RAMAI Blogers yang menulis mengenai 20 years ago. Kemudian Sis Yan menulis mengenai 30 years ago. Nah ini dia 40 years ago .... (bukanlah tua sangat, tapi sajalah.. hati masih muda).
S: Di mana anda 40 tahun yang lalu?
J: Oh... itu tahun 60an. Masa itu saya di sekolah rendah, dan alhamdulillah saya dah celik huruf pada masa itu.
S: Boleh diceritakan sedikit zaman persekolahan anda pada masa tersebut?
J: Pada hakikatnya ianya susah dan dikelilingi oleh segala kesusahan, namun saya tidak merasa dan menganggapnya susah. Ayah mempunyai sebuah basikal untuk berulang alik ke tempat kerjanya, juga untuk membawa saya bersiar-siar sekali sekala. (Dengar khabarnya, ayah mengorat emakpun menggunakan basikal inilah). ha ha ha.
Saya ke sekolah berbekalkan 20 sen (mewah tu... sebab kawan-kawan saya tidak membawa walau satu senpun). 5 sen untuk tambang bas pergi dan 5 sen untuk tambang balik. 10 sen untuk belanja. Tapi saya 'wajib' menyimpan 5 sen sehari untuk membeli akhbar Utusan Pelajar (20 sen) yang dijual pada setiap Khamis.
Walau bagaimanapun biasanya saya berjalan kaki sejauh 2 batu (bukan 2km) waktu pergi ke sekolah kerana cuaca masih sejuk dan ramai kawan-kawan yang sama-sama berjalan kaki (barangkali mereka tidak berduit untuk tambang). Sekali-sekala pernah juga kami ditompangkan oleh pengurus ladang berbangsa Inggeris menaiki jeep beliau. Mat Salleh ini mengangkut semua budak sepanjang perjalanan ke sekolah sehinggakan macam dalam tin sardin rupanya. Semasa pulang juga saya kerap berjalan kaki kerana mengikuti kawan-kawan yang lebih senior untuk mandi di sungai sebelum tiba di rumah. Hinggalah saya lemas pada suatu hari dan rahsia saya mandi sungai terbongkar dan saya dihadiahkan dengan beberapa das rotan. Adoi!!!
S: Bagaimana suasana persekolahan pada masa tersebut?
J: Oh.... bagi tujuan rekod, saya sentiasa mendapat nombor 1 sepanjang 6 tahun saya di sekolah rendah. Bukannya saya ni pandai, cuma murid-murid lain kurang cerdik dari saya. Di kampung saya kesedaran terhadap pelajaran belum ada pada masa tersebut. Guru besar terpaksa pergi dari rumah ke rumah untuk mencari, memujuk ibu bapa dan mendaftarkan murid yang telah 'cukup umur' untuk disekolahkan. Dalam tahun pertama persekolahan saya, kami cuma tiga (3) orang sahaja. Mengapa? tak percaya?. Kelas 1,2 dan 3 digabungkan sekali dan darjah 4,5,6 dalam satu lagi kelas. Di sekolah ini cuma ada 3 guru, iaitu guru besar, ustaz dan guru bahasa Inggeris. Selepas rancangan FELDA dibuka, barulah sekolah saya dibanjiri oleh ramai murid dan guru yang mula 'menggugat' kedudukan saya sebagai 'murid nombor satu' (masih unggul lagi tuuu).
S: Bagaimana anda menggambarkan kemiskinan?. Ramai tokoh kini menceritakan tentang menjual nasi lemak atau jual kuih di zaman kanak-kanak mereka sebagai simbol kemiskinan dan studi menggunakan cahaya lilin untuk menggambartkan keperitan hidup. Anda bagaimana?.
J: Jual nasi lemak? Jual kuih?. Saya tak pernah buat kerja tersebut.Bukan tak mampu untuk buat nasi lemak untuk dijual, tetapi tidak ada pembeli. Orang-orang kampung hidupnya susah, duit terlalu mahal untuk diperolehi, jual apapun memang tidak laku. Tidak ada pembeli. Saya berjalan kaki ke sekolah bukan semata-mata kerana tiada duit, tetapi tidak ada bas untuk dinaiki. Bas hanya 'turun' sekali waktu pagi dan 'naik' sekali lagi sebelah tengahari atau petang dan trip berikutnya adalah keesokan harinya.
Saya studi menggunakan pelita ayan. Cikgu sibuk menasihatkan saya supaya menggunakan lilin kerana cahayanya lebih putih dan tidak merosakkan mata berbanding cahaya pelita. Namun saya tidak pernah menggunakan lilin sebab bukan semata-mata tidak ada duit, tetapi tidak ada kedai yang menjual lilin yang berhampiran dengan tempat tinggal saya.
S: Anda 3 orang dalam satu kelas, ke mana 2 lagi kawan anda?
J: Kedua-duanya masih ada di kampung. Seorang daripadanya berhenti sekolah setakat darjah enam (kemiskinan keluarga adalah punca utamanya). Sekarang beliau menjadi peneroka FELDA. Seorang lagi tamat SPM dan dapat bekerja sebagai kerani kilang dan sekarang saya rasa sudah 'kaya-raya', telah bina rumah batu (orang kampung berumah kayu).
S: 3 orang guru dalam satu sekolah, apa yang anda pelajari?
J: Kami diajar mengenal huruf, mengenal nombor, kira-kira dan fardhu ain dan bersukan. Ujian dan peperiksaan kurang ditekankan, hinggakan saya hanya tahu tahu adanya peperiksaan penilaian (darjah 5) setelah cikgu pinjamkan saya duit 20 sen supaya membeli pensil 2B dan pemadam untuk mengambil peperiksaan. Dan..... hingga sekarang saya tidak tahu keputusan peperiksaan tersebut.
S: Lagi?
J: ah, lain kali sajalah kita sambung, saya penatlah sekarang ....
No comments:
Post a Comment