Labels

Wednesday, May 04, 2005

KENA APA KITA BEKERJA?

SAYA ada seorang kawan yang hobinya dalam fotografi. Apa sahaja akan difotokannya. Yang hairannya semua foto yang dirakamkannya adalah cantik, indah, bermakna, unik dan menjadi. Pantang jumpa objek sahaja terus dirakamkan melalui lensa kameranya. Tak kisahlah semut merayap ke, rerama hinggap ke, putung rokok terbakar ke apa sahaja akan dirakamkan dan difotokan. Hobi beliau ini agak mahal juga kosnya, tetapi boleh juga dijadikan duit. Tetapi hobi adalah tetap hobi kepada beliau. Beliau sentiasa riang gembira dengan hobinya.

Menyedari tentang bakat dan kebolehan serta minat beliau, kawan saya ini telah ditawarkan jawatan sebagai jurukamera di sebuah majalah secara sepenuh masa. Mula-mula dia gembira sangat dengan jawatan tersebut sebab hobi beliau dibayar gaji bulanan. Namum selepas itu beliau mulai bosan, merungut dan tidak lagi berminat dengan pekerjaan yang menjadi hobinya. Kerja sebagai fotografer bukan lagi menjadi minatnya. Memandang kamerapun beliau naik muak.

Mengapa begitu?

Kawan saya tersebut bukan keseorangan dalam hal ini. Ramai lagi rakan-rakan yang lain yang mempunyai keadaan yang sama atau hampir-hampir serupa. Ia itu sangat produktif bila tidak diberikan tugas (hanya sebagai hobi) dan sungguh membosankan bila ia menjadi tugas rasmi. Mengapa begitu?.

Seorang lagi rakan amat meminati programming. Beliau bukanlah seorang programmer, tetapi program beliau mengalahkan seorang programmer. Beliau bukannya bekerja di Pusat Komputer (PK), tetapi kakitangan PK banyak yang meminta khidmat nasihatnya. Memandangkan minat dan kebolehan beliau, pihak pengurusan telah menukarkan beliau ke PK supaya minat, hobi dan kebolehan beliau dimenafaatkan untuk kepentingan jabatan. Apa yang terjadi selepas itu?. Beliau siap bergaduh dengan bos lagi bila diberikan kerja untuk buat programming, dia bukan programmer katanya, sedangkan sebelum itu programming adalah sebahagian dari kehidupannya.

Alahai mengata orang.... kita juga begitu kan?. Ramai antara kita bosan duduk di ofis dan mengidamkan untuk outstation. Bila dah dapat oustation pulak, rindunya jika dapat kerja dok kat ofis sepanjang masa. Malahan yang dapat pergi luar negara juga boring. Begitu juga dengan kursus. yang tak terpilih nak sangat pergi kursus, yang dipilih merasa jelek nak pi kursus. Yang kerja ghurka pula nak sangat jadi bos, tahu tak bahawa bos juga tak minat nak jadi bos?. Mereka kata alangkah seronoknya jadi ghurka... tak banyak masalah (biarlah jadi ghurka, asalkan dapat gaji bos).

Hmmmmm itulah kita semua.

No comments: