Labels

Sunday, April 15, 2007

LOBI PROJEK TAK SALAH

[Petikan Dari Mingguan Malaysia] Hari ini.

Tidak salah usahawan Melayu lobi projek – Najib

Oleh: FAUZIAH AROF

SHAH ALAM 14 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, amalan melobi untuk mendapatkan sesuatu projek kerajaan yang dilakukan oleh sesetengah usahawan Melayu tidak salah tetapi perlu menggunakan keuntungan diperoleh bagi menjana kekayaan bangsa.

Timbalan Perdana Menteri agak kesal kerana kebanyakan usahawan Melayu yang sudah mendapat keuntungan melalui projek kerajaan, hanya membelanjakannya untuk kegunaan sendiri.

Tindakan itu, kata beliau, tidak membantu usahawan Melayu untuk berkembang apatah lagi menjana kekayaan bangsa.

‘‘Saya tidak marah melobi, tak apa lobilah tetapi apabila mendapat keuntungan gunakan keuntungan itu untuk melabur pada projek lain pula.

‘‘Jangan lepas itu belanja keuntungan tersebut, tunggu pula projek baru dan lobi lagi. Kita perlu ada konsep untuk menjana kekayaan, barulah boleh maju sebuah bangsa” kata beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Selangor, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo; Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, usahawan Melayu juga terlalu tertumpu kepada satu bidang terutamanya pembinaan untuk menjana kekayaan.

‘‘Bila kita ada Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), semua hendak bina kem PLKN. Kita mempunyai kira-kira 46,000 kontraktor Kelas F iaitu yang terbanyak di dunia.

‘‘ Mereka ini hanya tumpu pada pembinaan tetapi tidak mahu menceburi bidang perniagaan baru yang jarang diceburi oleh usahawan Melayu,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Najib turut mengisytiharkan Gabem sebagai sayap ekonomi UMNO yang berperanan memperkasakan kedudukan ekonomi Melayu.

‘‘ Ada dua perkara kita perlu meningkatkan ekonomi kita. Pertama, kita sebagai peneraju politik negara.

‘‘Tidak guna kedudukan kita hebat tetapi ekonomi tidak tegap, nanti orang akan mempersoalkan kewibawaan kita,” katanya.

Perkara kedua, kata Najib, Malaysia hanya mempunyai 13 tahun lagi untuk mencapai matlamat menjadi negara maju.

‘‘Kita sedar Lembah Klang dan Selangor menjadi nadi ekonomi negara. Kita berharap usahawan di sini akan menyumbang kepada pencapaian keseluruhan untuk menjadikan Malaysia negara maju,” katanya.

No comments: