Labels

Wednesday, February 02, 2005

WEBLOG: PENULISAN KELAS DUA?


[JAWAPAN MBA kepada pertanyaan yang dilontarkan kepada Tok Rimau (Presiden GEJU) rentetan dari Wacana Weblog di Rumah Pena Sabtu lepas:

1) Sejak bila menubuhkan blob/weblog di internet dan berapa ramai yang sudah membacanya?

Tarikh sebenar ialah 12 Ogos 2002, tetapi cuma sehari sahaja sebelum disambung semula pada 26 April 2003hinggalah sekarang. Berdasarkan statistik yang diukur dari 26 Julai 2003 menunjukkan 101,693 pelawat telah berkunjung.. Biasanya lebih dari 200 kunjungan dicatat dalam sehari, pada hari biasa dan menurun pada hujung minggu. Catatan kunjungan tertinggi dalam sehari ialah 508. Mungkin pengunjung yang sama datang beberapa kali dalam sehari, atau seorang pengunjung hanya datang sekali seminggu, sekali sebulan atau sekali-sekala. Maka jumlah pengunjung sebenar tidak dapat dipastikan.

2) Khabarnya hanya penulis tidak bernama yang membaca karya sastera di weblog?

Saya mendapat khabar yang penulis besar tidak membaca karya sastera rakan mereka, walaupun di kertas cetakan, apatah lagi jika di weblog. Ada sebilangan dari mereka juga masih menggunakan mesin taip dan tidak mempunyai alamat e-mel. Jadi tidak hairanlah jika mereka tidak membaca.

Jika orang yang buta huruf tidak boleh membaca (mereka menikmati karya melalui deria dengar atau lihat) dan orang yang rabun komputer juga tidak boleh membaca (karya di weblog).



3) Ada pendapat mengatakan karya weblog adalah karya kelas kedua? Apa komen saudara mengenai perkara ini?

Karya sastera zaman dahulu kala, di zaman Tok Selampit dikisahkan secara lisan. Hanya masyarakat setempat dapat menikmati karya tersebut. Dengan kemajuan teknologi, karya telah ditulis dan dicetak, diperdengar melalui radio dan di tayang di layar TV. Pembaca, pendengar dan penonton merangkumi seluruh negara. Dengan teknologi Internet, weblog membolahkan karya disebar ke seluruh dunia.

Ini bermakna karya weblog bukan kelas kedua, tetapi berkelas dunia.


4) Berkarya di weblog, tiada siapa yang mengedit atau menilai bahasanya. Dimanakah kualiti penulisan itu sendiri?


Karya atau penulisan tanpa edit adalah yang paling jujur, ia adalah suara hati. Kualiti penulisan di weblog adalah kejujurannya. Ia tidak perlu diedit supaya menepati mana-mana teori penulisan atau mengikut rentak editor atau penerbit.

5) Difahamkan Tok Rimau menerbitkan makalah Gangguan Teksual, bagaimana dengan hakcipta dan royalti?


hakcipta adalah hak penulis dan terpulang kepada Tok untuk memberi royalty (jika ada) ..... selebihnya Tok kena jawab sendiri....

6) Mampukah karya sastera di weblog memartabatkan sastera negara sedangkan ia tiada proses penyuntingan?

Tidak semua karya yang diterbitkan (yang melibatkan proses suntingan) adalah bermutu dan boleh memartabatkan sastera negara. Karya-karya dalam weblog atau karya siber tidak semestinya tidak bermutu hanya kerana tidak mengalami proses suntingan oleh editor. Sebagai contoh dalam beribu-ribu karya sastera yang disiarkan (tanpa suntingan) di www.esastera.com sudah tentu terdapat beratus-ratus yang baik dan bermutu (malahan lebih baik dari karya yang telah disunting) Perlu diingat, tidak semua karya di weblog, atau karya siber tidak disunting. Contohnya haiku yang disiarkan di www.melayu.com disunting terlebih dahulu (secara ala kadar) oleh pentadbirnya.

Sekiranya soal suntingan yang menentukan mutu sesebuah karya, maka saya berpendapat karya yang disiarkan di weblog lebih bermutu kerana ia disunting terus oleh pembaca dan pengulasnya dan tidak terbatas kepada hanya seorang penyunting.

Saya pernah hadir ke anugerah puisi alam siber (APAS) dan hakim (penulis tersohor) memberitahu yang beliau tidak dapat membezakan (dari segi kualiti) di antara karya dari media cetak dengan karya alam siber (selepas dicetak). Nah.... berkualiti apa! karya alam siber...


7)Saudara dari disiplin yang berbeza dengan sastera tetapi kenapa begitu minat berkarya? Pernah menerbitkan buku?

Sastera adalah milik semua. Jika ia tidak menyusahkan orang lain apa salahnya? Buku? Nantilah.

8) Tidak teringinkah berkarya luar dari dunia maya dan menghantar kepada penerbit?

Nanti ada yang tidak boleh cari makan pulak. Ha ha ha ha

9) Setiap hari berapa ramaikah yang mengunjungi weblog saudara?

Sekitar 200


10) Tidakkah berkarya melalui weblog menghilangkan atau memutuskan silaturahim kerana hanya berinteraksi melalui media elektronik dan teks menjadi penghubung tanpa dapat melihat reaksi atau ekspresi wajah orang yang memberi tindakbalas atau komen kepada weblog anda?

Karya melalui media tradisional milik orang lain adalah lebih banyak memutuskan silaturahim kerana ingin cantas mencantas, pilihan kroni dan rasa tidak puas hati dengan pihak-pihak lain.


Kalau kalian tidak larat jawab semua, pilih satu pun cukuplah.

Jawapan secara ala kadar sahaja.

No comments: