Labels

Tuesday, September 28, 2004

ALONG


anak pertama
hidup memakan bunga
timangnya along

ENTAH apalah yang nak jadi kepada negara kita ni. Lepas satu, satu lagi yang datang. Dulu perogol, lepas tu pembunuh, kemudian peragut, kini along pula. Along ataupun Ah Long ini ialah merupakan peminjam wang tidak berlesen yang memberi perkhidmatan kepada orang awam dan mengenakan faedah atau bunga yang amat tinggi. Bayangkanlah, meminjam RM1000 akan dikenakan yuran proses sebanyak RM300 dan bayaran ansuran RM40 sehari akan dikenakan selama 40 hari. Ini bermakna kadar faedah yang dikenakan ialah sebanyak 62.5%.

Along menggunakan pendekatan yang ganas kepada sesiapa yang gagal membayar hutang yang diberikan. Ia termasuklah ugutan, deraan malahan bunuh bukan sahaja kepada peminjam, malahan juga kepada ahli keluarga terdekat.Umum mengetahui akan keganasan along ini. Along mengenakan kadar faedah yang tinggi. Nyawa sendiri dan ahli keluarga mingkin terancam. Bayaran perlu dilakukan pada setiap hari. Namun yang peliknya ialah perniagaan along ini mendapat sambutan. Ramai orang awam yang terpaksa menggunakan perkhidmatan along kerana kesempitan wang. Inilah merupakan suatu penyakit kepada masyarakat kita yang barangkali memerlukan kajian dan tindakan yang serius.

Rasanya membenteras keganasan along tidaklah begitu berkesan. Yang lebih elok ialah mengkaji punca mengapa perkhidmatan along ini amat diperlukan dan berikan perkhidmatan alternatif. Sepatutnya juga perniagaan along perlu dibenteras di peringkat awal lagi, iaitu menghalang pemberian pinjaman wang ini dan bukannya bertindak setelah keganasan dilakukan terhadap mangsa.

No comments: