Labels

Sunday, May 14, 2006

PELAN PENGGANTIAN SEKTOR AWAM

KERAJAAN telah mengeluarkan satu pekeliling perkhidmatan 3/2006bagi menyediakan panduan bagi penubuhan search committee bagi pemilihan pegawai tinggi dalam kedudukan strategik.


Personaliti unggul duduki jawatan tinggi kerajaan
Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan kaedah pelan penggantian dengan menubuhkan jawatankuasa carian untuk memilih calon berpersonaliti unggul bagi mengisi jawatan tertinggi dan strategik dalam perkhidmatan awam.

Jawatankuasa carian bertanggungjawab mencadangkan pegawai cemerlang untuk disenarai pendek bagi mengisi jawatan strategik, melalui pelan penggantian yang mengenal pasti, menilai dan membangunkan keupayaan pegawai bagi memenuhi keperluan organisasi pada masa kini dan akan datang.

Pemilihan pegawai kompeten menduduki jawatan strategik antara lain perlu mengambil kira keperluan organisasi, kehendak rakyat dan persekitaran, berkuat kuasa dalam semua jentera kerajaan mulai 3 Mei lalu.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Hasniah Rashid, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman mengetuai jawatankuasa carian bagi mengenal pasti pemimpin yang berpotensi menduduki jawatan tertinggi termasuk ketua pengarah.

"Kerajaan dan JPA mahu memastikan hanya calon kompeten, pegawai kanan dan individu unggul mengisi kekosongan jawatan bagi mencapai matlamat jangka panjang dalam perkhidmatan awam serta pembangunan modal insan dalam semua organisasi.

"Melalui proses carian dan senarai pendek, JPA sekurang-kurangnya mampu meramal aliran dan jangkaan dalam pengurusan sumber manusia di kementerian, agensi dan jabatan kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

JPA menggariskan pelan penggantian serta proses memilih calon layak menduduki jawatan tertinggi dan strategik perlu mengambil kira tiga faktor iaitu, matlamat jangka panjang organisasi, keperluan pembangunan modal insan sesebuah organisasi serta haluan dan jangkaan dalam pengurusan modal insan.


- Berita Minggu

No comments: