Labels

Thursday, December 04, 2003

BERBAJU BATIK KE PEJABAT



Semasa MBA mula-mula kerja di tahun 80an dulu, di antara beberapa persediaan yang agak sukar untuk disediakan selain daripada seluar slack, kemeja lengan panjang, tali leher dan sepatu kulit ialah baju batik. Pada masa itu (di bawah PM ke-3) baju batik dipakai pada setiap hari Sabtu. Tidak lama kemudian, baju batik telah tidak dibenarkan lagi dipakai pada waktu pejabat kerana dikhuatiri pemakainya tidak serius untuk bekerja kerana pakaian batik lebih bersifat santai.

Pada hari ini, YAB PM ke-5 mendesak supaya rakyat Malaysia memakai baju batik pada hari Sabtu. Di antara tujuannya ialah untuk meningkatkan industri batik tempatan. Saya rasa tidak lama lagi akan keluarlah pekeliling meminta semua kakitangan kerajaan supaya berbaju batik di hari Sabtu.

Adakah berbaju batik ke pejabat akan menyebabkan pemakainya tidak akan serius untuk bekerja?. Adakah memakai tali leher dan berkot, dalam hawa yang tidak begitu dingin akan menjadikan pemakainya lebih produktif?. Saya rasa ada beberapa negara seperti Indonesia, Samoa, Timur Leslie dll yang pekerjanya memakai pakaian batik ke pejabat, malahan ada lelaki yang pakai skirt juga!. Tetapi itu adalah negara yang belum maju. Saya juga ada melawat ke beberapa pejabat kerajaan di Okinawa, Jepun. Saya dapati pekerja di sana memakai baju batik lima hari seminggu di musim panas.

Juga, kebanyakan syarikat .com pada masa ini tidak lagi perlu mengenakan kot dan tali leher untuk pekerjanya. Malahan ada yang hanya cukup dengan kemeja-T sahaja dan saya sempatlah bekerja setahun dengan pakaian sebegini semasa "dipinjamkan" tidak lama dulu ...


No comments: