Labels

Wednesday, January 14, 2009

SURAT TERBUKA KEPADA EDITOR

[Surat ini adalah khusus ditujukan kepada editor bagi syarikat penerbitan yang sepatutnya menerbitkan buku saya. Pengerusi Syarikat berhasrat untuk menerbitkan surat ini dalam blog mereka. Oleh itu saya juga berbuat demikian dan jadilah ia sebagai surat terbuka.]

Assalamualaikum;

Saya doakan semoga Puan Nurul sentiasa berada dalam keadaan yang amat selesa, memuaskan, gembira dan dalam kesihatan yang amat baik.
Sebenarnya saya amat keberatan untuk menulis e-mel ini. Pn. Ainon sendiripun telah meminta saya menulis kepada editor lebih daripada tiga bulan yang lalu. Namun hanya sekarang saya diberikan peluang dan kesempatan olehNya untuk menulis.

Sebelum meneruskannya, saya memohon beribu ampun maaf terlebih dahulu sekiranya apa yang dituliskan ini membuatkan Puan berada dalam situasi yang kurang menyenangkan:-

Selepas buku saya "Kerjaya Dalam Bidang ICT" diterbitkan, PTS melalui editor perolehan pada masa tersebut, Tuan Fadzli telah meminta supaya saya menulis beberapa buah buku lagi. Akhirnya proposal buku "50 Jawatan Terpilih Dalam Kerajaan" dan "50 Jawatan Terlaris Dalam ICT" telah diterima oleh PTS. Saya telahpun menulis dan menghantar manuskripnya kepada PTS pada 15 Mei 2008 sebagaimana yang dipersetujui dan diperlukan oleh pihak PTS. Manuskrip bercetak diposkan kepada Tuan Fadzli dan softcopy disalinkan kepada Pn.Ainon, Tuan Roslan dan Puan sendiri.

Selepas ianya dikemukakan, saya menghubungi Tuan Fadzli untuk bertanyakan mengenai perkara ini. Beliau memaklumkan bahawa manuskrip telah diterima dan telahpun disemak dan dikemukakan kepada Puan untuk tindakan selanjutnya.

Sehingga kini saya tidak menerima sebarang berita mengenai manuskrip tersebut. Walau bagaimanapun saya ada menerima beberapa berita tidak rasmi seperti berikut:-

1. PTS akan memperlahankan penerbitan buku kerjaya dan menumpukan kepada buku "buat duit"
2. Buku kerjaya tidak akan diterbitkan lagi.

Samada berita ini benar ataupun tidak, saya tidak dapat pastikannya kerana tidak ada sebarang berita mengenainya diterima. Sekiranya memang manuskrip tersebut tidak akan diterbitkan, saya memohon supaya ianya dapat dipulangkan kepada saya supaya saya dapat mencari penerbit lain yang sudi untuk menerbitkannya. Saya akan bayar semula belanja penghantarannya.


Sekian, semoga mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak Puan.

Wassalam.

No comments: