Labels

Monday, December 28, 2009

ULASAN BDDF

Saya menerima sapaan daripada sdr Aliff Mustakin di FB:

Tuan MBA, ada catatan yang saya titipkan di blog saya mengenai buku Buat Duit Dengan Foto. Terima kasih kerana menulis buku tersebut.

Berikut adalah catatan beliau daripada blognya

28 Disember 2009
Buat Duit Dengan Foto

Satu “ledakan pencerahan” berlaku di dalam minda saya apabila selesi membacanya. Buku ini baru sahaja saya beli dari kedai buku. Sampai segera saya tulis di blog. Saya begitu teruja bila membaca dua bab terakhir buku tersebut. Pada bab kedua terakhir ini saya petik kata Mypokcik yang menyebut, “fotografi adalah hobi yang cukup menarik kerana melibatkan kedua-dua bidang ilmu utama, iaitu sains dan seni (science and art)”. Di sini lalu saya tangkap perkara yang kena dengan saya iaitu sains dan seni. Begitu juga dengan haiku dan haiga yang disebutnya sebagai bonus di dalam buku ini.

Buat Duit dengan Foto

Sebenarnya saya membeli buku ini bukan atas tujuan untuk mengambil jurusan fotografi pada 2010 akan datang. Dan ini bukan buku akademik atau modul. Tetapi atas minat kepada fotografi semenjak dahulu lagi. Saya juga belum membeli kamera DSLR untuk pengajian. Tetapi dengan membeli buku ini cukup memberi motivasi yang kuat kepada saya. Saya benar-benar mahu berterima kasih kepada penulis buku ini iaitu Tuan Muhammad bin Ali, yang saya kenali sebagai MBA dalam dunia haiku dan merupakan kawan baik guru saya.

Buat Duit Dengan Foto(BDDF) adalah satu panduan yang mudah kepada sesiapa sahaja memiliki kamera atau mula berminat dengan foto. BDDF bukan sebuah panduan untuk mengambil foto. Tetapi sedikit sebanyak memberi tip asas untuk kita mengambil gambar yang betul dan mengelak kesilapan. Ini sedikit sebanyak dititipkan pada beberapa bab buku ini.

Bab-bab terawal membawa pembaca kepada pengenalan bisnes foto, bisnes internet dan beberapa kemahiran yang perlu ada buat peminat foto. Bab 2 pembaca dihidangkan dengan istilah mikrostok dan stok foto. Kemudian pembaca akan diberi laluan bagaimana Flirk dan Ebay boleh memberi pendapatan kepada anda. Pada bab 3 pembaca ditekankan kepada beberapa kemahiran untuk melibatkan dalam bisnes foto. Aspek suntingan, katakunci dan bagaimana sesebuah foto direject dihuraikan pada bab ini.

Pada bab 4 pembaca dipacu kepada keperluan untuk memulakan bisnes foto. Sebenarnya untuk memulakan bisnes ini kos yang diperlukan cuma rendah sahaja. Ini membuktikan bahawa fotografi bukan lagi satu hobi yang mahal lagi. Dengan modal RM1000 sahaja sesiapa boleh mula menjalankan bisnes ini. Tuan MBA juga memberi huraian mengenai agensi-agensi stok foto seperti BigStockPhoto dan Fotolia yang boleh memberi jalan keuntungan kepada anda.

Pada bab-bab berikutnya penulis memberi panduan penggunaan E-Wallet seperti Paypal. Pembaca dididik dengan aspek pengurusan yang betul-betul beguna untuk sesiapa yang baru berminat untuk memulakan atau untuk meneruskan perniagaan foto. Dan bab-bab terakhir penulis memberi panduan mengenai beberapa organisasi stok foto. Bab 11 penulis membawa pengalaman sebenar beberapa peminat fotografi yang terjun ke dalam bisnes foto. Bab ini tentunya memberi perangsang yang berguna buat pembaca. Dan pada bab terakhir penulis tidak lekok memberi beberapa petua dan tip dari segi kaedah dan sebagainya mengenai foto. Yang menariknya anda akan diberikan 50 idea yang boleh anda praktikkan dengan kamera anda untuk menjana duit.

BDDF saya syorkan kepada semua untuk membacanya samada pro atau amatur. Juga buat sesiapa yang baru mula untuk masuk ke dunia fotografi seperti saya. Percayalah anda tidak rugi membelinya. Bukunya padat dan ekonomi. Memang best!
Dicatat oleh Aliff Mustakim di 18:18
Label: Fotografi, Non-Fiksyen

terima kasih daun kelada Aliff Mustakim.

Friday, December 25, 2009

SINOPSIS TRAVELOG UK

MANUSKRIP ini telah agak lama saya siapkan. Mungkin 99%. Namun saya 'malas' untuk menghantar ke mana-mana penerbit. Mungkin saya perlu tunggu buku Travelog Jepun diterbitkan terlebih dahulu agaknya.

Untuk memenuhi seseorang dalam facebook, saya sertakan rajah minda buku tersebut. Barangkali Tuan Izani boleh imbau kembali kehidupan di Glasgow dahulu.

Monday, December 21, 2009

MESYUARAT ADALAH MATLAMAT


PADA tahun lepas, saya menghadiri lebih daripada 250 mesyuarat rasmi. Sayugia diingat bahawa hari bekerja dalam setahun, selepas ditolak hari minggu, hari kelepasan, hari cuti dan sebagainya hanyalah 200+ hari sahaja. Ini bermakna setiap hari adalah mesyuarat, sekurang-kurangnya satu. Banyak daripada mesyuarat ini adalah merupakan "must do list" dan bukannya "nice to have". Maknanya ia wajib diadakan dengan bilangan yang sudah ditentukan dalam setahun.

Dulu, iaitu lama dahulu saya pernah didatangi oleh sekumpulan juruaudit. Mereka meminta semua minit mesyuarat projek yang diadakan. Saya serahkan beberapa buah fail minit yang kemas tersusun. Mereka tidak berpuas hati kerana minitnya tidak cukup.

Audit: Sepatutnya ada 52 minit mesyuarat. kami cuma menemui 30 sahaja. Mana yang selebihnya?.

Saya: Mesyuarat tidak diadakan, sebab itu tidak ada minit.

Audit: Mengapa tidak buat mesyuarat?

Saya: Itu adalah keputusan pengerusi. Dia fikir tidak perlu buat mesyuarat kerana tidak ada isu.

Audit: Mesyuarat bukan hanya apabila ada isu. Dalam perjanjian sudah termaktub mesti buat 52 mesyuarat setahun, iaitu setiap Isnin.

Saya: Saya faham, tetapi pengerusi tidak mahu adakan mesyuarat.

Audit: Mengapa tidak nasihatkan dia? Nanti dia akan jawab 'saya tidak diberi nasihat'.

Saya: Saya sudah nasihat, tapi dia tidak mahu dengar.

Audit: Mana bukti awak beri nasihat?. Berikan saya fai, surat atau memonya.

Saya: Dia bos saya. Masakan saya beri memo pada bos. Itu tidak munasabah.

Audit: Ini bermakna awak tidak beri nasihat. Setuju?

Saya: Projek ini tidak ada masalah, mengapa perlu adakan mesyuarat?.

Audit: Masalahnya ialah kerana tidak adakan mesyuarat.

Akhirnya saya mendapat tahu bahawa sabitan ini digugurkan dan saya dibebaskan atas kesalahan tidak beri nasihat kepada bos supaya mesyuarat diadakan. Bekerja di situ, lama dulu, ya lama dulu sangat seronok mesyuaratnya. Saya naik ketagih untuk mesyuarat. Saya pernah mendapat cuti sakit dan terpaksa bertongkat. Namun saya masaih datang bekerja bertongkat semata-mata untuk hadir mesyuarat. Seronok, sungguh seronok.

Wednesday, December 16, 2009

IDEA TIDAK MASUK AKAL


SETIAP pegawai awam di peringkat pengurusan tertinggi akan dibekalkan dengan sebuah kereta. Pada zaman dahulu, superscale C adakan diberikan Volvo. Superscale B dan ke atas pula diberikan sebuah Mercedes atau yang sepadan (ada juga sebahagian kecil pegawai yang gemarkan BMW ataupun Audi). Kini semuanya, termasuk menteri dibekalkan dengan Proton Perdana. Dulu pejabat perlu mencari duit dan membeli sendiri kenderaan ini. Kini semuanya dibekalkan oleh syarikat yang dilantik, iaiatu Spanco.

Bagi pegawai lain, mereka juga ada 'hak' yang tertentu. Misalnya motorsikal (bagi penguatkuasa, peronda dll), komputer dan pencetak, kalkulator dan pelbagai kemudahan pejabat yang lain.

Kerap kali, apabila pegawai baru masuk kerja, mereka tidak dapat dibekalkan dengan peralatan seperti komputer. Ini adalah kerana komputer tidak dibeli sekiranya jawatan masih belum diisi. Ia adalah untuk mengelakkan pembaziran, di mana komputer lebih banyak daripada staf. Setelah staf melapor diri untuk bekerja, (pengambilan dibuat oleh agensi pusat yang lain) duit peruntukan untuk membeli komputer telahpun habis. Pegawai ini perlulah menunggu pusingan pembelian berikutnya untuk dibekalkan dengan komputer.

Idea tidak masuk akal saya ialah, kerajaan boleh melantik agen atau kedai atau yang seumpama dengannya untuk membuat bekalan ini. Apabila pegawai baru melapor diri, dia diberikan satu kupon dan bolehlah ke mana-mana kedai yang telah dilantik untuk 'membeli' komputer tersebut. Cara bayarannya terpulanglah.... boleh dibuat seperti kereta di atas.

Jika pegawai yang dibekalkan dengan kereta, mereka juga diberikan waran untuk membeli minyak dengan had yang tertentu di stesen minyak yang ditentukan. Oleh itu, pegawai yang dibekalkan dengan komputer juga boleh diberikan waran untuk membeli kertas, dakwat dan sebagainya dengan had yang tertentu. Pandai-pandailah dia berjimat.

Logik atau tidak idea tidak masuk akal ini?.

Monday, December 14, 2009

JEMPUTAN ENVISIONING myJICA



SEMUA JICA ex-participants adalah dijemput untuk hadir ke sesi myJICA envisioning seperti berikut:

Tarikh: 16-17 Januari 2010 (Sabtu-Ahad)
Masa: 8am (Sabtu) - 12.30pm(Ahad)
Tempat: Genting View Resort, Genting Highland
Kemudahan: Penginapan 1 malam beserta makan-minum
Bayaran: Percuma

Kami akan membahagikan peserta kepada 4 kumpulan:
1. Junior: Mereka yang baru pulang dari Jepun dan masih baru dengan myJICA

2. Senior: Mereka yang telah lama bersama myJICA

3. EXCO: Ahli Jawatankuasa myJICA

4. Tomodachi: Rakan2 myJICA, khususnya dari sektor swasta yg ingin membantu. Mereka tidak semestinya ex-participants atau ahli myJICA. Keutamaan diberikan kepada alumni Mt.Fuji, Alumni Homestay atau mereka yang pernah bekerjasama dengan myJICA.

p.s
1.Anda boleh membawa keluarga kerana kemudahan bilik adalah 'single occupancy'. Walau bagaimanapun makan-minum ahli keluarga adalah tanggungan sendiri dan masa check-in ialah 2pm.

2. Kesemua aktiviti dibuat secara dalaman (bilik).


Kepada yang berminat mohon hantarkan e-mel mengandungi nama, alamat dan e/phone kepada info@myjica.net

Add "JICA Malaysia" sebagai rakan Facebook anda untuk memudahkan komunikasi selanjutnya.

Tuesday, December 08, 2009

RAHSIA MENJADI JUTAWAN


SEJAK akhir-akhir ini pelbagai kursus, ceramah, buku, vcd dan pelbagai perkara diterbit dan disiarkan untuk menjadi jutawan.

1. Benarkah kita boleh menjadi jutawan dengan mendengar perkara-perkara begini?
2. Mengapa ramai 'jutawan' yang sangat bermurah hati untuk memberi tahu orang lain rahsia mereka?

Berikut adalah senarai 10 rakyat Malaysia paling kaya-

1. TAN SRI ROBERT KUOK HOCK NIEN (AS$7.6 bilion)
2. ANANDA KRISHNAN (AS$7.4 bilion)
3. TAN SRI LIM GOH TONG (AS$4.3 bilion)
4. TAN SRI LEE SHIN CHENG (AS$3.9 bilion)
5. TAN SRI TEH HONG PIOW (AS$3.5 bilion)
6. TAN SRI QUEK LENG CHAN (AS$3 bilion)
7. TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY (AS$2 bilion)
8. TAN SRI YEOH TIONG LAY (AS$1.8 bilion)
9. TAN SRI TIONG HIEW KING (AS$1.2 bilion)
10. TAN SRI WILLIAM CHENG HENG JEM (AS$650 juta)

Saya fikir, semua mereka ini adalah terlalu sibuk untuk buat seminar (dan kutip duit) untuk memberitahu rahsia mereka menjadi jutawan supaya orang lain juga menjadi jutawan. Sangat logik. Mereka sibuk untuk menambah wang mereka supaya mereka menjadi lebih kaya. Mereka tidak ada masa untuk berceramah ke sana-sini semata-mata supaya orang lain menjadi jutawan. Melainkan ceramah itu adalah supaya mereka sendiri menjadi jutawan hasil daripada wang yang dipungut daripada bakal 'jutawan' yang datang mendengar ceramah demi ceramah, tetapi tidak ada satu produk atau servispun yang boleh dijual. Bagaimana boleh menjadi jutawan jika begitu?.

Mat Jenin tidak adaproduk untuk dijual, tetapi dia ada servis iaiatu upah panjat kelapa. Dari upah hasil servis itulah Mat Jenin kumpul duit dan beli harta dan pelaburan untuk jadi jutawan. Sayangnya dia tidak sempat turun daripada pokok kelapa.

Monday, December 07, 2009

MESYUARAT TIDAK MENGHASILKAN INOVASI


SEJARAH telah membuktikan bahawa mesyuarat tidak pernah dapat menghasilkan sebarang inovasi. Cuba kita renungkan kembali:-

1. Telefon dihasilkan oleh Alexander Graham Bell
2. Kapalterbang dihasilkan oleh Orville Wright dan Wilbur Wright
3. Tenaga elektrik ditemui oleh Benjamin Franklin
4. Sistem Komputer (OS) dipelopori oleh Bill Gates

Banyak lagi contoh, tetapi semuanya bukan hasil daripada mesyuarat, sebaliknya seorang dua yang mempunyai bakat atau kebolehan yang inovatif. Ia dinamakan jaguh.

Apakah kegunaan mesyuarat dalam menghasilkan inovasi?
Memelihara jaguh.

Thursday, December 03, 2009

ALING: CUKUP UMUR BERSEKOLAH


1. Berdiri tegak
2.Tangan kanan pegang cupi telinga kiri melalui atas kepala
3. Oops... jangan sengetkan kepala, tangan betul-betul atas kepala
4. Boleh pegang telinga?. Awak boleh masuk sekolah. Sudah cukup umur.


Awang Muni, Awi Dicu, Doloh Koh dan Aling adalah empat sahabat sebaya. Mereka dilahirkan pada tahun yang sama. Hatta belajar dalam kelas yang sama.

Adapun guru besar di Sekolah Kebangsaan Peroh pada masa itu bernama Cikgu Latif. Cikgu Latif pergi dari sebuah kampung ke sebuah kampung mencari budak-budak yang telah boleh bersekolah. Syarat asas untuk budak-budak lelaki dan perempuan untuk memasuki sekolah ialah mereka ini mestilah sudah tahu berpakaian. Sekiranya mereka ini sentiasa berkaki ayam juga tidak mengapa, asalkan mereka boleh memakai kasut, dalam erti kata kaki mereka tidak melecet atau cedera dimakan oleh kasut. Sekiranya masih berseluar pendek tanpa baju dan berperut buje, sudah tentu Cikgu latif tidak akan membuat saringan ke peringkat kedua. Juga penting ialah budak-budak ini tidak dari jenis yang kencing dalam seluar. Jika jenis yang kencing malam dalam tidur itu tidak mengapa.

Perkara yang paling penting untuk budak-budak lulus pergi ke sekolah ialah apabila mereka berjaya memegang cuping telinga kiri dengan tangan kanan yang melintasi kepala. Sekiranya tidak Berjaya, budak-budak ini dikategorikan sebagai belum cukup umur untuk bersekolah.

Aling, Awang Muni, Awi Dicu dan Doloh Koh masuk darjah satu dalam usia enam tahun. Ia itu lebih muda setahun berbanding dengan umur rasmi masuk ke darjah satu. Mereka berempat orang ini sahajalah yang belajar di sekolah itu dalam darjah satu.
Adapun sekolah Peroh ini hanya mempunyai tiga orang guru sahaja. Ia itu Cikgu Latif yang merupa guru besar dan juga kerani sekolah. Dia juga mengajar matematik dan bahasa melayu. Dia juga menjual makanan di kantin sekolah. Seorang lagi ialah Ustaz Muawiyah yang mengajar ugama. Cikgu Ngah pula mengajar ilmu alam dan senaman serta bahasa Inggeris.

Oleh kerana murid darjah satu hanya empat orang sahaja, maka mereka ditempatkan bersekali dengan murid darjah dua. Tempat mereka berempat ialah di barisan hadapan sekali dalam kelas.

Tuesday, December 01, 2009

SAYANG ZyXEL !


SABTU lepas modem-router untuk streamyx di rumah terbakar akibat kena panahan petir dan kilat. Hancus. ZRouter Zyxel ini sengaja dibeli kerana kebolehannya membekalkan IP statik. Apa gunanya IP statik?. Saya nak lihat CCTV rumah daripada handphone. Tidak banyak modem-router yang mempunyai keupayaan sedemikian.

Namun jika telah dipanah petir, beli baru sahajalah ...

Saya hubungi ZyXEL Malaysia dan amat memeranjatkan kerana waranti modem ini ialah selama 3 tahun dan tetap diganti atas apa sahaja kerosakan termasuk panahan petir buat kali pertama. Dipendekkan cerita, hari pertama kerja (Isnin), saya telah mendapat ZyXEL yang baru dan yang rosak dibawa pulang.

Sayang ZyXEL.

Terima kasih Erna.

p.s Jikalah ZyXEL buat filem iklan macam POTONG itu.... jadikan kilat dan guruh dan dapat ZyXEL baru, rasanya berlipat kali ganda jualan tu. Saja beri idea saja kat Erna Fezura.

Monday, November 30, 2009

BLACKBERRY MEMANG BLACK


SETAKAT ini saya terpaksa berpuas hati dengan Blackberry. Sebabnya saya terpaksa melayan banyak e-mel dan masa yang ada terlalu suntuk. Saya boleh balas e-mel dalam mesyuarat atau di mana-mana sahaja hatta sewaktu dalam kereta sekalipun (waktu melayan trafik jem atau menunggu lampu merah bertukar hijau).

Walaupun telefon saya sebelum ini, iaiatu Nokia E71 dan iPhone 3G juga mampu untuk menerima mel secara automatik (pushmail), namun keupayaannya memang terbatas berbanding dengan blackberry.

Sungguhpun begitu, banyak features lain yang saya rindui:-
1. Garmin dalam E71
2. Pelbagai aplikasi dalam iPhone

Menggunakan blackberry, jika setakat guna sahaja apa yang ada, memang OKlah. Sekiranya kita memandai-mandai ingin tambah itu dan ini, ia akan jadi susah. Blackberry ini memang teknologinya "black". Sangat sedikit yang disuluh untuk tatapan pengguna. Pengalaman mengajar saya yang memasang peta Google hingga ia hancus dan terpaksa dihantar ke pusat servis. Pengalaman kedua ingin mengemaskini OS juga begitu. Sehingga sekarang saya masih gagal mengemaskininya. Blackberry juga agak sukar disinkronasi dengan PC berbanding dengan dua hp yang terdahulu.

Seperkara lagi, saya fikir Blackbnerry masih belum bersedia untuk memasuki pasaran Malaysia (dan beberapa negara lain). Apabila iPhone memasuki pasaran Malaysia, kedai perisiannya iTunes boleh dicapai oleh pengguna Malaysia. Bagi Blackberry, Apps World yang setaraf dengan iTunes tidak boleh dicapai oleh pengguna Malaysia. Hendak tidak hendak, terpaksanlhh gunakan ala kadar dengan apa yang ada sahaja.

Oh ya .... BB juga direka dengan memori terhad yang tidak memerlukan kita memandai memasang perisian itu dan ini, nanti ia akan bergerak lebih perlahan daripada kura-kura.

Sunday, November 29, 2009

HADIAH HARI RAYA


BARANGKALI kanak-kanak adalah golongan yang paling kerap menerima hadiah hari raya. orang dewasa bagaimana?. Kadang-kala ada juga menerima hadiah hari raya.

Petang raya saya menerima e-mel berupa hadiah hari raya:-


Assalamualaikum wrt wbt

Semoga tuan sentiasa sihat dan dilindungi Allah SWT.

Sukacita dimaklumkan bahawa buku tuan, Buat Duit dengan Foto akan diulang cetak buat kali kedua.

Semoga ia memberi inspirasi kepada tuan untuk terus berkarya dan menghasilkan manuskrip yang terbaik dan laku keras.

Sekian, Wassalam.

Salam Aidiladha.

Thursday, November 26, 2009

Pulut Sakura Serunding Kasih


-Leyla Shuri-

Sinopsis:

Novel ini menceritakan krisis kekeluargaan, pertembungan tradisi Timur dengan unsur-unsur Barat, serta generasi muda di tengah-tengah kemelut kehidupan.

Rafique, pemuda Malaysia yang pernah kehilangan kekasih, menjadikan penghijrahannya ke Jepun sebagai tempat melepaskan diri dari kongkongan memori itu. Berlatarkan kenyamanan Gunung Fuji, kekosongan di hati Rafique diis semula dengan satu kejadian yang tidak dijangka. Hujan lebat bersama ribut taufan, membasuh saki-baki kenangan yang masih merimaskan hatinya. Takdir menghidupkan semula sumbu kasih sayang itu.

Di Gunung Fuji, sekali lagi Rafique kehilangan sesuatu yang tidak ternilai. Apa terjadi di Gunung Fuji? Dapatkah Rafique mencari kehilangan itu?

Pulut Sakura Serunding Kasih memaparkan nilai-nilai sosial dan budaya masyarakat Jepun dan Melayu. Pulut sakura menjadi lambang nilai-nilai Jepun dan serunding mewakili lambang orang Melayu dalam adegan watak-watak di dalam novel ini.


Tahniah Halela.
Setelah ditendang ditolak di sana sini
dan tidak dipedulikan rakan sendiri,
akhirnya berjaya jua.

Omeneto gozamasu

Wednesday, November 25, 2009

LAGAK PEMANDU

"Hampir semua orang tahu bahawa hampir semua pemandu di pejabat bersikap bagaikan bos besar".

Aling, seorang pegawai junior di jabatan diarahkan oleh ketuanya untuk menghadiri mesyuarat tergempar di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Bangunan JPM yang tersergam indah itu memang jelas kelihatan daripada pejabatnya. Hendak dikatakan jauh, tidak munasabah. Hendak dikatakan dekat, berpeluh jugalah ketiak jika menapak ke sana.

Mahu tidak mahu, Aling terpaksalah menaiki kereta jabatan yang telah ditempah oleh kerani besar (cc) untuk tujuan tersebut. Inilah kali pertama Aling menaiki kereta pejabat. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyusahkan pemandu di pejabatnya. Dia lebih rela berjalan kaki, menaiki teksi ataupun menumpang kawan. Namun arahan ke mesyuarat tergempar di JPM pada hari ini tidak boleh dielak lagi. Dia tidak sempat untuk mencari kenderaan alternatif.

Aling cukup cuak mendengar pelbagai cerita mengenai pemandu yang suka membuli bos. Pemandu yang biadap. Pemandu yang bengis dan garang. Pemandu yang bekerja mengikut mood dan macam-macam lagi.

Aling mengadu kepada Ajis, pegawai yang lebih kanan daripadanya. "Pemandu tidak datang ambil aku selepas mesyuarat. Nasib baik aku dapat tompang pegawai JPM yang kebetulan mahu ke kementerian kita"

Ajis memulakan cerita. "Suatu hari aku menaiki kereta pejabat untuk pergi mesyuarat. Aku komplen kepada pemandu mengapa ikut jalan yang sesak"

Aling bertanya. "Apa jawapan pemandu?"

Sambung Ajis. "Dia tidak jawab apa-apa. Dia berhentikan kereta, dia buka pintu dan suruh aku keluar. Kereta rosak katanya"

[petikan daripada novel ALING]

Tuesday, November 24, 2009

FOTO DIGITAL


DULU saya pernah meramalkan bahawa kedai-kedai gambar tradisional akan tutup dengan munculnya kamera digital. Fenomena ini sama kesnya dengan penutupan pawagam dengan munculnya VCD.

Namun kini kedai foto kian bercambah. Mengapa?. Kemungkinan jawapannya ialah:
1. Peralihan paradigma pekedai foto tradisional ke foto digital
2. Pekedai foto diversified bisnes mereka
3. Alat pencetak foto berkualiti tinggi masih mahal untuk dimiliki di rumah
4. Jurufoto amatur masih banyak memerlukan servis profesional
5. Pengguna mahukan servis yang cepat dan murah.

banyak lagi.

Saturday, November 21, 2009

ALUMNI


ALUMNI juga dikenali sebagai Persatuan Murid Tua atau dalam bahasa Inggerisnya 'Old Boys'.

Saya menyertai Alumni JICA sebaik sahaja pulang daripada Jepun pada tahun 1990. Saya sertai mesyuarat agung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha. Akhirnya saya menjadi Setiausaha dan selepas itu Naib Presiden. Proses ini melalui tiga era yang melibatkan tiga orang Presiden.

Dalam era 1990an, Internet belum meluas. henfon juga tidak begitu banyak lagi. Setiap aktiviti Alumni penuh sesak dengan ahli dan kaum keluarga. Pada masa ini JICA memberi geran secara sekali gus. "Nah ambil duit ini dan belanjakanlah sesuka hati mu". Pada masa itu, kami buat lawatan perkelahan, hari keluarga dan makan malam yang merupakan aktiviti yang ditunggu-tunggu.

Era berikutnya 2000,JICA masih belum berkira soal wang. Semakin banyak duit geran yang diberikan untuk kami beraktiviti. Pelbagai aktiviti telah kami buat dalam dan juga luar negara. kami wujudkan Alumni JICA Asia. Berseminar bersama alumni di negara asia setiap dua tahun. kami cari kampung angkat di Jepun untuk menghantar anak-anak Malaysia homestay di Jepun. Kami uruskan homestay dari kalangan rakyat Jepun yang berkunjung ke negara kita. Ceramah, seminar simposium. Memanjat Gunung Fuji adalah merupakan aktiviti tahunan.

Kini, di bawah JICA Baru, mereka sangat berkira. Duit tetap diberikan berjuta Yen, namun rasa-rasanya, tanpa wang Yen ini kami adalah lebih bebas. Kini kami terpaksa merencana aktiviti dan melaksanakannya mengikut acuan yang telah ditentukan. Duit diberi dan aktiviti yang telah ditentukan musti dijalankan.

Akibat kemajuan teknologi seperti henfon, internet, facebook dan sebaginya, sambutan aktiviti kami di kalangan alumni tidak lagi memberangsangkan. Banyak faktor pendorongnya yang barangkali kami tidak sedari.

Di Asia, mula-mula Alumni JICA Brunei ditutup. Julai lepas, Alumni Singapura pula dimatikan. Kini kami sedang berfikir secara serius untuk menutup atau menyerahkan Alumni myJICA ini kepada orang lain ...

Monday, November 16, 2009

CERITA PETAI


HUJUNG minggu lepas kita ke Cameron Highland. Pendakian melalui Tapah menemukan kita dengan orang asli yang menjual petai, madu, umbut dan beberapa jenis hasil hutan lagi. Ia mengingatkan kita tentang ekspedisi ke Cameron kira-kira tiga tahun yang lalu.

Kita mengajak pegawai yang menjaga bajet melawat cameron Highland sebelum ia pulang ke negaranya kerana tamat kontrak bertugas di Malaysia. Rasa-rasanya pihak kedutaannya membeli tidak kurang daripada dua insuran untuk melindungi pegawai ini. Kami bawa pegawai ini ke merata-rata tempat di Cameron dan memberikan layanan VIP kepada beliau. Pegawai bajetlah katakan.

Semasa perjalanan pulang, dia memilih untuk turun ke Tapah. Setiap tempat orang asli dia minta berhenti. Banyak sungguh petai yang dibelinya. Kami diam sahaja.

Akhirnya, kita ketahui bahawa petai-petai tersebut digunakan untuk menghiaskan bilik apartmennya. Sungguh cantik katanya. Sungguh unik. Tidak ada di negaranya.

Itulah ceritanya. Semjuanya benar belaka.
Sekian terima kasih.

Thursday, November 12, 2009

top 10: BUKU FOTO MASIH BERTAHAN


TOP 20 Buku Bisnes dan Pengurusan di MPH Alamanda Putra Jaya Bulan Oktober 2009
1. Buat Duit Dengan Blog
2. Bisnes Internet: Bina.Upload.Urus
3. Internet Marketing Dengan Facebook, Myspace.com & Twitter
4. Buat Duit Dengan Ikan Keli
5. Rahsia Bisnes Orang Cina - Edisi Jimat
6. Buat Duit Dengan YouTube
7. Internet Marketing Dengan Facebook, Myspace.com & Twitter
8. Buat Duit Dengan Tuisyen
9. Buat Duit Dengan Lembu
10. Buat Duit Dengan Foto
11. Buat Duit Sebagai Ejen Insurans & Takaful
12. 101 Idea Bisnes Home-Based
13. Buat Duit Dengan Restoran
14. Buat Duit Dengan Affiliate
15. Kotler On Marketing - Edisi Bahasa Melayu
16. Hidup Tenang Walaupun Berhutang
17. Buat Duit Dengan Jual Pakaian
18. Hidup Tenang Walaupun Berhutang
19. Buat Duit Dengan Cendawan
20. Buat Duit Dengan MLM

Tuesday, November 10, 2009

MENANTI BERITA SUMBER TERTUTUP


SAYA hadir di malam anugerah ini minggu lepas. Walau bagaimanapun saya pulang sebelum acara kemuncak. Kemuncaknya ialah anigerah kepada pemenang-pemenang. Saya adalah salah seorang daripada panel hakim dalam salah satu daripada pertandingannya.

Hingga kini saya tercari-cari senarai pemenangnya, tetapi gagal.

Jika beginilah jadinya sumber terbuka, mungkin kita perlu lihat kepada sumber tertutup.

Monday, November 09, 2009

INSURAN HAYAT: SIAPA BOLEH DIPERCAYAI?


SESUATU bermain-main di kepala saya. Jika kita mengambil insuran hayat, kemudian kita meninggal dan meninggalkan sedikit dana, siapakah yang boleh kita percayai?. Adakah insuran itu akan ingatkan kita yang sudah mati?. Atau mereka bertepuk tangan sahaja?.

Saya ada pengalaman. Bukan satu, bukan dua, tetapi LIMA !. Saya ambil insuran pendidikan untuk anak-anak saya. Insuran daripada syarikat takaful yang tidak mengguna dan tidak mempercayai konsep agen. Mengikut perjanjian, anak saya akan mendapat menafaat setelah ia berusia 18 tahun, kemudian ada lagi bayaran kedua, bayaran ketiga dan bayaran akhir.

Apa yang terjadi?. Anak pertama dapat bayaran pertama. Kemudian bayaran kedua. Anak kedua, ketiga dan keempat semuanya hancus walaupun mereka sudah lama menjangkau usia 18 tahun. Tidak ada sebarang khabar berita walaupun setiap bulan gaji saya dipotong. akhirnya saya mendapat tahu, lebihan potongan gaji saya adalah lebih banyak daripada menafaat takaful yang patut diperolehi oleh anak-anak saya.

Saya telefon helpdesk, ia terlalu komnpleks untuk diterangkan dan mohon buat panggilan semula dan sampai sekarang tiada berita. Kemudian saya tulis fax dan kemudian hantar e-mel. Mel ada jawapan.Kemudian saya pergi sendiri ke pejabat Takaful tersebut. Dapatlah sebahagian. Sebahagian lagi masih belum dapat, melainkan janji.

Bayangkan jika si pencarum sudah meninggal. Siapa akan pergi ke pejabat Takaful?.

Saturday, November 07, 2009

HAK-HAK JIRAN (YANG TERLAMPAU)



INI ialah pandangan surau alhidayah dari tingkap rumah saya. Maknanya jiran sebelah kiri rumah saya ialah surau. Sebelah kanan rumah kosong yang masih belum berpenghuni. Belakang seorang teman. Depan seorang kenalan. Orang kata (barangkali hadis) jiran kita ialah 40 rumah di kiri-kanan dan belakang depan. Jiran-jiran ini mempunyai hak terhadap kita. Apakah hak-hak jiran?. Ada dalam kitab.

Hari ini ada kenduri kahwin di kawasan surau. Keluarga pengantin pinjam kawasan surau untuk buat walimatulurus.

Dalam banyak hal, kitapun tidak mengutamakan jiran yang 40 yang berjumlah 160 semuanya. Jiran kita lebih kepada kaum keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja.