inang menari rebana tar dipalu rodat dirindu |
RODAT: Ada sesiapa yang pernah menonton rodat? Atau tahu apakah itu rodat atau sekurang-kurangnya pernah mendengar perkataan rodat?. Masa saya kecil dulu, kerek (selalu) juga menontonnya, tapi kini boleh dikatakan tidak pernah lagi...
PERMAINAN rodat merupakan salah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih subur hingga sekarang. Permainan ini terdiri dari satu pasukan terdiri daripada pemukul rebana tar, orang meneggak dan mak inang. Pemukul rebana juga bertugas sebagai penyanyi bagi mengiringi orang menenggak dan mak inang. Ketua kumpulan ini dinamakan Tukang Adi yang akan membacakan lagu-lagu rodat dari kitab Hadrah. Kitab ini dipercayai dari Timur Tengah. Biasanya lagu-lagu rodat ialah tentang pemujian terhadap Tuhan dan nabi. Namun ada kalanya juga telah diMelayukan mengikut suasana semasa.
Rodat selalunya dipertunjukkan waktu malam. Biasanya dari jam sepuluh malam hinggalah fajar menyinsing. Pertunjukan diadakan apabila adanya majlis-majlis kahwin, kenduri, khatan, pesta-pesta perayaan atau Temasya Main Pantai
Mak Inang adalah merupakan tarikan utama terhadap sesebuah kumpulan rodat. Inang yang terdiri daripada gadis atau perempuan muda hanya keluar sekali sekala sahaja dan sentiasa diawasi oleh kumpulan tenggak. Masih kuingat ... pada zaman dahulu, setiap kali inang keluar, para penonton khususnya pemuda akan melontarkan rokok dan ada kalanya duit kepada mereka ini.
Diantara nama-nama lagu penting yang masih digunakan dalam Permainan Rodat yang terdapat di dalam Kitab Hadrah ini ialah:-
* Ya hayum ya qayum ( nama Tuhan yang mengidupkan ).
* Sillatullah ( hubungan dengan Tuhan ).
* Ya rasul Ya Rasulullah ( Wahai Rasul, wahai pesuroh Allah )
* Allah la illa ha illa llah ( tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah ).
* Zikri Nabi - al - mukhtar ( Nabi yang terpuji ).
MBA - Nostalgia lama.
No comments:
Post a Comment