Labels

Friday, March 04, 2005

MANUSIA MASUK KANDANG

PEPATAH Melayu berbunyi "masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak" mungkin tidak boleh digunakan lagi. Maksud asal pepatah ialah supaya orang Melayu lebih fleksibel dan bertukar mengikut suasana. Namun biasanya orang kita lebih melihat kepada kulitnya sahaja dan pelbagai versi pepatah ini telah wujud. Antara yang popular misalnya ialah "jadilah macam ikan, walaupun dikelilingi air masin, dagingnya tetap tawar".

Dulu-dulu orang Melayu akan pakai baju Melayu bila ke mesjid dan surau dan berketayap bila ada kenduri arwah atau menziarahi orang sakit atau meninggal. Jika tidak ada pakaian sedemikian, lebih baik tidak pergi rasanya, kerana seolah-olah pakaian tersebut adalah sebahagian daripada syarat "sah" rukun tersebut. Jika duduk di rumahpun, bila hendak solat, kain pulikat yang akan dicari dan digunakan. Kini zaman sudah berubah dan budaya kemeja-t telah di bawa ke mana-mana dan telah sah dipakai walaupun ke mesjid, disko, kenduri dan sebagainya. Lantaran itu semakin kurang kita lihat jemaah di masjid yang berpakaian secara tradisional.

Namun ia mungkin berlaku di kampung. Di kampung jemaah tidak akan bersembahyang dengan memakai seluar, kecuali musafir.

Bagi pekerja pejabat yang bertali leher dan berkot juga, majoritinya akan menyangkut sementara "pangkat" tersebut di pejabat dan akan ke mesjid dengan berselipar dan berkopiah. Inilah yang dikatakan fleksibel. Namun masih ada juga orang Melayu yang solat di masjid dengan tie, kot dan stokin. Ia adalah biasa bagi orang luar negara, namun jika yang berkulit sawo matang di Malaysia, ada perasaan lain sikitlah bagi mata-mata yang memandang... ;-)

[baru balik dari sembahyang Jumaat ni...]

No comments: