Labels

Sunday, April 16, 2006

TIADA BIROKRASI

Tiada Birokrasi. Jangan Tunggu Pekeliling. Baca Akhbar, Dengar Radio, Tonton TV. Laksanakan saja arahan

Berita Harian
KUALA LUMPUR: Jabatan Pelajaran perlu segera melaksanakan apa saja dasar dan keputusan kerajaan selepas diumumkan menerusi media massa tanpa perlu menunggu pekeliling rasmi.


Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia sejajar usaha kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan sistem penyampaiannya.

“Kalau Perdana Menteri pun sudah umumkan, laksanakan saja dan jangan tunggu pekeliling. Jangan guna pekeliling sebagai alasan untuk tidak melaksanakan apa yang sudah diputuskan kepemimpinan.

“Alasan itu saya tidak boleh terima, apa gunanya kita adakan sidang media untuk umumkan keputusan jika jabatan tetap menunggu pekeliling,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ensiklopedia Sains dan Teknologi (EST) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Beliau mengulas aduan seorang bekas guru bersara bahawa permohonannya untuk mengajar semula subjek kritikal tidak dilayan Jabatan Pelajaran dengan alasan tiada pekeliling berhubung dasar itu diterima.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil semula bekas guru bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar bagi subjek kritikal.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, orang ramai boleh membawa terus apa saja persoalan berkaitan pelajaran kepada pengetahuannya jika mereka menghadapi masalah pada peringkat jabatan.

“Saya akan melihat dan menangani masalah ini,” katanya.

Mengenai kesediaan kerajaan menimbang permintaan Filipina untuk menubuhkan sekolah di kem tahanan pendatang asing tanpa izin negara itu di Sabah, Hishammuddin berharap ia tidak digembar gembur dengan pelbagai spekulasi negatif sehingga menimbul kekeruhan dalam hubungan dua hala.

Sambil menyokong cadangan itu atas dasar kemanusiaan dan semangat Asean, beliau berkata, kerajaan akan memastikan sebarang kebenaran untuk Filipina berbuat demikian tidak akan menjejaskan kepentingan negara.

Mengenai kedudukan kewangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang meruncing, Hishammuddin berkata, perkara itu dalam perhatian kerajaan.

“Malah, Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda Umno juga sudah diarah mengkaji permasalahan dan tindakan bagi membantu TNB,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, penerbitan ensiklopedia itu membuktikan bahasa Melayu boleh dimartabatkan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Hishammuddin berkata, Sabah menerima peruntukan RM2.87 bilion daripada Kementerian Pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), iaitu terbesar berbanding negeri lain.

Ketika mengumumkan perkara itu di sini, beliau berkata, peruntukan berkenaan membolehkan negeri ini memajukan lagi sektor pendidikan dengan menyedia prasarana serba lengkap.

3 comments:

JIE said...

Kalau ambil tindakan berdasarkan interpretasi sendiri atas apa yang pak mentri bilang di tv, lepas tu pekeliling yang keluar tak sama dengan apa yang kita interpretasi, kena surcaj tak?

mba2u said...

sure kena punya..... ;-)

Anonymous said...

tak setuju tak setuju. Hishamudin nih cam tak best aje. Banyak dasar dia lain cakap, lain bikin.

Gila buat kerja berdasarkan apa yang orang cakap. Tak kiralah yang cakap tu PM pun. Mesti ada black&white maaa.