Labels

Wednesday, June 09, 2004

PANDANGAN JEPUN TERHADAP MALAYSIA





tidur sendiri

tanpa kawan kelahi

sunyi sekali



*lakaran bertajuk "the bed's to big (without you)" oleh Abdullah Jones. Inilah keadaannya keadaan Budin semasa ketiadaan Syahir.

ESOK (khamis), jika tiada aral merintang, Syahir akan pulang ke Malaysia setelah selesai program homestay di Jepun. Ada ibu kepada kanak-kanak ini telah menelefon saya bertanya khabar anak-anak mereka. Selamatkah mereka?. Sihatkah mereka?. Mengapa tidak telefon?. "Ah anak lelaki puan... mereka tak akan telefon punya... Jika puan nak dengar berita, telefonlah emak kepada budak-budak perempuan, tentu mereka dah telefon keluarga". Itulah nasihat saya, walaupun dalam hati juga risau akan mereka, khususnya Syahir yang dilahirkan semasa aprilfool itu. Moga-moga semuanya selamat....

Berbalik kepada homestay, berikut diperturunkan satu karangan asal (terjemahan) dari kanak-kanak Jepun yang homestay di Malaysia baru-baru ini. Ikutilah pandangannya terhadap Malaysia.

--------------------

Perkara-perkara yang dipelajari daripada orang-orang yang tinggal di Malaysia


“Wah….! Selat Melakalah!” Aaahh… Sudah tiba pun di Melaka. Di sini rupanya tempat tinggal datukku enam puluh tahun dahulu. Tetapi sekarang ini datukku terlantar baring di atas katil sebuah hospital di Yokohama. Semasa aku pergi melawat datukku di hospital, datuk memegang erat tanganku. Entah bagaimana bercerita pula dia mengenai kisahnya mengajar bahasa Jepun di Malaysia.

Pada musim panas yang lalu, aku bersama-sama keluarga telah membuat lawatan ke Malaysia, cuba mengesani sejarah datukku semasa bertugas di sana. Dari Kuala Lumpur, mula-mula, kami berangkat ke Melaka dengan kereta. Kemudian kami meneruskan perjalanan kami ke Singapura menaiki kereta api Tanah Melayu. Kereta api Tanah Melayu yang menuju ke Singapura itu melalui bandar Tampin, Labis, Kulai dan Johor Bahru. Pemandangan yang dapat kami lihat dari tingkap kereta api hanyalah ladang pokok kelapa yang berterusan tak putus-putus. Rumah berbentuk banglo terletak sebuah-sebuah, jauh di sana sini. Kami mengunjungi rumah sebuah keluarga yang bekerja di ladang pokok getah. Di dalam rumah itu tidak terdapat apa-apa, mencerminkan kehidupan yang miskin papa kedana. Walaupun mereka hidup miskin papa kedana mereka patuh dan tekun mendirikan sembahyang tepat pada masanya.

Semasa kami mencari tempat datuk mengajar bahasa Jepun kami juga mengambil kesempatan membuat lawatan ke Rumah Kanak-Kanak dan sekolah. Kanak-kanak yang tidak mempunyai keluarga dan kanak-kanak yang mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan mereka sendiri telah menetap di rumah yang kecil itu bersama-sama dengan para sukarelawan. Kanak-kanak itu hanya mempunyai tiga helai baju sahaja, baju jalan, baju basah dan baju tidur. Bagi mereka, tiga helai baju itu sudah cukup untuk meneruskan kehidupan mereka. Makanan mereka pula dihantar oleh seseorang ke tempat itu, jadi, mereka tidak perlu bimbang tentang makanan setiap hari. Tetapi sekiranya mereka meninggalkan rumah itu, mereka khuatir dan bimbang mati kebuluran. Sebab itulah mereka berusaha bersungguh-sungguh di tempat itu. Semasa ibuku memberi beras kepada mereka, mereka tidak mengucapkan terima kasih sebagaimana lazimnya. Sebaliknya mereka berkata, “Kami akan doakan agar kamu mendapat rezeki daripada Tuhan di atas budi baik kamu”. Kata-kata mereka itu menghairankan aku.

Salah seorang daripada lima puluh kanak-kanak yang menuntut di sekolah rendah yang berdekatan dengan rumah itu, nampaknya hendak berbual-bual dengan aku dalam bahasa Inggeris. Pelajar itu juga bekerja di Rumah Kanak-Kanak supaya dia dapat hidup berdikari di masa depan setelah keluar dari tempat itu nanti. Kanak-kanak di situ bersyukur kepada tuhan semasa bapaku memberi sumbangan berbentuk wang kepada mereka. Aku sangat kagum dengan orang-orang Malaysia yang sentiasa berfikir bahawa mereka sangat bertuah kerana dirahmati dan dilindungi tuhan walaupun kehidupan mereka miskin papa kedana. Perasaan itu sudah menjadi sebati dengan mereka dan tersemat dalam jiwa mereka.

Selepas membuat lawatan ke Malaysia barulah aku sedar bahawa miskin atau kaya tidak dapat mengukur kebahagiaan hidup atau penderitaan hidup seseorang. Biasanya semasa kami hendak menghulurkan sumbangan kepada orang lain kami selalu menilai sama ada mereka miskin atau kaya. Kami fikir para sukarelawan atau kumpulan kerjasama antarabangsalah orang yang mempunyai wang dan berkemampuan memberi sumbangan. Tetapi sebenarnya yang paling penting bukankah setiap orang harus cuba berusaha memahami budaya sesebuah negara, menilai ciri-ciri yang baik yang dimiliki oleh penduduknya. Contohnya, walaupun mereka tidak berwang tetapi mereka hidup saling bantu membantu dan bertungkus lumus berusaha untuk meneruskan kehidupan mereka. Semasa berjumpa dengan orang yang tidak dikenali pun, orang asing seperti kami, mereka tetap bersyukur kerana pertemuan kami ditakdirkan oleh Tuhan yang maha Isa. Perkara-perkara seperti itu sudah sebati dengan jiwa mereka, kami tidak boleh menganggap mereka itu miskin. Mereka sudah menjadi biasa dengan budaya hidup yang sentiasa mensyukuri rahmat Tuhan. Sebaliknya saya mempelajari sesuatu dari kehidupan mereka. Selama ini orang-orang Jepun bertungkus lumus berusaha untuk terus hidup hinggakan mereka terlupa akan nikmat tuhan. Saya mulai sedar apa yang diperlukan oleh pihak kerjasama antarabangsa. Mereka perlu pergi melihat dengan mata kepala sendiri, penduduk di situ dan kehidupan mereka yang sebenar serta menyelami perasaan mereka. Aku benar-benar percaya melalui kegiatan pertukaran segala kekurangan dapat diatasi menerusi sikap saling bantu membantu sesama insan.

Aku rasa semasa datukku mengajar bahasa Jepun di ladang pokok getah itu datukku juga dapat mempelajari sesuatu iaitu mengenali budi baik hati orang-orang Malaysia. Semasa aku melawat datukku di hospital, aku membawa gambar-gambar yang aku ambil di Malaysia dan juga menceritakan kepada datukku segala apa yang aku alami semasa melancong ke sana. Semasa itu datukku menitiskan air mata, tanganku dipegang erat dan tidak dilepaskannya.


No comments: