Labels

Tuesday, December 30, 2003

ZAKAT

PADA akhir tahun masehi 2003 ini, pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) sedang berusaha bersungguh-sungguh supaya semua umat Islam menunaikan zakat. Di antaranya berbunyi lebih kurang “tunaikanlah zakat sebelum 31 Disember ini supaya anda mendapat pelepasan dari cukai pendapatan”. Bukankah sepatutnya haul zakat itu dikira mengikut tahun Hijrah?.

Sememangnya ramai di antara kita yang agak lepa dari menunaikan zakat harta selain dari zakat fitrah sahaja. Namun iklan-iklan dari pihak pungutan zakat nampaknya hanyalah sekadar untuk mendapat pelepasan cukai pendapatan, bukannya berzakat itu wajib dan menjadi rukun dalam Islam. Jika begitulah keadaannya, mungkinkah pihak PPZ akan menerima “zakat” dari non-muslim?.

Seperkara lagi yang ditekankan sangat ialah zakat pendapatan. Ia itu sama seperti cukai pendapatan (kecuali kadarnya sahaja 2.5%). Banyak pihak berpendapat, pendapatan tidak perlu dikenakan zakat jika ianya tidak disimpan, tidak diniagakan dan tidak cukup haul. Apa yang perlu dizakatkan ialah wang simpanan, emas dan perak, perniagaan (termasuk saham), ternakan, tanaman... Malahan ada Majlis Agama Islam di Malaysia sendiripun yang mengatakan pendapatan (semata-mata) tidak diwajibkan zakat melainkan telah menepati nisab dan haulnya.

Walau bagaimanapun saya berpendapat, tidaklah salah untuk mengeluarkan 2.5% daripada pendapatan dalam berzakat, kerana ia adalah rukun dan bukan semata-mata untuk mendapat pelepasan cukai sahaja.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Wahai orang-orang yang berikan ! keluarkanlah zakat sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu."

Surah Al-Baqarah : 267

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap orang Muslim bersedekah (berzakat). "Mereka bertanya, "Hai Nabi Allah, bagaimana yang tidak mempunyai harta ?" Baginda menjawab, "Bekerjalah untuk mendapatkan sesuatu untuk dirinya, lalu bersedekahlah." Mereka bertanya, "Kalau tidak mempunyai pekerjaan? Baginda bersabda, "Tolonglah orang yang meminta pertolongan." Mereka bertanya lagi, "Bagaimana bila tidak berkuasa ? Baginda menjawab, Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah."

No comments: