Labels

Wednesday, December 16, 2009

IDEA TIDAK MASUK AKAL


SETIAP pegawai awam di peringkat pengurusan tertinggi akan dibekalkan dengan sebuah kereta. Pada zaman dahulu, superscale C adakan diberikan Volvo. Superscale B dan ke atas pula diberikan sebuah Mercedes atau yang sepadan (ada juga sebahagian kecil pegawai yang gemarkan BMW ataupun Audi). Kini semuanya, termasuk menteri dibekalkan dengan Proton Perdana. Dulu pejabat perlu mencari duit dan membeli sendiri kenderaan ini. Kini semuanya dibekalkan oleh syarikat yang dilantik, iaiatu Spanco.

Bagi pegawai lain, mereka juga ada 'hak' yang tertentu. Misalnya motorsikal (bagi penguatkuasa, peronda dll), komputer dan pencetak, kalkulator dan pelbagai kemudahan pejabat yang lain.

Kerap kali, apabila pegawai baru masuk kerja, mereka tidak dapat dibekalkan dengan peralatan seperti komputer. Ini adalah kerana komputer tidak dibeli sekiranya jawatan masih belum diisi. Ia adalah untuk mengelakkan pembaziran, di mana komputer lebih banyak daripada staf. Setelah staf melapor diri untuk bekerja, (pengambilan dibuat oleh agensi pusat yang lain) duit peruntukan untuk membeli komputer telahpun habis. Pegawai ini perlulah menunggu pusingan pembelian berikutnya untuk dibekalkan dengan komputer.

Idea tidak masuk akal saya ialah, kerajaan boleh melantik agen atau kedai atau yang seumpama dengannya untuk membuat bekalan ini. Apabila pegawai baru melapor diri, dia diberikan satu kupon dan bolehlah ke mana-mana kedai yang telah dilantik untuk 'membeli' komputer tersebut. Cara bayarannya terpulanglah.... boleh dibuat seperti kereta di atas.

Jika pegawai yang dibekalkan dengan kereta, mereka juga diberikan waran untuk membeli minyak dengan had yang tertentu di stesen minyak yang ditentukan. Oleh itu, pegawai yang dibekalkan dengan komputer juga boleh diberikan waran untuk membeli kertas, dakwat dan sebagainya dengan had yang tertentu. Pandai-pandailah dia berjimat.

Logik atau tidak idea tidak masuk akal ini?.

1 comment:

Anonymous said...

proton perdana boleh,
produk lain pun boleh.

kan?

apa salah,
apa masalah.

inovasi atau kreativiti?

GTP Open Day...
mahu ke hadapan atau gurauan?