerusi tidak akan setuju, maka bolehlah melobi pihak lain. Dalam mesyuarat akan berkobar-kobarlah mempertahankan hujah. Andaikata mesyuarat menolak usul tersebut, maka jalan terakhir ialah dengan ‘berpakat’ dengan setiausaha mesyuarat supaya menulis minit dengan agak lembut sedikit. Misalnya ‘mesyuarat meminta supaya perkara ini dikaji semula’ atau ‘perkara ini perlu dibawa ke mesyuarat jawatankuasa terlebih dahulu’ dan sebagainya. Jadi harapan untuk bawa lagi isu tersebut masih cerah (mudah-mudahan pengerusi bertukar…).

Pada kebiasaannya juga, jika pengerusi orang teknikal, maka susahlah hadirin nak faham apa yang dibincangkan, bantai setuju sajalah. Sebaliknya jika pengerusi dari pengurusan (M), biasanya lebih mudah difahami walaupun usulnya adalah kompleks dan mesyuarat tidak akan berjela-jela tanpa keputusan jadinya.

Dalam mesyuarat ini juga, teori 20:80 berlaku. Iaitu 20% hadirin bercakap mengenai 80% perkara dan 80% masa dihabiskan untuk bincang 20% agenda mesyuarat.

Masa tengah busi dulu, mba pernahlah hadir 5 mesyuarat dalam sehari… dunia ni rasanya tak ada apa, kecuali mesyuarat saja. Kini sekadar sekali sehari dan 2-3 kali seminggu kena jadi pengerusi (yang kadang-kadang tak tahu apa yang dimesyuaratkan)

--- mesyuarat ---
perundingan (utk membincangkan sesuatu, atau mencapai sesuatu keputusan), pembicaraan, rapat,

-- kamus dewan

Thursday, October 30, 2003

BIDANG ICT YANG DICEMBURUI

BIDANG ICT YANG DICEMBURUI

Dalam dunia pekerjaan, mungkin bidang ICT adalah yang paling dicemburui. Setiap pekerja dikehendaki boleh mengguna dan menguasai bidang tersebut mengikut tahap masing-masing. Dalam menggunakan aplikasi automasi pejabat seperti word, excell, powerpoint dan sebagainya semua staf sudah sememangnya perlu mahir dan tidak perlu lagi mengharapkan pihak ketiga untuk menguruskannya. Begitu juga dengan aplikasi-aplikasi kecil untuk kegunaan sendiri di pejabat atau di rumah. Ia sudah tentu boleh dibangunkan sendiri oleh sesiapa sahaja yang mempunyai serba sedikit pengetahuan mengenai ICT. Pakar ICT tidak diperlukan dalam hal ini.

Pendekatan ini samalah seperti jika kita sakit-demam-selsema yang sikit-sikit, kita boleh sahaja ke farmasi beli ubat yang dah biasa ataupun main tampal-tampal sahaja dengan apa-apa daun mengikut perubatan tradisional. Tidak menjadi salahnya sekadar untuk menyembuhkan penyakit sendiri yang ringan-ringan. Namun untuk mengubati orang lain (atau diri sendiri yang melibatkan pembedahan dan sebagainya), seseorang ‘doktor’ perlulah mendapat lesen dari pihak berkuasa. Begitu juga dalam mengajar. Setakat nak ajar anak baca A-B-C, bolehlah dibuat sendiri, namuin untuk mengajar di kelas, seseorang perlu mendapat lesen daripada KPM, jika tidak nahas….

Berbalik kepada ICT, nampaknya tidak ada satupun penguatkuasaan. Sesiapa sahaja boleh bangunkan sistem, rekabentuk rangkaian, merancang benteng keselamatan dan sebagainya. Bukan setakat untuk kegunaan sendiri, tetapi untuk dijual dan digunakan oleh orang awam yang berurusan dengan pelbagai peringkat kegunaan di seluruh dunia. Tanda aras bagi produk bagini hanyalah mungkin bagus ke?. Mesra pengguna?. Senang pakai?. Dan… murah harganya?. Cuba bayangkan anologi kita ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Perkhidmatan yang diberikan oleh doktor tersebut … bagus, serasi, mesra dan murah …. Namun beliau tidak berdaftar dengan MMA (tiada lesen). Maka beliau boleh didakwa dan disabitkan kesalahannya walaupun perkhidmatannya jauh lebih “bagus” berbanding dengan doktor berdaftar. Oh…. Doktor melibatkan nyawa, sebab itu peraturan perlu diperketatkan, ICT tak perlu, ia masih baru. Macamana dengan akauntan pulak?. Cikgu? Jurutera? . Bidang ICT sebenarnya meliputi semua yang tersebut dan lebih lagi. Namun sesiapapun boleh menjualbeli nyawa & hartabenda ini tanpa penguatkuasaan yang berpatutan…

INAI





 BERINAI


berinai kecil
rasmikan pertunangan
merah di pipi


berinai besar
rasmikan perkahwinan
merah di hati


berinai rambut
rasmikan kematangan
memburu uban


 

 buat inaibak yg baru merasmikan blog inainya

Wednesday, October 29, 2003

SIAPAKAH ENGINEER?

SIAPAKAH ENGINEER?

Sejak akhir-akhir ini ramai sangat rasanya orang yang mengaku diri mereka sebagai engineer atau jurutera, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT). Jurutera sistem, jurutera rangkaian, jurutera pengkalan data, jurutera itu, jurutera ini. Mungkin depa ni semuanya lulusan computer engineering kot :-D. Walau bagaimanapun mungkin tak ramai yang tahu bahawasanya tidak semua lulusan kejuruteraan (tradisional) seperti awam, jentera, mekanikal, elektrik dan sebagainya yang layak dan boleh bergelar jurutera. Hanya yang lulus peperiksaan dan temuduga serta mempunyai pengalaman kerja dan di bawah pengawasan jurutera profesional sahaja yang layak bergelar engineer dan boleh memakai “Ir.” Di depan nama mereka. Kata bos saya dulu (seorang Ir), “Ir.” Adalah dari kata ingeniur dalam bahasa Perancis yang bermaksud orang bijak pandai. Rasa-rasanya bidang kejurtuteraan baru seperti teknologi maklumat masih lagi belum diikitiraf sebagai Ir. Oleh Institut Jurutera Malaysia (IEM) dan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM). Apatah lagi jika mereka ini hanyalah lulusan yang tidak setaraf dan hanya bekerja dengan diberikan jawatan sedemikian.

Sama seperti doktor yang boleh memakai gelaran “Dr.” ialah yang berdaftar dengan MMA dan telah menamatkan housemanship dengan jayanya. Selain dari itu adalah ‘doktor palsu’ (kecuali bagi orang yang mendapat ijazah PhD). Mengapa ya… ijazah PhD diberikan gelaran Dr. dan bukannya Ir. (orang bijak pandai?) atau suatu gelaran lain seperti “munsyi” dan sebagainya?. Bagi sesetengah ‘engineer’ dalam IT ini, sebenarnya cuma bertaraf juruteknik, iaitu untuk diagnosis dan membaiki beberapa perkakasan komputer. Jika ‘juruteknik’ sudah mengaku ‘jurutera’, maka samalah halnya dengan ‘cashier’ yang mangaku ‘akauntan’ ;-)

---- ilmu hari ini -----

JURUTERA
Orang yg terlatih dalam mereka, membuat dan menggunakan I(menjaga) jentera atau terlatih dalam mana2 cabang kejuruteraan.
KEJURUTERAAN
Kepandaian atau perbuatan mereka atau membuat jentera (jambatan dll)

Tuesday, October 28, 2003

PENGARAH YANG KECUNDANG …


PENGARAH YANG KECUNDANG …
Jangan Ada Dusta Versi Lelaki - Siri 14
Baca siri 13 di http://sridiah2u.blogspot.com


Sebenarnya aku ingin menjadi seorang pengarah. Setelah kecundang menjadi pengarah di pejabat, aku berhasrat untuk menjadi pengarah di rumah sahaja. Mengarah sebuah drama swasta keluarga bahagia. Untung-untung jika ada anugerah bapa mithali atau suami mithali, maka aku adalah salah seorang daripada calon-calonnya. Namun oleh kerana pelakon-pelakonku semuanya demand dan berlakon mengikut skrip sendiri sahaja saban hari, jadi mengapa tidak aku pula berlakon sendiri dalam skrip yang aku tulis dalam drama yang aku arahkan sendiri.

Sebenar Saerah, orang gaji kami dibersarakan lima tahun lalu secara kebetulan dia ingin berkahwin dan kami sekeluarga pula ingin ke UK selama setahun kerana dia dianugerahkan biasiswa oleh British Council untuk membuat sarjana dalam bidang penulisan di University of Leeds. Sementara anak-anak dapat merasa bersekolah di sana, aku pula mengambil cuti tanpa gaji untuk menjadi ‘sura’ rumah tangga sepenuh masa. Jadi boleh dikatakan asas-asas lakonan ini telah aku pelajari selama setahun menetap di bumi orang putih itu.

Aku sebenarnya amat terkilan dengan JPA yang tidak mahu meluluskan pinjaman pelajaranku walaupun aku juga telah mendapat tempat untuk belajar di sana. Aku bukannya memohon biasiswa, cuma pinjaman yang akan dibayar balik kemudiannya. Alasan kukuh JPA ialah umurku telah melebihi dari syarat kelayakan. Walhal untuk dikirakan logik akal, aku masih mampu untuk melunaskan segala pinjaman tersebut sebelum usia bersara.

Kembali kepada dunia lakonan, setakat berlakon sebagai suami yang penyayang, suami yang romantik, bapa yang alim dan yang sewaktu dengannya sememangnya tidak menjadi persoalan kerana ia sememangnya lumrah dan naluri aku sendiri. Anak yang dibesarkan oleh datuk dan nenek di zaman kecilnya sememangnya begini. Jadi sempena dengan hari pertama Ramadhan ini, awal-awal lagi aku ke dapur menyiapkan juadah bersahur untuk kami sekeluarga. Cuma nasi goreng resepi Mak Siti beserta sup perencah adabi. Itulah makanan kegemaran anak-anak kami sewaktu bersahur. Yalah pada jam 4-5 pagi, makanpun sambil memejam mata. Jika masakan lain tentu mereka akan meminum air sahaja untuk bersahur. Setelah selesai semuanya, menggerakkan dia untuk bersahur dahulu berdua dan dalam agak terpinga-pinga dan mamai, dia nonong saja ke dapur dan kami bersahur bersama dalam keadaan yang begitu romantik. Romantik kerana kami hanya makan tanpa banyak berkata-kata, cuma sesekali jeling-jeling dan tersipu sendiri.n Oh nampaknya lakonan pertama ini hampir berjaya dan bolehlah aku memasukkan jarum selanjutnya. Mudah-mudahan berjaya …

PENGURUS YANG BAIK

PENGURUS YANG BAIK

“Kita tidak boleh menjadi pengurus yang baik dalam sektor swasta kalau kita gagal menjadi pengurus yang baik dalam kerajaan. Tetapi pengurus yang baik dari sektor swasta apabila menyertai kerajaan, dia akan menjadi pengurus yang baik” – Pahamin Rajab. (Mingguan Malaysia 26 Oktober 2003).

Kenyataan di atas saya rasa adalah sama sahaja, iaitu jika baik di kerajaan, baiklah di swasta dan sebaliknya. Namun gaya susunan ayat ini menunjukkan seolah-olah kalau baik di kerajaan, di swasta belum tentulagi, tetapi jika baik di swasta sudah tentu baik punya di kerajaan. Itulah agaknya hasrat Datuk Pahamin (beliau ialah bos saya sebelum dia jadi ketua setiausaha kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna). Mungkin juga benar kata beliau tersebut memandangkan beliau telah berjaya sebagai pegawai (atau bos) dalam kerajaan dan juga di swasta.

Kerja makan gaji ni, samada di sektor swasta atau kerajaan adalah sama sahaja bagi saya. Ia itu kita mempunyai majikan dan perlu memenuhi kehendak dan keperluan yang telah ditetapkan oleh pihak majikan. Cuma, kebiasaannya objektif sektor swasta ialah keuntungan sedangkan objektif sektor kerajaan ialah perkhidmatan. Walau secekap manapun staf sektor swasta, jika tidak membawa pulangan kepada syarikat, bermakna ia tidak ‘baik’lah. Di sektor kerajaan pula, pegawainya perlu memberikan perkhidmatan dan perlu menghabiskan semua peruntukan tahunan jika dilihat sebagai efisen dalam membuat perancangan dan pelaksanaan. Apa-apa halpun kita masih ada majikan dan semuanya hak majikan. Lainlah jika kita bekerja sendiri, maka tahulah langit itu tinggi atau rendah dan apa orang kata ada kerja ada gaji dan banyak kerja tak ada gaji.

Pokoknya, di mana juga kita berada, kita perlu berbuat baik dan jadilah pegawai yang baik.


-------- kongsi ilmu ---------------
Mengikut Kamus Dewan, pegawai bermaksud:-
1.Orang yg bekerja dgn kerajaan (perusahaan dll)
2. Orang yg berpangkat Leftenan Muda ke atas (dlm tentera) atau Inspektor ke atas (dlm polis)
3.perkakas.



Monday, October 27, 2003

Lagi Amanat Bakap Pesara

Amanat PM Sebelum Bersara

Kalau nak tengok gambar besar sikit, kliklah kat sini. atau pergi saja ke http://mba.fotopages.com

Hari ini ada perhimpunan bulanan dan anugerah khidmat cemerlang (lagi). Kali ini ia disampaikan oleh YAB Perdana Menteri bagi kali terakhir katanya. Di antara amanat beliau ialah; Usahlah dipuja seseorang pemimpin keterlaluan (puji sikit-sikit bolehlah). Semua kita adalah sama adalah sama sahaja peranannya dalam pembangunan negara. Tidak ada yang lebih dan kurang. Tidak ada orang yang terlalu penting hinggakan tanpanya projek tidak boleh jalan. Kita serupa sahaja. PM juga berkata yang beliau tidak akan mencampuri urusan pentadbiran penggantinya (Pak Lah) yang mungkin mempunyai stail yang berbeza daripadanya. Sebak juga beliau apabila dua buah sajak penghargaan dideklamasikan untuk dirinya.

Sunday, October 26, 2003

PASANGAN BAHAGIA TOKKI DAN TOKWAN


PASANGAN BAHAGIA TOKKI DAN TOKWAN(Jangan Ada Dusta Versi Lelaki -Siri 12)
Baca siri 11 di Sri Diah

Malam tadi rupanya aku pulang ke kampung mengimbau semula zaman kanak-kanakku bersama Tokki dan Tokwan. Kedua-dua mereka mempunyai kejaya sendiri, namun tanggungjawab utama tidak pernah diabaikan. Tokwan sibuk dengan sekandang lembu pawahnya serta huma di hujung kampung. Tokki pula dengan sawah dan tiga buah kolam ikan ternaknya. Pagi-pagi lagi Tokwan akan keluar untuk melepaskan lembu-lembu dari kandang, kemudian terus ke huma untuk melihat-lihat apa yang patut. Kadang-kadang hanya tapak-tapak ‘lembu pendik’ sahaja yang kelihatan. Hampir tengahari baru dia pulang ke rumah untuk bertanak nasi. Walau bagaimanapun Tokwan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan nenek. Jam berapapun aku terjaga dari tidur, pergi saja ke dapur akan terhidanglah air rawa, ubi rebus dengan ikan masin ataupun lempeng bercicah nyior untuk mengalas perut. Tokki cukup bahagia mempunyai Tokwan sebagai teman hidupnya. Dia selalu berpesan, bila kamu dewasa nanti, jika nak berkahwin dengan orang yang bekerja, tidak ada apa-apa masalah, asalkan makan pakai kamu sekeluarga dapat diuruskan sepenuhnya. Jangan serahkan kepada orang gaji. Oh… itu semuanya nostalgia dan telah menjadi sejarah.

Sedang khusyuk bersembahyang Subuh, aku terdengar dehemnya yang memberi isyarat untuk menjadi makmun. Alhamdulillah, syukurlah kepadaNya. Akan mudahlah segala urusanku selepas ini. Selepas berdoa panjang, kuhulurkan tangan untuk bersalaman dan sebagai suami tiada salahnya memohon ampun maaf dari isteri. Untuk mendengar ucapan maaf darinya terlebih dahulu, tunggulah sehingga kucing bertanduk. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa bersusah payah. Tiada siapa yang perlu mengemis dalam kesejukan subuh ini, kami sememangnya saling memerlukan dan terlerailah rindu dendam selama beberapa hari ini.

Selesai mandi, tugas pertama di pagi minggu ini ialah ke pasar. Membeli apa-apa yang patut sebagai persediaan untuk bersahur. Ya, hanya untuk bersahur sahaja, kerana sudah menjadi kelaziman bertahun-tahun, juadah berbuka semuanya dengan resepi telunjuk di warung sahaja. Namun, ada kelainannya kali ini apabila dia ingin ikut ke pasar. Dalam hati berkata, cemburu ke dia bila aku ke pasar atau ah lupakan saja, ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. “sayang bawa kereta, biar abang di sebelah. Nak dengar kalau-kalau kereta ni ada bunyi di mana-mana”. Yalah kereta ni, jika orang perempuan yang bawa, selagi boleh jalan, dihenyaknya saja. Apa dia tahu pasal absorber, bearing, alignment dan sebagainya. Malahan angin tayarpun tidak tahu berapa sukatannya.

NYEMAH DAN 1515

NYEMAH DAN 1515


Ketika isteri ke Carefour membeli beberapa bekalan untuk pulang ke kampungnya, aku menyediakan bekal yang secukupnya supaya hilang rasa mengantuk di perjalanan, Zzzzzzz. Sambil itu sempat memesan kepadanya supaya membeli novel 1515, karya Faizal Tehrani. Novel ini bukanlah baru, dah lama nak beli tetapi belum bertemu jodoh agaknya. Novel ini menarik minat untuk dibeli bukan kerana ia adalah pemenang anugerah Utusan, tetapi adalah semata-mata kerana namanya 1515. Novel ini dulunya ingin dinamakan sebagai 1511, namun ia telah dinamakan dengan 1515 apabila di pasaran. Kedua-dua 1511 dan 1515 adalah penuh bermakna bagiku. 1511 ialah nombor talian jaring sedangkan 1515 adalah nombor TMNet. Bagaikan dirancang dengan penuh teliti, 1515 mengambilalih 1511 dan ia telahpun menjadi kenyataan dalam ucapan menteri kewangan di parlimen tempoh hari.

Novel ini dihabiskan dalam sehari sahaja semasa berada di kampung. Mesti Sri Diah tak percaya ni… Apabila habis membaca maka barulah diketahui rupa-rupanya NYEMAH adalah suatu nama besar dalam sejarah Melaka. Nyemah Mulya yang kemudiannya diberi gelaran Tun Nyemah adalah srikandi terbilang, seiring dengan Tun Fatimah dan yang sewaktu dengannya. Pencerita kepada kisah ini ialah Profesor Nyemah yang seolah-olahnya bagaikan membaca sebuah buku sejarah. Dalam novel ini juga diceritakan yang Alfonso De Albuquerque telah mati sebanyak tiga kali. Ia itu disantau di atas kapalnya, dibunuh oleh Nyemah dalam masjid Melaka dan akhirnya di Lisbon, Portugis. Mati yang sebenar tentulah sekali sahaja, selebihnya adalah mati dalam khayalan penulis semata.

Tujuan utama novel ini ditulis ialah untuk mengubah sejarah Melaka, di mana Melaka telah diserang dan dikalahkan Portugis pada 1511 dengan rencana baru Melaka di bawah Tun Nyemah telah menakluk dan memerintah Portugis pada 1515. Itu adalah khayalan semata-mata dan percubaan untuk mengubah sejarah (berbeza dengan membetulkan fakta sejarah) adalah suatu usaha untuk memutarbelitkan fakta. Mewujudkan yang tidak wujud, melahirkan tokoh yang tidak pernah lahir, menghidupkan yang mati dan pelbagai hayalan lagi. Memandangkan ia hanyalah sebuah novel (remaja), maka ia tidak akan kemana, sekadar untuk hiburan dan hayalan semata. Jika benar kita ingin mengubah atau memadamkan fakta sejarah, buatlah seperti Jepun. Anak-anak Jepun tidak pernah mengetahui yang negara mereka telah menyerang, menakluk dan memerintah Malaya dengan kejam di zaman dahulu. Kesemuanya telah dipadamkan dari sejarah.

Oh ya… mengenai Nyemah Mulya atau Tun Nyemah, saya mempunyai seorang kawan dengan nama tersebut. Esok akan diceritakan kepadanya perihal keagungan nama beliau dalam novel ini dan sudah tentu beliau akan pinjam novel tersebut untuk dibaca ….

SELAMAT BERPUASA

SELAMAT BERPUASA

Selamat Menyambut & Menyempurnakan Ramadhan Al-Mubarak: Semoga Amalan Kita Diberkati & Diterima Oleh Allah. Amin


grafik dari laman PakDi


p.s maaf; semalam tak sempat nak blog sebab balik kampung

Friday, October 24, 2003

SELAMAT BERSARA DATUK AG DATUK SITI MASLAMAH OSMAN

SELAMAT BERSARA DATUK AG

Malaysia mempunyai 3 AG yang sering menjadi kekeliruan di kalangan orang awam. Ia itu Accountant General, Auditor General dan Attorney General. Hari ini 24 Oktober 2003 adalah merupakan hari ulang tahun kelahiran ke-56 salah seorang daripada AG tersebut yang merupakan bos saya. Hari ini (hari Deepavali juga) adalah merupakan hari pertama beliau di alam persaraan. Semalam adalah merupakan hari terakhir beliau di pejabat sebagai AG.

Saya menulis mengenai persaraan beliau dalam blog ini ialah kerana keperihatinan beliau yang luar biasa terhadap saya (pada anggapan saya). Semalam saya mendengar tiga kali ucapan dari beliau di tiga majlis yang berlainan. Di sebelah pagi kami breakfast bersama-sama di sebuah agensi kerajaan lain kerana majlis menandatangan kontrak. Hanya 3 orang yang mewakili jabatan saya. Di sebelah tengahari saya dijemput dalam jamuan makan tengahari ekslusif yang diberikan oleh beliau kepada staf dan rakan-rakan rapat beliau. Inilah suatu penghargaan yang tidak pernah saya kecapi dalam lebih 20 tahun perkhidmatan saya dengan kerajaan (dalam 5 jabatan/kementerian yang berbeza). Dalam 20 jemputan yang hadir, kesemuanya adalah high-rangking officer dalam skim perkhidmatan AG kecuali saya dan 2 orang pembantu peribadinya. Pada sebelah petangnya pula, mendengar amanat terakhir beliau kepada semua staf. Selepas itu kereta beliau diarak keluar oleh superbike diiringi oleh polis peronda untuk "pulang" ke rumah.

Selamat hari lahir dan selamat bersara Datuk.

Thursday, October 23, 2003

KARYA SASTERA ALAM SIBER

[iklan]
KARYA SASTERA ALAM SIBER

Bagi peminat dan pencinta sastera seperti sajak, cerpen , novel, pantun, gurindam, seloka, haiku, sajen dan sebagainya anda berpeluang membaca, mendengar dan menonton karya sastera tersebut yang lebih dikenali sebagai esastera.

Komuniti eSastera ini telah diwujudkan setahun yang lalu dan diasaskan oleh Prof Ir. Dr. Wan Abu Bakar, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Selama ini komuniti ini adalah khusus kepada ahli sahaja. Walau bagaimanapun sejak 2 hari yang lalu, Founder telah membuka komuniti ini supaya boleh dipreview oleh semua. Berbanding dengan komuniti lain seperti melayu.com misalnya, saya berpendapat komuniti eSastera ini adalah lebih terkawal dan profesional sifatnya. Komuniti juga kerap kali mengadakan perjumpaan sesama ahli dan telah membukukan hasil karya mereka serta telah mengadakan Anugerah Penyair Alam Siber bagi kategori sajak dan sajen (Sajak Jenaka).

Jom kita ke eSastera.com bagi membaca, mendengar deklamasi atau menonton sedutan video karya sastera. Walau bagaimanapun jika anda ingin turut serta dalam komuniti sebagai penyumbang, pendaftaran (percuma) adalah diperlukan.

Sajak : http://www.communityzero.com/penyair

Sajen: http://www.communityzero.com/sajen

Haiku: http://www.communityzero.com/haiku
dan banyak lagi....


Wednesday, October 22, 2003

ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

Setiap tahun sebelum 31Oktober, kebanyakan agensi kerajaan akan mengadakan Hari Kualiti atau Hari Q. Salah satu acara di majlis ini ialah memberi anugerah khidmat cemerlang kepada beberapa orang staf yang terpilih. Semasa SSB dulu, barang siapa yang mendapat anugerah ini akan menikmati faedahnya sepanjang perkhidmatan, malahan sepanjang hayat juga. Ini ialah kerana mereka akan menerima kenaikan gaji yang lebih berbanding dengan rakan sejawat yang lain sampai bila-bila. Sungguhpun begitu, memang telah menjadi adat bagi orang yang berjaya, kata nesta, umpatan dan kutuk mengutuk adalah perkara biasa. Memandangkan hanya 5% sahaja yang boleh dipilih, maka majoriti 95% lagi akan berasa tidak puas hati. Apatah lagi jika memang benar yang penerima anugerah tersebut sememangnya ‘tidak layak’ mengikut pandangan umum.

Semasa SSM sekarang, anugerah khidmat cemerlang tidak lagi ada kena mengena dengan kenaikan gaji. Kenaikan gaji yang dikenali dengan anjakan gaji hanya diberikan kepada mereka yang telah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan atau kursus PTK sahaja. Semua staf boleh memohon untuk hadir berkursus atau peperiksaan mengikut tahap masing-masing. Sehubungan dengan itu elok juga rasanya jika anugerah khidmat cemerlang juga boleh dipohon oleh semua staf, atau yang berasakan dirinya layak dianugerahkan. Satu borang boleh direkabentuk untuk menyatakan sumbangan dan justifikasi mengapa sianu-sianu itu layak dipertimbangkan. Nanti mungkin kuranglah bunyi-bunyian selepas anugerah. Saya tahu sudah ada jabatan yang telahpun mempraktikkannya.

disertakan sebuah HAIKU Jenaka dari sahabat saya Gravesdigger yang bertepatan dengan tajuk ini:-


CERITA LABU

Oleh : gravesdigger

Gasaklah LABU
Mat kaya beri bonus
Ada maksud kot

Ikhlas kot LABU
Ambil jangan tak ambil
Kamu yang rugi

Ringgit seribu
Dan sijil penghargaan
Ambillah LABU

Syukurlah LABU
Bakti dapat ganjaran
Alhamdulillah

Banggalah LABU
Kamu pekerja contoh
Maju syarikat

Terima kasih
Dari LABU yang miskin
Wasallam semua

___________________

Oleh :Penggali Kubur

JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI SIRI 10

JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI SIRI 10
Sila baca siri 9 di blog Sri Diah:

Bila mata terbuka kulihat hitam delita disekeliling. Diri termanggu-manggu kebingungan. Entah apa yang telah berlaku, entah di mana diri berada. Hampir seminit aku begitu. Mencapai PDA di tepi meja dan oh jam 3:00 pagi rupanya. Masyaallah dari siang aku tertidur!. Aku telah terlepas satu temujanji dan kewajipan paling besar. Ya Allah aku telah tidak menemuiMu maghrib tadi. Kepala mula berdenyut-denyut. Adakah aku stress atau tension?. Masakan!… ini jam 3 pagi, baru bangkit dari tidurpun. Rasa-rasanya aku tidak bergaduh, bertengkar atau dikejar harimaupun dalam tidur tadi. Tetapi begitulah jasadku ini, kepala aku akan berdenyut pagaikan ditikam-tikam andainya jiwa tersiksa. Ya, jiwaku sedang tersiksa amat sekarang kerana telah terlepas dari mengerjakan suruhanNya. Mengapalah dia langsung tidak mengindahkan aku, malahan tidak bersamaku di sini. Mungkin dia sedang dibuai mimpi di bilik anak kami. Mungkin juga inilah balasannya kerana menolak suapan bingka ubinya siang tadi. Jika hanya kerana itu, akan ku campakkan ego ini jauh-jauh dan akan memujuknya semahunya seperti biasa nanti.

Ah apa-apapun terpaksalah Isya dahulu dan qadha maghrib yang telah tertinggal… Untuk menyedapkan hati dan meringankan jiwa dari rasa berdosa, aku pujuk hati dengan hadis yang lebih kurang bermaksud ‘sembahyang itu diwajibkan kepada yang sedar’. Jika tertidur, telah masuk dalam bab lupa dan wajiblah sembahyang setelah jaga. Mudah-mudahan Allah menerima taubat hambaNya.


Tuesday, October 21, 2003

APLIKASI KITA SIKAP KITA (macam filem kita wajah kita)

APLIKASI KITA – SIKAP KITA (macam Filem Kita Wajah Kita)

Sesetengah dari kita bila melihat anak kita bergaduh, terus sahaja menyalahkan anak orang lain (sebab anak kita memang baik macam kita). Tak cukup dengan itu, hingga menyalahkan mak bapak budak itu pula sebab tak pandai mendidik anaknya (tidak sepandai kita mendidik).

Dalam membangunkan sistem aplikasi juga begitu. Aplikasi yang kita bangunkan itu perfect semuanya. Apabila pengguna tidak berjaya atau ada masalah dalam menggunakannya, lantas jawapan spontan yang kita keluarkan ialah alaa… pengguna ni memang macam tu, macam ni, tak baca manual, tak klik help, tak celik IT. Jarang sangat kita ingin berada di sebelah pengguna yang daif dan naif itu. Kadang-kadang tu pengguna tu siap diberikan sekotak perli atau seulas tengking lagi sebagai hadiah kenaifannya. Walhal jika diamalkan moto utama pembangunan sistem ialah pengguna sentiasa betul (users always right), sudah tentu kita atau aplikasi kita yang tidak berapa betul. Jika aplikasi kita sudah betul sekalipun, kita perlu ingat yang pengguna adalah tidak salah. Apatah lagi aplikasi kita itu hanya diuji dalam persekitaran makmal dengan variable yang terhad sahaja di kalangan kita sendiri.

Filem Kita Wajah Kita adalah rungutan dari orang filem untuk tidak mengagungkan wajah Pan Asia dalam melariskan Filem. Aplikasi Kita Sikap Kita pula modal supaya pengguna membeli dan menggunapakai sistem dari luar yang lebih santun sikapnya terhadap pengguna.

Monday, October 20, 2003

MAK .... ITU ORANG HAK ORANG LAIN...

MAK ... ITU HAK ORANG LAIN

Semasa mak nak ke Mekah dua tahun lepas, nama beliau tidak terdapat dalam senarai jemaah yang berjaya, sebaliknya didaftarkan untuk 2 tahun akan datang (tahun 2003). Ia adalah mengikut sistem kuota yang telah dijana oleh komputer, kata petugas di kaunter. Walau bagaimanapaun jika makcik ada anak atau sdra di KL, bolehlah pergi ke ibu pejabat kami dan minta dipercepatkan supaya dapat pergi pada tahun ini.Sayapun pergilah ke ibu pejabat dan akhirnya dengan kehendak Allah jua, berjayalah beliau menunaikan fardhu haji tersebut dengan adik perempuan dan suaminya sebagai mahram.

Ini adalah satu contoh networking atau dikenali dengan 'ada orang dalam'. Yang menjadi kesiannya ialah, mungkin mak saya telah berjaya pergi dengan mengambil tempat seorang lagi makcik di pendalaman sana yang tidak mempunyai sesiapa untuk berurusan di ibu pejabat. Jika benar begitu, alangkan sedihnya dan malangnya ya...

Sunday, October 19, 2003

KITA TERLALU SUKA BERAHSIA

KITA TERLALU SUKA BERAHSIA (YG TAK BERTEMPAT)
** jika nak tengok gambar silalah klik www.xjica.org/haiku/sunway1.JPG ***

Hari ini ofis buat hari keluarga di sini. Acara bermula jam 9:30am tetapi mba sekeluarga tiba pada jam 11, tatkala upacara sudah berakhir. Banyak halangan sebelum dan dalam perjalanan ke situ. Terus terang dikatakan jika mba diminta untuk membawa rombongan ke Tokyo Disneyland, insyaallah tidak akan sesat walaupun baru sekali ke situ. Dulu pernah sekali mba dari Leeds pergi ke London mencari maybank cawangan London kerana ingin mengambil kad visa yang dikirimkan. Walaupun pada masa itu tidak pernah ke London, alhamdulillah selamat sampai tanpa bertanya sesiapa, hanya berpandukan peta sahaja. Tetapi tidak di Malaysia.

Bagi masyarakat kita (tidak semua), memberi pertolongan kepada orang bagaikan ada udang di sebalik mee. Contohnya, adik saya tersesat di Pulau Lagenda Mahsuri dan bertanyakan orang kampung mengenai destinasi yang betul. Pemuda tersebut melakarkan pada kertas arah tuju begitu dan begini. Setelah mengucapkan terima kasih, dan meminta kertas lakaran tersebut, si pemuda tersebut berkata. “cakap saja free, kalau mahu peta ini RM3”. Masyaallah (teringat blog Watie), sesungguhnya pahala dari Allah adalah jauh lebih mahal dari itu.

Berbalik kepada kerja, mba adalah meminta peta rangkaian yang berupa nombor IP yang sering membawa masalah. Samalah jawapannya dengan pemuda Pulau Mahsuri tadi, ia adalah rahsia. Kadang-kadang tak ada gunanya kita cuba untuk berbuat baik atau ingin membantu, ia akan jadi “jangan jaga tepi kain orang” walaupun tepi kain itu terlalu menjolok mata dan mengganggu persekitaran. Wallahualam.

Saturday, October 18, 2003

PENAFIAN

PENAFIAN

Agaknya Sri Diah dah balik dari Kuala Klawang dan didapatinya siri novel ini sudah tersasar jauh dan susahlah untuk ditamatkan begitu sahaja. Agaknya cara paling berkesan untuk menamatkan novel ini ialah dengan mematikan wataknya, maka tamatlah perjalanan cerita ini. Ini adalah perkara biasa dalam cereka bersiri, khususnya siri TV. Saya menulis demikian kerana mengenangkan seorang bloger yang begitu rajin menulis, sdr Johan Ismail (http://joe-blogs.blopgspot.com/ - blog ini telah dinyahaktif oleh sdr Dinesh Nair utk menghormati allahyarham) baru sahaja meninggal dunia pagi tadi. Mengikut rakan PalmX semasa BTM (Black Things Meeting) tadi, beliau berjumpa dan berbual-bual dengan Joe malam tadi dan pagi ini telahpun meninggal.

Saya juga ada menerima teguran dari rakan-rakan mengenai "jangan ada dusta - versi lelaki". Di sini ingin ditegaskan bahawa ia hanyalah rekaan semata-mata, bersumberkan cabutan novel Sri Diah. Jika betul rekaan, alhamdulillah, tapi I nak tahu berapa persen betul?. Aduhai... susah juga nak jawab dan OKlah saya berikan 10% adalah betul :-)

JANGAN ADA DUSTA - VERSI LELAKI SIRI 8

JANGAN ADA DUSTA - VERSI LELAKI SIRI 8

Seharian di Melaka cukup menyeronokkan. Kadang-kadang jika dapat Dato’ Pengerusi yang sepadan begini, berbulan keluar jadi panel temudugapun tak mengapa. Berbagai perkara lucu dan banyak pengajaran yang ditimba dari Dato’ Razak ni. Kami berdua jadi serbasalah untuk tidak memilih calon-calon ke jawatan PSM ini oleh kerana semua yang datang temuduga adalah yang terbaik. Dari 70 senarai yang perlu ditemuduga, kuota kami ialah 4 orang sahaja yang boleh dipilih dan 4 lagi calon simpanan. Memang sengit persaingannya. Kami juga kurang mengerti apabila PSM dari sektor swasta yang bergaji US$5K dan DBA bank asing juga datang memohon jawatan ini dan sanggup menerima gaji yang ditawarkan. Mereka ini juga ini telah melepasi tahap kecemerlangan sesi temuduga. Namun keputusan Dato’ pengerusi ada logiknya dan ia suatu pelajaran baru buatku.

Sampai ke rumah ingatkan nak bersantai dengan membaca dan menjawab e-mel, mengintai blog dan ke eSastera. Namun kulihat Mercedes mata belalang milik syarikat tersadai di garaj. Setahu aku dia ke Genting, bersukaria dalam tugas di sana. Oh mungkin dia menaiki kereta ofis agaknya. Tetapi terkejut beruk aku apabila dapati dia berada di rumah dan tanpa bertanya apa-apa lantas menyuakan sesuatu ke mulutku. Apa lagi bertempiklah aku. Entah-entah dia ni dah buang tebiat, entah-entah ini sebenarnya bukan dia, tetapi sesuatu yang menyamar. Pelbagai perasangka buruk terlintas sepantas pemproses pentium xion dalam kotak fikiranku. Entah-entah dia nak bomohkan aku supaya.. ah entah apa-apalah aku ni.

Aku bungkam apabila dia berada di rumah bukan pada waktunya. Waktu-waktu begini aku perlukan sedikit privacy. Aku perlu membaca dan membalas mel yang barangkali banyak diterima hari ini. Juga komen dan catatan di blog perlu diteliti dan dijawab jika perlu. Ya aku sememangnya memerlukan sedikit privacy. Sebenarnya terlalu jarang suami seperti aku ini. Aku tetap pulang dan bermalam di rumah walau apapun terjadi. Di samping menjimatkan duit kerajaan yang tidak perlu membayar sewa hotel untukku di Melaka, aku juga menjimatkan rasa curiga isteriku, begitulah harapanku. Jika diikutkan hati, ingin saja aku beli beju berjenama atau sepatu baru ataupun PDA Treo 600 yang lengkap dengan kamera, telefon dan Palm untuk dihadiahkan kepada diriku sendiri sempena ulangtahun kelahiran bertuah ini. Akan kukatakan ada secret admire yang menghadiahkannya padaku. Tetapi aku masih lagi waras dan tidak perlu menyakitkan hati sesiapa walaupun Treo tu sangat-sangat kuidamkan.

Oleh kerana privacy agak terganggu, aku memilih untuk tidur sahaja untuk mententeramkan jiwa.

I'M MASCULINE

My journal says I'm 54% masculine.
What does your LJ writing style say about your gender?
LJ Gender Tool by