Labels

Friday, May 05, 2006

MEK TOK

ENTAH mengapa saya ingin menulis entri mengenai dia. Dia adalah seorang tua dan mungkin yang paling tua di kampung saya. Namanya seperti tertulis di paspot (orang dulu panggil paspot, orang sekarang panggil myKAD, sebelum tu orang panggil kad pengenalan) ialah Mek Tok. Nama ini saya rasa adalah unik bagi orang Melayu dan saya tak jumpa lagi orang lain dengan nama sedemikian. Saya ni pangkat cicitlah dengan dia dan biasanya gelarkan dia sebagai tok atau Tok Mek Tok yang lengkap dengan gelaran dan namanya.

Semasa saya di sekolah rendah dalam tahun enam puluhan dulu, saya perhatikan dia sudahpun tua dan sudah berpangkat Tok. Pada masa tu bila ditanya berapa umur dia, dia akan tunjuk kepada sebatang pokok kelapa yang sudahpun tua. Pokok kelapa ini ditanam setelah yang asal telah mati. Pokok yang asal ditanam oleh ayahnya sebaik saja dia dilahirkan, katanya. Itulah ukuran umur dia. Berapakah umur hayat pokok kelapa?. Andaikan 40 tahun. Maka pada masa itu umur dia barangkali sudah 60 tahun. Itu 40 tahun yang lalu.

Saya tidak pernah mengenali suami beliau, sebab sejak saya lahir ke dunia ini, suami dia telah lama meninggal. Dialah yang membesarkan anak-anaknya bersendirian. Beberapa orang anak dia adalah kawan-kawan saya sebab umur kami dalam baya yang sama. Yang lain-lain semuanya peringkat abang dan pakcik. Oh ya.... umur yang saya maksudkan tersebut adalah ukuran saiz fizikal antara saya dan anak-anak dia dan juga berdasarkan ingatan orang tua kami. Masa mak nelahirkan kamu dulu, Kembor (merujuk kepada anak Mek Tok yang bernama Kembor) ni belum boleh berjalan lagi. Ha ha begitulah ukuran umur tersebut....

Setakat yang saya tahu, semua anak-anak Mek Tok ini tidak pernah didaftarkan kelahirannya, maknanya tidak ada surat beranak (orang sekarang panggil myKID). Jadi banyaklah masalah yang timbul. Budak-budak dulu kena cukil (tanam cacar). Nak cukil juga tak boleh. Nak sekolah tak boleh. Nak kahwin tak boleh (nak bersunat bolehlah), nak kerja lagilah susah sebab tak boleh nak buat paspot.

Masa Kembor nak kahwin (ha ha ha tak kan tak boleh kahwin kan?), adalah orang tolong dia dapatkan kad pengenalan dan dia diberikanlah dengan satu identiti, dengan nama lain. Jadi kami asyik selalu dok tanya ... Kembo.. Kembor mu kat sekolah nama apa?. Mana aku tahu, aku bukan sekolah. Oh kalu gitu dalam paspot apa nama mu?. Nama aku dalam paspot ialah gini-gini jawab Kembor.

Adik Kembor ialah Kasim. Dia ni cacat sebelah penglihatan dan rabit mukanya. Cakap diapun hanya keluarga dan kawan-kawan saja (macam saya) yang faham. Anak-anak saya amat takut dengan dia kerana kecacatan wajahnya. Rasa-rasanya dia ni ada surat beranak. Adik Kasim nama Mukhtar. Oleh kerana Mukhtar tak ada surat beranak, maka bila cukup umur nak buat gambar (myKAD), dia orang ambil saja surat beranak Kasim. Alasan paling logik ialah polis tak akan tangkap Kasim sebab tak ada myKAD sebab Kasim cacat. Akhirnya Kasim juga dapat myKAD setelah diusahakan cari 'kaki' surat beranak Mukhtar. Dalam kes ini Kasim jadi Mukhtar dan Mukhtar jadi Kasim.

Kembor dah masuk Felda, Mukhtar dah masuk Felda dan tinggallah Kasim yang belum kahwin yang buat macam-macam kerja untuk menjaga Mek Tok.

Tiap-tiap kali saya balik kampung, jika kesihatan mengizinkan Mek Tok akan ke rumah saya dan kadang-kadang bermalam terus. Dia hanya inginkan saya belikan Eye More untuk dia sebab mata Tok dah tak berapa nampak. Eye More kat KL bagus, ori, Eye More kat Terengganu sini ni semuanya tipu.... kata Mek Tok.

Dengar khabarnya Mek Tok dah uzur sekarang dan entah sempat entahkan tidak saya belikan lagi Eye More untuk dia.

4 comments:

zino said...

lainkali bila balik dan masih berkesempatan berjumpa dia belikan bekalan eye more tu lebih sikit..

Atok said...

next time balik, boleh bawa Mek Tok ke spital check mata terus... ke guane.

amylia7 said...

kesian mek tok. sedih baca tentang orang2 tua nie. mulalah terbayang orang2 tua yang rapat dengan kita... hmmmm nice entry...

sri said...

Saya bayangkan diri saya bila di usia Tok Mek Tok :-(