Labels

Friday, February 04, 2005

SUSAH SENANG MENCARI REZEKI


AHAD lepas MBA ke Pasar Seni @ Central Market kerana membeli beberapa cenderamata yang diinginkan oleh peserta kursus yang akan berangkat ke Jepun. Mereka nak berikan cenderamata ini kepada sensei dan rakan-rakan baru @ sekelas mereka. Sebaik sahaja selesai urusan jual beli, hujan turun dengan lebatnya. Maka tersadailah di situ sementara menunggu hujan reda untuk menaiki LRT pulang ke rumah.

MBA pergi dari satu gerai ke satu gerai melihat 'seniman' mencari rezeki. Sebuah lukisan dijual sekitar RM5000. Dalam hati bertanya sendiri, dalam setahun berapa buah yang laku?. Pelan dan lakaran sebuah rumah mewah dijual RM50,000 (dengan 2X ansuran). Ada ke pembelinya?.

Akhirnya bertemu dengan seorang penyair jalanan yang menjaja puisinya. (Mengapa poet diterjemah sebagai penyair?. Bukankah penyair adalah penulis/pembaca syair?. Penyajak patutnya penulis/pembaca sajak dan pemuisi ialah yg menulis puisi?). Entahlah labu.... Penyair ini agak pelik sikit (mana ada penyair yang tidak pelik?). Katanya dia belajar kat UK, lepas tu merantau di pelbagai negara, tulis puisi merata-rata. Pernah dapat anugerah kat US. Balik Malaysia dan kerja kat bank, tapi tak seronok lalu ambil keputusan menjaja puisi di CM (entah betul entah tidak cerita dia, atau entah-entah dia memang tak betul). Tapi oleh kerana hujan lebat, kita layan jugaklah puisi dia ni. Satu puisi dia dijual dengan harga RM10 (lebih mahal dari sebuah antologi penyair yang kurang ternama). Dengan membayar RM10, pembeli dapat sebuah puisi, dapat dengar deklamasi dia (kalau ada pita/kamera/video boleh rakam ). Nak buat apa dengan puisi tersebut?. Nak bacapun bukannya faham, nak dengarpun bukannya ... Dalam sehari dapatlah RM20-RM30 katanya hasil usaha dia mendekati berpuluh-puluh orang yang terlarat olehnya.

Perbuatan penyair ini menjaja puisinya samalah dengan seorang pengemis yang menjaja kalendar atau ayat Quran yang tidak meminta 'derma ikhlas'. Namun rasanya seorang pengemis mendapat pulangan yang lebih lumayan berbanding dengan penyair tersebut.

No comments: