Labels

Thursday, April 19, 2007

TANGGUNGJAWAB BLOG

[Petikan dari BERNAMA]
Penulis Blog Patut Bertanggungjawab - Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penulis blog yang memberikan sumber maklumat alternatif perlu sentiasa bertanggungjawab dan berpegang kepada kebenaran dalam blog mereka.

"Yang paling utama ialah berpegang kepada kebenaran, jangan menokok tambah dan jangan mereka-reka laporan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada siri syarahan perdana ke-6 mengenai "Media dan Pembangunan Nasional" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

"Selagi anda menyiarkan sesuatu yang benar dan juga tidak bertujuan untuk membangkitkan sebarang emosi serta menggugat kestabilan negara, saya fikir anda melakukan sesuatu yang betul," katanya.

Laman blog (atau pendeknya blog) merupakan penerbitan berasaskan Internet yang dicipta oleh penulis bebas, dikenali sebagai penulis blog.

Ditanya sama ada blog ini patut didaftarkan, beliau berkata ia seumpama melesenkan semua media, "tetapi jika ia sesuatu yang diperlukan, dan baik untuk kebebasan akhbar, maka tidak mengapa."

Semasa diminta mengulas kejadian tanah runtuh di Precinct 9 dan kebocoran paip di ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini, beliau berkata insiden seperti itu mungkin boleh berlaku lagi.

"Saya tidak kata apa yang dibina semasa saya (perdana menteri) adalah sempurna, tetapi mungkin juga (terdapat) sedikit kecuaian dalam perkara ini," katanya.

Dr Mahathir juga berkata kini seolah wujud situasi kurang minat untuk membina Putrajaya atau bagi menyiapkan pembinaan pusat pentadbiran baru persekutuan itu.

-- BERNAMA

No comments: