Labels

Monday, March 14, 2005

KURANGKAN BUDAYA MINUM TEH WAKTU KERJA

[Petikan Dari Utusan Malaysia]
Oleh: AMRAN AHMAD
Murata Akira
Murata Akira Semasa Hadir DI Jamuan myJICA

KUALA LUMPUR 13 Mac - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Jepun menyifatkan pekerja swasta di negara ini mempunyai ketekunan tinggi semasa bertugas tetapi memperuntukkan masa yang terlalu banyak kepada waktu rehat untuk minum teh.

Wakil Tetap Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) di Malaysia, Murata Akira berkata, warga kerja dalam sektor korporat dan bidang teknikal serta vokasional di Malaysia secara amnya mempunyai tahap ketekunan yang tinggi semasa bekerja.

``Cuma budaya minum teh yang dilakukan berkali-kali dalam sehari, kalau boleh dikurangkan kerana tabiat ini mengurangkan produktiviti di samping menyebabkan kerja tidak siap mengikut masa bekerja,'' ujar beliau dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, Akira menambah, budaya kerja itu dijangka akan menjadi seimbang apabila Malaysia mencapai status negara maju seperti yang disasarkan pada tahun 2020.

JICA yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1974 merupakan institusi awam khas di bawah Kementerian Luar Jepun yang memainkan peranan sebagai `penghubung' dan penggalak kerjasama serta hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Antara tugas utama JICA di negara ini ialah meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia menerusi pembangunan sumber manusia yang berterusan, pemuliharaan alam serta serta menggalakkan usaha sama serta perkongsian bijak antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut mengenai pengalamannya di Malaysia, Akira menambah, beliau yang telah menetap di beberapa negara membangun di rantau Asia sebelum ini mengakui bahawa Malaysia adalah antara negara yang terbaik.

Rakyat negara ini, katanya, bekerja dan menjalani kehidupan dengan penuh berdisiplin dan sangat menghormati orang lain menjadikan orang asing yang bermastautin di Malaysia merasa selesa.

Oleh itu, jelas beliau, Malaysia memiliki segala perkara asas yang diperlukan untuk menjadi sebuah negara maju seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020.

Bagi JICA, menurut beliau, pihaknya akan terus menggalak serta mempromosi hubungan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara di samping terus membantu firma-firma perniagaan tempatan untuk mendapatkan bantuan kewangan dari bank di Jepun.

``Kami juga sedang mengatur untuk memberi bantuan dari segi khidmat nasihat kepada sektor perbankan Malaysia, seperti yang dilakukan untuk Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Bhd. (BPIMB),'' tambahnya lagi.

No comments: